AZMIN ALI

LATEST

Day: October 12, 2011

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2012

BAB PERTAMA: BELANJAWAN TANPA PELABURAN

Tan Sri Yang diPertua
1. Kualiti sesebuah belanjawan dan perencanaan ekonomi dinilai dari beberapa aspek utama; iaitu:

  • Kemampuan negara membiayai perbelanjaan dan pelaburan yang dirancang secara sihat dan berterusan;
  • Kesejahteraan ekonomi dan kemakmuran yang dicapai oleh negara dan diagihkan secara adil dan saksama kepada rakyat tanpa mengira darjat dan latar belakang;
  • Keberkesanan pelaburan masa depan yang dibuat melalui perbelanjaan pembangunan untuk membina kapasiti dan kemampuan ekonomi yang menggunapakai semaksima mungkin potensi tenaga kerja, produktiviti dan kepandaian rakyat; dan
  • Nilai-nilai yang diperjuangkan melalui belanjawan dalam menegakkan yang benar dan membanteras yang salah; “amal maaruf nahi munkar” melalui pelbagai cukai dan langkah yang boleh diambil.

2. Umumnya, berdasarkan keempat-empat kriteria ini Belanjawan 2012 adalah hambar, tidak realistik, tidak bertanggungjawab dan mengundang masalah kewangan negara di masa akan datang.

3. Oleh kerana Ketua Pembangkang telah memfokuskan kepada perincian makro ekonomi dan membuktikan bagaimana Belanjawan 2012 tidak lebih dari angka-angka unjuran yang dimanipulasi, saya memohon izin untuk menyambung dengan memberi fokus kepada kegagalan Belanjawan 2012 membina pelaburan masa hadapan terutamanya di dalam sektor-sektor strategik.

4. Keseluruhan Belanjawan 2012 berkisar kepada gula-gula dan rasuah kepada rakyat sehinggakan perbelanjaan mengurus mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM181 bilion, berbanding RM51 bilion yang diperuntukkan bagi tujuan pelaburan masa hadapan dan pembangunan.

5. Oleh yang demikian, dengan jumlah agihan yang terlalu berat kepada perbelanjaan operasi dan meminggirkan pelaburan masa hadapan sebegini, Belanjawan 2012 tidak akan berupaya untuk mewujudkan kesan berganda (multiplier effects) yang diperlukan oleh ekonomi negara khasnya dalam sektor-sektor baru.

6. Sedang saya menerima hakikat bahawa perlu ada bantuan langsung yang diberikan kepada rakyat dalam masa yang sukar ini, ia perlu diimbangi dengan pelaburan yang tepat dalam sektor-sektor strategik; untuk membangunkan sektor-sektor masa hadapan yang bersesuaian dengan kelebihan kita sebagai sebuah negara.

7. Ada beberapa sektor dan pelaburan yang seharusnya diangkat mendepani senarai keutamaan negara.

8. Pertama, bidang pendidikan terutamanya pelaburan di dalam latihan kemahiran dan teknikal untuk menaiktaraf kemampuan tenaga kerja di masa hadapan serta pelaburan di dalam research and development (R&D) yang sangat-sangat diperlukan.

9. Kedua, sektor mendesak seperti bioteknologi dan industri hijau sebagai langkah proaktif menyediakan negara berhadapan dengan ketiadaan sumber minyak dan gas dalam sedekad akan datang.

10. Sewajarnya, Belanjawan 2012 menyenaraikan peruntukan-peruntukan bagi tujuan-tujuan ini serta mengangkat sasaran nasional untuk membangunkan sektor-sektor ini. Apakah langkah-langkah kerajaan untuk mempercepatkan kadar pelaburan di dalam R&D misalnya, supaya ia sampai ke satu sasaran yang menyamai negara-negara maju? Angka-angka sebeginilah yang sewajarnya dihurai dengan mendalam. Read More