AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: November 2011

Ucapan Dasar Timbalan Presiden pada Kongres KEADILAN yang ke 8

MUKADIMAH

1. Alhamdulillah, kita dapat berhimpun pada pagi ini dengan satu tekad untuk meneruskan agenda perubahan. Kongres tahun ini bukan sahaja merupakan acara tahunan tetapi merupakan perhimpunan yang terpenting untuk menyemak persediaan kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13. Ianya menjadi lebih bermakna apabila kongres ini diadakan di negeri Johor sebagai isyarat bahawa KEADILAN sudah bersedia untuk menembusi negeri yang suatu ketika dahulu merupakan fixed deposit UMNO.

2. Saya gembira dan berbangga kerana berada di kalangan anak muda yang berani, yang mempunyai hati dan kecekalan seperti arjuna. Anak muda yang memiliki jiwa dan semangat perjuangan yang sentiasa bergelora seperti ‘anak jantan’.

Apa tanda (si) anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang
Langkahnya menghentam bumi

3. Pilihan Raya Umum ke 13 adalah sebuah medan pertempuran yang paling dashyat. Inilah medan Kuru Setre seperti yang disebut dalam Mahabrata. Pilihan Raya ini adalah penentu masa depan rakyat dan negara Malaysia. KEADILAN perlu siap siaga untuk mengambil alih tanggungjawab memimpin rakyat menuju Malaysia Baru. Ini kerana, Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk menyelamatkan rakyat.

DARI REFORMASI KE TSUNAMI POLITIK

4. Mengimbau kembali sejarah lebih sedekad lalu, ketika hampir setiap minggu rakyat berhimpun di tengah kota Kuala Lumpur. Gerakan Reformasi September 1998 adalah wahana untuk memenuhi amanah dan cita-cita murni rakyat. Reformasi yang kita laungkan ketika itu, bukanlah sekadar menumbuk langit, tetapi dengan semangat juang dan cita-cita murni untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat dan membangunkan semula institusi kenegaraan yang telah dirosakkan oleh pemimpin UMNO yang durjana dan rakus. Daripada iltizam dan cita-cita murni kebangkitan rakyat ini telah lahir Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya mengambil pendirian politik yang progresif untuk bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan muncul sebagai sebuah parti keramat yang bernama Parti Keadilan Rakyat.

5. Dalam kekalutan lanskap politik negara yang berada di bawah hegemoni UMNO, politik perkauman sempit menjadi tembok untuk menghalang agenda reformasi daripada mendapat tempat dalam masyarakat. Rakyat disogok dengan pelbagai propaganda jahat untuk mencetuskan rasa takut dan curiga dalam masyarakat majmuk sehingga mereka takut untuk berubah. Meskipun rakyat Malaysia mahukan perubahan, namun mereka tetap terpasung dalam ketakutan dan kebimbangan bahawa kaum mereka tidak lagi akan mendapat keistimewaan.

6. Ketika masyarakat terus bergulat dengan ketakutan ini, KEADILAN telah meletakkan tanda noktah untuk menjadi sebuah parti politik yang bukan hanya mewakili satu-satu kaum, tetapi merentasi semua kaum dan keturunan yang ada di Malaysia. Slogan ‘Keadilan Untuk Semua’, ‘Ketuanan Rakyat’ dan ‘Demi Rakyat’ adalah cerminan kepada perjuangan yang dibawa, untuk menyelamatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama serta kedudukan sosio ekonomi.

7. Sebagai anggota dan pendukung KEADILAN, kita harus menginsafi betapa murninya perjuangan reformasi untuk mengembalikan hak serta keadilan kepada semua rakyat. Asas perjuangan ini telah dipasak ke bumi Malaysia dalam Deklarasi Permatang Pauh yang menyatakan tekad rakyat yang berbilang bangsa dan agama untuk melancarkan gerakan reformasi total.

 

Read More

KEADILAN sedia terajui Malaysia tanpa UMNO

Dari Merdeka Review


Video ihsan Malaysiakini
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berikrar, KEADILAN bersedia untuk menerajui gerakan rakyat untuk memecahkan mitos bahawa hanya UMNO yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Sudah tiada lagi harapan rakyat yang boleh disandarkan kepada UMNO. Tidak ada lagi alasan rasional yang boleh mempertahankan kerakusan serta pengkhianatan UMNO kepada rakyat. UMNO bukan sahaja sudah hilang idealisme perjuangan, tetapi juga sudah muflis nilai serta bankrup moral untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat,” kata Azmin Ali

Azmin Ali

Memilih Johor, negeri di mana lahirnya UMNO, PKR menganjurkan Kongres Nasional Tahunannya di Pulai Springs Resort, Johor Bahru mulai hari ini hingga 27 November. Azmin Ali menegaskan, “UMNO lahir di Johor, maka di negeri inilah saya ingin berikrar di depan pimpinan Angkatan Muda, Wanita dan Srikandi, bahawa KEADILAN akan menerajui Malaysia tanpa UMNO.”

“Apakah perjuangan UMNO yang dibawa untuk membela nasib masyarakat Melayu dan rakyat pada hari ini? UMNO yang dikenal khususnya oleh generasi muda hari ini adalah sebuah parti tua yang anti demokrasi, anti intelektual, anti hak asasi manusia, anti pekerja, sarat dengan politik fitnah dan membudayakan rasuah. Malah UMNO pada hari ini juga anti Melayu.” Read More

Teks Perbahasan Belanjawan 2012 Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa

SELANGORKU: HASIL NEGERI UNTUK RAKYAT
MOHAMED AZMIN BIN ALI
11 NOVEMBER 2011

PENDAHULUAN

1. Saya mohon memulakan perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2012 dengan menukil bait dari Zabur-e-Ajam karya Muhammad Iqbal.

2. “Membakar semangat baru, untuk bangsa dan zaman ini, memberi nyawa baru kepada jasad yang telah tua” – Muhammad Iqbal.

3. Begitulah analogi yang mahu saya berikan kepada kejayaan Pakatan Rakyat membawa sinar serta merealisasikan harapan rakyat Negeri Selangor untuk hidup dalam sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

4. Setelah lebih 50 tahun Negeri Selangor dibawah kerajaan UMNO-BN, rakyat sudah cukup derita dengan jasad tua yang membelenggu kehidupan seharian. Jasad tua yang penuh dengan gejala penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, pengurusan serta tatakelola negeri yang tidak amanah dengan hanya mementingkan kroni dan kepentingan suku sakat pemimpin elit.

5. Saya bersyukur, pada Mac 2008 rakyat Selangor telah sedar dan bangkit membunuh jasad tua tersebut. Lantas dengan keazaman yang tinggi sebagaimana terbukti hari ini, Pakatan Rakyat telah memberi nafas baru kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam suasana yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

6. Insha Allah, saya penuh yakin bahawa rakyat Negeri Selangor akan menghargai usaha gigih kerajaan Pakatan Rakyat yang prihatin terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor, seterusnya kekal setia memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui Negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Read More