AZMIN ALI

LATEST

Day: February 17, 2012

Pengalaman di Turki bersama Recep Tayyip Erdoğan

Gambar ini dirakamkan di Istana Dolmabahce, Istanbul sejurus selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan pada 3 Februari 2012

Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdoğan gembira bertemu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan oleh mahkamah dari pertuduhan fitnah. Beliau dan keluarga senantiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan DSAI dan rakyat Malaysia.

Erdoğan dan Anwar bincang panjang perkembangan Arab Spring dan dunia Islam. Kedua dua pemimpin berkongsi pandangan dan yakin bahawa angin perubahan dan reformasi akan terus segar demi kebebasan dan hak asasi umat, demokrasi dan negara hukum. Erdoğan terus mendoakan semoga rakyat Malaysia akan berjaya dalam gerakan reformasi dan bersama Turki untuk membangunkan negara dan umat.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh DSAI juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turki, Abdullah Gul di Ankara. Cuaca sejuk sehingga minus 21 dan salji tebal menyambut kami di Lapangan Terbang Ankara.

Antara tajuk perbincangan yang menarik dengan Presiden Abdullah Gul ialah komitmen Ak Party dan Kerajaan untuk terus membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat Turki termasuk meningkatkan kualiti pendidikan dan juga menyediakan kemudahan kesihatan percuma melalui pembinaan hospital di setiap daerah yang dilengkapi dengan kelengkapan berteknologi tinggi dan doktor pakar.

DSAI dan rombongan juga mengadakan perbincangan rasmi dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu dan Menteri Kewangan Turki, Mehmet Simsek. Ahmet Davutoglu memberikan pandangan beliau mengenai Syria dan Egypt serta perkembangan kemajuan Arab Spring.

Pada hari pertama setibanya di Turki iaitu 2 Feb 2012, DSAI telah menyampaikan ucaptama di Istana Dolmabahce yang dianjurkan oleh Prof Dr. Bekir Karliga, Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri. Tajuk ucapan DSAI ialah Islam, Democracy and Arab Spring: Quest for Freedom and Justice in the Muslim World. Lebih 200 peserta menyertai wacana ini termasuk beberapa orang naib canselor universiti, tokoh tokoh akademik, ahli ahli perniagaan dan juga perwakilan Turkish-Malaysian Business Council.

DSAI dan Azmin juga telah diundang oleh Dr. Halit Eren, Ketua Pengarah IRCICA untuk melawat Research Centre for Islamic History, Art and Culture di Istanbul dan juga perpustakaan yang mengumpulkan lebih 10,000 koleksi buku tamaddun Islam.

Lawatan kerja ke Turki selama 5 hari amat berjaya untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Turki.

AZMIN ALI