AZMIN ALI

LATEST

Day: April 10, 2012

Hujah terhadap fitnah lapuk UMNO

KUALA LUMPUR, 6 April: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengikuti dan memantau secara serius laporan-laporan media yang dikuasai oleh UMNO-Barisan Nasional yang sejak akhir-akhir ini begitu giat menyerang peribadi serta anggota keluarga Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

Merujuk kepada beberapa tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap Azmin oleh individu seperti Ummi Hafilda Ali dan Datuk Dr. Hasan Ali, AMK berpandangan adalah tidak menjadi keperluan untuk Azmin menjawab tuduhan serta dakwaan ini memandangkan ianya adalah fitnah lapuk yang diulang kembali dan sebetulnya telah pun dijawab serta dijelaskan menerusi fakta berupa laporan perubatan serta keputusan mahkamah.

Berikut adalah butiran penjelasan berkaitan tuduhan dan dakwaan yang telah pun dijelaskan oleh Timbalan Presiden KEADILAN sebelum ini namun secara sengaja ‘digelapkan’ oleh media UMNO-Barisan Nasional:

a)Status ujian DNA ke atas anak beliau, Farah Afifah Binti Mohamed Azmin

Azmin, isteri beliau Shamshida Taharin dan anak perempuan mereka, Farah Afifah telah menjalani ujian DNA sebanyak dua (2) kali. Ujian DNA yang pertama telah dibuat di Institute of Science and Forensic Medicine, Singapura pada 2 Julai 1998 manakala ujian DNA yang kedua telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Julai 1998. Kedua-dua ujian ini dibuat oleh YB Mohamed Azmin demi membersihkan fitnah jahat terhadap isteri dan anak beliau biarpun dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian oleh Allahyarham Raja Aziz Addruce, peguambela Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua Laporan Ujian DNA tersebut telah mengesahkan bahawa Azmin dan isterinya Shamshida adalah ‘biological parent’ kepada Farah Afifah. Laporan daripada Institute of Science and Forensic Medicine, Singapura tersebut menyebut;

“The results from all three genetic loci show that the donor of blood specimen marked ‘X’ (putative father) is the biological father of the donor of the blood specimen marked ‘Y’ (child).”

Laporan DNA yang dikeluarkan oleh HKL atas arahan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Musa Hassan (kini Tan Sri) juga menunjukkan keputusan yang sama. Walau bagaimanapun keputusan bertulis bagi ujian tersebut yang dibuat oleh Dr. Zahari Noor dan Dr. Dahlia Danial tidak diserahkan kepada Azmin sehingga hari ini. Namun, keputusan itu dipastikan melalui satu kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada ketika itu yang mengesahkan temuan DNA itu membuktikan Azmin adalah bapa kandung (biological father) kepada Farah Afifah.

Ahli Parlimen Gombak iitu telah membawa kes ini ke Mahkamah Sesyen Ampang dan pada 25 Jun 2005, mahkamah telah memutuskan bahawa Dato’ Khalid Jafri sebagai bersalah di bawah Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memfitnah Azmin dan keluarganya dalam buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara satu (1) tahun kepada Khalid atas kesalahan yang sangat serius dan melibatkan banyak pihak dan menyebabkan kesengsaraan akibat kesan psikologi yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat oleh Farah Afifah.

Perihal kes DNA ini telah dirakamkan dalam buku “Mahkamah Sahkan Ada Konspirasi Untuk Memfitnah dan Membunuh Kerjaya Politik Anwar Ibrahim” yang diterbitkan pada tahun 31 Ogos 2005 oleh Institut Kajian Dasar (IKD).

b)Dakwaan pemilikan saham berjumlah RM8.5 juta

Berkaitan fitnah tentang pemilikan saham bejumlah RM8.5 juta yang dikaitkan dengan Azmin, isu tersebut muncul sejak tahun 1995 dan beliau telah pun disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu di atas tuduhan memiliki aset yang tidak setara dengan pendapatannya. Walaubagaimanapun, Azmin telah terbukti tidak bersalah kerana tiada tindakan susulan daripada siasatan tersebut.

Penahanan Azmin pada 16 September 1998 untuk membantu siasatan kes Datuk Seri Anwar yang dituduh menghalang siasatan serta melindungi Setiausaha Sulit-nya (iaitu YB Mohamed Azmin) daripada kesalahan pada 1995 juga telah membuktikan bahawa pihak polis gagal menemui sebarang bukti kukuh.

Tuduhan terhadap Anwar tersebut juga telah digugurkan. Perkara ini turut diulas oleh bekas Ketua Pengarah BPR ketika itu, Dato’ Shafee Yahaya di dalam biografi beliau yang berjudul “The Shafee Yahaya Story: Estate Boy to ACA Chief” di halaman 306 yang menjelaskan bahawa Azmin tidak bersalah.

Fitnah lapuk inilah yang kini kembali diulang oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S.A Vickneswaran serta beberapa orang individu berkepentingan dan turut dilaporkan oleh media milik UMNO-Barisan Nasional.

Justeru, AMK melihat bahawa serangan serta dakwaan usang yang kini giat dilemparkan terhadap Azmin hanyalah sebahagian dari kempen politik jahat oleh media UMNO-Barisan Nasional untuk memburukkan tokoh pimpinan Pakatan Rakyat setelah mereka gagal mempengaruhi sokongan rakyat terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat meskipun serangan serta fitnah sama turut dilemparkan setiap hari ke atas Anwar dan isteri beliau Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

NAJWAN HALIMI
Timbalan Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN