AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: June 2012

Majlis Penyerahan SISMEP Oleh Timbalan Presiden Peringkat Negeri Pahang

[nggallery id=43]

Oleh: PKR PAHANG
Alhamdulillah, petang semalam (28 Jun 2012) selesai sudah Majlis Penyerahan SISMEP 3.0 serta penyerahan peralatan/bahan jentera PRU bagi KEADILAN Negeri Pahang yang telah dilancarkan oleh Timbalan Presiden, YB Azmin Ali bertempat di Restoren Tanjung, Jalan Haji Ahmad, Kuantan.

Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato’ Fauzi Abd Rahman secara resminya telah menerima SISMEP 3.0 dari Timbalan Presiden, YB Azmin Ali bagi kegunaan seluruh jentera Pilihanraya di setiap Cabang KEADILAN di Negeri Pahang. SISMEP ini akan digunakan sebagai alat mengesan nama dan daftar pemilih yang sah dan ianya terbukti berkesan di dalam beberapa Pilihanraya sebelum ini.

Kesemua Cabang juga telah menerima beberapa peralatan dan bahan kempen untuk digunakan semasa Pilihanraya Umum yang bakal diadakan tidak beberapa lama lagi. Sehubungan itu, kesemua Cabang bersama jentera masing-masing diminta untuk meningkatkan lagi gerak kerja dan menggunakan segala peralatan yang dibekalkan sebaik mungkin.

Pelancaran SISMEP & Penyerahan Bahan-Bahan Kempen PRU 13

[nggallery id=40]

Kota Bharu, 22 Jun 2012 – Majlis Perlepasan Konvoi Pilihan Raya Peringkat Negeri Kelantan berlangsung meriah dengan hampir 50 buah kenderaan 4×4 siap dengan bendera Malaysia, Kelantan dan KEADILAN diiringi 6 buah motosikal berkuasa tinggi mengelilingi Bandar Kota Bharu.

Konvoi tersebut telah dilepaskan oleh YB Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP).

YB Mohamed Azmin sebelum itu menghadiri Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre bermula jam 3 petang. Program yang dianjurkan oleh JPRP dengan kerjasama Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Kelantan turut dihadiri YB Hajah Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita KEADILAN juga Encik Zakaria Abd Hamid, Ketua Sekretariat JPRP.

Kelantan merupakan Negeri ke 12 menerima kunjungan JPRP dalam acara Jelajah Pelancaran SISMEP ke seluruh negara. Dalam program tersebut, YB Azmin telah menyampaikan taklimat kepada kira – kira 250 orang pimpinan dan penggerak KEADILAN Negeri Kelantan.

Kunjung Hormat ke atas YAB Menteri Besar Kelantan

[nggallery id=41]

Kota Bharu, 22 Jun 2012 – YB Mohamed Azmin Ali tiba di Kota Bharu dengan penerbangan Malaysia Airlines pada jam 8.45 pagi untuk menghadiri acara Pelancaran SISMEP 3.0 dan Penyerahan Bahan Kempen Pilihan Raya Peringkat Negeri Kelantan.

Sebelum itu, YB Mohamed Azmin melakukan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di Bazaar Tengku Anis, Kota Bharu. Beliau juga sempat menyertai Program Mahabbah Antara Kaum bersama Tuan Guru dan masyarakat pelbagai kaum.

Dalam kunjungan hormat tersebut, YB Mohamed Azmin telah menyampaikan rasa penghargaan beliau ke atas Tuan Guru yang telah mengeluarkan kenyataan bagi mempertahankan beliau dalam siri fitnah yang dilakukan oleh UMNO – BN. Tuan Guru juga mendoakan kesejahteraan beliau dan keluarga serta berharap beliau terus istiqamah dalam perjuangan demi rakyat.

Program SISMEP 3.0 yang akan dilancarkan oleh YB Mohamed Azmin dijadualkan berlangsung di Kelantan Trade Centre pada jam 3 petang.

Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 dan Penyerahan Bahan Bahan Kempen Pilihanraya 13 Negeri Johor

[nggallery id=37]

Johor Bahru – 10 Jun 2012, Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor bersama – sama Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) telah menganjurkan Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 dan Penyerahan Bahan Kempen Pilihan Raya di Hotel Tropical Inn sebagai tanda kesediaan untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke 13.

Majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh YB Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang juga Pengarah JPRP telah dihadiri kira – kira 250 orang pimpinan KEADILAN seluruh Negeri Johor.

Majlis yang dimulakan pada jam 2.30 petang tersebut turut dihadiri oleh YB Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita KEADILAN dan Saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua AMK KEADILAN. Saudara Rafizi Ramli yang tidak dapat hadir seperti kebiasaannya telah digantikan oleh Saudara Zakaria Abd Hamid, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

YB Mohamed Azmin dalam ucapannya berharap agar seluruh jentera KEADILAN Negeri Johor bersiap sedia dalam menghadapi PRU-13. Menurutnya PRU-13 ini merupakan ‘election of aspiration’ kepada seluruh rakyat yang mahukan perubahan dalam urustadbir negara.

Menurutnya lagi, SISMEP 3.0 adalah alat bantuan kepada jentera supaya mampu berdepan dengan BN berdasarkan fakta dan angka yang tepat. Malah SISMEP mampu mengesan siapa dan di mana pengundi yang dibawa masuk dan dikeluarkan daripada suatu kawasan pengundian.

“Biarpun ada pimpinan lain yang menyatakan mereka ada ‘numbers’ pengundi yang dibawa masuk dan dibawa keluar daripada sesuatu kawasan, tapi mereka tidak mampu menyatakan siapakah orang itu. SISMEP 3.0 bukan sahaja mampu mengesan ‘numbers’, tapi juga mampu mengetahui siapa orangnya” ujar beliau.

Justeru beliau mengingatkan supaya jentera KEADILAN dapat bekerja keras demi menjana kemenangan rakyat dalam PRU-13. Majlis tersebut berakhir dengan perlepasan konvoi membawa bahan kempen pilihan raya di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri Johor pada jam 5.30 petang.

Penjualan Rahsia Pertahanan Negara: KEADILAN Desak PDRM, SPRM dan ATM Jalankan Siasatan Segera


Pendedahan SUARAM bahawa syarikat yang berkait dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menjual rahsia pertahanan negara adalah satu krisis nasional yang mendesak tindakan segera.

Baru-baru ini, berdasarkan kertas siasatan kes saman yang dibawa oleh SUARAM berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan rasuah, peguam Joseph Breham telah mendedahkan perkara-perkara berikut:

1.Sebuah syarikat bernama Terasasi (Hong Kong) Limited telah menjual dokumen sulit pertahanan negara kepada sebuah syarikat Perancis bernama DCNS;

2.Dokumen sulit pertahanan negara itu adalah laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM);

3.Dokumen sulit itu dijual pada harga 36 juta Euro (bersamaan RM142 juta); dan

4.Terasasi (Hong Kong) Limited dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda. Kedua-dua tokoh ini adalah penasihat utama Dato’ Seri Najib dan disyaki merupakan proksi kepada beliau.

Skandal pembelian Scorpene kini melangkaui persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata. Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno/Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk menggadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpul kekayaan peribadi.

Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi yang mesti dijawab oleh Dato’ Seri Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan.

Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa penjualan laporan penilaian prestasi Scorpene dan keperluan pertahanan tersebut bermakna negara asing telah mendapat maklumat terperinci strategi pertahanan negara melibatkan menggunakan Scorpene.

Secara langsung, dengan terdedahnya strategi tersebut ia membuka ruang untuk memanipulasi kelemahan Scorpene. Tindakan ini membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

Sebab itu, saya mendesak Dato’ Seri Najib supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara ini. Beliau harus tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri.

Saya juga mendesak pihak berkuasa yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Sekiranya Angkatan Tentera Malaysia tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat laporan polis dengan segera.

AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN
6 JUN 2012

Ucapan di BERSIH 3.0 hanya ‘motivasi’, kata Azmin

Dari Malaysiakini

WAWANCARA Sebulan berlalu sejak perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil BERSIH 3.0 diadakan namun isunya masih belum reda, terutama melibatkan timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Beliau antara yang paling awal mendapat perhatian, malah pada pagi selepas perhimpunan berkenaan lagi kerana didakwa mempengaruhi para peserta perhimpunan dan menyebabkan kekacauan.

Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu wawancara minggu lalu, MP Gombak itu berkata beliau tidak berniat untuk menghasut peserta perhimpunan supaya melanggar penghadang di Dataran Merdeka itu.

Beliau bersama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin aktivis parti itu Badrul Hisham Shaharin menghadapi tuduhan di mahkamah atas dakwaan berhubung perhimpunan tersebut.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut peserta perhimpunan berkenaan supaya “membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.”

Azmin bagaimanapun menyatakan bahawa ucapannya itu hanyalah sebagai “motivasi” kepada orang ramai yang hadir.

“Tentulah pada masa itu, pemimpin politik perlu memotivasikan anggota kami dan rakyat supaya bangkit dan mempertahankan hak mereka sebagai rakyat Malaysia… Untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil. Adakah itu satu jenayah?,” katanya.

Katanya isu melanggar penghadang itu telah mengalihkan fokus daripada “jenayah lebih serius” seperti dakwaan manipulasi pilihan raya.

Tambahnya, beliau juga berucap ketika perhimpunan tersebut atas permintaan seorang pegawai polis kanan untuk mententeramkan orang ramai.

Azmin kata peluangnya dalam PKR ‘tak terancam’

Dari Malaysiakini

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata beliau tidak merasakan bahawa peluangnya dalam parti “terancam” dengan jumlah anggota keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menduduki jawatan penting dalam parti tersebut.
“Saya tidak merasakan apa-apa ancaman dalam konteks itu kerana saya percaya kepada proses demokrasi di dalam parti,” katanya ketika ditanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Jelasnya, pemimpin berkenaan dipilih bukan kerana nepotisme atau kronisme tetapi diputuskan anggota parti tersebut melalui demokrasi.

“Pada waktu ini presiden (isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan naib presiden (anak perempuan Anwar, Nurul Izzah) dipilih dari kalangan anggota keluarga.

“Dalam pemilihan parti selepas ini kita tidak tahu. Saya tidak tahu apa jawatan saya selepas ini. Biarlah kita jalankan kerja dahulu. Sekarang fokus kita ialah pada pilihan raya umum.

“Lepas itu kita boleh bincang masa depan parti,” katanya yang hanya ketawa apabila ditanya sekiranya beliau akan menjadi presiden PKR pada satu masa nanti.

Mengulas lanjut, Azmin berkata Nurul Izzah sendiri terlibat di dalam reformasi sejak pemecatan Anwar pada September 1998 dan memainkan peranan penting dalam menggembleng sokongan kepada Anwar.

Jangan dipengaruhi nepotisme

“Kelantangan beliau, keberanian beliau untuk bersama rakyat dan parti untuk mengerakkan gerakan rakyat dan ini diiktiraf anggota parti, bukan diangkat oleh presiden dan ketua umum tapi dipilih oleh anggota parti.

“Baik, Alhamdulillah pemilihan dia dibuat secara sah. Kita perlu maju ke depan dan pastikan keputusan yang dibuat dalam parti dan kerajaan negeri dan pusat insya-Allah tidak dipengaruhi elemen (nepotisme).

“Itu sahaja peringatan saya. Saya tak mahu parti ini mengamalkan amalan tidak sihat,” katanya yang yakin bahawa Anwar akan mempertahankan prinsip tersebut di dalam parti.

Tambahnya, kenyataan Anwar yang keras menentang amalan tersebut ketika di dalam Umno merupakan perkara yang mencetuskan pertembungan Anwar dan Mahathir pada 1997.

“Maka saya yakin (Anwar) akan terus mempertahankan prinsip ini dalam PKR,” katanya.

Wawancara dijalankan Salhan K Ahmad dan Aidila Razak.

Harga kesetiaan Azmin pada Anwar

Dari Malaysiakini

WAWANCARA Timbalan presiden PKR Azmin berkata beliau tidak akan berganjak dari sokongannya kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim walau keluarganya sendiri “hancur” dan diaibkan.

Katanya beliau terpaksa berdepan perkara itu kerana tidak menyokong Umno dan konsisten dengan Pakatan Rakyat.

“Kalau ini harga yang perlu saya bayar untuk bawa perubahan, saya sanggup membayar, biar saya dihina diaib tapi rakyat dan negara mesti diselamatkan,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Beliau juga sanggup mengharungi perkara itu demi mempertahankan Anwar, sedangkan beliau juga boleh menyokong Mahathir pada 2 September 1998 – ketika Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

“Saya kena pilih antara Dr Mahathir atau Anwar. Bukan pilihan mudah. Dua tokoh utama negara yang perlu saya pilihan maka saya pilih pertahan kebenaran.

“Walaupun saya lalui kesengsaraan, masuk lokap keluar lokap, saya didakwa, dihina, keluarga saya hancur kerana pilihan yang saya buat.

“Tapi bagi saya itu pilihan yang perlu saya buat untuk pertahan kebenaran,” katanya.

‘Isu keluarga jangan dipolitikkan’

Azmin berkata, beliau langsung tidak terkesan dengan dakwaan berkenaan yang antara lainnya mempertikaikan hubungan darah beliau dengan anaknya.

“Lihatlah apa yang mereka lakukan kepada isteri dan anak saya. Selepas 14 tahun masih ulang fitnah sama, sehingga hari ini.

“Apa yang anda mahu saya lakukan? Saya sudah buat bahagian saya. Saya sudah dapatkan keputusan dua ujian DNA.

“Adakah mereka berminat dengan kebenaran? Tidak. Mereka hanya berminat untuk mengulangi fitnah dan penipuan untuk memburukkan imej pemimpin Pakatan,” katanya lagi.

Perkara itu juga yang mendorong anak perempuannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, setelah melalui dakwaan berkenaan sejak 14 tahun lalu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Umi Hafilda, adiknya yang kini giat mengadakan ceramah anti-Anwar, Azmin berkata beliau tidak mahu terlibat dalam kancah pertikaian dengan Ummi di media.

“Kalau dia pilih (ulas di media) tak apa lah, saya tak mahu terlibat. Saya yakin institusi keluarga ini wajar disejahterakan, diharmonikan, bukan diaibkan dalam media. Saya cukup tak bersetuju hal ini.

“Apa sahaja masalah keluarga, jangan dipolitikkan dan diaibkan dalam media,” katanya.

Azmin: Dakwaan RPK timbul semula sebab pilihan raya

From Malaysiakini

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata dakwaan berhubung siasatan ke atas pemilikan hartanya sehingga jutaan ringgit sengaja ditimbulkan memandangkan pilihan raya umum akan berlangsung tidak lama lagi.

Dakwaan itu sengaja ditimbulkan di blog Malaysia Today walaupun beliau telah menyerahkan semua bukti yang diminta ketika disiasat 17 tahun lalu, katanya.

Azmin Ali

“Saya tidak ada wang sebanyak itu. Namun dengan semua bukti yang saya kemukakan, kenyataan bank, dokuman yang diminta, saya serahkan semuanya kepada pihak berkuasa.

“Mereka patut putuskan apa yang hendak dilakukan selepas itu. (Siasatan dilakukan sejak) 17 tahun lalu.

Azmin turut mengulas dakwaan Raja Petra bahawa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya siasatan rasuah itu dihentikan.

Katanya, SPRM yang dikenali dengan nama Badan Pencegah Rasuah pada masa itu sudahpun mengambil keputusan untuk tidak mendakwa Anwar atas tuduhan tersebut.

Beliau berkata demikian dengan merujuk satu tulisan berhubung kes berkenaan oleh Datin Kalsom Taib yang merupakan isteri kepada bekas pengarah BPR Datuk Shafee Yahya.

Menurut buku bertajuk “The Shafee Yahya Story: Estate Boy to ACA Chief” itu, Kalsom menceritakan bahawa Anwar sepatutnya didakwa kerana mempengaruhi Shafee untuk menutup penyiasatan ke atas Azmin.

Pendakwaan tersebut bagaimanapun tidak disertakan ketika Anwar dibawa ke mahkamah.

Kenapa timbul semula?

“Kenapa sekarang Raja Petra (pengendali Malaysia Today) timbulkan? Sebab pilihan raya sudah dekat,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Raja Petra kerana beliau sudahpun memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, 17 tahun lalu.

“Sekarang (Raja Petra) mahu saya ulang perkara sama?,” katanya yang menambah, rakyat juga mengetahui “siapa sebenarnya Raja Petra.”

“Rakyat boleh melihat waktu (yang dipilih untuk menimbulkan) dakwaan ini,” katanya lai.

Beliau mengulas dakwaan Raja Petra yang mendakwa memiliki “fail rahsia” berhubung siasatan SPRM (Badan Pencegah Rasuah pada masa itu) bertarikh 1995 berhubung transaksi saham, hartanah dan kenderaan Azmin.

Ekoran itu, SPRM membuat laporan polis ke atas Raja Petra berhubung pendedahan dokumen siasatan berkenaan dalam tulisan bertajuk MACC ‘Deep Throat’ comes out of the closet (Pemberi maklumat SPRM dedah identiti diri) yang disiarkan semalam.

Laporan hari ini menyebut, Panel Penilaian Operasi SPRM juga akan mengadakan mesyuarat untuk melihat semula dakwaan itu.