AZMIN ALI

LATEST

Day: June 6, 2012

Penjualan Rahsia Pertahanan Negara: KEADILAN Desak PDRM, SPRM dan ATM Jalankan Siasatan Segera


Pendedahan SUARAM bahawa syarikat yang berkait dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menjual rahsia pertahanan negara adalah satu krisis nasional yang mendesak tindakan segera.

Baru-baru ini, berdasarkan kertas siasatan kes saman yang dibawa oleh SUARAM berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan rasuah, peguam Joseph Breham telah mendedahkan perkara-perkara berikut:

1.Sebuah syarikat bernama Terasasi (Hong Kong) Limited telah menjual dokumen sulit pertahanan negara kepada sebuah syarikat Perancis bernama DCNS;

2.Dokumen sulit pertahanan negara itu adalah laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM);

3.Dokumen sulit itu dijual pada harga 36 juta Euro (bersamaan RM142 juta); dan

4.Terasasi (Hong Kong) Limited dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda. Kedua-dua tokoh ini adalah penasihat utama Dato’ Seri Najib dan disyaki merupakan proksi kepada beliau.

Skandal pembelian Scorpene kini melangkaui persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata. Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno/Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk menggadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpul kekayaan peribadi.

Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi yang mesti dijawab oleh Dato’ Seri Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan.

Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa penjualan laporan penilaian prestasi Scorpene dan keperluan pertahanan tersebut bermakna negara asing telah mendapat maklumat terperinci strategi pertahanan negara melibatkan menggunakan Scorpene.

Secara langsung, dengan terdedahnya strategi tersebut ia membuka ruang untuk memanipulasi kelemahan Scorpene. Tindakan ini membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

Sebab itu, saya mendesak Dato’ Seri Najib supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara ini. Beliau harus tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri.

Saya juga mendesak pihak berkuasa yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Sekiranya Angkatan Tentera Malaysia tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat laporan polis dengan segera.

AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN
6 JUN 2012