AZMIN ALI

LATEST

Day: June 11, 2012

Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 dan Penyerahan Bahan Bahan Kempen Pilihanraya 13 Negeri Johor

[nggallery id=37]

Johor Bahru – 10 Jun 2012, Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor bersama – sama Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) telah menganjurkan Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 dan Penyerahan Bahan Kempen Pilihan Raya di Hotel Tropical Inn sebagai tanda kesediaan untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke 13.

Majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh YB Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang juga Pengarah JPRP telah dihadiri kira – kira 250 orang pimpinan KEADILAN seluruh Negeri Johor.

Majlis yang dimulakan pada jam 2.30 petang tersebut turut dihadiri oleh YB Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita KEADILAN dan Saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua AMK KEADILAN. Saudara Rafizi Ramli yang tidak dapat hadir seperti kebiasaannya telah digantikan oleh Saudara Zakaria Abd Hamid, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

YB Mohamed Azmin dalam ucapannya berharap agar seluruh jentera KEADILAN Negeri Johor bersiap sedia dalam menghadapi PRU-13. Menurutnya PRU-13 ini merupakan ‘election of aspiration’ kepada seluruh rakyat yang mahukan perubahan dalam urustadbir negara.

Menurutnya lagi, SISMEP 3.0 adalah alat bantuan kepada jentera supaya mampu berdepan dengan BN berdasarkan fakta dan angka yang tepat. Malah SISMEP mampu mengesan siapa dan di mana pengundi yang dibawa masuk dan dikeluarkan daripada suatu kawasan pengundian.

“Biarpun ada pimpinan lain yang menyatakan mereka ada ‘numbers’ pengundi yang dibawa masuk dan dibawa keluar daripada sesuatu kawasan, tapi mereka tidak mampu menyatakan siapakah orang itu. SISMEP 3.0 bukan sahaja mampu mengesan ‘numbers’, tapi juga mampu mengetahui siapa orangnya” ujar beliau.

Justeru beliau mengingatkan supaya jentera KEADILAN dapat bekerja keras demi menjana kemenangan rakyat dalam PRU-13. Majlis tersebut berakhir dengan perlepasan konvoi membawa bahan kempen pilihan raya di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri Johor pada jam 5.30 petang.