AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: September 2012

Lagu Kempen Pilihanraya ke 13 – Panji Keadilan

(Verse 1)
Bersama mengubah harapan
Ayuh menuju kejayaan
Sekuntum bunga berguguran
Tumbuh sejuta pahlawan

(Verse 2)
Bersama mengubah harapan
Kibarkan panji Keadilan
Kibarkan sejagat raya
Demi rakyat semua

(Chorus)
Pantang undur sekali – kali
Tekad anak Malaysia
Dalam dadaku…ada namamu

Pantang undur sekali – kali
Tekad anak Malaysia
Keadilan
Reformasi
Menjayakan ibu pertiwi

Verse 3(2)
Bersama mengubah harapan
Kibarkan panji Keadilan
Kibarkan sejagat raya
Demi rakyat semua

Bridge (Chorus 2)
Pantang undur sekali – kali
Tekad anak Malaysia
Keadilan
Reformasi
Menjayakan ibu pertiwi

Verse 4 (2)
Bersama mengubah harapan
Kibarkan panji Keadilan
Kibarkan sejagat raya
Demi rakyat semua
Demi rakyat semua
Demi rakyat semua

Lagu dan Lirik oleh Hasmi Hashim

Ucapan Timbalan Presiden Rapat Pimpinan Kebangsaan 2012 Parti Keadilan Rakyat

1. Sepanjang lebih satu dekad kita bersama dalam perjuangan untuk melakukan perubahan, ramai antara kita punya pengalaman tersendiri; pengalaman manis dan getir. Dalam usia perjuangan yang muda, anggota parti telah diasak dan diuji. Cabaran yang bertali arus telah menjadikan anggota parti matang. KEADILAN muncul sebagai sebuah parti yang terbilang dalam peta politik di sejagat raya.

2.Perjuangan yang berteraskan reformasi adalah untuk membina Malaysia yang gagah, makmur dan sejahtera.

Prinsip keadilan yang mendasari perjuangan KEADILAN bukan sahaja bersifat perjuangan politik tetapi satu gerakan massa. Ianya juga bertepatan dengan tuntutan Islam. Apabila Rasulullah S.A.W. didatangi oleh segerombolan kabilah – kabilah Arab dan ditanya apa risalah dan misi Baginda ? Lantas Rasulullah mengungkapkan perintah Allah;


Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.

Surah An-Nahl, Ayat 90

Perintah ini jelas menunjukkan bahawa keadilan adalah nilai terpenting di dalam Islam. Malahan, semua rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. adalah untuk menegakkan keadilan.

3. Maka kita perlu yakin perjuangan ini berada dilandasan yang menepati tuntutan agama dan juga tuntutan massa. Apa yang menggarap seluruh kekuatan dan menyatupadukan kita semenjak 1998 ? Kerana berlakunya ketidakadilan dan kezaliman. Lantas rakyat bangkit menuntut keadilan dan menjadi moral force kepada perjuangan yang menjadikan keadilan sebagai ideologi politik baru. Alexis de Tocqueville menyatakan : “Hanya ada satu undang – undang sejagat yang disepakati oleh sebilangan besar manusia. Undang – undang itu adalah keadilan”.

4. Malah keadilan perlu dipromosikan sebagai norma baru dalam politik global kerana ia menjawab segala keterbatasan ideologi lampau. Justeru, KEADILAN layak bersama – sama menerajui gerakan keadilan antarabangsa bersama parti politik lain di dunia yang meletakkan prinsip keadilan sebagai asas ideologi mereka.

5. Cabaran hari ini bukan sekadar isu – isu furu’ tetapi prinsip keadilan sosial, distributive justice dan masyarakat madani. Keyakinan ini diterjemah dalam bentuk penggubalan dasar. Belanjawan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh KEADILAN jelas menolak dasar yang berasaskan kaum tetapi berpegang kepada keperluan.

Program ekonomi untuk golongan kelas menengah dan rakyat miskin menjadi tumpuan kita. Sarjana Amartya Sen juga menyentuh prinsip yang sama dalam bukunya ‘The Idea of Justice’. Maka pilihan dalam PRU 13 yang akan datang ialah tentang adil atau ketidakadilan.

6. KEADILAN pernah mengalami zaman kegelapan pada tahun 2004 apabila mampu mempertahankan hanya satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Tatkala itu ada sejumlah kecil pimpinan yang mulai memperlahankan langkah. Tidak kurang juga mereka yang terus memisahkan diri daripada parti.

7. Namun, saya bangga kerana saudara – saudari yang hadir di dewan ini adalah pejuang yang setia dan tetap bersama perjuangan ini. Perubahan itu memang sukar. Tetapi saya yakin, dengan kesabaran, kebijaksanaan dan kesungguhan, kita pasti akan tiba di Putrajaya.

8. Renungilah pesanan Syeikh Dr. Yusuf al Qardhawi yang disampaikan pada 11 Januari 2011, hari Hosni Mubarak melepaskan jawatan. Beliau menyebut : “Tidak masuk akal bahawa kebatilan boleh mengatasi kebenaran, tidak masuk akal si taghut boleh mengatasi rakyat.”

9. Pasca 2004, kita bangkit dengan semangat baru, keyakinan baru, perpaduan dan muafakat yang akhirnya membawa berkat.

Wahai anakanda dengarlah wasiat
Duduklah engkau dalam muafakat
Supaya ringan beban yang berat
Sebarang kerja membawa berkat

Wahai anakanda dengarlah amanat
Jangan sesekali tinggalkan muafakat
Elok berunding sebelum berbuat
Supaya kerjamu jadi selamat

10. Alhamdulillah, kita menyaksikan gabungan upaya pejuang parti dan dokongan rakyat seluruhnya telah mencetuskan satu tsunami yang mengubah lanskap politik negara. Gabungan itu memiliki satu sinergi, dinamika tenaga cergas dan minda yang segar untuk menggerakkan massa ke arah reformasi.

11. Clamour for change bukan hanya terbatas di kalangan anggota KEADILAN. Ianya juga menjadi tuntutan rakyat kerana mereka mahukan sesuatu yang terbaik untuk anak – anak mereka dan generasi akan datang. Seperti yang diungkapkan oleh Sasterawan A. Samad Said beberapa hari yang lalu ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah sebagai Sasterawan Tamu Selangor, beliau menegaskan: “Dalam keadaan sekarang, saya rasa berdosa jika tidak bersuara”.

12. Yakinlah kemahuan rakyat Malaysia untuk melaksanakan perubahan tidak pernah surut. Sampaikan pesan kepada rakyat bahawa kita boleh melaksanakan Malaysia yang gagah. Together we could make a difference.

13. Parti keramat ini muncul sebagai parti terbesar dan sekaligus menyanggah andaian bahawa KEADILAN adalah the weakest link. Lebih bermakna apabila PAS dan DAP bermuafakat untuk bersama KEADILAN membentuk Pakatan Rakyat. Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada muafakat ini yang memberi ruang kepada kewujudan sebuah negara demokratik dengan sistem dua parti.

14. Sepanjang perjuangan ini, kita berkesempatan untuk menjelajah ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.

Memandu dan menaiki bot berjam – jam ke Ulu Krian di Sarawak, Kampung Taginambur di Kota Belud, Kuala Balah di Jeli, Kampung Tong Pelu di Pedu semata – mata untuk bertemu dengan rakyat dan membawa mesej perubahan.

15. Anak muda di Sabah, Sarawak, Kelantan dan seluruh pelusuk negara; yang cerdik dan punyai potensi; terhalang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana dihambat dengan kemiskinan dan kos pengajian yang tinggi. Anak – anak peneroka dan nelayan terpaksa dibebankan dengan hutang PTPTN semata – mata untuk menimba ilmu. Justeru itu, kita mesti membawa kemenangan untuk KEADILAN bagi merealisasikan harapan rakyat dengan memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan percuma.

16. Peneroka FELDA di Keratong dan Semencu gigih mengusahakan ladang sawitnya. Pahit derita mereka untuk mendapatkan hasil tani demi menanggung kos sara hidup ditempelak dengan dasar yang menguntungkan syarikat dan kroni. Lantaran itu, generasi kedua tidak terjamin masa depannya sementara peneroka asal berputih mata melihat saham FGV terus merudum. Maka sekali lagi menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengibarkan panji KEADILAN bagi merubah kehidupan warga felda dengan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang – ladang untuk generasi kedua.

17. Golongan pengusaha dan peniaga wanita di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu adalah cerminan wanita gigih dan punyai kemahiran keusahawanan. Ini membuktikan wanita perlu diberikan pengiktirafan sebagai agen perubahan dan pemangkin ekonomi negara. Tahniah kepada Wanita KEADILAN yang mencetus suatu gagasan baru dalam usaha mengangkat martabat wanita melalui program yang terancang dalam Agenda Wanita Malaysia. Saranan yang disambut baik antaranya Caruman Wanita Nasional.

18. 10 tahun lalu, ketika saya berceramah di Negeri Perlis, saya didatangi oleh seorang tua yang dipapah oleh anaknya. Orang tua ini sedang dirawat di dalam hospital dan meminta kebenaran doktor untuk keluar sebentar bagi menemui saya. Pakcik dari keluarga miskin ini datang semata – mata untuk menyatakan sokongan kepada KEADILAN kerana keyakinannya KEADILAN akan mengubah kehidupan keluarganya yang miskin.
Sebagai komitmen beliau bersama perjuangan, pakcik tua yang uzur ini memberikan sumbangan RM 1.20 sebagai titipan buat anak – anak saya. Maka isu kemiskinan perlu menjadi agenda utama KEADILAN. Kita perlu mendukung agenda yang menjamin pertumbuhan lestari dan pengagihan yang adil seperti yang dicerakinkan dalam belanjawan Pakatan Rakyat yang bertemakan Ekonomi Rakyat, Negara Berkat. Antara langkah untuk membasmi kemiskinan tegar, KEADILAN akan menaikkan Pembayaran Kebajikan daripada RM 300 kepada RM 550 sebulan. Ikhtiyar ini akan membebaskan lebih 84,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan tegar.

19. KEADILAN mengiktiraf Hari Malaysia dan merintis penghayatan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kesemakmuran kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Justeru, KEADILAN mengulangi tekad untuk menjunjung Perjanjian Malaysia melalui Deklarasi Kuching. Iltizam ini diperkukuhkan lagi di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menjanjikan bayaran 20% royalti minyak, penubuhan syarikat minyak milik Kerajaan Negeri dan membina Lebuhraya Pan – Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.

20. Kesungguhan KEADILAN untuk membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak telah mencambahkan agen Reformasi dan perubahan di Negeri Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

Kita menyaksikan tokoh masyarakat KDM dan Bumiputera Islam bersama dengan perjuangan KEADILAN. Selamat berjuang Dato’ Seri Lajim Haji Ukin, Dato’ Seri Wilfred Bumburing, Senator Maijul Mahap dan Tan Sri Ibrahim Menudin.

21. KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara tuntas membicarakan soal perubahan dan reformasi. Hasil ketekunan kita bersama, gelombang kebangkitan rakyat tidak mampu disekat sehingga Perdana Menteri Najib terpaksa memperkenalkan program transformasi. Persoalannya siapakah yang layak dan boleh dipercayai untuk memimpin perubahan ?

22. Permulaan perjalanan perjuangan reformasi lebih satu dekad yang lalu menimbulkan banyak tanda tanya dan persepsi. Namun, saya yakin dengan visi Saudara Anwar Ibrahim. Meskipun beliau berhadapan dengan pelbagai bentuk mehnah dan cabaran, Saudara Anwar Ibrahim tekad melaksanakan harapan untuk rakyat Malaysia.

23. Saya mengenali Saudara Anwar Ibrahim hampir 30 tahun. Keperibadian, keyakinan dan akhlak beliau tidak pernah berubah, sama seperti hari pertama saya mengenali beliau. Beliau adalah insan berprinsip yang pertahan soal nilai dan bicara keperitan rakyat miskin.

24. Apabila bicara soal tradisi keilmuan, beliau ungkap peluang pendidikan yang berkualiti untuk setiap anak Malaysia. Bicara soal wanita, beliau tegas wanita perlu diberdayakan. Bicara isu pekerja, beliau mahu gaji minima dilaksanakan. Bila bicara soal ekonomi rakyat, bukan sahaja beliau tekankan soal pertumbuhan, tetapi juga soal pengagihan yang adil kepada semua kaum.

25. Hal yang sama dalam budaya KEADILAN. Kita dididik dengan nilai murni, maruah, integriti dan kejujuran. Ini lah yang hendak kita semai dalam masyarakat. Menurut Saudara Anwar, kejayaan tidak diukur dengan kemewahan, akan tetapi berdasarkan keupayaan untuk merobah kehidupan masyarakat.

26. Saudara Anwar Ibrahim adalah pejuang rakyat yang tuntas membawa obor reformasi. Wibawa kepimpinan beliau tidak dapat disanggah lagi.

Teman – teman seperjuanganku,

27. This is the man that we can trust his words. Ini lah insan yang boleh kita pegang kata – katanya. Ini lah insan yang berpegang kepada prinsip. Ini lah insan yang kita yakini untuk mengubah kehidupan rakyat Malaysia. Sekiranya kita mahu menjayakan gagasan besar yang diungkapkan tadi, ini lah sosoknya. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri rakyat Malaysia.

Teman – teman seperjuangan,

28. JPRP telah mengagihkan segala kelengkapan pilihan raya ke seluruh negara. Potensi SISMEP telah diperkenalkan. Logistik atau paraphernalia telahpun berada di semua cabang dan ranting. Ini membuktikan bahawa persiapan kita kali ini jauh lebih baik daripada PRU 12.

29. Kita dalam fasa terakhir rundingan pengagihan kerusi dengan rakan – rakan dalam Pakatan Rakyat dan juga rakan – rakan seperjuangan di Sabah dan Sarawak. Saya ingin memberi jaminan bahawa proses rundingan kerusi ini tidak akan meminggirkan dan mengorbankan kepentingan parti keramat ini.

30. Kita akan maju ke hadapan dengan segala upaya untuk melaksanakan perubahan dalam pilihan raya ini. Biarpun berhadapan dengan budaya samseng dan culture of fear, kita tidak akan berundur malah kita lebih nekad untuk menumbangkan pihak lawan.

31. Kita tidak bersendirian. NGOs seperti SUARAM dan mahasiswa yang berani kini menjadi sasaran pemerintah yang rapuh dan tergugat kerana kita bersama menjadi agen perubahan dan demokrasi negara.

32. Kita sudah punya dasar yang jelas, kita ada pemimpin yang wibawa dan boleh dipercayai, kita ada laskar teruji dengan latihan, sarat dengan pengalaman, lengkap dengan ilmu dan peralatan. Seluruh kekuatan kita sudah siap siaga. Hanya menunggu seruan untuk bertempur di medan perang.

33. Pada petang ini, wahai teman-teman seperjuanganku, selaku Pengarah Pilihan Raya, saya meniup semboyan perang. Ayuh ! Seluruh pejuang keadilan, kita ikrarkan kesediaan kita untuk bertempur di medan pilihan raya. Adat pejuang pantang undur sekali – kali. Ini tekad kita. Ini tekad anak Malaysia. Bersama KEADILAN dan semangat reformasi, akan kita jayakan ibu pertiwi.

34. Ayuh seluruh pejuang keadilan, kita bersama mengubah harapan. Kita kibarkan panji KEADILAN. Kibarkan panji ini sejagat raya. Demi rakyat semua.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Eksploitasi Terhadap Kemarahan Umat Islam

18 September 2012

KEADILAN mengutuk penerbitan filem Innocence of Muslims – Muhammad Movie yang dilakukan oleh Sam Bacile, seorang warga Amerika. Filem tersebut adalah cerminan keangkuhan dan kebiadapan musuh Islam yang secara tuntas menghina Nabi Muhammad S.A.W serta mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia. Jelas, filem ini gagal menyuburkan nilai – nilai sejagat yang menghormati kepelbagaian agama. Malah saya yakin filem ini berniat jahat untuk mengganggu keamanan dan mencetuskan perasaan Islamophobia di kalangan warga dunia. KEADILAN mendesak Amerika Syarikat supaya segera bertanggungjawab untuk mengutuk jenayah ini dan mengambil usaha proaktif untuk mewujudkan keamanan dunia dan mengikis persepsi yang buruk di kalangan umat Islam.

KEADILAN juga mencela pembunuhan yang dilakukan terhadap Christopher Stevans, Duta Besar Amerika Syarikat ke Libya beserta 3 orang pegawai kedutaan dalam rusuhan di Benghazi, Libya. Kami menyeru umat Islam supaya bertenang dan tidak bertindak melampaui batas kemanusiaan dengan melakukan keganasan melampau. Keganasan yang dilakukan hanya akan memburukkan keadaan dan membentuk persepsi buruk dan negatif terhadap umat Islam. Justeru KEADILAN mengajak umat Islam seluruh dunia untuk bertegas dalam mempertahankan kesucian Islam dan baginda Rasulullah S.A.W tetapi pada masa yang sama menghargai keamanan dan tidak menghukum individu lain yang tidak bersalah.

KEADILAN bertegas untuk mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi kemarahan umat Islam yang kian membara sehingga menghalalkan keganasan serta jenayah pembunuhan. KEADILAN juga mengingatkan supaya rejim diktator seluruh dunia supaya tidak sekali – kali mengeksploitasi kemarahan umat Islam dengan menyekat kebebasan rakyat khususnya kebebasan untuk mendapatkan maklumat. Kita yakin di atas kesedaran dan kematangan rakyat maka warga dunia memilih untuk menolak dan mengecam filem tersebut kerana bertentangan dengan nilai – nilai masyarakat. KEADILAN mendukung pemikiran Islam yang menjamin hak asasi rakyat. Kepimpinan yang menyalahkan kebebasan di atas penerbitan filem tersebut adalah kepimpinan yang anti demokrasi dan anti kebebasan rakyat serta mengeksploitasi kemarahan rakyat untuk menutup ruang demokrasi demi kepentingan politik.

Justeru, KEADILAN mengajak dan menyeru umat Islam seluruh dunia supaya melawan jenayah serta dakyah yang dibawa melalui filem tersebut dengan melaksanakan program – program pendidikan yang berteras kepada tuntutan agama dan nilai – nilai sejagat. Islam adalah agama yang tidak mempromosikan keganasan, malah Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan mengiktiraf kepelbagaian dengan konsep li – taraafu yang dianjurkan al Quran.

Salam keamanan

Mohamed Azmin Ali

Ucapan Hari Malaysia 2012

Hari ini kita perlu renung apakah makna Malaysia, sebagai sebuah negara dan sebagai satu bangsa. Dalam usia 49 tahun, apakah yang telah negara dan bangsa ini capai dan apakah yang perlu dibina untuk generasi akan datang?

16 September 1963, Malaysia terbentuk apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Persekutuan Tanah Melayu bersetuju mendirikan negara yang berdaulat. Pembentukan Malaysia memperkukuhkan cita-cita bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagah, makmur, sejahtera dan dihormati dunia.

Pembentukan Malaysia menjanjikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia berasaskan prinsip perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat dari penjajahan minda dan jiwa demi mengangkat harga diri rakyat Malaysia.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat komited untuk mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara. Semangat nasionalisme digembeling demi membenihkan rasa cinta kepada tanahair agar rakyat Malaysia gigih berusaha membangun negara ini dan boleh merasa bangga dan syukur sebagai rakyat Malaysia.

Malangnya semangat nasionalisme telah dicabuli oleh elit pemerintah semata – mata untuk menjamin kelangsungan kuasa politik perkauman sempit yang pastinya akan meruntuhkan tamadun sesebuah negara. Sentimen perkauman yang jumud serta konflik agama yang direkayasa tidak membawa faedah untuk rakyat. Malah ianya menghina gagasan Malaysia yang mendukung citra masyarakat yang rencam.

Saya menyeru rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak untuk bangkit menyambut gagasan baru yang tekad untuk meraikan kepelbagaian dan mengembalikan hak ekonomi dan kebebasan demi masa depan Malaysia yang gagah.

Kepelbagaian politik dan sosial harus menjadi jati diri masyarakat Malaysia untuk membangun negara bangsa dalam kerangka dunia moden dan masyarakat global. Sekali lagi saya menyeru, rakyat perlu bersatu untuk menolak rejim tua yang membudayakan rasuah, salahguna kuasa dan menindas rakyat miskin.

Bersempena Hari Malaysia tahun ini, marilah kita, rakyat Malaysia yang punyai maruah dan jiwa merdeka, bersama-sama memperkukuh azam dan memperbaharui tekad untuk menghayati semangat Perjanjian Malaysia 1963.

KEADILAN komited untuk bersama rakyat Sabah dan Sarawak dalam menjamin pengagihan ekonomi yang adil dan mempertahankan nilai – nilai demokrasi dan kebebasan. Inilah saatnya untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara dan bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Selamat Hari Malaysia, Koto Bian Tadau Malaysia.

Mohamed Azmin Ali

———————————————————————————————————————————————————————

HAPPY MALAYSIA DAY

Today we should reminisce the meaning of Malaysia, as a country and as a nation. It has been 49 years, what have this country and nation achieved and what is more to build for the next of generations.

On 16th September 1963, Malaysia is formed when Sabah, Sarawak and Singapore joined the federation of Tanah Melayu, agreed to found a sovereign country. The forming of Malaysia helps to justify the shared ambition, to fortify Malaysia as a strong, prosperous, wellness and respected by the world.

The forming of Malaysia, promised Sabah and Sarawak as an equal partners of the Federation of Malaysia, on the basis of constitutional principles to ensure a fair power distribution, equal economy, justice and free the people from mind and soul invasion for the sake of uplifting the dignity of Malaysian people.

KEADILAN and Pakatan Rakyat are commited to restore the autonomy for Sabah and Sarawak, in parallel with the Federal of Malaysia’s core and Federal Constitution. Nasionalism was introduced to indulge a loyalness and love towards the country, to create a push for the citizens of Malaysia for the betterment in the country and also creating the feeling of proud andappreciation as a Malaysian.

Unfortunately, the spirit of nasionalism is abused by governing elites, just to ensure their continuity of their control and to use narrow racism sentiment which will surely demolishes the civilization of a country. Feudal racism sentiment, inlcudes religious conflict which fabricated and propagated by them will not beneficial the people. But it is only a disgrace to the values that construct Malaysia.

I call upon all Malaysians, including those in Sabah and Sarawak to rise for a new vision which strive to accept variousity and return the economical rights, also freedom, for the bright and concrete future of Malaysia.

Politic variousity and social should be a true self for the citizens of Malaysia to build the nation and country in the core of modern world and global community.

I’m sounding this alert, once more. The people should unite to oust this old regime that enriches a tradition of bribe, power abuse and oppress the poor people.

Regarding Malaysia Day this year, let us, the Malaysian people who still have dignity and a free soul, together we strengthen our stress to renew our appreciation towards Malaysia Agreement 1963.

KEADILAN commited to be with the people of Sabah and Sarawak, in order to guarantee a fair economic distribution and protecting the values of democarcy and freedom. This is the moment, to make Malaysia as a free and sovereign country.

Happy Malaysia Day, Koto Bian Tadau Malaysia.

Mohamed Azmin Ali

Serangan terhadap bas ‘Jelajah Merdeka Rakyat’ tidak gugat jelajah PKR

Dari The Malaysian Insider

image
Bas Merdeka Rakyat

PETALING JAYA, 1 Sept — Walaupun bas “Jelajah Merdeka Rakyat” diserang dengan batu dan disimbah cat merah, PKR hari ini menegaskan akan terus melakukan siri jelajah tersebut seperti yang dirancang.
Timbalan presidennya, Azmin Ali menegaskan, tindakan serangan itu tidak akan membantutkan usaha PKR untuk menyampaikan mesej reformasi di seluruh negara.

“Jika tujuan serangan ini untuk menyekat kempen jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sedikit pun tidak menggugat nekad kami untuk turun menyampaikan mesej reformasi di seluruh pelosok negara.

“Beliau (Anwar) akan meneruskan kempen ke Kedah, Perak, dan Perlis hari ini hingga Ahad menggunakan bas yang sama selepas siasatan pihak polis terhadap bas itu selesai,” kata Azmin ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Bas berkenaan telah diserang di Pasar Siti Khadijah, apabila ia di letakkan di lokasi itu untuk program awal pagi ini iaitu program pertemuan ketua pembangkang itu dengan pengunjung pasar berkenaan sekitar jam 4.20 pagi di dan disedari oleh petugas KeadilanEventSpecialist yang tidur di dalam bas apabila dikejutkan dengan bunyi kuat.

Berdasarkan pemeriksaan, mereka mendapati cermin bas pecah di bahagian sisi hadapan pemandu akibat dilempar beberapa ketul bata simen dan kantung plastik berisi cat merah turut dilempar di bahagian pemandu bas berkenaan.

“Serangan yang dibuat memang mensasarkan bahagian pemandu. Saya berani menyimpulkan bahawa serangan ini dirancang agar bahagian pemandu rosak dan menghalang bas ini meneruskan perjalanan dan membantutkan program ini,” kata ahli parlimen Gombak ini lagi.

Sehubungan itu, PKR mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden ini, namun Azmin enggan membuat spekulasi pihak yang bertanggungjawab dalam insiden serangan tersebut.

Malah, Azmin juga menggesa rakyat agar menghukum parti politik yang menaungi budaya samseng seperti ini.

“Saya yakin, kali ini pun rakyat tidak mendapat sebarang maklum balas dari Datuk Seri Najib Razak dan siasatan polis tidak akan membuahkan tindakan keras terhadap kaki samseng yang terlibat.

“Ia seolah-olah satu rangsangan terus dari Najib kepada samseng lain untuk terus berlaku kasar terhadap mengancam keselamatan pimpinan utama PKR dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya lagi.

Azmin turut menjangkakan insiden keganasan dan serangan akan meningkat dengan pilihan raya umum ke-13 dijangka berlaku tidak lama lagi dan beliau turut menyeru penyokong PKR dan rakyat untuk menolak budaya samseng ini dengan menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Saya yakin serangan akan meningkat dan PKR akan bersama-sama rakyat menolak budaya samseng ini dengan menumpaskan Umno BN.”

Turut difahamkan, petugas PKR hanya membersihkan cat di cermin bas tersebut dan bas #jelajahmerdekarakyat itu akan meneruskan perjalanan dalam keadaan cermin yang retak memandangkan cermin berkenaan memerlukan tempoh seminggu untuk ditempah.

Bas berkenaan telah pun selesai menjalani siasatan pihak polis dan telah memulakan perjalanan, dan Anwar  dijangka akan bertemu petugas bas berkenaan di Grik, Perak.

Berkenaan permit penumpang bas terbabit, Azmin menjelaskan PKR telah pun memohon permit berkenaan sejak seminggu yang lalu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun pihaknya masih lagi belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab dan berwajib dapat memberikan permit secara adil kepada kami.

“Apa-apa pun kita akan teruskan menggunakan bas itu untuk program jelajah kami,” tambahnya.