AZMIN ALI

LATEST

Month: December 2012

Ucapan Tahun Baru 2013

Di ambang tahun baru 2013, kita harus merenung sejenak 2012 yang pastinya dilalui dengan kenangan manis dan pahit. Pelbagai peristiwa yang berlaku pasti akan menjadi penanda aras untuk berusaha melakukan yang lebih baik khususnya dalam kehidupan seharian.

Untuk membangun sebuah negara Madani, Malaysia hari ini berdepan dengan kualiti pendidikan yang lemah untuk memberdaya rakyat. Kos sara hidup terus meningkat kesan daripada peningkatan harga barang mentah. Pendapatan isi rumah juga masih rendah sedang negara berdepan dengan hutang negara yang kritikal.

Tahun baru 2013 adalah tahun yang amat mencabar bagi rakyat Malaysia. Cita – cita murni rakyat yang selama ini dipendam harus direalisasikan bagi membangunkan Malaysia yang gagah. Tahun 2013 adalah saatnya rakyat melakukan yang terbaik untuk negara yang tercinta ini. Seperti yang diungkap oleh Mantan Presiden Amerika Syarikat :

“Ask not what your country can do for you – ask what you can do for your country”

( John F. Kennedy )

Adalah menjadi harapan dan azam bagi tahun baru ini untuk memastikan peningkatan ekonomi negara, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda, serta meningkatkan pendapatan isi rumah bagi setiap rakyat. Kualiti pendidikan perlu dipertingkatkan dan diberikan secara percuma kepada rakyat. Harga barang keperluan perlu diturunkan selaras dengan dasar yang menguntungkan rakyat. Sistem kenegaraan yang rosak juga perlu direformasikan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Semoga segala impian dan cita – cita ini terlaksana dengan damai dan sentosa. Selamat tahun baru 2013 buat seluruh rakyat Malaysia.

Mohamed Azmin Ali
31 Disember 2012

Back To School

[nggallery id=63]

Sempena sesi persekolahan 2013 yang akan dibuka pada awal Januari 2013, Pusat Khidmat DUN Bukit Antarabangsa telah menganjurkan program Back To School bagi meraikan anak – anak di kawasan Bukit Antarabangsa.

Program yang melibatkan hampir 500 orang pelajar – pelajar ini telah dilangsungkan dengan setiap pelajar menerima sebuah beg sekolah sumbangan Kerajaan Negeri dan kupon pakaian seragam sekolah bernilai RM 100 sumbangan Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, YB Mohamed Azmin Ali.

Sumbangan ini telah diadakan di 6 buah tempat; Pangsapuri Permai Court, Dewan PKNS Kampung Melayu Ampang, Dewan Flat Dato’ Ahmad Razali, Dewan Komuniti Pekan Ampang, Dewan Flat Ampang Hilir, dan Surau Pangsapuri Berembang Indah.

Sumbangan kepada para pelajar tersebut telah disampaikan oleh YB Mohamed Azmin sendiri selaku Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa dan disertai juga oleh YB Zuraida Kamaruddin selaku Ahli Parlimen Ampang di Surau Berembang Indah.

YB Mohamed Azmin Ali menegaskan kepada para penerima sumbangan dan ibu bapa yang hadir bahawa kos pendidikan yang semakin meningkat sememangnya menjadi beban buat setiap keluarga. Maka menjadi tanggungjawab beliau selaku wakil rakyat dan Kerajaan Negeri untuk sama – sama membantu bagi meringankan beban keluarga supaya memastikan anak – anak dapat terus belajar dengan baik dan kondusif.

Kenyataan Media YB Mohamed Azmin Berhubung Kenyataan Zainuddin Maidin

Kenyataan Media | 12 Disember 2012

Hubungan diplomatik Malaysia – Indonesia yang melangkaui sempadan geografi. Persaudaraan antara dua negara berteraskan ikatan saudara serumpun yang akrab dari sudut budaya dan juga agama. Hubungan kedua negara ini adalah manifestasi kepada sikap saling hormat – menghormati dan kesedaran bahawa kita punya akar budaya yang mengikat antara satu sama lain di samping faktor ekonomi.

KEADILAN tidak terkejut dengan kenyataan Zainuddin Maidin yang dangkal dan bersifat fitnah keji terhadap YTH Bapak B.J. Habibie, Mantan Presiden Republik Indonesia dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti dalam rencana yang ditulis beliau dalam akhbar Utusan Malaysia, 10 Disember 2012 bertajuk ‘Persamaan B.J. Habibie dengan Anwar Ibrahim’.

Apatah lagi rencana tersebut datang daripada seorang yang sudah bergelumang dan dibesarkan dalam akhbar Utusan Malaysia; akhbar picisan milik UMNO yang tidak langsung menjana pemikiran rakyat secara intelek tetapi sentiasa menjadi alat untuk menghambur fitnah dan cerca. Adalah tidak salah untuk kita menyatakan bahawa Zainudin Maidin ini sedang menghidap Sklerosis Intelek yang kronik sebagaimana sebahagian besar pimpinan UMNO yang lainnya.

Malah sikap yang dinyatakan oleh beliau adalah budaya politik lazim UMNO yang hanya akan menyerang keperibadian individu dan menabur fitnah yang tiada batasannya. Rencana Zainuddin Maidin adalah amat memalukan lantaran beliau menggambarkan prasangka keji kepimpinan UMNO terhadap negara Indonesia.

KEADILAN mengecam keras kenyataan Zainuddin Maidin yang akan mempersulit hubungan dua hala Malaysia – Indonesia.

YTH Bapak B.J. Habibie adalah seorang reformis dan intelektual bangsa yang berjaya mengubah hala tuju pentadbiran negara ke arah sebuah sistem yang demokratik dengan memerdekakan rakyat dari belenggu pemikiran dan hegemoni yang sempit. Sebagai seorang negarawan, beliau juga seorang yang peduli rakyat dan memiliki semangat setiakawan yang luhur. Saya sendiri menyaksikan secara dekat betapa Bapak B.J. Habibie dan isterinya, Almarhumah Ibu Ainun begitu prihatin semasa Dato’ Seri Anwar semasa menjalani rawatan di Munich, Jerman pada tahun 2004. Hal ini menjelaskan betapa akrab hubungan keluarga kedua – dua tokoh yang turut memperkukuh hubungan dua hala Malaysia – Indonesia.

Justeru KEADILAN mendesak Zainuddin Maidin memohon maaf secara terbuka kepada kedua tokoh ini dengan segera. Kepimpinan UMNO juga perlu tegas menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf di atas sikap keterlaluan dan keji yang digambarkan melalui kenyataan tersebut

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden