AZMIN ALI

Year: 2012

Jadual Jelajah Timbalan Presiden ( 9 November 2012 )

JUMAAT, 9 NOVEMBER 2012

Masa

Program

Lokasi

Parlimen / DUN

5.00 petang

Majlis Hi – Tea Bersama Rakyat

Jln Kesang Gate, Muar – Melaka, Ledang.

Parlimen Ledang

7.00 malam

Solat Maghrib

Surau Pt. Khadi, Jalan Temenggong Ahmad, Muar.

Parlimen Muar

9.00 malam

Ceramah Perdana I

Markas PAS Sri Jong, Jalan Abd Rahman, Muar.

Parlimen Muar

10.30 malam

Ceramah Perdana II

Kg Parit Lapis

(Taman Nira), Batu Pahat

Parlimen Batu Pahat

 

Jadual Jelajah Timbalan Presiden ( 3 – 4 November 2012 )

Sabtu, 3 November 2012

Masa

Program

Lokasi

Parlimen / DUN

2.30 petang

Program ‘Sentuhan Panglima’ Bersama Jentera & Rakyat

Taman Sin Hoe, Bukit Baru, Melaka.

Parlimen Bukit Katil

3.30 petang

Program Hi Tea Bersama Rakyat

DUN Merlimau /

Parlimen Jasin

5.00 petang

Program bersama Generasi Muda Melaka (Pertandingan Futsal)

Sports Arena Krubong, Krubong, Melaka.

Parlimen Tangga Batu

7.00 malam

Solat Maghrib & Tazkirah Bersama Dato’ Seri Anwar

Surau Al Mustafa

(Surau Hitam Ampangan)

DUN Ampangan

8.30 malam

Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan

Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan.

Parlimen Seremban

Ahad, 4 November 2012

Masa

Program

Lokasi

Parlimen / DUN

9.00 pagi

Perasmian Futsal Piala Rakyat anjuran AMK Pusat

Sport Planet, Ampang

Parlimen Ampang

2.00 petang

Majlis Perkahwinan di Kediaman

Puan Aisah Lamsah

Kg. Linsum, Rantau

DUN Rantau

3.00 petang

Pelancaran Agenda Wanita Peringkat Negeri Sembilan

Kg. Gachong, Kuala Pilah

DUN Pilah

4.30 petang

Ramah Mesra Bersama Warga Gemas / Majlis Hi Tea

Pekan Gemas, Tampin

DUN Gemas

7.00 malam

Solat Maghrib Bersama Qariah Palong 6, Felda Palong.

Masjid Qariah Palong 6, Jempol

DUN Palong

7.45 malam

Jamuan Rakyat & Ceramah Perdana bersama Peneroka Felda Palong

Palong 6, Jempol

DUN Palong

9.30 malam

Ceramah Umum

Senaling, Kuala Pilah

DUN Pilah / Parlimen Kuala Pilah

(VIDEO) MP PKR Gombak Bahas Belanjawan 2013

Video streaming by Ustream

Pendahuluan 

Tuan Yang Di Pertua

1.      Sementara beberapa pengumuman dibuat dalam Bajet 2013, Menteri Kewangan gagal untuk mengemukakan dasar – dasar fiskal yang dapat memperbetulkan struktur ekonomi negara. Kebimbangan ini bertambah parah apabila beban hutang negara yang semakin membengkak dan tidak mempunyai multiplier effect ( kesan berganda ) untuk merancakkan ekonomi negara.

2.      Masyarakat perniagaan dan rakyat ingin mengetahui apakah langkah – langkah fiskal yang diambil untuk mengurangkan hutang negara dengan lebih efektif termasuk usaha menjamin pertumbuhan ekonomi yang lestari dan menjamin pengagihan kek ekonomi secara adil dan saksama.

3.      Dalam usaha mengawasi ekonomi yang malap, kita tidak boleh berdasarkan angka, unjuran dan statistik tetapi isu tatakelola yang baik, akauntabiliti dan ketelusan merupakan paksi penting dalam belanjawan negara. Ini juga gagal disentuh oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2013.

 

Perencanaan Ekonomi Berdasar Latar Ekonomi Global

4.      Bajet 2013 gagal mengungkap unjuran serta situasi ekonomi global. Kegagalan ini membuatkan unjuran tersasar kerana ekonomi Malaysia adalah ekonomi terbuka yang mempunyai kesan langsung terhadap ekonomi global.

5.      Kegagalan untuk mengungkap situasi ekonomi global ini pastinya akan menjejaskan perencanaan ekonomi domestik kerana turut sama berkait dengan keupayaan ekonomi domestik untuk menjana pertumbuhan yang lestari demi kepentingan masa depan.

6.      Apakah Menteri Kewangan bimbang dengan berkongsi unjuran ekonomi dunia maka akan terdedah bahawa ekonomi Malaysia akan tewas dalam persaingan ekonomi dengan negara maju.

7.      Global Competitiveness Report 2012 – 2013 menunjukkan kegagalan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Laporan yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) yang bersidang di Geneva ini mengukuhkan lagi hujah bahawa Kerajaan gagal menjana daya saing ekonomi negara melalui pelaburan – pelaburan dalam sektor strategik demi masa depan.

8.      Malahan menurut Laporan Market Watch, Filipina dan Indonesia dilihat muncul sebagai harimau ekonomi Asia Tenggara yang baru. Hutang Kerajaan Persekutuan Indonesia sekitar 25% dari KDNK dan Filipina pula sekitar 41%. Manakala hutang negara sudah hampir mencecah 55 % daripada nilai KDNK.

9.      Menteri Kewangan menyentuh isu KDNK dengan menyatakan pertumbuhan ekonomi negara berkembangan dengan lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus dan buat julung kalinya melepasi paras     RM 1 trilion. Namun, Kerajaan gagal untuk menerangkan bahawa kedudukan KDNK sesebuah negara bergantung kuat kepada prestasi ekonomi negeri yang menyumbang ke arah ekonomi negara yang lebih baik.

10.    Fakta ini yang tidak boleh disanggah adalah Negeri Selangor merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 23 % daripada KDNK negara hasil daripada amalan tatakelola pentadbiran yang baik dan telus.

11.    Malangnya, Kerajaan Negeri Selangor hanya menerima sejumlah RM 364 juta untuk tempoh daripada Januari 2012 hingga September 2012.

12.    Belanjawan Negeri Selangor hanya berjumlah RM 1.5 bilion. Jika benar Kerajaan Pusat menyerahkan sejumlah RM 67 bilion, di mana selebihnya disebabkan audit negara yang dijalankan ke atas Belanjawan Negeri hanya bernilai RM 1.5 bilion. Persoalannya, siapa yang menjalankan audit ke atas RM 67 bilion tersebut ? Laporan Ketua Audit Negara mampu menjawab persoalan ini. Malangnya, pada tahun ini sekali lagi Laporan Ketua Audit Negara disorokkan.

13.    Apa dosa Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Selangor ? Mengapa Kerajaan Pusat mengkhianati semangat federalisme dengan menyembunyikan maklumat terperinci projek – projek dari pengetahuan Kerajaan Negeri ? Kalau benar jumlah yang sebegitu besar disalurkan demi kepentingan rakyat Negeri Selangor, mengapa tidak Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyatnya membuat keputusan bagaimana dana tersebut  dapat dimanfaatkan.

14.    Isu perumahan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri hanya menyediakan tanah untuk tujuan pembangunan.

15.    Pasca 2008, tanggungjawab ini telah dikhianati oleh Kerajaan Persekutuan atas hukuman yang diberikan kepada negeri – negeri di bawah Pakatan Rakyat dengan tidak menyediakan peruntukan yang jelas bagi tujuan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. Berikutan hal tersebut, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan bagi memenuhi pasaran dan keperluan semasa. Walau bagaimanapun, jumlah ini masih tidak mencukupi memandangkan permintaan yang tinggi untuk rumah kos rendah dan mampu milik.

16.    Untuk tujuan pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik bagi tahun 2012 – 2021, Kerajaan Negeri menganggarkan peruntukan yang besar demi menanggung subsidi sejumlah RM 1.1 bilion. Jumlah subsidi yang begitu besar ini adalah untuk membina 12,242 unit rumah. Hal ini adalah disebabkan kos pembinaan yang tinggi dan harga jualan yang rendah bagi memastikan harga jualan memenuhi kemampuan kumpulan sasar.

17.    Misalnya bagi pembinaan 1422 unit rumah mampu milik di Bukit Botak, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM 80 juta untuk memastikan rumah tersebut dijual pada harga RM 99,000. Begitu juga dengan projek pembinaan 124 unit pangsapuri di Seksyen 3 Bangi, jumlah subsidi yang ditanggung Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM 12 juta untuk menanggung kos pembinaan yang bernilai RM 204,000 seunit. Ini adalah untuk memastikan pangsapuri tersebut dapat dijual pada harga RM 60,000 hingga RM 99,000.

18.    Komitmen Pakatan Rakyat untuk merealisasikan harapan rakyat bagi memiliki sebuah rumah mampu milik ini dibuktikan dengan peruntukan sejumlah RM 5 bilion seperti yang disarankan oleh Belanjawan Pakatan Rakyat 2013. Peruntukan ini adalah untuk mencapai sasaran pembinaan 100,000 unit rumah mampu milik yang akan diamanahkan kepada Lembaga Perumahan Negara. Berbanding peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2013 yang hanya berjumlah RM 1.9 bilion yang diamanahkan kepada Perumahan Rakyat 1Malaysia Corporation (PR1MA) sebuah badan swasta di mana keuntungan adalah matlamat utama mereka.

 

1 Malaysia Development Berhad (1MDB)

Tuan Yang Di Pertua

19.    1MDB diberikan peranan untuk menguruskan aset komersil milik Kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik.

20.    Keputusan 1MDB untuk membeli penjana kuasa bebas (IPP) milik Mastika Lagenda Sdn Bhd yang memiliki 75 % saham Genting Sanyen dengan harga RM2.55 bilion; harga premium dengan nilai 6 kali ganda lebih tinggi daripada nisbah harga – buku purata saham penjana kuasa lain di rantau ini. Urusniaga ini telah menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijawab Kerajaan.

21.    1MDB juga membeli Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd dengan kos pembelian saham bernilai RM8.5 bilion sedang kos bagi IPP tesebut adalah bernilai RM 8.9 bilion.

22.    1MDB sebagai sebuah syarikat pelaburan sudah tentu mahu melihat pulangan yang baik untuk Kerajaan. Persoalannya, mengapa 1MDB melabur dalam syarikat yang kontraknya sudah hampir tamat dengan nilai kontrak yang tinggi dan di luar amalan tatakelola yang baik.

23.    1MDB telah mengambil alih syarikat Mastika Lagenda dan Tanjung. Mastika Lagenda memiliki loji janakuasa generasi pertama yang mempunyai kapasiti 700 MW manakala Tanjung Energy memiliki loji janakuasa generasi pertama yang mengeluarkan 440 MW dan juga loji janakuasa generasi kedua yang mengeluarkan 700 MW.

24.    Keberkesanan loji janakuasa generasi pertama tidaklah sebaik generasi kedua. Turbin gas di kedua – dua IPP ini telah beroperasi lebih kurang 15 tahun. Persoalannya mengapa 1MDB melabur dalam IPP yang sudah kurang keberkesanannya dan sekadar mana kemampuan turbin gas yang sudah beroperasi lebih 15 tahun ?

25.    Difahamkan 1MDB akan dilanjutkan tempoh operasi selama 10 tahun lagi. Maka nilai yang tinggi atau nilai premium yang dibayar oleh 1MDB kepada Mastika Lagenda dan Tanjung Energy itu berdasarkan nilai semasa ke atas kontrak yang hampir luput atau mengambil kira nilai kontrak baru yang disambung selama 10 tahun lagi ?

26.    Bagaimana 1MDB boleh membayar premium kepada Mastika Lagenda dan Tanjung Energy dengan andaian untuk mendapat lanjutan kontrak selama 10 tahun lagi sedangkan Kerajaan belum lagi membuat keputusan penyambungan.

27.    Sekiranya Kerajaan berhasrat untuk memberi layanan istimewa kepada 1MDB dengan menyambung kontrak selama 10 tahun lagi, ianya bermakna kos tambahan perlu dibayar oleh TNB. Apakah TNB sudah diberikan peluang untuk berbincang berhubung perkara ini ?

28.    1MDB mendapat perlindungan daripada Kerajaan untuk memaksa TNB membayar kos yang tinggi hasil penyambungan kontrak selama 10 tahun lagi. Ini akan membebankan pengguna kerana kos tersebut pasti akan dipindahkan kepada pengguna. Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa TNB mempunyai keupayaan untuk menerima lanjutan kontrak tanpa memberi kesan kepada tariff.

29.    Persoalan – persoalan ini akan mengundang persoalan yang lebih besar iaitu sama ada pengguna akan terus dibebankan dengan kadar tariff baru yang lebih tinggi atau yang akan diteliti semula oleh Kerajaan.

30.    Sekiranya Kerajaan mempunyai hasrat untuk mengkaji semula kadar tariff atau Purchasing Power Agreement (PPA), ini bermakna ianya adalah untuk memenuhi desakan rakyat yang terkesan dengan kadar tariff yang tinggi dan mendesak supaya supaya kadar ini diturunkan. Sekiranya Kerajaan berhasrat untuk mengkaji dan berunding, “enter into negotiation” bermakna mengurangkan harga daripada harga sekarang, maka mengapa 1MDB membayar premium dan nilai yang terlalu tinggi kepada Mastika Lagenda dan Tanjung Energy.

31.    Kerajaan juga harus meyakinkan pasaran bahawa tanpa penyambungan kontrak akan menyebabkan kekurangan bekalan. Kerajaan perlu mempamerkan hujah – hujah yang dapat menyokong alasan tersebut. Saya ingin mendapatkan penjelasan tentang unjuran kepada permintaan dan pembekalan. Siapakah sebenarnya badan yang bertanggungjawab untuk menyediakan unjuran ini sama ada Suruhanjaya Tenaga atau Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi atau TNB ?

32.    Menurut pandangan saya, sekiranya IPP masih ingin meneruskan operasi, Kerajaan dan TNB boleh membuat perjanjian ‘willing buyer and willing seller’ tanpa perlu memberikan penyambungan kontrak. Ini akan memberi ruang persaingan harga untuk membenarkan desakan persaingan untuk meneruskan operasi. Kerajaan sewajarnya menamatkan kontrak tersebut dan tidak menyambung kontrak – kontrak yang bernilai tinggi.

33.    Saya ingin bertanya, apakah langkah – langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengkaji semula kadar tariff / PPA ? Adakah Kerajaan bercadang untuk mengadakan semakan tariff ini berdasarkan ‘kos tetap’ dan ‘kos berubah’ supaya ianya dapat diselaras dan diimbangkan dengan konsep ‘semakin banyak penggunaan, maka semakin tinggi kadar tariff’. Ini bertujuan untuk mengelakkan pembaziran kerana tenaga merupakan sumber boleh susut yang perlu kita jaga.

34.    Sebelum saya beralih kepada tema lain, saya ingin membangkitkan satu lagi persoalan berkenaan IPP milik YTL. ada dua bentuk terma kontrak yang dikenakan ke atas IPP. Pertama adalah berdasarkan kapasiti dan keduanya berdasarkan ‘take and pay contract’. Mengapa daripada 5 IPP iaitu YTL, Malakoff, PD Power, Mastika Lagenda dan Tanjung Energy, hanya YTL yang diberikan pilihan istimewa untuk “take and pay contract’ ? Ini bermakna 75 % daripada tenaga yang dikeluarkan oleh YTL wajib dibeli atau ditanggung oleh TNB. Apakah alasan Kerajaan berhubung perkara ini dan apakah Kerajaan akan menyemak semula perkara ini ?

 

Merealisasikan Harapan Rakyat

Tuan Yang Di Pertua

35.    Keputusan Kerajaan untuk memberikan pengecualian 10 % cukai pendapatan kepada syarikat – syarikat berstatus Tun Razak Exchange (TRX), pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee serta pengecualian cukai bagi pemaju hartanah adalah suatu keputusan yang tidak rasional tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. Keputusan ini akan menyebabkan Kerajaan hilang kira – kira RM 1 bilion pendapatan negara.

36.    Insentif yang diberikan ini juga hanya bersifat menjaga kepentingan sebilangan kecil golongan maha kaya. Malah, ia juga akan memberi kesan langsung kepada pembangunan hartanah di Kuala Lumpur.

Tuan Yang Di Pertua

37.    Laporan Global Gender Gaps Index 2011 yang dikemukakan oleh World Economic Forum menunjukkan negara Malaysia berada ditangga ke 97 daripada 135 negara. Sebagai Menteri Wanita, Menteri Kewangan gagal memberdayakan wanita dalam negara.

38.    Laporan yang dibuat ini berdasarkan 3 kriteria asas iaitu penglibatan dan peluang wanita dalam soal ekonomi, kesihatan serta partisipasi dalam urusan pembuatan keputusan. Berdasarkan kriteria representasi wanita dalam Kerajaan pula, Malaysia berada di tangga ke 115 dibelakang Sri Lanka (7), Bangladesh (11), Filipina (16), India (19), Thailand (60) dan Indonesia (90).

39.    Ini membuktikan wanita perlu diberikan pengiktirafan sebagai agen perubahan dan pemangkin ekonomi negara. Tahniah kepada Wanita Pakatan Rakyat yang mencetus suatu gagasan baru dalam usaha mengangkat martabat wanita melalui program yang terancang dalam Agenda Wanita Malaysia. Saranan yang disambut baik antaranya Caruman Wanita Nasional. Untuk melaksanakan agenda pemberdayaan wanita melalui jaringan keselamatan sosial ini, Pakatan Rakyat memperuntukkan sejumlah RM 3 bilion. Peruntukan jelas membuktikan bahawa Pakatan Rakyat benar – benar komited untuk memberdaya golongan wanita berbanding Kerajaan yang hanya memperuntukkan sejumlah RM 50 juta dalam Bajet 2013.

Tuan Yang Di Pertua

40.    Pakatan Rakyat mengiktiraf Hari Malaysia dan merintis penghayatan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kesemakmuran kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Justeru, Pakatan Rakyat mengulangi tekad untuk menjunjung Perjanjian Malaysia melalui Deklarasi Kuching. Iltizam ini diperkukuhkan lagi di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menjanjikan bayaran 20% royalti minyak, penubuhan syarikat minyak milik Kerajaan Negeri dan membina Lebuhraya Pan – Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.

Tuan Yang Di Pertua

41.    Belanjawan yang baik seharusnya menekankan perancangan ekonomi yang holistik dengan memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkekalan dalam jangka masa panjang serta menjamin peningkatan pendapatan rakyat. Apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil, usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan jurang kaya – miskin rakyat perlu menjadi keutamaan kepada Kerajaan.

42.    Usaha untuk membasmi kemiskinan tegar sememangnya menjadi tekad Pakatan Rakyat demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Oleh kerana itu, dalam Belanjawan Pakatan Rakyat baru – baru ini dinyatakan komitmen untuk meningkatkan jumlah Pembayaran Kebajikan daripada RM 300 kepada RM 550 sebulan. Ikhtiyar ini akan membebaskan lebih 84,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan tegar.

 

Penutup

Tuan Yang Di Pertua

43.    Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang bertemakan Ekonomi Rakyat Negara Berkat adalah tekad politik untuk mengembalikan kebijakan ekonomi bagi memacu pertumbuhan yang lestari dan pengagihan kekayaan yang saksama.

44.    Insha Allah, kita yakin dengan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13, agenda reformasi ekonomi Pakatan Rakyat akan mengembalikan Malaysia sebagai kuasa ekonomi yang mampu bersaing di peringkat global dengan tertubuhnya Kerajaan Baru Pakatan Rakyat.

Lagu Kempen Pilihanraya ke 13 – Panji Keadilan

(Verse 1)
Bersama mengubah harapan
Ayuh menuju kejayaan
Sekuntum bunga berguguran
Tumbuh sejuta pahlawan

(Verse 2)
Bersama mengubah harapan
Kibarkan panji Keadilan
Kibarkan sejagat raya
Demi rakyat semua

(Chorus)
Pantang undur sekali – kali
Tekad anak Malaysia
Dalam dadaku…ada namamu

Pantang undur sekali – kali
Tekad anak Malaysia
Keadilan
Reformasi
Menjayakan ibu pertiwi

Verse 3(2)
Bersama mengubah harapan
Kibarkan panji Keadilan
Kibarkan sejagat raya
Demi rakyat semua

Bridge (Chorus 2)
Pantang undur sekali – kali
Tekad anak Malaysia
Keadilan
Reformasi
Menjayakan ibu pertiwi

Verse 4 (2)
Bersama mengubah harapan
Kibarkan panji Keadilan
Kibarkan sejagat raya
Demi rakyat semua
Demi rakyat semua
Demi rakyat semua

Lagu dan Lirik oleh Hasmi Hashim

Ucapan Timbalan Presiden Rapat Pimpinan Kebangsaan 2012 Parti Keadilan Rakyat

1. Sepanjang lebih satu dekad kita bersama dalam perjuangan untuk melakukan perubahan, ramai antara kita punya pengalaman tersendiri; pengalaman manis dan getir. Dalam usia perjuangan yang muda, anggota parti telah diasak dan diuji. Cabaran yang bertali arus telah menjadikan anggota parti matang. KEADILAN muncul sebagai sebuah parti yang terbilang dalam peta politik di sejagat raya.

2.Perjuangan yang berteraskan reformasi adalah untuk membina Malaysia yang gagah, makmur dan sejahtera.

Prinsip keadilan yang mendasari perjuangan KEADILAN bukan sahaja bersifat perjuangan politik tetapi satu gerakan massa. Ianya juga bertepatan dengan tuntutan Islam. Apabila Rasulullah S.A.W. didatangi oleh segerombolan kabilah – kabilah Arab dan ditanya apa risalah dan misi Baginda ? Lantas Rasulullah mengungkapkan perintah Allah;


Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.

Surah An-Nahl, Ayat 90

Perintah ini jelas menunjukkan bahawa keadilan adalah nilai terpenting di dalam Islam. Malahan, semua rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. adalah untuk menegakkan keadilan.

3. Maka kita perlu yakin perjuangan ini berada dilandasan yang menepati tuntutan agama dan juga tuntutan massa. Apa yang menggarap seluruh kekuatan dan menyatupadukan kita semenjak 1998 ? Kerana berlakunya ketidakadilan dan kezaliman. Lantas rakyat bangkit menuntut keadilan dan menjadi moral force kepada perjuangan yang menjadikan keadilan sebagai ideologi politik baru. Alexis de Tocqueville menyatakan : “Hanya ada satu undang – undang sejagat yang disepakati oleh sebilangan besar manusia. Undang – undang itu adalah keadilan”.

4. Malah keadilan perlu dipromosikan sebagai norma baru dalam politik global kerana ia menjawab segala keterbatasan ideologi lampau. Justeru, KEADILAN layak bersama – sama menerajui gerakan keadilan antarabangsa bersama parti politik lain di dunia yang meletakkan prinsip keadilan sebagai asas ideologi mereka.

5. Cabaran hari ini bukan sekadar isu – isu furu’ tetapi prinsip keadilan sosial, distributive justice dan masyarakat madani. Keyakinan ini diterjemah dalam bentuk penggubalan dasar. Belanjawan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh KEADILAN jelas menolak dasar yang berasaskan kaum tetapi berpegang kepada keperluan.

Program ekonomi untuk golongan kelas menengah dan rakyat miskin menjadi tumpuan kita. Sarjana Amartya Sen juga menyentuh prinsip yang sama dalam bukunya ‘The Idea of Justice’. Maka pilihan dalam PRU 13 yang akan datang ialah tentang adil atau ketidakadilan.

6. KEADILAN pernah mengalami zaman kegelapan pada tahun 2004 apabila mampu mempertahankan hanya satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Tatkala itu ada sejumlah kecil pimpinan yang mulai memperlahankan langkah. Tidak kurang juga mereka yang terus memisahkan diri daripada parti.

7. Namun, saya bangga kerana saudara – saudari yang hadir di dewan ini adalah pejuang yang setia dan tetap bersama perjuangan ini. Perubahan itu memang sukar. Tetapi saya yakin, dengan kesabaran, kebijaksanaan dan kesungguhan, kita pasti akan tiba di Putrajaya.

8. Renungilah pesanan Syeikh Dr. Yusuf al Qardhawi yang disampaikan pada 11 Januari 2011, hari Hosni Mubarak melepaskan jawatan. Beliau menyebut : “Tidak masuk akal bahawa kebatilan boleh mengatasi kebenaran, tidak masuk akal si taghut boleh mengatasi rakyat.”

9. Pasca 2004, kita bangkit dengan semangat baru, keyakinan baru, perpaduan dan muafakat yang akhirnya membawa berkat.

Wahai anakanda dengarlah wasiat
Duduklah engkau dalam muafakat
Supaya ringan beban yang berat
Sebarang kerja membawa berkat

Wahai anakanda dengarlah amanat
Jangan sesekali tinggalkan muafakat
Elok berunding sebelum berbuat
Supaya kerjamu jadi selamat

10. Alhamdulillah, kita menyaksikan gabungan upaya pejuang parti dan dokongan rakyat seluruhnya telah mencetuskan satu tsunami yang mengubah lanskap politik negara. Gabungan itu memiliki satu sinergi, dinamika tenaga cergas dan minda yang segar untuk menggerakkan massa ke arah reformasi.

11. Clamour for change bukan hanya terbatas di kalangan anggota KEADILAN. Ianya juga menjadi tuntutan rakyat kerana mereka mahukan sesuatu yang terbaik untuk anak – anak mereka dan generasi akan datang. Seperti yang diungkapkan oleh Sasterawan A. Samad Said beberapa hari yang lalu ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah sebagai Sasterawan Tamu Selangor, beliau menegaskan: “Dalam keadaan sekarang, saya rasa berdosa jika tidak bersuara”.

12. Yakinlah kemahuan rakyat Malaysia untuk melaksanakan perubahan tidak pernah surut. Sampaikan pesan kepada rakyat bahawa kita boleh melaksanakan Malaysia yang gagah. Together we could make a difference.

13. Parti keramat ini muncul sebagai parti terbesar dan sekaligus menyanggah andaian bahawa KEADILAN adalah the weakest link. Lebih bermakna apabila PAS dan DAP bermuafakat untuk bersama KEADILAN membentuk Pakatan Rakyat. Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada muafakat ini yang memberi ruang kepada kewujudan sebuah negara demokratik dengan sistem dua parti.

14. Sepanjang perjuangan ini, kita berkesempatan untuk menjelajah ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.

Memandu dan menaiki bot berjam – jam ke Ulu Krian di Sarawak, Kampung Taginambur di Kota Belud, Kuala Balah di Jeli, Kampung Tong Pelu di Pedu semata – mata untuk bertemu dengan rakyat dan membawa mesej perubahan.

15. Anak muda di Sabah, Sarawak, Kelantan dan seluruh pelusuk negara; yang cerdik dan punyai potensi; terhalang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana dihambat dengan kemiskinan dan kos pengajian yang tinggi. Anak – anak peneroka dan nelayan terpaksa dibebankan dengan hutang PTPTN semata – mata untuk menimba ilmu. Justeru itu, kita mesti membawa kemenangan untuk KEADILAN bagi merealisasikan harapan rakyat dengan memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan percuma.

16. Peneroka FELDA di Keratong dan Semencu gigih mengusahakan ladang sawitnya. Pahit derita mereka untuk mendapatkan hasil tani demi menanggung kos sara hidup ditempelak dengan dasar yang menguntungkan syarikat dan kroni. Lantaran itu, generasi kedua tidak terjamin masa depannya sementara peneroka asal berputih mata melihat saham FGV terus merudum. Maka sekali lagi menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengibarkan panji KEADILAN bagi merubah kehidupan warga felda dengan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang – ladang untuk generasi kedua.

17. Golongan pengusaha dan peniaga wanita di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu adalah cerminan wanita gigih dan punyai kemahiran keusahawanan. Ini membuktikan wanita perlu diberikan pengiktirafan sebagai agen perubahan dan pemangkin ekonomi negara. Tahniah kepada Wanita KEADILAN yang mencetus suatu gagasan baru dalam usaha mengangkat martabat wanita melalui program yang terancang dalam Agenda Wanita Malaysia. Saranan yang disambut baik antaranya Caruman Wanita Nasional.

18. 10 tahun lalu, ketika saya berceramah di Negeri Perlis, saya didatangi oleh seorang tua yang dipapah oleh anaknya. Orang tua ini sedang dirawat di dalam hospital dan meminta kebenaran doktor untuk keluar sebentar bagi menemui saya. Pakcik dari keluarga miskin ini datang semata – mata untuk menyatakan sokongan kepada KEADILAN kerana keyakinannya KEADILAN akan mengubah kehidupan keluarganya yang miskin.
Sebagai komitmen beliau bersama perjuangan, pakcik tua yang uzur ini memberikan sumbangan RM 1.20 sebagai titipan buat anak – anak saya. Maka isu kemiskinan perlu menjadi agenda utama KEADILAN. Kita perlu mendukung agenda yang menjamin pertumbuhan lestari dan pengagihan yang adil seperti yang dicerakinkan dalam belanjawan Pakatan Rakyat yang bertemakan Ekonomi Rakyat, Negara Berkat. Antara langkah untuk membasmi kemiskinan tegar, KEADILAN akan menaikkan Pembayaran Kebajikan daripada RM 300 kepada RM 550 sebulan. Ikhtiyar ini akan membebaskan lebih 84,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan tegar.

19. KEADILAN mengiktiraf Hari Malaysia dan merintis penghayatan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kesemakmuran kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Justeru, KEADILAN mengulangi tekad untuk menjunjung Perjanjian Malaysia melalui Deklarasi Kuching. Iltizam ini diperkukuhkan lagi di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menjanjikan bayaran 20% royalti minyak, penubuhan syarikat minyak milik Kerajaan Negeri dan membina Lebuhraya Pan – Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.

20. Kesungguhan KEADILAN untuk membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak telah mencambahkan agen Reformasi dan perubahan di Negeri Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

Kita menyaksikan tokoh masyarakat KDM dan Bumiputera Islam bersama dengan perjuangan KEADILAN. Selamat berjuang Dato’ Seri Lajim Haji Ukin, Dato’ Seri Wilfred Bumburing, Senator Maijul Mahap dan Tan Sri Ibrahim Menudin.

21. KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara tuntas membicarakan soal perubahan dan reformasi. Hasil ketekunan kita bersama, gelombang kebangkitan rakyat tidak mampu disekat sehingga Perdana Menteri Najib terpaksa memperkenalkan program transformasi. Persoalannya siapakah yang layak dan boleh dipercayai untuk memimpin perubahan ?

22. Permulaan perjalanan perjuangan reformasi lebih satu dekad yang lalu menimbulkan banyak tanda tanya dan persepsi. Namun, saya yakin dengan visi Saudara Anwar Ibrahim. Meskipun beliau berhadapan dengan pelbagai bentuk mehnah dan cabaran, Saudara Anwar Ibrahim tekad melaksanakan harapan untuk rakyat Malaysia.

23. Saya mengenali Saudara Anwar Ibrahim hampir 30 tahun. Keperibadian, keyakinan dan akhlak beliau tidak pernah berubah, sama seperti hari pertama saya mengenali beliau. Beliau adalah insan berprinsip yang pertahan soal nilai dan bicara keperitan rakyat miskin.

24. Apabila bicara soal tradisi keilmuan, beliau ungkap peluang pendidikan yang berkualiti untuk setiap anak Malaysia. Bicara soal wanita, beliau tegas wanita perlu diberdayakan. Bicara isu pekerja, beliau mahu gaji minima dilaksanakan. Bila bicara soal ekonomi rakyat, bukan sahaja beliau tekankan soal pertumbuhan, tetapi juga soal pengagihan yang adil kepada semua kaum.

25. Hal yang sama dalam budaya KEADILAN. Kita dididik dengan nilai murni, maruah, integriti dan kejujuran. Ini lah yang hendak kita semai dalam masyarakat. Menurut Saudara Anwar, kejayaan tidak diukur dengan kemewahan, akan tetapi berdasarkan keupayaan untuk merobah kehidupan masyarakat.

26. Saudara Anwar Ibrahim adalah pejuang rakyat yang tuntas membawa obor reformasi. Wibawa kepimpinan beliau tidak dapat disanggah lagi.

Teman – teman seperjuanganku,

27. This is the man that we can trust his words. Ini lah insan yang boleh kita pegang kata – katanya. Ini lah insan yang berpegang kepada prinsip. Ini lah insan yang kita yakini untuk mengubah kehidupan rakyat Malaysia. Sekiranya kita mahu menjayakan gagasan besar yang diungkapkan tadi, ini lah sosoknya. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri rakyat Malaysia.

Teman – teman seperjuangan,

28. JPRP telah mengagihkan segala kelengkapan pilihan raya ke seluruh negara. Potensi SISMEP telah diperkenalkan. Logistik atau paraphernalia telahpun berada di semua cabang dan ranting. Ini membuktikan bahawa persiapan kita kali ini jauh lebih baik daripada PRU 12.

29. Kita dalam fasa terakhir rundingan pengagihan kerusi dengan rakan – rakan dalam Pakatan Rakyat dan juga rakan – rakan seperjuangan di Sabah dan Sarawak. Saya ingin memberi jaminan bahawa proses rundingan kerusi ini tidak akan meminggirkan dan mengorbankan kepentingan parti keramat ini.

30. Kita akan maju ke hadapan dengan segala upaya untuk melaksanakan perubahan dalam pilihan raya ini. Biarpun berhadapan dengan budaya samseng dan culture of fear, kita tidak akan berundur malah kita lebih nekad untuk menumbangkan pihak lawan.

31. Kita tidak bersendirian. NGOs seperti SUARAM dan mahasiswa yang berani kini menjadi sasaran pemerintah yang rapuh dan tergugat kerana kita bersama menjadi agen perubahan dan demokrasi negara.

32. Kita sudah punya dasar yang jelas, kita ada pemimpin yang wibawa dan boleh dipercayai, kita ada laskar teruji dengan latihan, sarat dengan pengalaman, lengkap dengan ilmu dan peralatan. Seluruh kekuatan kita sudah siap siaga. Hanya menunggu seruan untuk bertempur di medan perang.

33. Pada petang ini, wahai teman-teman seperjuanganku, selaku Pengarah Pilihan Raya, saya meniup semboyan perang. Ayuh ! Seluruh pejuang keadilan, kita ikrarkan kesediaan kita untuk bertempur di medan pilihan raya. Adat pejuang pantang undur sekali – kali. Ini tekad kita. Ini tekad anak Malaysia. Bersama KEADILAN dan semangat reformasi, akan kita jayakan ibu pertiwi.

34. Ayuh seluruh pejuang keadilan, kita bersama mengubah harapan. Kita kibarkan panji KEADILAN. Kibarkan panji ini sejagat raya. Demi rakyat semua.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Eksploitasi Terhadap Kemarahan Umat Islam

18 September 2012

KEADILAN mengutuk penerbitan filem Innocence of Muslims – Muhammad Movie yang dilakukan oleh Sam Bacile, seorang warga Amerika. Filem tersebut adalah cerminan keangkuhan dan kebiadapan musuh Islam yang secara tuntas menghina Nabi Muhammad S.A.W serta mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia. Jelas, filem ini gagal menyuburkan nilai – nilai sejagat yang menghormati kepelbagaian agama. Malah saya yakin filem ini berniat jahat untuk mengganggu keamanan dan mencetuskan perasaan Islamophobia di kalangan warga dunia. KEADILAN mendesak Amerika Syarikat supaya segera bertanggungjawab untuk mengutuk jenayah ini dan mengambil usaha proaktif untuk mewujudkan keamanan dunia dan mengikis persepsi yang buruk di kalangan umat Islam.

KEADILAN juga mencela pembunuhan yang dilakukan terhadap Christopher Stevans, Duta Besar Amerika Syarikat ke Libya beserta 3 orang pegawai kedutaan dalam rusuhan di Benghazi, Libya. Kami menyeru umat Islam supaya bertenang dan tidak bertindak melampaui batas kemanusiaan dengan melakukan keganasan melampau. Keganasan yang dilakukan hanya akan memburukkan keadaan dan membentuk persepsi buruk dan negatif terhadap umat Islam. Justeru KEADILAN mengajak umat Islam seluruh dunia untuk bertegas dalam mempertahankan kesucian Islam dan baginda Rasulullah S.A.W tetapi pada masa yang sama menghargai keamanan dan tidak menghukum individu lain yang tidak bersalah.

KEADILAN bertegas untuk mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi kemarahan umat Islam yang kian membara sehingga menghalalkan keganasan serta jenayah pembunuhan. KEADILAN juga mengingatkan supaya rejim diktator seluruh dunia supaya tidak sekali – kali mengeksploitasi kemarahan umat Islam dengan menyekat kebebasan rakyat khususnya kebebasan untuk mendapatkan maklumat. Kita yakin di atas kesedaran dan kematangan rakyat maka warga dunia memilih untuk menolak dan mengecam filem tersebut kerana bertentangan dengan nilai – nilai masyarakat. KEADILAN mendukung pemikiran Islam yang menjamin hak asasi rakyat. Kepimpinan yang menyalahkan kebebasan di atas penerbitan filem tersebut adalah kepimpinan yang anti demokrasi dan anti kebebasan rakyat serta mengeksploitasi kemarahan rakyat untuk menutup ruang demokrasi demi kepentingan politik.

Justeru, KEADILAN mengajak dan menyeru umat Islam seluruh dunia supaya melawan jenayah serta dakyah yang dibawa melalui filem tersebut dengan melaksanakan program – program pendidikan yang berteras kepada tuntutan agama dan nilai – nilai sejagat. Islam adalah agama yang tidak mempromosikan keganasan, malah Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan mengiktiraf kepelbagaian dengan konsep li – taraafu yang dianjurkan al Quran.

Salam keamanan

Mohamed Azmin Ali