AZMIN ALI

LATEST

Day: June 22, 2013

Himpunan Aman #black505

image[nggallery id=73]

Kuala Lumpur, 22 Jun 2013 – Timbalan Presiden KEADILAN, YB Mohamed Azmin Ali tiba di perkarangan Masjid Negara pada jam 1.00 tengahari untuk memimpin pergerakan rakyat daripada Masjid Negara ke Padang Merbok. Ketibaan beliau bersama YB Dr. Abdul Rani Osman, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan YB Dr. Afif Bahardin, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang disambut oleh ribuan rakyat yang turut berhimpun di Masjid Negara.

Ribuan rakyat yang berhimpun di Masjid Negara menunaikan solat fardhu zohor terlebih dahulu sebaik laungan azan berkumandang. Laungan takbir yang disahut oleh ribuan rakyat turut kedengaran di dewan solat sebaik selepas solat zohor.

Pada jam 1.55 petang, lebih 5 ribu orang yang berhimpun di Masjid Negara mulai berarak ke Padang Merbok dipimpin oleh YB Azmin dan juga YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam. Pergerakan massa tersebut turut dikawal pasukan Unit Amal PAS.

Pergerakan massa yang dipimpin Azmin melalui laluan Lebuh Kinabalu sebelum menuju ke arah Jalan Parlimen untuk menuju ke Padang Merbok. Pergerakan tersebut mengambil masa kira – kira 20 minit sebelum tiba di Padang Merbok.

Sebaik tiba, Azmin kemudiannya bersama – sama rakyat yang mulai memenuhi ruang padang di bawah cuaca panas dan jerebu. Beliau kelihatan mesra untuk bersantai bersama – sama rakyat. Para peserta yang hadir turut tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pandangan dan mengambil gambar bersama beliau. Beberapa peserta yang hadir juga dilihat memberikan air mineral tanda senang dengan kehadiran Azmin yang bersama – sama dengan rakyat.

Pada masa yang sama, Azmin turut tidak melepaskan peluang untuk mendengar suara hati rakyat. Semasa meraikan delegasi Orang Asal dari Kuala Woh, Batu 7, Tapah, Azmin turut mendengar rungutan kaum asal terhadap ketempangan perjalanan pilihan raya yang lalu. Wakil kaum asal yang hadir memaklumkan kepada Azmin bahawa Orang Asal di Kuala Woh telah dihalang oleh anggota Rela dan UMNO untuk menunaikan hak mereka sebagai pengundi.

Azmin berjanji untuk meneliti masalah tersebut sebelum mengemukakan isu tersebut di Dewan Rakyat yang akan bermula pada minggu depan.