AZMIN ALI

LATEST

Day: August 11, 2013

Perutusan Eidul Fitr 1434 H

KENYATAAN MEDIA | 7 Ogos 2013

PERUTUSAN EIDUL FITR 1434 H
Berakhirnya Ramadhan 1434 H menandakan selesainya satu bulan puasa bagi umat Islam di seluruh dunia, saya dan keluarga saya ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Eidul Fitr, maaf zahir dan batin” kepada umat Islam dari semua lapisan masyarakat.

Ramadhan yang berlangsung selama sebulan adalah madrasah ruhiyyah yang mengajar kita semua erti taat, sabar dan istiqamah untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Syawal yang menjelang adalah kemenangan ruhiyyah umat Islam. Kejayaan ini adalah kemenangan menundukkan hawa nafsu dalam bulan ramadhan yang merupakan medan ta’dib ruhiyyah, bulan yang mendidik kita untuk mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT melalui amalan serta ibadah yang dilakukan.

Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas keberkatan dan kejayaan menghayati Ramadhan yang telah menjadi ujian ketahanan dan kesabaran kita. Walaupun ramadhan sudah berlalu, marilah kita memanfaatkan kekuatan dan kesabaran yang telah dipupuk sepanjang Ramadhan serta pengajaran yang diperolehi bagi menghadapi bulan-bulan yang akan datang.

Kita perlu terus istiqamah melakukan kebaikan, mempertingkat kebajikan dan lebih berbelas kasihan terhadap golongan miskin dan mereka yang memerlukan. Kita harus tepati janji-janji kita dan menghormati amanah yang diletakkan pada kita, serta tegas menolak godaan dan penyalahgunaan kuasa. Biarlah kita lebih merendah diri dan bertawadhu.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai jamak budaya, agama dan bangsa, marilah kita jadikan Eidul Fitr ini sebagai suatu perayaan perpaduan kita sebagai rakyat Malaysia, untuk memaafkan antara satu sama lain bagi salah dan silap yang dilakukan dan kata-kata yang keras yang telah diucapkan.

Eidul Fitr yang diraikan ini memberi makna kepada penyucian diri setiap insan untuk kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia yang mempunyai darjat atau kemuliaan insan yang tinggi. Fitrah ini pastinya merentasi sempadan kepercayaan, ras dan warna kulit.

Nilai keadilan serta menolak kezaliman juga adalah sebahagian daripada fitrah manusia yang tinggi kemuliaan insannya. Dan nilai ini senantiasa ditegaskan oleh Allah SWT supaya kita menolak setiap kezaliman yang berlaku di dunia ini. Ini bermakna kita digesa oleh Allah SWT supaya istiqamah dalam perjuangan untuk menentang kezaliman yang berlaku.

Justeru, ayuh kita perbaharui tekad kita untuk melawan anasir-anasir jahat, mereka yang menjaja kebencian dan terus menyemai kesangsian, ketakutan dan permusuhan diantara kaum-kaum dan masyarakat kita. Kita juga harus kekal teguh dalam menentang penindasan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan.

Marilah kita terus teguh dalam bekerja untuk rakyat dan berjuang untuk demokrasi, keadilan, reformasi pilihan raya dan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

Akhir kata, saya dan keluarga mengucapkan salam Eidul Fitr kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Malaysia. Semoga medan ta’dib ruhiyyah yang berlalu ini mempertingkatkan darjat karamah insaniyyah serta memperkukuh keyakinan kita untuk terus istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan.

Minal ‘aidin wal faidzin, maaf zahir dan batin.

Eid Mubarak

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Ahli Parlimen Gombak

29 Ramadhan 1434 H Read More