AZMIN ALI

LATEST

Day: December 24, 2013

Kempen Keceriaan Medan Selera Harum Dan Bersih (Tanpa Rodensia)

Ampang Jaya, 22 Disember 2013 – Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Antarabangsa dengan kerjasama MPAJ telah melancarkan Program Keceriaan Medan Selera Harum Dan Bersih ( Tanpa Rodensia ) di Medan Selera Bunga Tanjung, Ampang Jaya.

Program yang bermula seawal jam 9 pagi ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan peniaga khususnya pengendali kedai makan untuk menjaga kebersihan premis dan mengurus simpanan bahan mentah di tempat yang selamat dan bersih untuk menjamin kualiti makanan yang sihat dan selamat serta persekitaran medan selera yang harum dan bersih.

Program ini turut diserta oleh lebih 50 peniaga dan pengendali premis makanan di Medan Selera Bunga Tanjung yang hadir untuk mendengar taklimat pengendalian makanan yang disampaikan oleh wakil Jabatan Kesihatan MPAJ sebelum ucapan perasmian kempen oleh YB Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.

Dalam ucapan pelancarannya, Azmin menegaskan tentang peri pentingnya asas kebersihan medan selera demi menjamin mutu makanan yang terbaik untuk pelanggan. Azmin juga mengingatkan supaya para peniaga bekerjasama dengan MPAJ bagi mencapai matlamat yang murni tersebut.

Untuk maksud mencapai objektif program dan motivasi kepada para peniaga, Azmin turut mengumumkan sejumlah peruntukan sebanyak RM 20,000 untuk kerja – kerja menaiktaraf dan memperindahkan Medan Selera Bunga Tanjung supaya lebih ceria dan menjadi daya tarikan kepada pelanggan.

Azmin kemudian dalam lawatan ke setiap premis makanan di medan selera tersebut turut mendapati ada keperluan untuk menaiktaraf kemudahan tandas awam dan juga mengecat semula bangunan premis gerai – gerai di Medan Selera Bunga Tanjung, Ampang Jaya. Pada dasarnya, MPAJ telah bersetuju untuk menaiktaraf kemudahan tandas awam pada awal tahun 2014.

Turut bersama Azmin dalam lawatan ke kawasan sekitar dan setiap premis tersebut adalah Setiausaha MPAJ, Ahli – Ahli Majlis MPAJ, kontraktor pembersihan, para pegawai MPAJ dan para peniaga.

Melalui perbincangan bersama Azmin, MPAJ juga telah bersetuju untuk meletakkan papan tanda baru bersama lanskap di tempat yang lebih strategik untuk menarik lebih ramai pengunjung kepada medan selera berkenaan.

Azmin juga sempat meninjau premis medan selera milik Puan Norsiah Binti Saptuang yang terbakar. Selepas lawatan tersebut, Azmin telah bersetuju untuk memberi sumbangan kewangan bernilai RM 1,000 untuk menampung kerugian dan kos membaikpulih premis berkenaan.

Majlis pagi tersebut berakhir dengan program gotong – royong yang dikendalikan oleh MPAJ bersama kontraktor pembersihan dan kerjasama para peniaga.