AZMIN ALI

LATEST

Day: January 13, 2014

[BERITA] Digugur PKNS tak gugat wibawa Azmin

SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat pengguguran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan menggugat kewibawaan beliau dalam parti berkenaan.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, Azmin pemimpin tinggi di peringkat nasional dan hierarki politiknya lebih besar di dalam PKR, oleh itu, setakat digugurkan sebagai ahli lembaga pengarah agensi negeri tidak akan jejaskan pengaruhnya.

“Azmin ialah ‘bigger leader’ dalam PKR sedangkan Khalid (Ibrahim) hanya pemimpin peringkat negeri. Sebaiknya Azmin undur diri sebelum digugurkan kerana ia menyulitkan hubungan antara mereka berdua.

“Lagipun jawatan Azmin dalam PKNS hanya sebagai lembaga pengarah bukannya pengerusi PKNS. Dan sewajarnya tidak lantik semula lebih elok untuk kedua-dua pihak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Laporan media menyebut, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggugurkan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS ekoran persengketaan lama antara keduanya.

Mengulas lanjut mengenai pengguguran Azmin, Jayum berkata, umum maklum kedua-dua pemimpin ini adalah pesaing dalam politik bagaimanapun terdapat hubungan ‘janggal’ antara mereka.

“Dalam parti Khalid perlu jawab kepada Azmin, manakala dalam organisasi Azmin kena jawab pada Khalid ini menimbulkan ketegangan. Oleh yang demikian, keputusan tidak melantik semula Azmin dalam pengurusan PKNS adalah lebih elok untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Senada dengan reaksi ini, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan drastik Abdul Khalid memecat Azmin tidak akan menggugat kedudukan ahli Parlimen Gombak itu  sebaliknya bakal menjejaskan sokongan terhadap beliau sendiri yang dilihat hanya memberi fokus kepada pentadbiran Selangor.

Sementara itu, Mohd Azizuddin turut memaklumkan keputusan Abdul Khalid menyingkirkan Azmin mengundang hubungan tidak begitu molek dalam PKR Selangor dan sekiranya tidak ditangani perpecahan ini akan bernanah dalam PR.

“Berikutan krisis dalaman ini dilihat hanya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik antara kedua-dua pemimpin ini.

“Hubungan  runcing ini sekiranya tidak ditangani sebaiknya akan menjejaskan peluang PKR di Selangor pada PRU14 akan datang,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian