AZMIN ALI

LATEST

Day: January 14, 2014

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1435 H

Sekali lagi kita bertemu detik besar dalam sejarah ketamadunan manusia dengan menyambut Maulidur Rasul sempena hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda dilahirkan ke muka bumi dengan membawa tanggungjawab besar untuk menyelamatkan manusia dari kejahilan dan kesesatan serta membawa rahmat ke seluruh alam.

وَمَا أَرْسَلْنَكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَلَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

    ( Surah al-Anbiya’ : 107 )

Nabi Muhammad s.a.w adalah pejuang misi besar : pemerataan rahmat sejagat. Apabila Allah s.w.t menyatakan bahawa pengutusan Muhammad s.a.w sebagai rahmatan lil ‘alamin bererti bawaan Islam harus meratai seluruh warga alam, tanpa mengira bangsa dan agama. Rahmat yang berupa nilai – nilai luruh seperti kebenaran, keadilan, kasih sayang dan kesejahteraan harus dapat dirasakan dalam kehidupan nyata seluruh umat manusia, Muslim dan bukan Muslim. Justeru rahmatan lil ‘alamin bukan hak ekslusif umat Islam semata – mata, tetapi hak bersama seluruh warga kemanusiaan.

Misi rahmatan lil ‘alamin (meratakan rahmat kepada seluruh warga alam) akan terlaksana apabila manusia mencapai kualiti keinsanan yang tinggi, kualiti yang dalam bahasa agama disebut makarim al – akhlaq (akhlak mulia). Kerana itu Nabi s.a.w telah menegaskan misi kerasulannya :

إِنَّمَا بُعِثْتُ لُأتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلَأخْلاَقِ

Sesungguhnya aku diutus untuk menyempumakan akhlak mulia.

Ternyata perjuangan Rasulullah s.’a.w. adalah perjuangan moral, dalam pengertian menegakkan nilai-nilai moral dalam segala ranah kehidupan, sehingga segalanya berasaskan moral – politik bermoral, ekonomi bermoral dan kehidupan sosial yang bermoral. Harus disedari bahawa segala bencana kehidupan yang sedang kita deritai sekarang ini: kezaliman politik, kesengsaraan ekonomi dan kebejatan sosial, semuanya berpunca dari satu faktor utama: keruntuhan nilai-nilai moral yang terjelma dalam pelbagai rupa perilaku bejat – mementingkan diri, tamak, rakus, boros dan sebagainya.

Untuk membina manusia yang berakhlak mulia itulah Rasulullah s.a.w menyebut bahawa junjungan s.a.w juga membawa misi kependidikan :sesungguhnya aku diutus sebagai seorang guru.

Kata mu’allim dalam sabda nabawi tersebut jelas mengisyaratkan misi kependidikan – membina watak manusia berasaskan nilai – nilai akhlak mulia. Demikianlah, rakyat harus dididik menjadi cerdas dan berwatak, bukan diperbodoh dengan propaganda politik murahan dan dirosakkan dengan budaya hidup materialistik – hedonistik pesta – pestaan.

Para ulama yang diamanagkan sebagai warathatul anbiya’ (waris para nabi) harus tampil meneruskan perjuangan moral dan pendidikan yang diwariskan oleh Nabi s.a.w. Dalam tradisi keulamaan zaman silam para ulama memang cukup setia melaksanakan misi mendidik umat dan menasihati penguasa. Kedua – duanya (rakyat dan penguasa) harus dibimbing menghayati nilai – nilai yang bersumberkan al – Quran dan al – Sunnah. Demikianlah yang dilakukan oleh al – Imam al – Ghazali, al – Shaykh ‘Izzuddin Ibn Abdu ‘s – Slam dan lain – lain. Mereka tidak membiarkan rakyat dalam kejahila, dan tidak merelakan penguasa berleluasa. Memang tanggungjawab ilmuwan pewaris nabi adalah mendidik umat dengan semangat kasih sayang yang mendalam. Malang sekali andainya ulama lebih banyak menghukum dan mengutuk daripada mendidik dan menyayangi. Ketika ini sudah ramai ulama yang hanya mempunyai majikan, tetapi tidak mempunyai kepedulian terhadap derita umat. Ulama seharusnya mengakar di tengah umat, dapat ikut merasakan denyut nasi dan degup jantung rakyat. Mudah – mudahan kita masih mampu menampilkan ulama rakyat yang menepati makna waris para anbiya’.

Salam Maulidur Rasul 1435 H.

Mohamed Azmin Bin Ali

Projek Tebatan Banjir Sungai Kongsi Lapan, Azmin turun bersama JPS dan MPAJ

1560689_588691344535478_292269243_n1512587_588691727868773_937775021_n1609767_588691897868756_905015079_n1609791_588691284535484_840758726_n

Pada 11 Januari 2014, Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Antarabangsa telah dengan kerjasama Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengadakan Majlis Taklimat dan Dialog Bersama Penduduk Ampang Jaya berkenaan Projek Tebatan Banjir Sungai Kongsi Lapan, Ampang Jaya.

Projek Tebatan Banjir Sungai Kongsi Lapan ini merupakan cadangan balas pihak JPS selepas bencana banjir kilat yang berlaku di Ampang Jaya pada akhir tahun 2012. Hasil daripada bencana tersebut, YB Mohamed Azmin selaku Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa telah mengarahkan pihak JPS dan MPAJ turun menyiasat dan memberi cadangan balas supaya kejadian tersebut tidak berulang kembali.

Majlis taklimat tersebut telah diadakan pada jam 9.00 pagi dengan kehadiran kira – kira 50 orang penduduk di Ampang Jaya yang berhampiran Sungai Kongsi Lapan. Encik Kalai Selvam selaku Timbalan Jurutera JPS Daerah Gombak dan Encik Khairul Anizam, Jurutera MPAJ telah hadir bersama – sama dengan YB Azmin untuk memberikan taklimat dan penerangan kepada penduduk berkenaan perkembangan Projek Tebatan Banjir yang telah dirancang.

Projek Tebatan Banjir di Sungai Kongsi Lapan telah bermula sejak 26 September 2013 oleh sebuah syarikat swasta dan diselia sepenuhnya oleh JPS. Antara skop kerja yang dijalankan adalah site clearance, earthwork, river improvement, local drainage, pump sum, pond outlet structure dan making good (fencing & turfing). Projek ini dijangka siap pada Februari 2015 dengan kos kira – kira RM 2.2 juta.

Sementara itu, YB Azmin juga menggesa MPAJ untuk memperbaiki dan menyelenggara parit dan longkang dibawah bidang pentadbiran mereka untuk memastikan masalah banjir kilat di Ampang Jaya dapat diselesaikan sepenuh. Jelas beliau, tidak ada gunanya sekiranya pihak JPS menjalankan kerja – kerja tebatan banjir sedangkan pihak MPAJ tidak menyelenggara sistem perparitan dan saliran dengan baik.

Oleh yang sedemikian, beliau selaku Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa akan memantau secara terus kerja – kerja yang dilakukan. Beliau juga meminta pihak JPS memberi maklum balas berkenaan projek tersebut setiap bulan supaya penduduk mengetahui perkembangan projek demi memastikan bencana banjir sebelum ini tidak berulang.

Kerjasama erat Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Antarabangsa bersama JPS dan MPAJ ternyata memuaskan hati penduduk yang rata – rata berpuas hati dengan prestasi projek dan penjelasan yang diberikan. Program taklimat tersebut berlangsung selama dua jam dan berakhir dengan ramah mesra antara penduduk dan YB Azmin.