AZMIN ALI

LATEST

Day: April 7, 2014

[ DEWAN RAKYAT ] Perbahasan Rang Undang – Undang GST

ISNIN  |  7 APRIL 2014

 

Tuan Yang Di Pertua

Reformasi Sistem Percukaian

 1.            Menyedari kedudukan ekonomi negara dan fenomena ekonomi global masa kini, kita perlu bersetuju untuk negara mempunyai pendapatan tambahan, additional income. Kita juga bersetuju bahawa negara perlu mengurangkan kebergantungan di atas pendapatan daripada sumber petroleum dan gas hari ini yang menyumbangkan di antara 35% – 40% daripada hasil negara.

2.            Kita juga perlu maklum bahawa hanya 10% daripada ‘working population’ di Malaysia yang membayar cukai. Ini antara hal yang mengakibatkan ‘tax based’ yang terlaksana di negara ini adalah agak ‘narrow‘. Justeru satu reformasi terhadap sistem percukaian negara perlu segera digubal supaya ianya bersifat ‘broad based’, komprehensif dan lebih efisien bagi menggantikan Sales and Services Tax (SST) yang menyumbang kira – kira 7% daripada pendapatan negara.

3.            Untuk maksud tersebut, saya mencadangkan agar Kerajaan meneliti semula perlaksanaan cukai korporat termasuk kelulusan Kerajaan untuk pengecualian cukai kepada syarikat – syarikat berstatus seperti Tun Razak Exchange (TRX). Keputusan Kerajaan untuk memberikan pengecualian 100% cukai pendapatan kepada bank – bank yang berpindah ke TRX, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee serta pengecualian cukai bagi pemaju hartanah adalah suatu keputusan yang tidak rasional tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. Keputusan ini telah mengakibatkan negara kehilangan sumber pendapatan kira – kira RM 3.1 bilion sekiranya tiga bank – bank tempatan yang besar ; CIMB, Maybank, RHB berpindah ke TRX.

 

Income Tax Paid

CIMB

Maybank

RHB

2013

1.24

1.2

0.6

2012

1.28

1.2

0.6

2013-2012 Average

1.26

1.2

0.6

*MYR bilion

4.            Anggaran kehilangan pendapatan negara kira – kira RM 3.1 bilion setahun daripada pengecualian cukai adalah anggaran minimum. Nilai kehilangan ini berpotensi menjadi lebih tinggi memandangkan bank – bank boleh membayar lebih cukai pendapatan dan ini bermakna pendapatan Kerajaan Pusat adalah berpotensi untuk susut.  Tambahan pula, kehilangan pendapatan yang dihitung ini tidak termasuk bank – bank lain yang lebih kecil dan institusi kewangan lain yang mungkin memenuhi syarat untuk pengecualian.

5.            Oleh yang sedemikian, saya memohon YB Menteri Kewangan menyatakan, berapakah jumlah pengecualian cukai secara umum yang telah diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat – syarikat korporat ? Ini penting berikutan kehilangan pendapatan negara hasil daripada pengecualian cukai ini adalah sangat besar.

6.            Tambahan pula, MIDA memperuntukkan pengecualian cukai 60% ke atas apa-apa perbelanjaan modal dibuat untuk syarikat yang layak . Ini dipanggil investment tax allowance (ITA) dan kebiasaannya digunakan oleh syarikat-syarikat yang matang untuk membeli mesin dan membuat pelaburan lain.

7.            Selain itu, syarikat – syarikat korporat yang besar masih lagi menerima investment tax allowance (ITA) walaupun membuat keuntungan yang besar. Pengecualian cukai ini pada mulanya diperkenalkan untuk menggalakkan syarikat – syarikat dan industri – industri tempatan yang kecil untuk berkembang sekitar tahun 1980 – 1990 an. Sesetengah sektor ini seperti perladangan kelapa sawit, pembinaan dan perkilangan sudah matang dan tidak perlu lagi menerima sokongan daripada Kerajaan. Mereka mampu beroperasi tanpa ITA. Pengecualian seperti ini sepatutnya dimansuhkan dalam usaha mereformasikan sistem percukaian kita dengan lebih komprehensif dan tidak hanya tertumpu kepada cukai penggunaan.

8.            Begitu juga dengan penganugerahan jalur lebar 4G kepada Tan Sri Syed Mokhtar melalui Syarikat Puncak Semangat Sdn Bhd. Berbanding dengan pelbagai syarikat dan rangkaian komunikasi profesional seperti Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Redtone Marketing Sdn Bhd, YTL Communications dan Packet One Networks (M) Sdn Bhd yang hanya menerima jalur lebar pada skala 20MHz, Syarikat Puncak Semangat dianugerahkan bahagian paling besar pada skala 40MHz untuk lesen jalur lebar biarpun tanpa pengalaman dalam industri tersebut.

9.            Lebih dikesalkan apabila sistem penganugerahan lesen oleh Kerajaan tidak melibatkan bidaan seperti yang diamalkan oleh negara – negara maju yang lain seperti Jerman, Sweden dan United Kingdom. Proses bidaan ini seharusnya diimplementasikan untuk memastikan hanya syarikat yang komited mengambil bahagian dan akan meningkatkan lagi hasil pendapatan negara. Apakah Kerajaan langsung tidak mengambil pengajaran daripada penganugerahan jalur lebar yang lepas di mana beberapa syarikat yang gagal melaksanakan perkhidmatan untuk spektrum 3G dan Wimax telah menjual lesen mereka untuk mendapatkan keuntungan mudah ?

10.          Syarikat TM baru – baru ini juga telah membeli 57% kepentingan ekuiti dalam Packet One dengan harga RM350 juta. Jika TM membeli 100% kepentingan, maka ia boleh dianggarkan bernilai RM614 juta sebagai kos bagi satu (1) lesen.

11.          Oleh kerana terdapat lapan (8) lesen dan sekiranya kita beranggapan dijual dengan harga yang sama, maka jumlah kosnya adalah berjumlah RM 4.9 bilion. Oleh kerana Kerajaan menganugerahkannya secara percuma, sekali lagi Kerajaan telah kehilangan potensi sumber pendapatan negara yang bernilai RM 4.9 bilion.

12.          Kesemua perihal ini merupakan persoalan yang pernah dibangkitkan oleh YB Permatang Pauh dalam salah satu ucapan beliau di ibu negara bertajuk Debunking ETP : Widening Income Gap yang menegaskan kaedah yang dilaksanakan Kerajaan khususnya melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) merupakan suatu kebijakan ekonomi lapuk yang gagal membawa sebarang perubahan.

13.          Persoalan ini merupakan isu terpenting dalam perihal ekonomi negara apabila pentadbiran Dato’ Sri Najib menyalurkan seluruh kekayaan negara untuk membiayai projek – projek besar di bawah ETP sedang permasalahan utama negara adalah majoriti rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang melonjak sedang pendapatan yang masih ditakuk lama. Maka kesannya kepada rakyat adalah menambah jumlah golongan miskin dalam negara serta melebarkan jurang ekonomi kaya – miskin menjelang 2020.