AZMIN ALI

LATEST

Day: July 27, 2014

PERUTUSAN EIDUL FITR 1435 H

Poster RayaKebelakangan ini, kita menyaksikan kemanusiaan yang diragut oleh ancaman keganasan dan terorisme yang berleluasa. Pembunuhan, penindasan dan kezaliman dilakukan ke atas masyarakat dunia tanpa belas kasihan oleh musuh durjana.

Serangan ke atas Palestin di Gaza, tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh oleh anasir terorisme, serangan demi serangan ke atas sempadan negara di Sabah – ESSCOM adalah malapetaka ke atas nilai kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Arus gelombang pendemokrasian dunia hari ini seharusnya menjadi pemangkin kepada perubahan dasar dan polisi negara yang kian lapuk. Dasar tidak campur tangan atau non intervention policy perlu diteliti semula oleh Kerajaan atas nama kemanusiaan sejagat.

Kehadiran Syawal pastinya membawa kita memperingati kembali makna kepada fitrah suci manusia yang cintakan keamanan, menjulang kemanusiaan, melawan kezaliman. Sifat ini bukan sahaja merupakan nilai sejagat malahan merupakan salah satu semangat untuk memartabatkan ‘human dignity’ atau kemuliaan insan.

Justeru, negara tidak lagi boleh berkompromi dengan kezaliman yang berlaku secara berleluasa. Kita memerlukan sebuah dasar luar yang lebih demokratik serta mengangkat nilai – nilai sejagat.

Akhirul kalam, saya dan keluarga mengucapkan salam eidul fitr kepada seluruh umat Islam khususnya masyarakat yang cintakan keamanan dan kedamaian. Semoga pengertian Syawal ini mengilap tekad dan semangat kita untuk bersatu demi rakyat dan menegakkan keadilan.

Minal ‘aidin wal faidzin, maaf zahir dan batin.

Eid Mubarak

Mohamed Azmin Ali