AZMIN ALI

LATEST

Day: October 12, 2014

Kenyataan Media: Gangguan Bekalan Air Akibat Pencemaran Sungai Selangor

KENYATAAN MEDIA

12  OKTOBER 2014

Satu mesyuarat telah diadakan pada petang ini, 12 Oktober 2014 bagi membincangkan insiden pencemaran Sungai Selangor akibat tumpahan hydrocarbon yang menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas bermula sekitar jam 8.00 malam 11 Oktober 2014.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor dengan dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB EXCO yang terlibat serta operator dari SYABAS, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Konsortium ABASS Sdn Bhd, Air Selangor Sdn Bhd , Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Insiden pencemaran sungai ini menjejaskan bekalan air bersih hingga menyebabkan gangguan sementara kepada hampir 60% pengguna di Selangor. Gangguan bekalan air disebabkan pencemaran yang berlaku akibat pembuangan sisa industry ke dalam sungai.

Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan kejadian pencemaran yang berulang lagi selepas kejadian pencemaran diesel di Sungai Gong pada bulan Ogos tahun 2013, di mana dalam kejadian tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan tegas termasuk merampas tanah dan tindakan mahkamah. Kerajaan Negeri ingin mengingatkan supaya tiada lagi tindakan sewenang-wenangnya dalam membuang sisa industry ke dalam sungai.

Kejadian ini disedari oleh operator Loji SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pada jam 8.00 malam tadi. Pihak loji telah mengambil tindakan untuk menghentikan pengepaman air mentah untuk mengelakkan pencemaran itu memasuki sistem rawatan dan seterusnya menjejaskan system agihan air.

Pihak LUAS dan Jabatan Alam Sekitar Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

Kesemua operator rawatan air yang terlibat telah mula mengepam air mentah pada jam 5.00 pagi (12 Oktober 2014).

Pihak SYABAS telah memaklumkan proses pemulihan di kebanyakan kawasan terbabit akan mula pulih bermula pada 8.00 pagi esok, 13 Oktober 2014. Namun demikian, sebahagian kawasan terutamanya kawasan –kawasan tinggi dan dihujung sistem agihan seperti Pulau Indah, Banting dan lain lain akan pulih secara berperingkat-peringkat.

Langkah lain yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan adalah menempatkan tangki statik di beberapa kawasan terjejas.  Pihak SYABAS telah diarahkan untuk mengemaskini laman sesawang mereka dan meningkatkan keupayaan pusat perkhidmatan pengguna, PUSPEL.

Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membantu untuk mendapatkan lori tangki tambahan dari negeri-negeri lain dan juga dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada masa yang sama, operator loji SSP 1 iaitu SPLASH diminta untuk meningkatkan pengeluaran dari 950JLH kepada 1045JLH serta merta sebagai langkah mitigasi.

Keutamaan bantuan bekalan air kecemasan ini diberikan kepada pengguna-pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan serta situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian atau kenduri.

Kerajaan Negeri Selangor, SYABAS dan semua operator yang terlibat sedang berusaha untuk memastikan gangguan ini dapat diatasi dalam waktu yang terdekat ini.

Saya Mahu Kebakaran Hutan Tidak Berulang, Ini Isu Keselamatan. Tegas Azmin

PUTRAJAYA, 10 OKT: Pemantauan berterusan jabatan terlibat perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian kebakaran tanah gambut di kawasan hutan berulang yang menyebabkan pencemaran udara serius.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata kawasan tanah gambut berpotensi berlaku kebakaran itu besar dan sukar dikesan kerana ia bermula di bawah tanah.

MB Azmin”Saya minta Jabatan Bomba dan Jabatan Perhutanan mengambil langkah proaktif dalam memastikan masalah ini tidak berulang,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada sesi lawatan ke lokasi kebakaran di Pulau Kempas berdekatan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), hari ini.

Katanya, beliau memuji komitmen Pasukan Bomba dan Jabatan Perhutanan Selangor mengawal kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat yang berlaku baru-baru.

Azmin berkata, kaedah ‘Fire Break’ dengan mengali tanah dan membuat parit kecil di sekeliling kawasan kebakaran bertanah gambut itu satu keputusan yang bijak.

Hijau

“Kaedah water bombing tidak begitu efektif, pasukan bomba terpaksa membina parit sebagai ‘fire break’ dan menyediakan pam-pam berkapasiti tinggi bagi menghalang kebakaran dari terus merebak,” katanya.

Sepanjang tahun ini, sekurang-kurangnya tiga kali kes kebakaran dicatatkan berlaku di Hutan Simpan Kuala Langat iaitu sekitar Februari, Jun dan Ogos lalu.

Kebakaran yang berlaku Februari lalu direkodkan sebagai kebakaran terbesar tahun ini dengan keluasan meliputi 294 ekar yang menelan kos sejumlah RM210,547.53.

Terdahulu, Mohamed Azmin menerima taklimat pelan kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat utara dari Pengarah Perhutanan Selangor, Dr Ahmad Puat Dahlan dan Penguasa Kanan Bomba II, Ketua Zon Selangor Selatan, Azmi Sadon.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.