AZMIN ALI

LATEST

Day: October 16, 2014

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2015 Ahli Parlimen Gombak

16 Oktober 2014

1. Sejak Bank Dunia memperkenalkan konsep “middle-income trap” dalam penerbitan tahun 2007 yang bertajuk An East Asian Renaissance perbincangan yang rancak telah berlaku. YAB Perdana Menteri dalam beberapa ucapannya telah mengangkat isu tersebut kepada perhatian nasional. Kajian tersebut yang dilakukan sempena 10 tahun kegawatan ekonomi Asia 1997 menyebut Asia Timur, kecuali Myanmar dan Korea Utara, menuju rantau berpendapatan pertengahan (middle income). Persoalan yang ditanyakan laporan tersebut adalah, apakah rantau ini mampu untuk terus maju menjadi rantau berpendapatan tinggi atau terperangkap dalam pendapatan pertengahan.

2. Dalam tahun 1960 terdapat 101 negara di dunia yang berada dalam taraf berpendapatan pertengahan. Setelah hampir 50 tahun hanya 13 negara yang mampu membuat lonjakan dari pendapatan pertengahan kepada pendapatan tinggi. Malaysia sendiri telah memasuki kumpulan negara berpendapatan menengah rendah dalam tahun 1969 dan memasuki peringkat pendapatan menengah tinggi dalam tahun 1996 dan hingga sekarang masih kekal dalam kumpulan tersebut.

3. Persoalannya berapa lama lagikah Malaysia akan terus terperangkap dalam taraf negara berpendapatan pertengahan, sedangkan jiran kita, Singapura, sudah melonjak ke dalam golongan negara berpendapatan tinggi. Begitu juga negara-negara yang suatu ketika dahulu lebih miskin dari Malaysia seperti Taiwan dan Korea Selatan telah menjadi negara maju. Apakah kita mampu keluar dari perangkap ini dalam tahun 2020?

4. Meskipun Kerajaan telah membentangkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) semenjak 2010 dengan tujuan untuk mencapai taraf Negara Berpendapatan Tinggi pada 2020, namun pelbagai petunjuk membayangkan pelan tersebut berdepan dengan masa depan yang gelap. Pelan Transformasi Ekonomi ini umpama stesyen keretapi yang elok, keretapi yang bagus akan tetapi keretapi tersebut tidak pernah meninggalkan stesyen itu. Dengan izin Tuan Yang Di Pertua, the train never leaves the station.

5. Projek yang disenaraikan oleh PEMANDU yang dikenali sebagai Entry Point Projects untuk bidang Petroleum dan Gas adalah sebanyak 13 EPP, tidak satu pun disenaraikan sedang beroperasi. Dalam bidang perladangan kelapa sawit dan getah, ETP menyenaraikan 9 EPP, tidak satupun berstatus beroperasi dan dalam perkhidmatan kewangan ada 10 EPP dan tidak ada satupun yang berstatus beroperasi. Jikalau tidak beroperasi bagaimana mahu mencapai matlamatnya?

6. Pentadbiran sekarang meneruskan projek mega yang menelan belanja berbillion ringgit sedangkan 40% dari Keluaran Dalam Negara Kasar adalah dari sektor Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Modenisasi sektor ini adalah melalui inovasi dan ianya salah satu dari langkah strategik untuk kita keluar dari perangkap pendapatan pertengahan. Akan tetapi sekiranya pelaburan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak mencukupi, bagaimana kita mahu menjana peningkatan kemahiran, melakukan percambahan ilmu serta mempunyai keupayaan inovasi ?

7. Belanjawan 2015 memperuntukkan RM 1.3 billion buat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Secara puratanya Singapura memperuntukkan sekitar RM 6 billion untuk penyelidikan dan pembangunan setiap tahun.

8. Ekoran dari dana penyelidikan dan pembangunan yang kecil telah menyebabkan pengusaha serta usahawan bersaing hanya dari aspek kos dan harga. Mereka seharusnya menjurus kepada tambahan nilai dan produktiviti. Akibatnya para usahawan membawa masuk tenaga kerja murah dari negara luar. Justeru itu industri tempatan tidak meningkat kemajuannya dan pada ketika yang sama banyak peluang pekerjaan hilang kepada pekerja asing.

9. Cita-cita untuk menjadi negara maju pudar apabila kita menyaksikan merudumnya tahap pendidikan negara seperti yang dilaporkan melalui Programme for International Student Assessment atau PISA. Berdasarkan Kajian tersebut mencatat purata pencapaian membaca pelajar Malaysia yang berumur 15 tahun adalah 398 mata sedangkan purata kebolehan membaca bagi negara negara OECD adalah 496 mata.

10. Kebolehan dalam matematik bagi pelajar Malaysia yang berumur 15 tahun adalah 421 mata sedangkan purata bagi negara-negara OECD adalah 494 mata. Sementara itu dalam kecelikan sains bagi yang berumur 15 tahun hanya sekadar 420 mata berbanding purata pencapaian sekitar 501 mata bagi negara-negara OECD.

11. Kita ternyata jauh tertinggal di belakang Singapura apabila purata pencapaian dalam membaca bagi yang berumur 15 tahun di Singapura adalah 542 mata. Kebolehan dalam matematik bagi yang berumur 15 tahun adalah 573 mata. Sementara itu dalam kecelikan sains bagi yang berumur 15 tahun adalah 551 mata. Korea Selatan juga mencatat pencapaian yang baik dengan purata pencapaian membaca bagi yang berumur 15 tahun adalah 536 mata, kebolehan dalam matematik adalah 554 mata dan kecelikan sains adalah 538 mata.

12. Taraf pendidikan tinggi negara juga merudum teruk jika dibandingkan dengan negara-negara jiran. Menurut Laporan Bank Dunia yang berjudul China 2030: Building A Modern, Harmonious and Creative Society, China kini mempunyai 22 universiti dalam senarai 500 terbaik dunia, bertambah lebih dua kali ganda dari tahun 2003. Korea Selatan mempunya 9 universiti yang tersenarai dalam 500 universiti terbaik di dunia, Taiwan mempunyai 6 universiti dalam senarai 500 terbaik dunia. Hong Kong mempunyai 6 universiti dan Singapura mempunyai 2 universiti dalam senarai tersebut. Amat malang sekali Malaysia yang mahu menjadi negara maju 6 tahun dari sekarang tidak mempunyai satu pun universiti dalam senarai 500 terbaik.

13. Untuk memberhentikan kemerosotan dan kemuruduman pendidikan di semua peringkat dari pendidikan rendah kepada pendidikan tinggi, dan untuk menyuntik dinamisme baru dalam sistem pendidikan negara satu reformasi pendidikan yang menyeluruh, total reform diperlukan. Reformasi ini perlu meliputi aspek kurikulum, latihan pendidikan, taraf gaji yang mencerminkan kedudukan pendidikan sebagai sektor strategik negara dan persekitaran yang merangsang kreativiti dan pemikiran kritis.

14. Aspek rasionaliti dan pembinaan pemikiran luas serta berpencerahan perlu ditekan kepada pelajar apabila mereka meninggalkan alam remaja memasuki alam dewasa. Kebebasan akademik perlu dikembalikan. Bagaimana para pensyarah dan profesor boleh berfikir secara dinamik, meneroka ide-ide baru jikalau mereka dibelenggu Aku Janji. Pelajar-pelajar universiti merupakan “the cream of the young generation.”

Jangan layan mereka bagaikan burung belatuk melalui AUKU. Jadikan mereka sebagai Generasi Pencerahan dengan slogan Sapere Aude; Berani Berfikir Sendiri !

15. Dipandang secara menyeluruh, Belanjawan 2015 tidak menampakkan kesungguhan fiskal untuk menjadi sebuah negara maju. Belanjawan ini tidak bersifat pembangunan atau non-developmental. 82% dari belanjawan digunakan untuk tujuan mengurus. Hanya 18% digunakan untuk tujuan pembangunan sedangkan belanjawan ini dicanang sebagai “Ekonomi Keperluan Rakyat.” Tidak ada komitmen untuk mengawal ketirisan. Terlalu banyak pembaziran dan unsustainable economic activities.

16. Seharusnya kita berbelanja untuk meningkatkan daya produktiviti rakyat, raising people’s productive capacity. Rasa Keadilan – Sense of Justice dan semangat penyayang menuntut kita menjaga mereka yang daif, cacat dan kurang upaya. Tetapi untuk menjadi sebuah negara maju membantu rakyat perlu mengambil pendekatan pembangunan atau developmental approach. Dan pembangunan itu seperti yang ditegaskan oleh philosopher-economist Amartya Sen adalah the expansion of human capability ; pengembangan dan peningkatan kebolehan manusia.

17. Kerajaan memang bertanggungjawab membina dan menaiktaraf pelbagai infrastruktur untuk keselesaan rakyat dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan. Antaranya:-

I. RM 5.3 billion untuk membina Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang.
II. RM 5 billion untuk membina Lebuhraya Pantai Barat dari Taiping ke Banting.
III. RM 4.2 billion membina Lebuhraya Damansara-Shah Alam.
IV. RM 23 billion untuk membina MRT jajaran kedua dari Selayang ke Putrajaya.
V. RM 9 billion ringgit untuk projek LRT 3 untuk menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang.

18. Perancangan dan perlaksanaan projek-projek mega ini melibatkan kepentingan berjuta-juta manusia di Lembah Kelang dan Selangor. Adakah kajian dilakukan untuk mendapatkan pandangan rakyat yang terlibat ? Apakah kesan kepada penduduk yang terlibat dalam jajaran yang dirancangkan ? Mengapa tidak ada perbincangan sama sekali dengan Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dan yang telah dipilih oleh rakyat untuk menjaga kepentingan mereka ?

19. Sebuah negara maju bukan sahaja diukur dari aspek fizikal dan angka-angka ekonomi. Aspek politik, pembinaan institusi, urus tadbir dan tata kelola juga merupakan prasyarat untuk menjadi negara mJUsteru itu keterbukaan dan ketelusan dalam pengurusan tidak boleh dipandang remeh.

20. Bagaimana kita boleh menjadi sebuah negara maju jika perjanjian-perjanjian yang melibatkan kepentingan berjuta-juta rakyat dilakukan secara sembunyi-sembunyi di mana segala terma-termanya diletakkan di bawah OSA. Apakah yang mahu disembunyikan dari rakyat ? Dalam konteks ini saya ingin mempersoalkan perjanjian untuk projek Langat II.

Isu Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor

21. Saya tidak menafikan keperluan untuk menerokai sumber-sumber air baru bagi menampung permintaan terhadap bekalan air yang semakin meningkat disebabkan oleh pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi.

22. Namun demikian, dalam menerokai pembangunan sumber air yang baharu, iaitu pelaksanaan dan Pembangunan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, ia hendaklah dilaksanakan dengan mengambil kira faktor-faktor kepentingan pengguna dan berasaskan prinsip – value for money bukan sahaja dari segi kos pembangunan fizikal tetapi juga hendaklah merangkumi kos operasi yang akan terlibat di masa akan datang.

Saya berpendapat, inilah perkara pokok yang selama ini saya dan rakan-rakan tekankan kerana setiap kos yang dibelanjakan itu akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan ditanggung oleh pengguna. Saya tidak mahu kejadian-kejadian yang lazim berlaku iaitu kos sesebuah pembangunan yang tidak terkawal dan mengakibatkan kos operasi dan penyelenggaraan turut melambung tinggi dari tahun ke tahun seperti pembinaan lebuh raya. Akhirnya, yang menanggung kos tersebut adalah rakyat. Kos sara hidup meningkat, pendapatan benar mereka menurun. Mereka tiada pilihan lain. Air adalah keperluan asas bukan hanya kepada manusia malah kepada haiwan, pertanian malah industri juga turut memerlukan air.

Oleh yang demikian, saya sekali lagi menyarankan agar Kerajaan memastikan supaya setiap kontraktor yang terlibat di dalam Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 hendaklah dilantik melalui sistem tender terbuka yang telus bagi memastikan kontraktor yang dilantik itu kelak adalah kontraktor yang benar-benar mahir dan berpengetahuan. Ini adalah untuk memastikan setiap komponen projek yang disiapkan oleh kontraktor yang telah dilantik itu benar-benar boleh beroperasi dengan baiknya tanpa memerlukan sebarang kos pembaikan sebaik sahaja projek itu diserahkan kepada operator yang akan mengoperasikan loji tersebut.

Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju dengan pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2. Memandangkan apabila siapnya Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 ini, bayaran harga air mentah akan dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Perjanjian Jual Beli Air Mentah Pahang ke Selangor, maka saya dengan tegas menyarankan supaya Negeri Selangor turut terlibat dan diberi peranan dalam membuat keputusan berkenaan pelaksanaan projek ini.

Mengikut perancangan asal sebelum penubuhan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 ini akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan kerja-kerja perancangan awal sejak tahun 2001 bagi mereka bentuk dan membina Loji Rawatan Air ini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah 443 ekar tanah milik Kerajaan Negeri daripada 990 ekar keseluruhan tanah untuk Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 tanpa sebarang balasan. Malah terdapat juga keputusan Jemaah Menteri pada 16/1/2008 yang menyatakan persetujuan untuk KDEB di lantik sebagai Syarikat Pengendali dan Penyelenggaraan (O & M) LRAL 2 setelah ia siap di bina. Selepas pertukaran Kerajaan pada 08 Mac 2008, tiada sebarang maklumat dan keputusan yang dibuat mengenai syarikat pengendali dan penyelenggaraan (O & M).

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan Persekutuan tidak membincangkan mengenai apakah spesifikasi teknikal Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan Kerajaan Negeri Selangor sebaliknya hanya mengemukakan permohonan untuk membuat pengambilan balik tanah milik individu yang terletak di Negeri Selangor khususnya di Hulu Langat dan permohonan untuk mendapatkan Kebenaran Merancang.

Setelah kontraktor dilantik oleh Kerajaan Persekutuan, barulah Kerajaan Negeri Selangor mendapat peluang untuk meneliti spesifikasi teknikal Loji Rawatan Air Langat 2 untuk fasa pertama. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan beberapa spesifikasi yang dibuat untuk projek ini adalah berlebihan (excessive). Ini sudah tentu akan melibatkan peningkatan kos pembangunan dan kos operasi.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli Yang Berhormat bahawa di dalam spesifikasi sistem proses yang dicadangkan untuk Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2, ia akan melibatkan dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC). Penggunaan sistem proses dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC) adalah sesuai untuk sumber air yang tercemar yang mencapai tahap kelas 4 iaitu pengkelasan air yang terburuk. Persoalan saya adalah apakah air yang mengalir di Sungai Semantan yang akan dialirkan ke Negeri Selangor berada pada tahap kelas 4 iaitu sumber air yang mempunyai kualiti yang rendah? Mengapa sungai ini dipilih dan mengapa kerajaan Persekutuan mengambil opsyen ini sebagai jalan penyelesaian menyelesaikan masalah air di negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor akan membayar kadar sepuluh sen per cubic meter kepada Kerajaan negeri Pahang bagi bayaran air mentah tersebut. Pada ketika ini, pihak operator air negeri Selangor hanya membayar sebanyak satu sen per cubic meter sahaja. Semua kos ini, akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui bayaran tariff air.

Persoalan-persoalan beginilah yang menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa dalam melaksanakan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2, Kerajaan Negeri Selangor hendaklah juga mempunyai kuasa dalam membuat keputusan.

Memang tidak dinafikan Kerajaan Persekutuan telah membentuk jawatan kuasa Pemandu pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihan (JKPPP LRAL2) di mana YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan agensi Kerajaan Negeri Selangor merupakan ahli di dalam jawatan kuasa tersebut. Namun persoalannya, sejauh manakah teguran dan pandangan dari Kerajaan Negeri Selangor boleh didengar dan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan di dalam pelaksanaan projek ini.

Tuan Yang Dipertua

Satu lagi aspek yang ingin saya sentuh dalam perbahasan saya adalah usaha mengatasi masalah kehilangan air tidak berhasil atau NRW.

Pengurangan NRW merupakan usaha yg baik untuk meningkatkan kecekapan sistem agihan. Peningkatan kecekapan sistem agihan boleh mengelakkan pembaziran di mana air yang dikeluarkan dari loji rawatan air dapat disampaikan sepenuhnya kepada pengguna dan tidak hilang begitu sahaja, sedangkan dalam pengiraan tarif yang kenakan kepada pengguna, jumlah pengeluaran air dari loji rawatan air telah diambil kira.

Bagi Negeri Selangor, sejumlah RM1,169 juta telah dibelanjakan untuk menurunkan kadar NRW, namun setakat tahun 2012, kadar pencapaian NRW masih pada kadar 33%. Kegagalan menurunkan NRW sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian konsesi ini bukanlah berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi sebenarnya berpunca dari kelemahan operator agihan tunggal di Negeri Selangor dalam merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.

Kegagalan penurunan NRW itu juga menyebabkan Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara relatifnya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan yang dianggarkan sebanyak 663JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW yang telah dijanjikan. Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu sekiranya kadar NRW masih gagal diturunkan, ia akan memberikan kesan pembaziran ke atas sumber-sumber air sedia ada dan sumber air baru yang akan dikeluarkan dari Loji Rawatan Air Langat 2 sedangkan semua pihak menyedari hakikat bahawa sumber air telah semakin berkurangan.

Saya berpendirian bahawa adalah menjadi kewajipan untuk mempertahankan dan mengutamakan kepentingan rakyat sebagai pengguna dan bukannya membebankan rakyat dengan membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia. Setiap sen yang dibelanjakan dalam program menurunkan NRW ini akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan dibayar oleh rakyat jelata di dalam bil bulanan mereka. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan serta kemapanan generasi sekarang dan generasi akan datang supaya tidak terbeban dengan pelbagai hutang (unnecessary debt).

Bagi Kerajaan Negeri Selangor, penyelesaian ke atas semua masalah pembaziran ini boleh diatasi dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air sebagaimana yang telah pun dipersetujui di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri Selangor menggesa supaya semua pihak yang terlibat hendaklah menghormati segala terma dan syarat yang telah dipersetujui dalam memuktamadkan penstrukturan semula itu.

Inti pati penstrukturan semula itu adalah untuk mengujudkan perkhidmatan air kepada rakyat yang hendaklah diuruskan oleh agensi milikan Kerajaan bukan di tangan swasta yang boleh menggunakannya sebagai senjata untuk memeras ugut sebuah Kerajaan dan menindas rakyat dalam hal kenaikan tarif serta memberi perkhidmatan sewenangnya apatah lagi keperluan kepada air tidak ada gantinya. Lebih malang lagi apabila perkhidmatan ini dimonopoli oleh syarikat yang berorientasi untung semata-mata.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor menekankan supaya dalam keghairahan untuk membelanjakan peruntukkan sebanyak RM112 juta bagi tujuan menurunkan kadar NRW, wajiblah menngunakan kaedah tender terbuka yang telus dan adil. Penilaian ke atas setiap projek yang telah dilaksanakan sebelum ini hendaklah juga dinilai semula untuk melihat sejauh mana keberkesanan program yang telah dilaksanakan berbanding dengan peruntukan yang telah dibelanjakan. Pihak-pihak yang terlibat di dalam meluluskan program penurunan NRW ini juga hendaklah bersikap lebih terbuka untuk menerima pandangan dari pihak-pihak lain dan bukan semata-mata menerima sebulat-bulatnya segala cadangan yang dikemukakan oleh satu-satu pihak itu.