AZMIN ALI

LATEST

Day: October 25, 2014

Peruntukan Segera Untuk Sabak Bernam

SABAK BERNAM – Kerajan Negeri Selangor mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM600,000 bagi kos penyelenggaraan sistem perparitan di tiga kampung di Sabak Bernam yang dilanda banjir kilat, baru-baru ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan sebanyak RM400,000 akan digunakan bagi membaik pulih saliran parit utama di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Kasih Tebuk Pulai, manakala RM200,000 lagi di dua kampung iaitu di Batu 38 dan Bagan Nakhoda Omar.

Beliau yang sebelum ini diberikan taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, salah satu punca banjir kilat yang berlaku di kampung itu adalah disebabkan masalah sistem perparitan utama kampung yang tidak diselenggara dengan baik.

“Sudah tentu perkara ini perlu diselesaikan segera kerana komitmen kerajaan negeri tidak mahu masalah ini berulang yang menjadi beban kepada penduduk,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama mangsa banjir di PPRT Desa Kasih Tebuk Pulai, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, JPS juga memaklumkan kos penyelenggaraan sistem perparitan itu perlu diselesaikan segera bagi memudahkan air dari parit utama disalur ke kunci air berdekatan sejauh tiga kilometer.

“Kita mahu pendekatan dan penyelesaian yang komprehensif dan menyeluruh bagi kerja penyelenggaraan sistem perparitan dalam kampung ini dan kawasan berdekatan supaya paras air itu dapat disalurkan terus ke kunci air dan tidak menenggelami kediaman penduduk,” katanya.

Beliau berkata, masalah sistem perparitan di kampung itu dan di kawasan berhampiran juga sering dibangkitkan Adun Sabak, Sallehen Mukhyi yang prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan rendah berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri yang mengeluarkan peruntukan itu meminta agar JPS, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berganding bahu agar memastikan ia dapat ditangani segera.

“Saya tak mahu kalau saya datang ke sini, tengok kerja tak jalan kerana kita bimbang musim tengkujuh dan tak mahu ia kembali berulang. Saya akan pantau secara peribadi, namun saya yakin dengan komitmen agensi berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini segera,” katanya.

Sinar Harian pada 8 Oktober lalu melaporkan, hujan berterusan selama kira-kira empat jam menyebabkan Pekan Sabak Bernam dan beberapa kampung berhampiran dilanda banjir kilat.

Antara kampung yang ditenggelami air antaranya Kampung Batu 38 Baroh, Bagan Nakhoda Omar, Banting, Teluk Rhu dan Sekendi berikutan hujan lebat bermula dari jam 8 pagi hingga 11 tengah hari.

Rata-rata penduduk menyifatkan banjir kilat yang melanda kampung terlibat merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh lebih 40 tahun.

DSC_0003 DSC_0124 DSC_0171 DSC_0181 DSC_0244 DSC_0264 DSC_0284 DSC_0290 DSC_0315 DSC_0333 DSC_0335 DSC_0347 DSC_0377 DSC_0383 DSC_0404 DSC_0420 DSC_0422 DSC_0276

Perutusan YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Sambutan Maal Hijrah 1436h

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, segala pujian dan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. para sahabat serta ahli keluarga baginda sekalian.

Hijrah bukan sekadar satu peristiwa penting bagi umat Islam bahkan ianya satu detik yang mencorakkan sejarah dunia. Dengan berhijrah dari Mekah ke Madinah, Rasulullah S.A.W membawa umat Islam keluar daripada keadaan sebuah masyarakat yang ditindas kepada pembangunan sebuah negara. Madinah dijadikan ruang oleh Rasulullah dan para sahabat untuk menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mencipta satu umat baru yang kemudiannya menyatukan Jazirah Arab dan kemudiannya membina satu empayar dan tamadun.

Rasulullah tidak mahu umatnya kekal dengan jumlah kecil dalam suasana ditindas. Terus kekal sebagai masyarakat yang tertindas akan melahirkan “persecution complex”, hilang inisiatif, sentiasa bersikap negatif dan sering menyalahkan orang lain. Gejala “persecution complex” ini menular luas di dunia Islam hari ini menyebabkan umat Islam tertinggal di belakang berbanding dengan Negara China, India dan Korea Selatan. Sebelum ini, dunia Islam hanya mundur berbanding dengan Barat tetapi kini dunia Islam turut terus dalam persaingan dengan negara-negara Asia. Dan umat Islam masih menyalahkan penjajahan yang telah pergi lebih setengah abad dan ketidakadilan sistem antarabangsa sebagai alasan ketertinggalan mereka.

Dengan menggali semangat Hijrah umat Islam boleh keluar dari kepompong “persecution complex” dan membina keyakinan baru sebagai peserta yang memberi sumbangan positif kepada tamadun kontemporari. Penguasan ilmu dan teknologi tentunya merupakan pra-syarat kepada penyertaan tersebut. Atas dasar inilah, Kerajaan Negeri Selangor komited untuk membuat pelaburan dalam bidang pendidikan yang akan membina modal insan untuk memberi sumbangan kepada memperkayakan tamadun dunia.

Sekian, wassalam.

MOHAMED AZMIN BIN ALI

Ya, saya mahu tiru cara Jokowi – Azmin

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengakui program turun padang yang dilaksanakannya setiap minggu merupakan inspirasi daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Ujarnya, tugas Jokowi yang dilihat majoritinya bersama rakyat berbanding di pejabat akan diaplikasikan di dalam corak pentadbirannya di Selangor.

“Saya kenal Bapak Jokowi dan pernah mengunjunginya tahun lalu, Jokowi kata kepada saya…Azmin, masa saya hanya 20 peratus di pejabat, selebihnya di lapangan bersama rakyat.

“Ya, saya mahu tiru cara dia, kerana itu, saya komited untuk sentiasa bersama rakyat dan mendengar keluhan hati mereka,” katanya semasa majlis perhimpunan pagi penjawat awam daerah Sabak Bernam di sini hari ini.

Azmin sebelum ini dilihat menyamakan tanggungjawab kerjanya sama seperti Jokowi.

Selain digambarkan melalui Tweet, Azmin turut membayangkan kerja-kerjanya lebih kepada meninjau kesusahan rakyat negeri itu sendiri.

Pelantikan Jokowi sebelum ini turut memberi harapan baru kepada anak muda Indonesia yang membentuk peratusan besar dalam populasi rakyat republik itu yang melebihi angka 250 juta orang.

Jokowi sendiri di dalam pidato pertamanya mengajak semua golongan bekerja keras dan menghargai peranan golongan bawahan demi masa depan Indonesia.

Sementara itu, dalam perkembangan perjanjian air Selangor, Azmin dikatakan sudah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkenaan dan meminta kandungan perjanjian didedahkan.

Menurut sumber dalaman, Azmin mahu perincian perjanjian itu dimaklumkan selain mahu rakyat tahu sepenuhnya isu berkenaan.

“Sehingga kini masih belum ada perkembangan, hanya sudah tulis surat sahaja,” kata sumber itu.

Azmin sebelum ini dilaporkan ingin melihat kualiti dan pengurusan air yang berkesan di negeri itu dan tidak berniat untuk membatalkan perjanjian air yang dimeterai di antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/ya-saya-mahu-tiru-cara-jokowi-azmin-46865?cp

Kenyataan Media 24 Oktober 2014

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang semalam telah meneliti maklum balas daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang mengenai laporan kejadian ribut taufan di Pandamaran, Klang yang berlaku pada 21 Oktober 2014 yang lalu.

Kejadian angin kencang ini telah memusnahkan harta awam dan rumah penduduk di Kampung Pandamaran, Flat PKNS Pandamaran Jaya, Flat Pandamaran Permai Indah dan Kampung Pandamaran Jaya. Jeti Nelayan Pandamaran (Sg. Aur) juga turut mengalami kerosakan.

Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah bersetuju untuk membaik pulih bumbung di tiga (3) blok kediaman yang mengalami kerosakan teruk dan juga menggantikan tangki-tangki air di Blok A, B, C dan D, Flat Pandamaran Permai Indah. Kos pembaikan untuk kerja-kerja ini melibatkan kos RM600,000.00.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menampung kos kerja-kerja pembaikan di Flat PKNS Pandamaran Jaya dan dijangka siap pada hari ini, 24 Oktober 2014.

Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk memberikan sumbangan saguhati untuk membaikpulih kerosakan yang melibatkan kerangka kayu dan penggantian bumbung bagi lebih 40 buah rumah mengikut tahap kerosakan yang akan dinilai oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Kos untuk maksud ini dianggarkan berjumlah RM50,000.00.

Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama Lembaga Urus Air Negeri Selangor (LUAS) untuk membina semula Jeti Nelayan Sungai Aur bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan nelayan di kawasan Pandamaran. Kos dianggarkan berjumlah RM30,000.00.
Majlis Perbandaran Klang telah diberikan sejumlah RM73,000.00 untuk

kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan, sampah sarap, pemotongan dan
pembersihan pokok-pokok yang tumbang berikutan bencana ribut taufan ini.

MMKN juga telah bersetuju melaksanakan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi dengan bertemakan “ Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014 “ yang bertujuan untuk meningkatkan tindakan pencegahan dan kawalan denggi di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pelan Tindakan ini berfokuskan tiga (3) bentuk pendekatan ; kawalan dan tindakan, aktiviti kesedaran dan promosi, serta pemantauan secara berterusan.

YAB. TUAN MOHAMED AZMIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR