AZMIN ALI

LATEST

Day: November 3, 2014

Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014

UCAPAN MAJLIS PELANCARAN PELAN TINDAKAN
YAB MOHAMED AZMIN ALI

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

SELANGORKU BEBAS DENGGI 2014 &

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM GOTONG – ROYONG MEGA

”TERJAH & MUSNAH AEDES NEGERI SELANGOR 2014”

Saudara Pengacara Majlis

Yang Berhormat Puan Dr. Daroyah Binti Alwi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Wanita & Keluarga

Yang Berusaha Dato’ Mohammad Roslan Bin Sakiman, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,

Ketua-ketua Jabatan, pimpinan masyarakat, warga media seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama para hadirin sekalian di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 & Majlis Perasmian Program Gotong – Royong Mega : Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014 anjuran Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor.

Majlis pada hari ini diadakan khas bagi memberi taklimat kepada pemimpin masyarakat Negeri Selangor mengenai program Mega yang akan dijalankan secara serentak di seluruh negeri Selangor pada 16 November 2014. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat komited untuk membanteras nyamuk aedes dan penyakit demam denggi.

Kehadiran pemimpin masyarakat Negeri Selangor yang terdiri daripada ahli majlis PBT, Tok Penghulu, dan ketua-ketua Kampung pada hari ini turut mencerminkan iltizam rakyat Negeri Selangor di dalam kes denggi ini.

Para hadirin sekalian, seperti yang kita maklum, wabak Denggi bukanlah epidemik yang baru di Negara ini. Namun, kesedaran terhadap bahayanya wabak denggi masih rendah di kalangan masyarakat tempatan.

Negeri Selangor kini menyumbang 60 peratus kes wabak denggi di Malaysia dengan jumlah kes yang tertinggi mengikut laporan status oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi minggu ke 43 tahun 2014 ini, setakat 25 oktober lalu, kes denggi yang dilaporkan adalah 1,008 kes menjadikan jumlah kes bagi tahun ini sahaja di negeri Selangor adalah 41,570 kes dan 58 kematian.

Para hadirin sekalian, Denggi ini adalah penyakit disebabkan oleh virus denggi DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4; dan dalam tahun 2013 ditemui satu serotype baru iaitu DENV-5. Vektor pembawa penyakit denggi adalah nyamuk, aedes aegypti.

Untuk membiak, nyamuk ini memerlukan medium air. Oleh sebab itu, nyamuk ini akan membiak di dalam tempat-tempat takungan air terutamanya air yang tidak mengalir dan jernih. Nyamuk aedes ini hanya memerlukan 7 hari sahaja untuk melengkapkan kitaran sebagai nyamuk. Dengan musim tengkujuh yang sedang melanda negara kita sekarang, maka wujud banyak tempat takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Laporan Keempat Panel Antara Kerajaan Untuk Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change, IPCC) pada 2007 telah mengesahkan bahawa iklim sedang berubah dan pemanasan buatan manusia telah mempengaruhi sistem fisikal dan biologi dunia. Perubahan iklim akan menyebabkan berlakunya gangguan kepada ekosistem sedunia, tempat manusia dan haiwan bergantung dan juga menyebabkan kesan-kesan kepada sistem kesihatan antaranya, peningkatan pesakit demam denggi.

Cuaca yang panas dan kelembapan yang tinggi sepanjang tahun telah menjadikan persekitaran dan iklim Negara ini amat sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes. Demam denggi merupakan isu alam sekitar dan untuk mengurangkan kesannya maka amat penting diwujudkan keadaan alam sekitar yang bebas nyamuk Aedes.

Dengan peningkatan suhu ambien sebanyak 2 darjah Celsius dan perubahan kadar hujan yang tidak menentu sehingga tahun 2050, pemindahan penyakit denggi dijangka semakin meningkat

Sikap masyarakat amat penting dalam usaha memerangi denggi. Saya mahu ingatkan kepada semua rakyat Selangor bahawa kesedaran mengenai kebersihan sekeliling amat perlu dititikberatkan oleh setiap individu. Dalam negeri yang pesat membangun seperti di Selangor, aktiviti ekonomi rancak perlu diiringi tanggungjawab menjaga kebersihan. Daripada halaman rumah ke kawasan pembinaan, kepekaan terhadap kawasan yang mungkin menjadi habitat nyamuk Aedes ini perlu menjadi sebahagian daripada pengetahuan am setiap individu dalam masyarakat.

Sikap sambil lewa masyarakat yang berpendapat berpendapat bahawa kerajaan perlu menjalankan fogging dengan lebih kerap bagi mengurangkan kes demam denggi perlu berubah. Fogging bukanlah penyelesaiannya. Aktiviti fogging merupakan langkah pencegahan yang terkakhir bagi membunuh nyamuk aedes dewasa dan bukannya langkah paling utama. Selaku individu, usaha memeriksa persekitaran kediaman selama 10 minit seminggu sekali adalah perlu untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri Selangor mengambil pendekatan untuk turun bersama ke peringkat paling asas dan bersama dengan masyarakat bagi memastikan tiada tempat atau kawasan yang boleh dijadikan tempat pembiakan nyamuk aedes ini adalah melalui kebersihan.

Penglibatan individu, komuniti dan agensi harus ditingkatkan. Kerjasama antara agensi paling penting dalam program-program kesedaran dan pembasmian ini.

Pelbagai tindakan pencegahan telah diadakan sejak 2013 yang melibatkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor. Antara fokus bagi mengatasi masalah peningkatan demam denggi adalah pemeriksaan ke tapak pembinaan, kawasan projek terbengkalai, kutipan sampah haram, pemeriksaan ke rumah-rumah dan kawasan perindustrian, semburan fogging secara berkala dan sekiranya terdapat kes denggi di kawasan tersebut, menggiatkan aktiviti promosi dan kesedaran di sekolah rendah dan menengah di Negeri Selangor.

Salah satu program yang signifikan untuk mempertingkat kesedaran masyarakat berhubung isu denggi ini adalah program SPIN CLEANING yang pernah diadakan di Gombak dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang. ‘Spin Cleaning’ merupakan program khidmat masyarakat bertujuan menumpukan kepada aspek kebersihan serta menyedarkan dan membentuk masyarakat kepada kesedaran gaya hidup dipersekitaran yang bersih dan sihat turut diadakan.

Secara tidak langsung, program ini menuntut anjakan paradigma pemikiran masyarakat serta keadaan fizikal kawasan yang dijadikan sasaran program. Saya berharap konsep ini boleh diterapkan dalam setiap aktiviti kita apatah lagi sekiranya mendapat sambutan dan sokongan daripada pihak swasta melalui program – program CSR.

Selain itu, program COMBI, yang singkatannya Communication for Behavioural Impact atau Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku anjuran Jabatan Kesihatan Negeri perlu terus dipergiatkan oleh masyarakat. Program ini bertujuan untuk memperkasa peranan komuniti dalam mencegah dan mengawal kejadian penyakit khususnya penyakit demam denggi dengan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya dan cara nyamuk Aedes ini membiak.

Melalui program ini, Ahli – Ahli Dewan Negeri dan pimpinan masyarakat harus memainkan peranan penting untuk mempertingkat partisipasi masyarakat bersama agensi – agensi terlibat untuk melaksanakan program ini demi kepentingan umum.

Pelan Tindakan Denggi Selangor 2014 yang akan dilancarkan ini adalah kesinambungan daripada pelan tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi – agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tiga bentuk pendekatan yang diberi fokus adalah ; Kawalan dan tindakan, aktiviti kesedaran dan promosi serta pemantauan secara berterusan bagi memastikan program ini sampai kepada matlamatnya.

Oleh yang sedemikian, Program Gotong-Royong Mega: Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014 akan diadakan pada 16 November 2014 di seluruh Negeri Selangor secara serentak bagi membersihkan kawasan awam seperti, kawasan komersial, rumah kedai, kawasan tumpuan awam dan kawasan rumah kediaman.

Kerajaan Negeri Selangor yang komited untuk melaksanakan gagasan Negeri Pembangunan atau Developmental State akan turut memastikan elemen pembangunan masyarakat khususnya pemikiran, kesedaran dan perilaku masyarakat untuk memastikan kebersihan dan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan bebas daripada wabak penyakit.

Kita sedar, sikap kebertanggungjawaban, nilai murni dan sahsiah masyarakat perlu dibangunkan seiringan. Kita tidak mahu Negeri ini maju, aktiviti pembangunan pesat, akan tetapi mutu kesihatan rakyat kian terjejas.

Saya berharap usaha yang dilaksanakan ini mendapat sokongan dan kerjasama yang konstruktif daripada Kerajaan Pusat. Sebelum ini saya ditemui oleh doktor di Hospital Kerajaan dan Swasta yang mengadu berhubung jumlah pesakit denggi yang begitu ramai sehingga tidak mampu lagi ditampung oleh pihak hospital. Justeru Kerajaan Negeri Selangor berpendapat langkah paling penting perlu diambil semua pihak di seluruh Negara ini adalah langkah pencegahan.

Justeru menjadi tanggungjawab kita untuk memupuk kesedaran masyarakat dan menyampaikan maklumat berkaitan Program Gotong Royong Mega yang akan diadakan untuk memastikan penglibatan dan partisipasi majoriti rakyat di Negeri Selangor.

Kita juga mengalu – alukan kerjasama dan usaha konstruktif warga media selaku agen sosialisasi masyarakat untuk turut mempromosikan kesedaran berhubung pencegahan dan bahaya wabak denggi kepada rakyat.

Maka, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan menyempurnakan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 & Program Gotong – Royong Mega : dengan tema : Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014.

Sekian, Terima kasih.