AZMIN ALI

LATEST

Day: November 8, 2014

Ucapan Menteri Besar untuk Majlis Konvokesyen Unisel

UCAPAN YAB TUAN MOHAMED AZMIN BIN ALI, DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

PADA ISTIADAT KONVOKESYEN UNISEL KALI KE 9 TAHUN 2014

TARIKH
8 NOVEMBER 2014 (SABTU)

BISMILLAHIRAHMANNIRAHIM

Y.A.D RAJA TAN SRI DATO’ SERI ARSHAD ALHAJ BIN RAJA TUN UDA ALHAJ
CANSELOR UNISEL,

YANG BERBAHAGIA DATO’ SETIA DR. ANUAR BIN MASDUKI
PRO-CANSELOR UNISEL,

YANG BERBAHAGIA TAN SRI DATO’ SETIA ISMAIL BIN ADAM
PRO-CANSELOR UNISEL,

YANG BERHORMAT TUAN NIK NAZMI BIN NIK AHMAD
PENGERUSI TETAP PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS DAN TEKNOLOGI SERTA INOVASI.

YANG BERBAHAGIA PROF DR HAJI ANUAR BIN HAJI AHMAD,
PRESIDEN DAN NAIB CANSELOR UNISEL,

YANG BERBAHAGIA AHLI-AHLI LEMBAGA PENGARAH PENDIDIKAN INDUSTRI YAYASAN SELANGOR BERHAD (PIYSB), WAKIL-WAKIL DARI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM DAN SWASTA,

DEKAN-DEKAN FAKULTI PENGAJIAN DAN PEGAWAI-PEGAWAI UTAMA UNIVERSITI, IBU BAPA YANG DIHORMATI SERTA PARA GRADUAN YANG DIRAIKAN SEKALIAN.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T dan tahniah kepada para graduan, class of 2014, kerana berjaya menggenggam segulung ijazah yang sangat bernilai.

2. Kejayaan yang diraikan para graduan pada hari ini juga adalah hasil dari pengorbanan dan doa ibu – bapa demi memastikan anak – anak mereka berjaya dengan cemerlang. Kepada para graduan, jangan sesekali melupakan pengorbanan ibu bapa dan para pensyarah.

3. Kejayaan menyempurnakan Konvokesyen Universiti Selangor kali ke 9 membuktikan UNISEL berjaya mendidik serta meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk menjadi teras kepada pembangunan negara dan masyarakat.

4. UNISEL ditubuhkan dengan moto ‘shaping society’, sebagai wahana pembentukan masyarakat. Namun begitu, dalam kemajuan dan perkembangan teknologi pada hari ini, apakah bentuk masyarakat yang mahu kita bangunkan ?

5. Setiap agenda pembangunan masyarakat perlu berteraskan falsafah pembangunan yang jelas. Sebagai contoh, Universiti Stanford memilih kebebasan (freedom) sebagai teras kepada falsafah universiti. The winds of freedom blows yang digarap oleh David Starr Jordan, pengasas Stanford, membuktikan bahawa komitmen untuk menjadikan kebebasan sebagai teras pembangunan universiti telah berjaya menjadikan Stanford sebagai salah sebuah universiti yang terulung di dunia.

6. Bagi negeri Selangor, saya yakin UNISEL perlu menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pembentukan masyarakat yang adil, a just society. A just society towards a just nation.

7. Masyarakat yang adil adalah sebuah masyarakat yang bertunjangkan tiga ciri utama ; equity, diversity, democracy. Ini selaras dengan gagasan untuk membangun negeri Selangor sebagai sebuah Negeri Pembangunan, yang mana pembangunan bukan sahaja dilihat daripada lensa pertumbuhan ekonomi, tetapi juga dilihat daripada perspektif keadilan sosial.

8. Ini menuntut satu anjakan paradigma dalam pendidikan negara khususnya pendidikan tinggi. Umumnya pendidikan tinggi moden telah memisahkan mahasiswa dan realiti masyarakat. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjalin semula dunia akademik dengan masyarakat sekeliling.

9. Keberanian intelektual (intellectual courage) mestilah seiring dengan keberanian moral (moral courage). Hanya dengan keberanian dan keinginan yang tinggi akan menjelmakan kreativiti dan inovasi yang akhirnya membawa kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan tinggi.

10. Kerajaan Negeri Selangor beriltizam membangunkan UNISEL sebagai hub kesarjanaan dan pusat kecemerlangan ilmu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan sains, teknologi dan inovasi serta penerbitan.

11. Untuk melaksanakan hasrat dan cita – cita ini, kerajaan negeri akan terlibat secara langsung dalam program penterjemahan beberapa karya antarabangsa. Gerakan penterjemahan ini adalah strategi keilmuan serta kebudayaan yang dilalui oleh tamadun Islam yang mencetuskan The Baghdad Enlightenment – Pencerahan Baghdad di abad ke-10.

12. The enlightened caliphs, khalifah – khalifah pencerahan yang mengasaskan Darul Hikmah – the House of Wisdom – giat menterjemahkan karya – karya falsafah dan sains dari Greek purba kepada bahasa Arab yang membawa kepada kejayaan tamadun Islam yang menyinarkan dunia.

13. Keberanian untuk menjadi bijak ; Sapere aude, yang dilaungkan Immanuel Kant ditekankan oleh John Henry Newman pada 1854 dalam suatu syarahan yang berjudul The Idea of University. Bagi Newman, sebuah universiti bukan sahaja tempat untuk menyampaikan maklumat akan tetapi sebagai sebuah taman ilmu, buat para pelajar meresapi “the graces and accomplishments of a higher form of life.

14. Pensyarah dan mahasiswa seharusnya merancakkan wacana serta perbincangan demi mengungkapkan kebenaran. Perkembangan komuniti intelektual hanya dapat dicapai apabila universiti mengamalkan kebebasan akademik. Ini sejajar dengan pesan Al Quran, Surah Al Zumar ayat 9 :

adakah
Adakah sama orang – orang yang mengetahui dengan orang – orang yang tidak mengetahui?

15. Bagi membudayakan tradisi keilmuan di kalangan masyarakat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 60 juta bagi tujuan membaik pulih asrama UNISEL dan sistem pembentungan di Kampus Bestari Jaya bagi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif. Bagi tujuan pembangunan ICT, satu peruntukan sebanyak RM 2.65 juta khas untuk UNISEL turut diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi menaiktaraf sistem rangkaian komputer.

16. Sementara saya komited untuk menjadikan pendidikan sebagai teras pembangunan negeri, saya cukup memahami keperluan kewangan yang diperlukan untuk membiayai pendidikan anak – anak dari desa dan keluarga berpendapatan rendah. Justeru, mulai tahun 2015, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 10 juta setahun untuk Tabung Biasiswa Pelajaran khusus untuk pelajar UNISEL yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.

17. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Dana Bantuan Sara Diri khas untuk mahasiswa UNISEL dengan peruntukan berjumlah RM 12 juta sebagai bantuan sebelum mereka mendapat pembiayaan pendidikan seperti pinjaman PTPTN.

18. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor berjumlah RM 10 juta yang memberikan kemudahan pinjaman boleh ubah (convertible loans) kepada pelajar cemerlang di Selangor.

19. Program Hadiah Anak Masuk Universiti di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sebelum ini akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM 8 juta, khusus kepada pelajar Sarjana Muda dan Diploma dari keluarga yang berpendapatan kurang RM 3,000 sebulan. Setiap mereka akan menerima RM 1,000 selepas mendaftarkan diri untuk tahun pertama di UNISEL.

20. Pengumuman – pengumuman ini menzahirkan komitmen kerajaan terhadap agenda pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri Selangor. Dana yang diperuntukkan bagi tujuan pendidikan ini, bukan hanya merupakan pelaburan kerajaan demi masa depan, akan tetapi turut merupakan inisiatif permuafakatan bersama mahasiswa, para pensyarah, warga alumni dan masyarakat khususnya rakyat negeri Selangor.

21. Harapan kita, melalui permuafakatan ini, institusi pendidikan negara bebas dari belenggu barah excellence without soul seperti yang diungkapkan oleh Harry Lewis, sarjana dari Universiti Harvard. Kita berkeyakinan, UNISEL mampu melahirkan generasi muda yang mempunyai conscience , hati nurani yang mampu memberi nilai tambah dan impak positif, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.