AZMIN ALI

LATEST

Day: November 10, 2014

SMS isu sampah positif

Sumber: Sinar Harian

SEPANG – Lebih 1,000 SMS berkaitan maklum balas isu kutipan sampah diterima Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sejak beliau mengambil tindakan berani mendedahkan nombor telefonnya kepada umum.

Menurutnya, semua aduan itu akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan masing-masing untuk tindakan segera.

“Dalam tempoh kurang seminggu, lebih 1,000 SMS masuk. Saya lanjutkan aduan kepada pihak PBT dan saya ingin pastikan PBT bertindak.

Ini satu usaha berterusan yang akan kita lanjutkan sehingga tiga bulan lagi. Dijangka akan lebih banyak SMS diperolehi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Daerah Sepang, semalam.

Beliau dalam pada itu tidak menafikan masalah sampah di Selangor besar dan bersungguh mahu menyelesaikannya.

Beliau turut meminta PBT menggandakan usaha memastikan kebersihan di jalan raya dan taman perumahan diberi keutamaan.

“Memang banyak sampah. Ini aduan daripada rakyat, jadi saya minta PBT teliti kalau benar ada sampah kena bersihkan,” katanya.

Sebelum ini Mohamed Azmin melalui Twitter miliknya menulis ‘Kalau anda nampak ada sampah belum kutip, anda ‘text’ saya. Ini nombor saya: 0122052020. Saya mahu Selangor bersih!’.

Terdahulu, menteri besar itu juga memberi masa tiga bulan kepada semua PBT untuk menyelesaikan isu sampah berakhir 31 Disember.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau memaklumkan isu pengambilan Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah ALLAH oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Januari lalu masih dalam proses perbincangan.

“Kta boleh selesaikan masalah ini cara baik untuk menjaga keharmonian di Selangor. Ia juga mesti selaras dengan tuntutan agama Islam yang menuntut kita hormati semua agama,” katanya.