AZMIN ALI

LATEST

Day: December 28, 2014

Kenyataan Media YAB Dato’ Menteri Besar Selangor – Bantuan Bencana Banjir

KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
28 Disember 2014

Saya dan delegasi Kerajaan Negeri Selangor telah berada di Kelantan selama dua (2) hari untuk menyampaikan sumbangan kemanusiaan dan ihsan Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan dan Rakyat Negeri Kelantan. Sumbangan telah diterima sendiri oleh YB Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan di Masjid Telipot, Kota Bharu.

Saya juga telah melawat ke beberapa Pusat Pemindahan Banjir dan kawasan yang sedang dilanda banjir yang kritikal termasuk Bandar Kota Bharu, Demit, Bunut Payung, Salor dan Guchil.

Dengan penuh keinsafan, saya dan delegasi Kerajaan Negeri Selangor menyedari bantuan yang disampaikan adalah kurang dari mencukupi memandangkan jumlah rakyat yang menjadi mangsa serta tahap kerosakan yang amat parah. Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira faham politik, organisasi serta setiap individu supaya meningkatkan bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat.

Atas nama kemanusiaan, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada setiap individu, organisasi dan NGO yang telah menghulurkan bantuan seperti bekalan makanan dan keperluan serta kerja – kerja menyelamat dan pemindahan mangsa banjir. Dalam situasi yang getir ini, kita pastinya memerlukan solidariti kemanusiaan dari seluruh rakyat Malaysia.

Kerajaan Negeri Selangor akan segera membuka Bilik Operasi Banjir Negeri bagi memperoleh dan meneliti maklumat terkini tentang keadaan cuaca serta bagi mempersiapkan seluruh jentera Kerajaan Negeri bagi menghadapi kemungkinan banjir merebak ke negeri – negeri lain termasuk ke Negeri Selangor. Saya menyeru organisasi seperti Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) meningkatkan jumlah sukarelawan untuk membantu kerja – kerja menyelamat serta kerja – kerja pembersihan sebaik banjir reda.

Untuk program pasca banjir, Kerajaan Negeri Selangor akan menurunkan seluruh jentera Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor bersama kemudahan pengangkutan lori dan jentera pengangkut bagi menjalankan kerja – kerja pembersihan sampah sarap dan sisa pepejal. Khidmat ini sangat penting bagi memastikan tiada penularan wabak penyakit berjangkit dikalangan rakyat.

Saya telah meminta syarikat – syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) bagi menyediakan bantuan seperti peralatan persekolahan dan kerja – kerja pembersihan kawasan kediaman untuk memastikan mangsa – mangsa banjir dapat segera kembali kepada kehidupan seharian yang sejahtera.

MOHAMED AZMIN ALI