AZMIN ALI

LATEST

Day: January 16, 2015

Ucapan Pelancaran Sistem E – Strata & Sistem Selamat

1. Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan izinNya, kita dapat berhimpun pada pagi ini bagi menjayakan Majlis Perasmian Sistem Pengurusan Hakmilik Strata Berkomputer ( e – Strata ) dan Secured Land Management System (SELAMAT), Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor. Ini adalah satu lagi usaha Kerajaan Negeri untuk menambahbaik perkhidmatan dan sistem penyampaian untuk pelanggan – pelanggan dan rakyat Negeri Selangor selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang mahu pembangunan yang berkualiti dan peduli rakyat.

2. Sebagai sebuah negeri yang maju, pembangunan berstrata merupakan satu konsep pembangunan perumahan yang berkembang pesat untuk menyediakan kemudahan kediaman bagi semua peringkat rakyat.

3. Sehingga Disember 2014, Selangor mencatatkan hakmilik strata sebanyak 441,564 petak daripada 7993 skim pemilikan strata. Ini merupakan bilangan tertinggi di Malaysia berbanding Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 276,812 petak dan Pulau Pinang memiliki 223,677 petak.

4. Beberapa pindaan yang dibuat ke atas Akta Hakmilik Strata sebelum ini, masih gagal menyelesaikan beberapa masalah urus tadbir yang melibatkan hakmilik strata. Antara masalah yang dihadapi oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor adalah tindakan penguatkuasaan strata tidak dapat dilakukan kerana Akta Hakmilik Strata (A1290) yang berkuatkuasa hari ini tidak menyediakan apa – apa peruntukan perundangan bagi melaksanakan penguatkuasaan ke atas pemaju yang gagal dan enggan memohon hakmilik strata yang melibatkan bangunan yang siap dibina. Dalam menghadapi masalah ini, Jabatan Ketua Pengarah dan Tanah Galian Persekutuan (JKPTG) kini dalam usaha untuk menguatkuasakan peruntukan baharu pada Akta Hakmilik Strata yang membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

5. Selain itu, pengurusan pemilikan petak hakmilik strata yang dilantik sebagai Ahli Perbadanan Pengurusan (MC) tidak mampu mengurus dan mengawal selia bangunan kediaman dengan baik. Ini kerana pemilik – pemilik petak kurang pengetahuan dalam mengurus hal ehwal yang melibatkan bangunan berstrata. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Tanah dan Daerah bakal menjalankan usaha bagi menambah kefahaman pemilik – pemilik petak hakmilik strata ini.

6. Kerajaan Negeri juga menghadapi kekangan mengutip hasil kerana tunggakan pembayaran cukai tanah daripada pemilik – pemilik petak yang melibatkan bangunan berstrata tidak dapat dikutip sepenuhnya oleh Perbadanan Pengurusan (MC) berdasarkan petak – petak yang ada di dalam lot tanah yang terlibat. Ini juga akan menyukarkan sebarang urusan pindahmilik serta lain – lain urusan di Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah di Negeri Selangor di masa yang akan datang.

DSC_0211

7. Pertambahan hakmilik strata pada setiap tahun menyebabkan urusan yang melibatkan hakmilik strata juga meningkat. Ini adalah cabaran yang perlu ditangani oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah seluruh Negeri Selangor. Saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Pengarah Tanah dan Galian Selangor serta pegawai – pegawai yang telah berjaya membangunkan satu sistem yang terulung di Malaysia yang melibatkan urus tadbir hakmilik strata yang selamat dan efisien untuk memantapkan sistem penyampaian.

8. Alhamdulillah, Sistem e – strata telahpun diwartakan secara keseluruhan pada 2 Januari 2015 oleh Jabatan Peguam Negara. Ini adalah satu pengiktirafan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang responsif dan proaktif terhadap keperluan rakyat. Sistem e – Strata ialah Sistem Pendaftaran Hakmilik Strata secara berkomputer bagi memenuhi keperluan pihak awam yang berorientasikan customer – focused services.

9. Pada tahun 2014, Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah menerima sebanyak 112,330 perserahan pindahmilik urusniaga dan bukan urusniaga yang melibatkan hakmilik strata berkomputer, berbanding pada tahun 2013 sebanyak 47,394 perserahan pindahmilik. Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang amat drastic dan pengwujudan sistem e – strata yang berkonsepkan urus tadbir tanah secara berkomputer ini, diharapkan dapat membantu mempercepatkan dan melancarkan lagi semua urusan yang melibatkan hakmilik strata di Negeri Selangor.

10. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memastikan Sistem e – Strata ini ditambahbaik agar ianya boleh digunapakai selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata 2013 dan peraturan – peraturan serta akta – akta lain yang sedang berkuatkuasa.

11. Untuk itu, saya juga ingin menyarankan di sini supaya Pejabat Tanah dan Galian Selangor mendaftarkan Sistem e – Strata sebagai harta intelek Negeri Selangor di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi melindungi isi kandungan dan komponen – komponen lain yang berkaitan dengan sistem berkenaan.

12. Secara keseluruhannya, Sistem e – Strata ini mampu membantu Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan pentadbir tanah daerah untuk mengurus maklumat hakmilik strata secara sistematik, meningkatkan kecekapan urusan di masa hadapan dan seterusnya dapat memberi kepuasan kepada semua pelanggan, terutamanya bagi urusan pengeluaran hakmilik strata. Di samping itu juga, ianya dapat membantu meningkatkan jumlah kutipan hasil Negeri Selangor bagi urusan berkaitan hakmilik strata.

13. Pagi ini juga, kita akan melancarkan Sistem SELAMAT, atau Secured Land Management System. Sistem SELAMAT adalah sistem yang dibangunkan berasaskan teknologi biometric sepenuhnya yang melibatkan penggunaan cap jari dan MyKad. Pembangunan sistem ini mampu memberikan impak yang besar dalam mewujudkan sistem tadbir urus tanah yang lebih selamat dan berintegriti dalam mengekalkan kepercayaan dan keyakinan rakyat serta para pelabur terhadap pentadbiran tanah dalam menangani isu – isu penipuan.

14. Pembangunan Sistem SELAMAT ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama bersepadu dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Objektif utamanya adalah bagi memastikan prosedur perserahan suratcara dan pendaftaran serta urusan kerja yang berkaitan tanah dipatuhi dan sentiasa dikemaskini.

15. Saya berharap pengwujudan Sistem SELAMAT ini menjadi salah satu mekanisme keselamatan terbaik bagi mengelakkan Kerajaan Negeri mengalami kerugian dalam menyelesaikan kes kes penipuan serta fraud yang melibatkan pendaftaran urusan Hakmilik Tanah di negeri ini.

16. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Dato’ Kamarulzaman Bin Jamil, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, warga kerja Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor serta seluruh Jabatan yang terlibat dalam membangunkan Sistem Pengurusan Hakmilik Strata Berkomputer (e – Strata) dan Sistem SELAMAT di Negeri Selangor. Semoga sistem ini dapat memberi kebaikan dan manfaat kerpada pelanggan yang berkaitan dengan urusan pentadbiran tanah di Negeri Selangor.

17. Dengan ini, marilah kita bersama – sama menyempurnakan pelancaran Sistem Pengurusan Hakmilik Strata Berkomputer (e-Strata) dan Secured Land Management System (SELAMAT) oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor.

Sekian, terima kasih.