AZMIN ALI

LATEST

Day: January 17, 2015

Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor

Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah, kita dapat sama – sama berarak dan berhimpun pada pagi ini bagi meraikan Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Peringkat  Daerah Gombak 1436H.

Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana yang dipelopori oleh Pejabat Agama Islam Daerah Gombak serta Pejabat Daerah Gombak dengan kerjasama agensi – agensi Kerajaan peringkat Daerah Gombak kerana berjaya melaksanakan majlis yang cukup bermakna kepada kita semua, khususnya buat umat Islam di negara ini.

Sambutan Maulidur  Rasul seperti ini tidak pernah wujud pada ketika Zaman Rasulullah S.A.W., Zaman Khalifah dan pada zaman dinasti awal Islam. Walaubagaimanapun,  akibat berlakunya kelonggaran dalam penghayatan ajaran Islam yang dianjurkan oleh Rasululah S.A.W., maka pada abad ke-7 Hijrah, Raja Irbil , Sultan Muzhaffaruddin al – Kaukabri yang merupakan kekanda ipar kepada Sultan Salahudin al – Ayubi telah mengadakan majlis sambutan kelahiran Rasulullah S.A.W. atau Sambutan Maulidur Rasul.

Memandangkan tindakan Sultan Al – Muzhaffar ini telah diiktiraf oleh para ulama pada zaman itu, maka perayaan ini tidak dianggap sebagai satu bid’ah seperti dakwaan beberapa kelompok tertentu dalam masyarakat Islam kini. Selain Kerajaan Irbil, Kerajaan Fatimiyyah di Mesir turut menganjurkan perayaan Maulidur Rasul demi memperkukuh syiar Islam di bumi Mesir.

Rasulullah S.A.W. adalah insan kamil pilihan Allah S.W.T. sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Ajarannya telah sempurna seperti yang diungkap dalam firman Allah SWT:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Umat Islam pada hari ini perlu meneladani ajaran Islam yang dibawakan oleh Rasulullah S.A.W. dan tidak bertaklid dengan mana – mana ajaran yang bertentangan dengan risalah Baginda Muhammad S.A.W. Ini termasuklah fenomena yang dibawa oleh golongan inkar al – Sunnah ; mengamalkan ajaran – ajaran sesat yang bertentangan dengan doktrin tauhid dan kerohanian Islam serta pelanggaran  hak asasi manusia (HAM) yang jelas berlawanan dengan Piagam Karamatul Insan (kemulian insan) seperti yang telah diisytiharkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam khutbah Hujjatul Wada’, tidak lama sebelum kewafatan Baginda.

Ajaran yang terkeluar daripada landasan Islam ini akan menyebabkan keruntuhan akhlak dalam pelbagai bentuk termasuk kerendahan akal budi pemimpin, amalan rasuah, salah guna kuasa, ketidakadilan institusi perundangan, pemimpin yang tidak amanah dan kebejatan moral. Jika gejala seperti ini berterusan maka negara akan kembali terheret ke arah Zaman Kegelapan ; kemiskinan, tahap pendidikan yang rendah serta sistem perbandaran yang mundur.

Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor pada tahun ini menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul dengan tema “Kesederhanaan Dikekalkan Ekstrimisme Dilawan”. Menjadi harapan Kerajaan Negeri agar tema ini dijayakan demi hasrat dan cita – cita murni rakyat yang mendambakan Negeri Selangor sebagai sebuah Negeri yang kospomolitan, maju dan damai.

Sesungguhnya Islam adalah agama rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk seluruh alam), agama damai (al – salam), bukan agama perseteruan dan kebencian (al’adawah wal baghda’) serta bukan agama kekerasan dan keganasan (al – ghilzah dan al’unf). Islam juga sangat menganjurkan prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) yang menepati pesanan Al – Quran dan As Sunnah. Oleh kerana itu, penting ditegaskan tekad dan pendirian kita untuk menolak sebarang bentuk eksrimisme (ketaksuban) agama dan bangsa kerana kedua – duanya adalah bertentangan dengan risalah Islam bawaan Junjungan besar Muhammad SAW.

10.  Firman Allah SWT:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

(Surah al – Baqarah: 143)

Peristiwa tragis di Pejabat Akhbar Satira Charlie Hebdo di Paris minggu lalu membuktikan kemunculan golongan neo – Khawarij yang bukan sahaja berada di dunia Islam tetapi juga sudah merebak ke dunia Barat. Khawarij sebagai satu firqah (kumpulan kecil) yang wujud dalam sejarah Islam dan ia telah dikategorikan oleh jumhur ‘ulama sebagai kelompok ganas dan extremis dalam pendekatan dakwah yang bertentangan dengan risalah Islam. Dalam hal ini, Kerajaan Selangor telah menyatakan pendirian dengan tegas bahawa keganasan atas nama agama tidak dapat diterima sama sekali meskipun usaha menangani keganasan hendaklah berlaku secara adil oleh semua pihak.

Namun begitu, kita juga ingin mengingatkan Dunia Barat untuk menghentikan sebarang bentuk provokasi terhadap junjungan besar Muhammad S.A.W. kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan membangkitkan emosi umat Islam. Kita harus mengambil iktibar daripada pandangan beberapa tokoh sarjana Kristian di Barat  seperti John Esposito, John O. Vall, Hans Kung, Karen Amstrong dan lain – lain yang menganjurkan supaya diwujudkan “Global Ethics”  bagi mengurangkan ketegangan agama di dunia Islam dan barat.

Oleh yang sedemikian, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul di Negeri Selangor dengan kepelbagaian program yang dapat menyantuni minda dan jiwa masyarakat Islam, bahkan juga masyarakat bukan Islam. Kita akan meneruskan pendekatan dakwah yang lebih ceria dengan pengisian ilmu dan tarbiyyah serta pendekatan yang lebih komprehensif dan berkesan.

Adalah diharapkan agar semangat Maulidur Rasul yang disambut pada hari ini dapat menyemaikan rasa mahabbah (kasih dan cinta) kita yang berterusan dan berkekalan untuk junjungan besar Muhammad S.A.W. dengan penuh keikhlasan.  Marilah kita sama – sama berdoa agar seluruh umat Islam memperolehi shafa’at dan barakahnya di dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Oleh yang sedemikian, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama – sama menyempurnakan upacara perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gombak bagi tahun 1436H /2015M.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah,

Wassalamu’alaikum warrahmatullahi wabarakatuh.