AZMIN ALI

LATEST

Day: February 4, 2015

Ucapan Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Majlis Perasmian Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1436H/2015M

1. Marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia, qudrat dan iradat-Nya, dapat kita bersama-sama berhimpun di Majlis Perasmian Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1436H/2015M. Semoga dengan keberkatan majlis pada malam ini, kita akan dianugerahkan oleh Allah S.W.T. dengan limpahan rahmat serta kesejahteraan di dunia dan akhirat.

2. Majlis ini menuntut kita untuk menginsafi dan menghayati suatu tanggungjawab kita semua khususnya golongan muda untuk kembali mendaulatkan keagungan Al-Quran sebagai kitab suci yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T. ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

3. Syabas dan tahniah diucapkan kepada para peserta yang telah berjaya mewakili daerah masing-masing ke peringkat negeri pada malam ini. Saya mendoakan agar para peserta dari Negeri Selangor berjaya sampai ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat kebangsaan.

4. Cabaran umat Islam mutakhir ini begitu getir dengan segala ancaman yang dihadapi dalam pelbagai aspek. Jika dipandang dari segi aspek kemasyarakatan, kita berhadapan dengan segala kepincangan sosial, keruntuhan akhlak, kepincangan budaya, hakisan nilai-nilai murni akibat rempuhan globalisasi dan cabaran sekularisme.

5. Manakala dari aspek ekonomi, umat Islam masih jauh terkebelakang berbanding dengan bangsa-bangsa lain meskipun negara-negara umat Islam kaya dengan sumber hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Kita juga terus diuji dengan cabaran yang sangat getir dalam sejarah umat Islam kerana keangkuhan musuh-musuh Islam menindas serta melemahkan kekuatan yang ada pada umat Islam di serata dunia.

6. Umat Islam yang dicirikan oleh Al-Quran sebagai umat yang memiliki ‘izzah (kemulian diri) kini sedang berada dalam keadaan yang lemah (azillah). Kedaifan umat sudah dibicarakan sejak sekian lama seperti yang pernah dibahaskan secara ilmiah oleh para mujaddid Islam pada abad ke 20 dan 21 seperti Syaikh Muhammad ‘Abduh, Rashid Rida, Jamalauddin al-Afghani, Shakib Arslan, Muhammad Iqbal, Syed Qutub, Malik Ben Nabi dan ramai lagi.

7. Kesemuanya bertegas meminta umat Islam kembali mempelajari dan melaksanakan perintah Al-Quran dengan mengambil pendekatan komprehensif bukan serpihan (tajzi’ah) seperti yang sedang berlaku dalam kalangan sebahagian besar umat Islam pada masa ini. Dalam hubungan ini, Sheikh Yusuf al-Qardawi, ‘ulama tersohor dan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, telah mengambil inisiatif menulis sebuah buku khusus untuk mendidik umat Islam supaya dapat berinteraksi dengan kitab suci Al-Quran dengan lebih sistematik.

8. Karya beliau yang berjudul Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran (Kayfa Nata’malu Ma’al Qur’an) diterbitkan dalam dekad 90an, sewajarnya ditelaah oleh kita semua dengan serius.

9. Dalam kita berhadapan dengan segala kegawatan, kita seharusnya tidak lupa akan pesanan Allah S.W.T. supaya kembali kepada Al-Quran sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 2 :

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

10. Perintah tersebut membimbing umat Islam dalam merawat kekalutan yang berlaku pada masakini dengan kembali berpegang kepada ajaran sebenar sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran tanpa sebarang keraguan.

11. Al-Quran adalah pelengkap kehidupan manusia. Justeru, Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. bersabda : “Di dalamnya terdapat masa lampau, berita masa datang, tidak lekang oleh panas, tidak lapuk oleh hujan, tidak terhenti keajaibannya, dan tidak pula usang oleh banyaknya diskusi tentangnya.”

12. Pada hakikatnya, keistimewaan dan kemukjizatan Al-Quran jika dipaparkan oleh sesiapa pun di atas dunia ini, ia masih belum dapat mencerminkan keseluruhan mukjizat agung Al-Quran itu.

13. Sesunguhnya Al-Quran sarat dengan petunjuk akidah, syari’ah, akhlak, adab, ilmu pengetahuan, ketamadunan, sejarah dan hukum alam (Sunnatullah), prinsip dan tatakelola pemerintahan, hubungan manusia dalam masyarakat pluralistik yang berlainan agama, bangsa dan budaya, keadilan sosial, perekonomian dan pelbagai aspek yang berkaitan dengan manusia.

14. Tema yang diangkat bersempena dengan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor pada tahun ini iaitu, “Kesederhanaan Dipertahan, Ekstrimisme Dilawan” dapat diperolehi petunjuk dan hikmahnya di dalam kitab suci Al-Quran.

15. Rakyat Negeri Selangor tidak boleh terpengaruh dengan perjuangan yang mengambil pendekatan jalur keras atau ekstrimisme agama.

16. Al-Quran menggunakan istilah “ghuluwwu fi al-din” (ekstrim dalam agama) atau apa yang pernah disebut oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. sebagai golongan “al-mutanatti’un”. Baginda berkata kelompok tersebut pasti menempa kebinasaan. Sabda Baginda : “halaka al-mutanatti’uun” (Binasa golongan yang mengamalkan keganasan).

17. Kelompok ekstrimis agama kini mengambil kesempatan di atas nama agama bagi mewujudkan ketegangan dalam dunia Islam dan Barat. Sesungguhnya, Islam merupakan agama perdamaian yang menganjurkan kasih sayang bagi segenap alam. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah Ali-Imran Ayat 103 :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

18. Adalah menjadi harapan dan impian Kerajaan Negeri, agar dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional yang sekaligus merupakan huffaz Al-Quran yang bertaqwa dan berketerampilan. Sememangnya diakui, di Selangor ini mempunyai ramai golongan profesional yang beragama Islam yang terdiri daripada jurutera, doktor, arkitek, akuantan, peguam dan sebagainya.

19. Namun, semakin sukar untuk kita mencari golongan professional Muslim yang mampu menghafaz dan sekaligus menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian.

20. Oleh yang demikian, saya berkeyakinan penuh, dengan adanya usaha yang berterusan dan terancang dari pihak Kerajaan Negeri dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berorientasikan Al-Quran serta mendirikan lebih banyak Sekolah Menengah Agama Tahfiz di Selangor, usaha murni tersebut, Insya Allah, boleh menjadi wadah terbaik melahirkan generasi profesional huffaz yang menghayati Al-Quran secara kaffah (komprehensif).

21. Mudah-mudahan bermula dari sini, rasa cinta terhadap Al-Quran di kalangan masyarakat kita akan menebal dan kian meningkat dari masa ke semasa. Saya yakin, jika umat Islam berjaya melaksanakan tuntutan ini, dengan izin Allah S.W.T., umat Islam dapat dibangkitkan semula, kembali menjadi umat yang terunggul dan dicontohi oleh seluruh masyarakat dunia meskipun banyak lagi usaha serius wajar dilakukan.

22. Buat akhirnya, saya mengambil peluang ini bagi merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan tahniah atas kerjasama, sokongan dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor pada tahun ini.

23. Saya yakin bahawa kerjasama dan gabungan yang erat dan mantap dari semua pihak ini mampu menjayakan setiap aktiviti atau program yang direncanakan. Semoga Allah S.W.T. memberkati segala usaha murni kita ini dan mendapat ganjaran setimpal di sisiNya.

24. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor bagi Tahun 1436H/2015M.