AZMIN ALI

LATEST

Day: February 19, 2015

Perutusan Tahun Baru Cina YAB Dato’ Menteri Besar Selangor

18 Februari 2015

Secara tradisinya, sempena meraikan tahun baru yang bakal muncul, masyarakat cina akan berkumpul di rumah bersama – sama keluarga besar mereka untuk memastikan keakraban dalam persaudaraan terus terjalin. Harapan mereka agar tahun baru yang menjelang akan membawa perubahan yang baik demi kesejahteraan semua.

Tahun Baru Cina pada tahun ini adalah tahun kambing. Tahun yang secara simboliknya memberikan keberuntungan serta melambangkan perdamaian dan kemakmuran. Hal ini diungkap dalam pepatah popular masyarakat Cina yang bermaksud “Tiga kambing membawa harmoni dan kebahagiaan”.

Selangor sebagai sebuah negeri paling maju di Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negeri yang makmur dan harmoni. Selaras dengan dasar ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’, pentadbiran ini akan senantiasa memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat terjamin. Kerencaman masyarakat akan terus disantuni dan kebajikan rakyat akan terus dipelihara dalam usaha Kerajaan Negeri membangun Selangor sebagai sebuah negeri yang kosmopolitan.

Justeru, setiap anggota masyarakat juga perlu memperkukuh tekad dan beriltizam untuk memiliki kehidupan yang lebih baik. Harapan kita, tahun ini akan lebih bahagia buat seluruh rakyat khususnya rakyat Negeri Selangor, dalam kedamaian dan kesederhanaan masyarakat.

Selamat tahun baru.

Gong Xi Fa Cai. Xin Nian Jin Bu, Xin Nian Hao, Nian Nian Hao

MOHAMED AZMIN ALI