AZMIN ALI

LATEST

Day: March 4, 2015

Kenyataan Media: Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 (MBPJ)

KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

4 Mac 2015

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah meneliti cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memberi Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 sebanyak 3 bulan gaji kepada Ahli Majlis dan kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

MMKN ingin menegaskan bahawa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor bertanggungjawab untuk menghayati akan tujuan penubuhan yang berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat. Oleh kerana itu, PBT diminta mematuhi dasar-dasar Kerajaan Negeri yang telah diputuskan sebelum ini selaras dengan Seksyen 10(9) Akta Kerajaan Tempatan 1972.

Peningkatan kutipan hasil adalah disumbang melalui pembayaran cukai rakyat kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan tidak boleh dilihat sebagai keuntungan perniagaan.

Kutipan hasil dan rezab perlu diurus dengan berhemah dan dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan yang berkualiti dan perkhidmatan yang efisien termasuk Piagam Pelanggan yang jelas, penyelenggaraan jalan yang baik dan selesa, pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap serta menjamin persekitaran yang bersih dan selamat.

Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu meneroka dan melabur dalam sektor perkhidmatan yang baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan bandar.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang hari ini MENOLAK cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk memberi Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014.

Walau bagaimanapun, MMKN bersetuju dengan ganjaran satu bulan sahaja kepada kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya tertakluk kepada syarat-syarat ketat penilaian prestasi secara menyeluruh.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyediakan satu garis panduan yang lebih ketat untuk semua Pihak Berkuasa Tempatan bagi menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

MOHAMED AZMIN ALI

PKR mohon Sarawak tarik larangan masuk pemimpin partinya

IMG_1443 IMG_1411 IMG_1382 IMG_14521 (1)

PKR hari ini memohon kerajaan Sarawak mengkaji semula larangan masuk ke negeri ini yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin kanan parti itu.

Timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata PKR menghormati Perkara 18 Perjanjian Malaysia namun meminta budi bicara ketua menteri Tan Sri Adenan Satem untuk mempertimbangkan permohonan itu.

Perjanjian Malaysia, yang melingkungi 20 perkara di Sabah dan 18 perkara di Sarawak, merupakan syarat yang ditandatangani pada 1963 semasa pembentukan Malaysia daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Saya meminta ketua menteri melihat semula tindakan terhadap beberapa pemimpin PKR yang dihalang masuk ke Sarawak.

“Saya tegaskan sementara kita menghormati undang-undang Imigresen dan autonomi Imigresen dalam Perkara 18, tetapi atas budi bicara ketua menteri, saya minta dapat membantu perkara ini.

“Dan sekiranya ada maklumat yang perlu disampaikan kepada kami tentang mengapa mereka tidak dibenarkan masuk, kita boleh cari jalan penyelesaian,” kata Azmin.

Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat hampir sejam terhadap Adenan di pejabat ketua menteri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.

Turut hadir, pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, naib pengerusi PKR Sarawak See Chee How dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Krian, Ali Biju dan Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei. – Bernama, 3 Mac, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-mohom-sarawak-tarik-larangan-masuk-pemimpin-partinya-kata-azmin#sthash.LuWiSZnN.dpuf