AZMIN ALI

LATEST

Day: March 16, 2015

Ucapan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Oleh YAB Mohamed Azmin Bin Ali

UCAPAN MENJUNJUNG KASIH TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG ALMU’TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH OLEH YAB MOHAMED AZMIN BIN ALI, AHLI PARLIMEN GOMBAK

16 MAC 2015

1. Saya menjunjung kasih di atas Titah Seri Paduka Baginda Yang Di – Pertuan Agong tatkala Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Malaysia yang Ketiga Belas pada 9 Mac 2015 yang lalu. DYMM menekankan keperluan membuka lembaran baru demi kepentingan rakyat.

2. Saya menyambut titah Tuanku supaya kita berusaha memelihara ketenteraman awam, mempertahankan keselamatan nasional, serta memperkukuhkan kedaulatan negara. Ikhtiyar ini adalah demi memartabatkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mampu memainkan peranan yang cukup signifikan bukan sahaja di arena rantau Asia akan tetapi juga di pentas global.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

3. 50 tahun lalu, pada 29 Mei 1966, Almarhum Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Malaysia mengadakan pertemuan dengan Tun Adam Malik, Menteri Luar Indonesia di Bangkok. Setelah berunding selama tiga hari, kedua-dua negarawan mengambil keputusan untuk menamatkan permusuhan dan memulihkan semula hubungan diplomatik Malaysia dengan Indonesia yang terputus selama dua tahun sembilan bulan akibat Konfrantasi.

4. Jurnal sejarah merakamkan catatan sumbangan Tun Abdul Razak dalam membina hubungan Malaysia-Indonesia dan pembentukan ASEAN. Tiga bulan kemudian, pada 11 Ogos 1966, Tun Abdul Razak terbang ke Jakarta untuk menandatangani perjanjian dengan Adam Malik bagi menamatkan Konfrantasi. Kejayaan Tun Abdul Razak menamat Konfrantasi amat mengembirakan rakyat Malaysia. Kepulangan beliau disambut oleh 15 ribu orang di Lapangan Terbang Subang. Kerajaan Negeri Selangor ketika itu telah memberikan cuti pada hari tersebut dan mengarahkan kakitangannya berada di Lapangan Terbang Subang.

5. Bagi mengukuhkan lagi hubungan, Adam Malik telah mengetuai delegasi seramai 45 orang ke Malaysia. Pertemuan bersejarah di Bangkok dan pemeteraian perjanjian di Jakarta bukan sahaja telah mengembalikan hubungan persahabatan antara dua negara serumpun, tetapi juga menyemai benih kepada pembentukan ASEAN. Setahun setelah tamatnya Konfrantasi, lima orang Menteri Luar Asia Tenggara, Tun Razak dari Malaysia, Tun Adam Malik dari Indonesia, Narciso Ramos dari Filipina, Rajaratnam dari Singapura, dan Tun Thanat Khoman dari Thailand bertemu pula di Bangkok dan mengasaskan pembentukan ASEAN. Dua percubaan sebelum itu, ASA – Association of Southeast Asia dan Maphilindo – untuk memperkukuhkan perpaduan negara-negara serantau gagal kerana prasangka, kebencian selain sikap tidak peduli.

6. Pembentukan ASEAN merupakan satu pencapaian besar negarawan rantau ini, juga Malaysia dan Indonesia yang menjadi pengasas kepada pertubuhan serantau tersebut. Apa yang dirumuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa berucap di Kongres pertama ASEAN sempena 25 tahun pertubuhan tersebut pada 8 Oktober 1992 adalah tepat:

“It was out of this crucible of conflict, indifference, even contempt, that there arose the conviction, that it was time to get to know each other better. It was out of this realization, that the leaders of Indonesia, Malaysia, the Philippines, Singapore and Thailand made the crucial decision to undertake a historical act of regional reconciliation. A decision was made to turn a region in turmoil into an oasis of tranquility, peace and security; to transform a region of strangers, into a society of friends; to turn a region of poverty and underdevelopment into a dynamic zone of prosperity and cooperation; and to take a region of cold peace and cold war and transform it into a community of warm and cooperative engagement.”

7. Cabaran kepada ASEAN bukanlah kecil. Tatkala ditubuhkan, Perang Vietnam, perang yang paling berdarah di zaman Perang Dingin, sedang memuncak. Bukan sahaja Perang Dingin antara “blok demokrasi” dengan “blok komunis” mencetuskan konflik di merata benua, tetapi ketika yang sama, berlaku Perang Dingin dalam blok komunis itu sendiri, antara Peking dengan Moscow, juga memberi kesan langsung kepada keselamatan negara-negara Asia Tenggara.

8. Bagi para negarawan yang mengasaskan ASEAN, pembentukan pakatan serantau itu adalah jawapan untuk mengelakkan rantau ini daripada terjebak dalam Perang Dingin antara kuasa besar dan ideologi. Justeru, salah satu dokumen terpenting ASEAN adalah Perisytiharan Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada 27 November 1971, iaitu Zone of Peace, Freedom and Neutrality Declaration. Hari ini, ketika dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran baru, termasuk soal keselamatan ASEAN, dua ketetapan yang diisytiharkan itu perlu kita ingati semula, iaitu :

That Indonesia, Malaysia, the Philippines, Singapore and Thailand are determined to exert initially necessary efforts to secure the recognition of, and respect for, South East Asia as a Zone of Peace, Freedom and Neutrality, from any form or manner of interference by outside powers;

That South East Asian countries should make concerted efforts to broaden the areas of cooperation which would contribute to their strength, solidarity and closer relationship.

9. Meskipun ASEAN ini telah dianggotai oleh 10 negara, namun dua ketetapan ini perlu menjadi panduan kita dalam mengemudi suasana baru yang kita hadapi. Jika dahulu kita berhadapan dengan konflik dan persaingan antara Washington dengan Moscow, kini, kita berhadapan dengan Washington yang ingin mengekalkan pengaruh dan kepentingannya di rantau ini dengan China yang bakal menjadi ekonomi terbesar di dunia dan juga sedang dengan pantas membesarkan kekuatan tenteranya.

10. Bulan ini, Kementerian Pertahanan China mengumumkan peningkatan sebanyak 10 peratus perbelanjaan pertahanan kepada USD 144.2 bilion, menjadikan perbelanjaan pertahanan yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Sebagai reaksi kepada peningkatan ketenteraan China, Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk memindahkan 60 peratus kekuatan tentera lautnya ke Asia Pasifik menjelang 2020.

11. Dalam berhadapan dengan senario baru yang mampu mengganggu gugat keselamatan negara dan serantau ; ASEAN kelihatan ketandusan kepimpinan. Kegagalan sidang kemuncak ASEAN di Phnom Penh, tiga tahun lalu mengeluarkan kenyataan bersama, buat pertama kali dalam tempoh 45 tahun, memberi petanda kemerosotan muafakat mengenai persoalan dasar di rantau ini. Ternyata perpaduan ASEAN kini telah digugat oleh persoalan Laut China Selatan dan peranan kuasa luar untuk meretakkan perpaduan ASEAN.

12. Sidang kemuncak di Myanmar tahun lalu juga tidak menyentuh apa-apa tentang persoalan terpenting rantau ini, sikap yang dikehendaki oleh pihak tertentu (China). Dalam bulan Februari, tatkala Presiden Barack Obama melawat India, satu kenyataan bersama telah dikeluarkan yang turut menyentuh isu Laut China Selatan. Mengapakah kuasa-kuasa luar seperti China, Amerika Syarikat dan India begitu lantang membuat pendirian tentang Laut China Selatan sedangkan ASEAN dan Malaysia sendiri menyepikan diri?

13. Situasi keselamatan di Laut China Selatan yang menunjukkan peningkatan kehadiran Republik Rakyat China (RRC) sekiranya tidak ditangani dengan tegas, mampu mengganggu gugat keselamatan negara, serantau dan antarabanga.

14. Malaysia mempunyai kepentingan khusus di Kepulauan Spratleys. Kita telah melalui pengalaman perit kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura. Apakah kita mahu kehilangan Kepulauan Spratleys pula ? Putrajaya kelihatan mengabaikan sama sekali doktrin ZOPFAN, sumbangan terbesar Tun Abdul Razak untuk mencapai kestabilan serantau. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Putrajaya bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan di perairan apabila ada maklumat yang peningkatan kehadiran aset ketenteraan yang dimiliki Republik Rakyat China telah mulai kelihatan di Laut China Selatan yang boleh menggugat kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan bermaruah?

15. Kestabilan dan keselamatan serantau adalah sebahagian dari kepentingan nasional. Justeru itu, kita perlu mewujudkan muafakat nasional dalam menjelaskan peranan Malaysia dalam menjamin dan mempertahankan keselamatan kolektif serantau. Kepentingan nasional perlu mengatasi politik kepartaian. Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan bermaruah perlu menjamin kestabilan dan keselamatan kolektif serantau melalui ASEAN.

16. Tahun ini Malaysia memegang tampuk kepimpinan ASEAN dan sidang kemuncak akan diadakan di negara kita. Ini sangat bermakna apatah lagi apabila kita berjaya membentuk ASEAN Economic Community. Pembentukan ASEAN Economic Community tidak lain dan tidak bukan adalah kejayaan merealisasikan hasrat “to transform a region of strangers into a society of friends; to turn a region of poverty and underdevelopment into a dynamic zone of prosperity.” Namun “zone of prosperity”, rantau kemakmuran yang telah kita capai kini digugat kembali dengan persaingan ketenteraan di antara China dan Amerika Syarikat. Doktrin ZOPFAN – zon aman, bebas dan berkecuali – yang merupakan ‘Grand Strategy’ Tun Razak bersama para pemimpin serantau “to turn a region in turmoil into an oasis of tranquility” seolah-olah telah dilupakan dan disia-siakan. Justeru itu, kita menggesa Perdana Menteri menggunakan kesempatan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini untuk memberikan kepimpinan kepada ASEAN dan memperbaharui komitmen ASEAN terhadap ZOPFAN dan mengisytiharkan Laut China Selatan sebagai laut aman, bebas dan berkecuali. Sebarang pertelingkahan perlulah diselesaikan dengan aman melalui perundingan dan mengikut undang-undang antarabangsa.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

17. Keselamatan dan kedaulatan wilayah wajib dipertahankan. Kepimpinan dan pihak keselamatan perlu sentiasa peka dan bersiap siaga untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan negara di semua perairan dari sebarang anasir pencerobohan. Pencerobohan seperti yang berlaku di Lahad Datu membuktikan terdapatnya kealpaan yang tidak boleh dibenarkan berulang. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang pencerobohan yang menggugat keselamatan negara.

18. Pihak keselamatan dan juga golongan agamawan perlu prihatin terhadap individu atau sel-sel yang menjalankan aktiviti militan serta dakyah ekstrimisme yang menggugat keselamatan negara. Bulan Januari lalu, rakyat Malaysia kelahiran Muar, Zulkifli Hir, mati ditembak dalam pertempuran dengan polis Filipina di Tukanalipao, Mindanao. Beliau dianggap sebagai salah seorang pengganas yang paling dikehendaki di dunia. Ini bukanlah kali pertama penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan keganasan di rantau ini. Meskipun mereka adalah dari golongan profesional yang mempunyai pendidikan tinggi, jurutera telekomunikasi dan pakar matematik, namun pemikiran mereka telah dikeliru dan disesatkan sehingga bertindak militan. Kita perlu meyakinkan generasi muda yang idealistik bahawa penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh dunia Islam adalah melalui ilmu, prinsip keadilan dan demokrasi.

19. Dunia kini sedang berhadapan dengan ancaman keganasan IS (Islamic State) atau dikenali juga sebagai “pengganas da’ish”. Sesungguhnya gerakan ganas (al ’unfu) sangat menggugat masa hadapan dunia. Kita perlu mempastikan generasi muda Malaysia tidak dipengaruhi oleh dakyah golongan pengganas dan militan seperti IS, Boko Haram dan lain-lain yang tersebar meluas melalui laman-laman media sosial. Malaysia sebagai sebuah negara pluralistik yang mendapat nikmat keamanan dan kesejahteraan sejak enam dekad lalu, wajar melihat secara serius bahawa ancaman keganasan hari ini sebagai antara fiqh keutamaan (fiqh al-awlawiyyat). Kewajipan kita adalah untuk menolak kemerbahayaan atau madar yang boleh berlaku di dalam negara sepertimana yang sedang berlaku di Iraq, Syria, Yaman, Mesir, Libya, Pakistan, Afghanistan dan Nigeria. Bahkan, kini fenomena tersebut juga turut menjalar di negara-negara Eropah.

20. Kita perlu menegaskan ajaran Islam tentang keadilan dan kesederhanaan dan makna sebenar jihad seperti yang telah diulas dengan jitu oleh ulamak besar dan tokoh Maal Hijrah Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi untuk menangani propaganda golongan militan. Karya monumental beliau Fiqh al-Jihad wajar diangkat sebagai rujukan bagi mendidik masyarakat kita agar tidak terjebak dengan kumpulan militan. Selain al-Qaradhawi , beberapa ulama ternama dunia seperti Syeikh Wahbah Zuhaili (dari Syria), Syeikh Abdul Majeed al-Zindani (dari Yaman), Dr Ahmad Talib, Syeikh al-Azhar (dari Mesir), Dr. Tariq Ramadan (dari Switzland), Syeikh Dr Mustafa Ceric (dari Bosnia) dan lain-lain telah bermuafakat bahawa gerakan IS (Da’ish) yang kononnya hendak mendaulatkan Islam adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Isu keganasan juga wajar dijadikan agenda sosial dengan melibatkan seluruh rakyat sama ada warga Muslim dan bukan Muslim. Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar sebuah Majlis Perundingan Rakyat Untuk Memerangi Keganasan Agama wajar ditubuhkan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

21. Kita harus belajar daripada pengalaman buruk Asia Tengah yang menjadi pusat tumbuhnya gerakan radikal akibat pemerintahan yang tidak demokratik. Jalan penyelesaian kepada krisis ini adalah melalui demokrasi Islam yang berlandaskan keadilan dan kesederhanaan. Inilah sumbangan amat bermakna Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada dunia amnya dan kepada dunia Islam khususnya. Kepetahan beliau mengungkap prinsip kesederhanaan dan keadilan di merata dunia dan seterusnya mengemukakan gelombang kebangkitan demokrasi di dunia Islam sekarang sebagai gelombang keempat demokrasi dunia. Ahli sains politik Samuel Huntington mengemukakan tesis bahawa perkembangan demokrasi di dunia bergerak dalam tiga gelombang. Gelombang pertama bermula di awal abad ke-19 dimana majoriti lelaki berkulit putih mendapat hak mengundi dan memuncak sehingga wujud 29 negara demokrasi. Gelombang kedua bermula selepas Perang Dunia Kedua dan gelombang ketiga bermula dalam tahun 1970an sehinggalah runtuhnya Tembok Berlin. Gelombang keempat demokrasi bermula dengan tumpasnya rejim tentera di Indonesia dan menjadikan negara tersebut sebagai negara demokrasi Islam terbesar di dunia dan memuncak kepada Arab Spring. Dunia mengiktiraf peranan Anwar Ibrahim sebagai juru cakap demokrasi Islam. Sudah 15 tahun, pelbagai usaha dilakukan untuk membungkam dan mengaibkan beliau secara sistematik. Usaha tersebut telah gagal dan konspirasi sekarang juga akan gagal. Dunia dan sejarah akan bersama insan demokrat sejati. Saya memohon Yang Di Pertua Dewan menyatakan pendirian yang bebas tentang hak Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang bagi melaksanakan tugas-tugas beliau sebagai Ketua Pembangkang untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat selaras dengan pendirian yang telah dibuat bahawa Dato’ Seri Anwar masih merupakan ahli Dewan Rakyat yang sah.