AZMIN ALI

LATEST

Day: March 20, 2015

Ucapan Pelancaran Projek Rumah Mampu Milik / Rumah Selangorku Bukit Raja, Klang

Teks Ucapan Pelancaran YAB Mohamed Azmin Ali Dato’ Menteri Besar Selangor

Majlis Pelancaran & Pendaftaran Projek Rumah Mampu Milik / Rumah Selangorku Bukit Raja, Klang

20 MAC 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana pada pagi ini, dapat kita sama – sama berhimpun bagi merealisasikan hasrat dan cita – cita rakyat untuk melihat Negeri Selangor ini dibangunkan dengan gagasan ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’.

2. Dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi di Malaysia, keperluan rumah mampu milik bukan sahaja mendesak untuk golongan berpendapatan rendah tetapi juga untuk golongan kelas menengah. Berdasarkan data National Property Informatin Centre (NAPIC), semenjak 2011, harga rumah meningkat pada kadar 9.96% sehingga 12.3% setahun menyebabkan keupayaan dan kemampuan untuk memiliki rumah semakin terbatas.

3. Statistik peratusan isi rumah mengikut pemilikan rumah di Malaysia pada tahun 2000 dan 2010 menunjukkan peratusan jumlah isi rumah yang memiliki rumah telah menurun daripada 67.3% kepada 59% sahaja. Ini berikutan isu harga rumah semasa yang menjadi semakin mahal untuk graduan muda dan golongan berpendapatan menengah. Mereka terpaksa menyewa rumah dan bilik atau membeli rumah diluar bandar. Ini sekaligus menimbulkan isu persekitaran kehidupan bandar yang tidak mampan (unsustainable urban living environment).

4. Langkah Kerajaan Persekutuan memperketatkan dasar fiskal dan kewangan juga memberi kesan kepada graduan muda dan kumpulan yang baru memulakan pekerjaan untuk mendapat pinjaman bank bagi membiayai pembelian rumah.

5. Permintaan untuk memiliki rumah mampu milik cukup tinggi di kawasan yang strategik di Negeri Selangor khususnya di Lembah Klang. Ini dibuktikan apabila lebih 40,000 jumlah permohonan rumah mampu milik yang dibuat kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), 96% daripadanya memohon perumahan di dalam kawasan Lembah Klang. Justeru, Kerajaan Negeri bertekad akan menyediakan perumahan bagi rakyat serta kemudahan infrastruktur yang kondusif dan selesa.

6. Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah – langkah proaktif untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 2 – 3 tahun melalui ‘Skim Insentif Galakan Rumah Selangorku 2015’. Antara insentif yang ditawarkan adalah :

i. Bayaran premium tanah ditetapkan pada kadar 10%
ii. Pengecualian caj pemajuan
iii. Pertimbangan penambahan kepadatan (density) sehingga 120 unit per ekar.
iv. Kelulusan segera (fast track) bagi proses yang melibatkan agensi Kerajaan.

7. Bagi mencapai sasaran pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik ini, sebanyak 9 projek Rumah Selangorku di bawah ‘Skim Insentif Galakan Rumah Selangorku 2015’ telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak 11,833 unit. Jumlah ini tidak termasuk sebanyak lebih 22,444 unit yang akan dibina menjelang tahun 2018.

8. Kerajaan Negeri menghargai dan berterima kasih kepada para pemaju swasta termasuk Sime Darby Property yang secara spontan menyahut usaha Kerajaan Negeri dan telah memberikan komitmen bagi memenuhi permintaan rakyat Selangor untuk memiliki rumah yang lebih berkualiti, selesa, dilengkapi kemudahan yang mencukupi dan mampu dimiliki pada harga jualan yang munasabah.

9. Kerajaan Negeri mengesyorkan kepada para pemaju hartanah supaya lebih kreatif dan berinovasi dalam usaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi melalui sektor hartanah dengan memberi penumpuan kepada reka bentuk (convergence of design), kos efektif dan inovasi kewangan bagi mencapai kemampanan dalam menangani masalah rumah mampu milik. Usaha mampu menyelesaikan isu kemampuan dan kebolehcapaian para pemaju dalam pembangunan rumah mampu milik.

10. Selain pembangunan kediaman, Sime Darby juga bakal menjalankan pembangunan industri di Bandar Bukit Raja di masa hadapan. Ini dapat memberikan manfaat kepada para penduduk di perbandaran ini, dengan penyediaan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Kerajaan Negeri menggalakkan pembangunan seperti ini diadakan secara berterusan bagi menyediakan kehidupan komuniti yang mampan di bandar ini dan juga di seluruh Negeri Selangor.

11. Justeru itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada Sime Darby Property Berhad yang telah berjaya menyahut saranan Kerajaan Negeri di bawah insentif ini dengan cadangan membangun 2,403 unit rumah Selangorku dengan harga jualan di antara RM 150,000 sehingga RM 250,000. Adalah menjadi harapan kita bersama agar projek ini dapat memberi peluang kepada rakyat di Negeri Selangor untuk memiliki sebuah kediaman yang bukan sahaja di lokasi yang strategik, selesa serta menjadi aset yang sangat berharga buat keluarga.

12. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Rumah Selangorku Bandar Bukit Raja 1, Klang.