AZMIN ALI

LATEST

Day: May 1, 2015

Hari Pekerja 2015: “Pekerja Rakan Pembangunan”

Hari ini 1 Mei, dunia menyambut hari pekerja. Sejak era Revolusi Perindustrian, peranan pekerja begitu signifikan di dalam kemajuan manusia dan tamadun moden.

Sebagai negeri termaju, tentulah golongan pekerja memainkan peranan yang sangat besar di Selangor. Negeri ini juga dikenali sebagai negeri perindustrian di mana dalam hampir setiap sektor, para pekerja menjadi tulang belakang kepada pembangunan sehingga Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar KDNK Malaysia.

Kerajaan Negeri melihat bahawa para pekerja sebagai “rakan pembangunan”. Pemerintah tidak wajar selamanya dilihat sebagai lawan atau musuh kepada golongan pekerja sepertimana keadaan pada abad ke-19 di beberapa negara di Eropah, Amerika dan Amerika Latin.

Kerajaan Negeri sedar, tanpa para pekerja yang bersemangat tinggi, maka pembangunan negeri akan terencat. Selangor tidak akan semaju hari ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor begitu konsisten mahu melihat dasar gaji minima diperjuangkan bukan sahaja di Selangor, bahkan di peringkat nasional.

Kita telah belajar bagaimana tahap kemiskinan dan miskin tegar ditentukan oleh rendahnya kadar gaji pekerja. Sekiranya kadar itu dinaikkan pada kadar lebih munasabah, kita boleh melihat bahawa peratusan miskin dan miskin tegar juga sebenarnya jauh lebih besar di seluruh negara. Sesungguhnya realiti tidak boleh diselindungi di sebalik statistik dan angka.

Pembangunan memang bukan hanya di atas kertas. Atas kesedaran itu, maka Kerajaan Negeri sangat prihatin bahawa nasib para pekerja tidak boleh diabaikan dan hubungannya dengan kerajaan tidak boleh dilihat dengan perspektif atau cara lama bagi meningkatkan produktiviti. Pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak boleh sepenuhnya bergantung dengan cara konvensional, melainkan golongan pekerja harus bersiap untuk suasana baru yang berasaskan inovasi dan ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau “knowledge economy”.

Hanya dengan membuka tafsiran baru bahawa pekerja adalah “rakan pembangunan” sepertimana tema Hari Pekerja negeri Selangor, saya yakin suasana baru pembangunan yang prihatin kepada rakyat, berkualiti dan adil dapat diwujudkan. Pekerja bersatu, bangsa maju!

Selamat Hari Pekerja dan selamat bercuti.