AZMIN ALI

LATEST

Day: May 13, 2015

Luncheon Talk Ulasan Buku ‘Khalifah Umar Abdul Aziz’

13 MEI 2015

Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyambut saranan saya untuk menganjurkan wacana ini supaya kepimpinan negeri dan pentadbir dapat menghayati nilai-nilai dan prinsip yang mendasari pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Beliau dikenali sebagai khalifah yang warak, pemimpin yang tawadhu’, ilmuan yang sentiasa mendampingi ulama. Beliau adalah contoh transformasi diri yakni perubahan bermula dari diri sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan rakyat berubah sedangkan kita sendiri tidak mahu berubah, menyuruh rakyat berjimat cermat sedangkan kita bergelumang dalam kemewahan dan amalan boros. Sebelum menjadi Khalifah, Umar Abdul Aziz adalah dari keluarga bangsawan yang kaya. Beliau menukar pakaian sebanyak tiga kali setiap hari. Setelah diangkat menjadi Khalifah, beliau telah menderma 40,000 dinar kepada Baitulmal. Beliau menggunakan wang sendiri untuk rakyat, bukan mengaut wang rakyat untuk diri sendiri dan kerabat.

Pemerintahan beliau sebagai Khalifah, meskipun hanya dua tahun dan lima bulan, amat berkesan, diingati dan menjadi inspirasi hingga sekarang. Beliau mempunyai keberanian keyakinan, the courage of conviction, bagi melakukan pembaharuan atau reformasi dalam pentadbiran yang bersifat pro-rakyat, memberikan keadilan untuk semua, meskipun ada kalanya langkah-langkah tersebut tidak disenangi oleh golongan elit pemerintah.

Meskipun beliau memerintah lebih 1,300 tahun yang lalu, kekhalifahan Umar Abdul Aziz sangat releven pada hari ini tatkala kita berhadapan dengan krisis kepimpinan dan urus tadbir.

Pentadbiran Negeri Selangor bercita-cita untuk mengambil iktibar daripada reformasi serta nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan urus tadbir yang dipimpin oleh Umar Abdul Aziz agar kita dapat mengangkat martabat rakyat yang rencam.

Sebagai negeri yang termaju, kita bertanggungjawab untuk menyediakan kepimpinan yang berwibawa untuk mengurus ekonomi yang menjamin keadilan sosial dan kemakmuran negeri.

Kita sering mendengar kisah lilin dalam dialog antara Umar Abdul Aziz dengan puteranya. Pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tersebut adalah tentang keperluan membedakan antara hak milik awam dengan hak milik persendirian; antara kepentingan awam dengan kepentingan keluarga. Umar Abdul Aziz tidak mahu menggunakan lilin kerajaan untuk berbincang tentang urusan keluarga. Prinsip ini amat penting dalam pentadbiran. Penjawat awam merupakan pemegang amanah kepada harta dan kepentingan rakyat. Kita perlu menginsafi bahawa tugas dan tanggungjawab ini adalah satu amanah dan ibadah dan bukannya satu keistimewaan.

Khazanah negara tidak boleh dikhianati untuk kepentingan peribadi atau bertujuan untuk bail out syarikat tertentu termasuklah wang pendeposit Tabung Haji. Ulama, sarjana, pemimpin gerakan Islam dan rakyat keseluruhannya mesti berani bertanya; dan kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengurusan dan pentadbiran yang berhemah.

Dalam konteks ini, rakyat khususnya umat Islam menuntut satu penjelasan yang jujur dan terbuka supaya mereka yang bertanggungjawab mengkhianati amanah ini mesti meletakkan jawatan dan dibawa ke muka pengadilan. Sehingga kini tidak seorang pun yang bertanggungjawab dalam skandal ini dibawa ke muka pengadilan dan selagi forensic auditing tidak dilakukan kita tidak akan mengenal pasti tangan-tangan kotor yang mengkhianati pendeposit yang terdiri dari umat Islam yang berpendapatan rendah yang tujuan mereka semata-mata untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Umar Abdul Aziz juga memperlihatkan kepada kita agar berpegang kepada asas agama yang diterjemahkan dalam pentadbiran dengan menampilkan nilai jujur, amanah dan adil; nilai tawadu’ atau “humility” menjadikan Umar Abdul Aziz seorang pemimpin yang mengutamakan musyawarah dan bersedia meraikan pandangan yang berbeda.

Saya sendiri sangat terkesan apabila membaca kisah bagaimana Umar Abdul Aziz menyantuni seorang hamba wanita berkulit hitam dan berbangsa Yahudi, yang menulis surat mengadu tentang dinding reban ayamnya yang runtuh dan ayamnya dicuri orang.

Khalifah Umar menjawab surat hamba tersebut yang berbunyi: “Dari hamba Allah kepada Fartunah hamba si-Fulan. Saya telah menerima surat kamu mengadu tentang dinding yang roboh dan ayam kamu dicuri. Saya telah menulis surat kepada Ayub bin Sharhabil, Menteri di Mesir, supaya membina dan mengukuhkan dinding kamu agar kamu tidak lagi bimbang. InsyaAllah.”

Khalifah Umar Abdul Aziz telah menulis surat kepada Ayub bin Sharhabil, Menteri di Mesir, yang berbunyi “Dari hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Ayub Ibnu Sharhabil. Fartunah, hamba kepada si-Fulan, telah menulis kepada aku mengadu tentang dinding yang roboh menyebabkan ayamnya dicuri dan mahukan dinding dibina dan diperkukuhkan. Sebaik sahaja surat ini kamu terima, kamu sendiri perlu pergi menemui beliau dan selesaikan masalahnya.” Apabila Ayub menerima surat tersebut, beliau terus pergi ke Jizah mencari hamba berkulit hitam itu. Bila Menteri tersebut menemui Fartunah, beliau mengesahkan telah menerima surat dari Khalifah yang mengarahkan masalah hamba tersebut diselesaikan.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah ini adalah pemerintahan sesebuah negeri bertanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosial.

Ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah dilakukan kerana prasangka manusia; sama ada prasangka agama, kaum, warna kulit ataupun taraf sosial mudah mempengaruhi pentadbiran sehingga mewujudkan diskriminasi, peminggiran dan ketidakadilan sosial.

Mengurus masyarakat dan mentadbir negeri yang kosmopolitan memerlukan hikmah, kebijaksanaan dan menggunakan pendekatan siasah syari’yyah Sayyidina Umar al-Khattab, di mana beliau tidak bersetuju dengan pendekatan anaknya yang bernama Malik, untuk melaksanakan kebenaran (al-haq) dengan cara yang keras dan ekstrim. Katanya, “meskipun saya lambat dalam melaksanakan perkara yang benar, saya berharap Allah SWT akan melaksanakan kehendak saya.” Dengan kata lain, Sayyidina Umar tidak mahu menggunakan kuasa dengan cara paksaan ke atas orang ramai. Sebaliknya, pendekatan beliau adalah lemah lembut dan beransur-ansur (tadarruj). Beliau ingin menyelesaikan masalah rakyat dengan menggunakan prinsip hikmah. Kata-katanya yang masyhur: “Saya takut melaksanakan perkara yang hak kepada orang ramai sekaligus, takut-takut perkara yang hak itu, orang ramai menolaknya semua sekali.”

Dalam era pemerintahan Umar Abdul Aziz, dasar islah (reformasi) ternyata punya dampak yang kuat dan menyeluruh. Antaranya adalah:

a) Merampas semula harta-harta yang disalahgunakan oleh khalifah-khalifah sebelumnya untuk dikembalikan semula ke Baitulmal atau rakyat

b) Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, salah guna kuasa, tidak layak atau dilantik secara pilih kasih sebelumnya

c) Menghapuskan pegawai-pegawai peribadi Khalifah bagi membebaskan beliau boleh bergaul mesra dengan rakyat jelata tanpa sekatan atau protokol

d) Gaji buruh dinaikkan supaya sesuai dengan keperluan hidup semasa.

Tatkala Negeri Selangor terpanggil untuk melabur dalam pendidikan, penyelidikan dan mencipta ekosistem yang meransang inovasi, kita didorong oleh gagasan Umar Abdul Aziz yang menyuburkan budaya ilmu dan menjalin jaringan atau networking pemerintah dengan ilmuan, antara umara’ dan ulama.

Kita mahukan Selangor stabil dan makmur. Antara warisan pemerintahan Umar Abdul Aziz adalah pemerintahan yang unggul, politik yang stabil dan ekonomi yang rancak berkembang sehingga sukar mencari orang yang berhak menerima zakat.

Hari ini, umat Islam di seluruh dunia sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan umat yang sangat gawat. Kita melihat kontradiksi: gaya hidup mewah dan pembaziran bersebelahan kemiskinan; integriti dijadikan slogan tetapi rasuah semakin melebar.

Berdepan dengan krisis ini, kita wajar melakukan tela’ah ke atas perjalanan hidup Umar Abdul Aziz. Para pimpinan politik, pentadbir, pengurus, pemimpin masyarakat dan lain-lain profesyen wajar meneladani sahsiah beliau secara jujur dan tuntas. Jika kita mengambil sikap ini, kita boleh melakukan islah dalam institusi politik, pentadbiran, pengurusan dan lain-lain institusi.

Kajian kita terhadap Umar Abdul Aziz bukan untuk bernostalgia tetapi perlu dilihat dari kerangka anjuran Al-Qur’an kepada manusia agar menoleh ke belakang dan belajar dari sejarah. Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus, ayat 13 :

“Dan sesungguhnya kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu ketika mereka berbuat kezaliman.”

Filasuf George Santayana berkata: Those who cannot remember the past are condemned to repeat it; barang siapa yang tidak mahu belajar dari sejarah, akan dihukum mengulangi sejarah.

Justeru itu, kita perlu memiliki kesedaran sejarah, a sense of history. Kita perlu belajar dari sejarah dan tamadun Islam, dan dari semua tamadun. Pengalaman dan pengajaran dari semua tamadun merupakan hikmah. Seperti yang ditegaskan oleh Baginda Rasulullah SAW:

Kalimah yang bijaksana merupakan barang yang hilang daripada orang mukmin, barangsiapa yang menjumpainya, maka ia berhak mendapatkannya.

Maka, kita juga boleh mengambil teladan dari Qin Shih Huang Di. Shih Huang Di adalah maharaja China yang pertama. Beliau menyatukan China buat pertama kalinya dalam sejarah, yang sebelum itu terdiri dari enam negeri, menjadi sebuah negara besar. Pemikir semasa, Francis Fukuyama menegaskan pembentukan sebuah negara China yang bersatu merupakan sebuah kerajaan (“state”) yang pertama dalam sejarah manusia. Tetapi kita mengambil sempadan, iktibar dari kezaliman Shih Huang Di, beliau memerintah secara kuku besi, amat zalim, termasuklah menanam hidup-hidup golongan ilmuan Konfusius. Akibat kebencian rakyat, kerajaan yang beliau satukan, runtuh sebaik sahaja beliau mati. Seperti yang dalam ayat yang saya sebutkan sebelum ini.

Tatkala menerima jawatannya sebagai Khalifah, Umar Abdul Aziz memberi pidato penerimaan jawatannya:

“Aku memikul amanat umat ini dan aku tangisi orang-orang yang menjadi amanat atasku, iaitu kaum fakir miskin, yang lemah dan lapar, ibnu sabil yang kehilangan tujuan dan terlantar, orang-orang yang dizalimi dan dipaksa menerimanya, orang-orang yang banyak anaknya dan berat beban hidupnya. Aku merasa bertanggungjawab atas beban mereka, kerana itu, aku menangisi diriku sendiri kerana beratnya amanat atas diriku.”

Khutbah ini seharusnya menyentuh hati nurani pemerintah. Justeru itu, pentadbiran Negeri Selangor telah melaksanakan program peduli rakyat termasuk pembiayaan skim mikro kredit, pemberian hak milik tanah kepada rakyat, menyediakan peluang dan akses pendidikan yang berkualiti dan menyediakan perumahan rakyat.

Namun, menjadi peringatan kepada semua supaya membaca sejarah pentadbiran Umar Abdul Aziz itu bukan hanya sekadar pemujian seorang tokoh masa lampau. Sikap ini akan membawa kita jauh daripada realiti dan membisukan diri terhadap kebejatan di depan mata dan kesengsaraan rakyat. Sekiranya kita benar-benar menghayati dan mengikuti jalan dan contoh dalam pentadbiran Umar Abdul Aziz, skandal seperti 1MDB tidak akan berlaku.

Dalam kontroversi seperti ini, kita bertanggungjawab dan perlu memiliki keberanian untuk mencabar dari aspek tata kelola korporat atau corporate governance. Pra-syarat pertama adalah kebertanggungjawaban korporat dan kewangan. Keduanya adalah ketelusan. Ini adalah prinsip-prinsip tata kelola korporat yang wajib dipegang dalam pengurusan ekonomi dan kewangan.

Pentadbiran Negeri Selangor pada hari ini komited untuk menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai qiadah mithaliyyah (role model) di dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pentadbiran. Kewibawaan yang dimiliki oleh sosok mulia ini wajar dijadikan panduan dan pedoman di dalam setiap perkara menguruskan tanggungjawab pemimpin kepada rakyat. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk menjamin kemakmuran, perkongsian kekayaan hasil negeri dan keamanan sejagat.

Menyedari akan hal ini, satu inisiatif perlu dimulakan untuk memastikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor memiliki barisan pegawai-pegawai pengurusan yang berfikiran terbuka, bersikap dinamik, bersedia melakukan pembaharuan dan memiliki ketajaman ilmu pengetahuan dalam mencurah khidmat bakti kepada rakyat. Marilah kita bersama-sama berganding bahu memacu usaha mulia ini untuk menjadikan Selangor Darul Ehsan sebagai Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur.