AZMIN ALI

LATEST

Day: May 29, 2015

Misi Penggalakkan Pelaburan Negeri Selangor Ke Seoul, Korea

28hb Mei 201,Seoul – Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan Misi Pengalakkan Pelaburan Negeri Selangor ke Seoul, Korea yang diketuai oleh YAB Tuan Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor. Fokus utama lawatan ke Korea bagi tahun ini adalah bagi menarik pelaburan dari sektor industri farmaseutikal, sains hayat dan teknologi hijau selain mempromosikan kawasan perindustrian di Negeri Selangor.

YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan delegasi memulakan lawatan kerja di Seoul dengan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Hanwha Q-cells. Hanwha Q-cells yang merupakan salah satu anak syarikat Hanwha Group merupakan pengeluar terbesar solar panel yang mempunyai fasiliti terbesar di Cyberjaya, selain di China dan Korea. Syarikat ini telah menambah pelaburannya bagi memperluas dan menambah baik fasiliti di Cyberjaya dan dijangka akan memulakan pengeluaran tambahan bermula September 2015.

‘Seminar on Investment Opportunities in Selangor’ turut diadakan di The Plaza Hotel dengan kehadiran kira-kira 60 orang peserta dari lebih 20 syarikat yang berlatarbelakangkan pelbagai sektor industri. Seminar ini turut mempromosikan kawasan perindustrian Pulau Indah selain membuka ruang dan peluang pelaburan kepada syarikat yang terlibat dengan industri halal. Maklumbalas positif diterima dari peserta seminar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dari pihak Invest Selangor dan MIDA Seoul.

YAB Dato’ Menteri Besar Selangor turut meluangkan masa melawat Cheong Kye Cheon River yang terletak di tengah-tengah bandaraya Seoul. Sungai ini merupakan antara projek pemulihan
sungai yang berjaya merubah landskap kota Seoul selain menjadi pusat tumpuan pelancong tanpa mengira waktu.

Delegasi Negeri Selangor turut berpeluang menghadiri jamuan makan malam yang diadakan bersama persatuan-persatuan perniagaan di Seoul. Seramai 25 orang dari pelbagai persatuan perniagaan hadir bagi berkongsi idea dan peluang-peluang pelaburan yang boleh mengeratkan lagi hubungan antara negeri Selangor dan Seoul.

Disediakan oleh:
Invest Selangor Berhad