AZMIN ALI

LATEST

Day: September 2, 2015

Rampas tanah jika operasi sampah haram tidak dihenti

DSC_0054 DSC_0094 DSC_0131 DSC_0146

GOMBAK, 1 SEP: Kerajaan Negeri akan merampas tanah yang digunakan pihak tertentu bagi menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram di Kampung Sungai Pusu, di sini, selepas tempoh prosiding berakhir, 5 September ini.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan bakal diambil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika operasi itu tidak dihentikan dan kawasan enggan dibersihkan daripada aktiviti berkenaan.

“Proses merampas sudah bermula dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan Notis 7(B) dan mereka diberi tempoh 21 hari untuk menjalani prosiding terbabit.

“Jika mereka tidak memulih dan membersihkan kawasan tanah ini sehingga tempoh itu, maka pihak berkuasa akan merampasnya,” katanya kepada media selepas operasi terjah khas, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, ia adalah usaha bagi menjamin Selangor menjadi negeri bersih iaitu aduan diterima berkenaan sampah domestik, pukal, kebun dan industri terlalu besar.

Katanya, program terjah dijalankan di beberapa kawasan PBT hari ini bermula di Subang hingga Selayang mendapati terdapat masalah perlu diselesaikan segera.

“Peruntukan undang-undang sahaja tidak mencukupi kerana apa yang ada masih longgar dan tidak dapat memastikan perkara ini ditangani dengan baik.

“Saya berharap PBT dan pejabat daerah dapat memainkan peranan bersama Adun supaya menggunakan ketegasan mengikut undang-undang kecil yang ada serta penguatkuasaan untuk memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata, program terjah akan terus dijalankan bagi menangani masalah seperti itu dan pendekatan terbabit dilihat mampu mengurangkannya dari semasa ke semasa.

“Bagi pembuangan sampah domestik di kawasan dibenarkan, kita ada di Bukit Tagar, Jeram dan beberapa lokasi ditetapkan.

“Kita juga sedang mengenalpasti tapak pembuangan sampah industri di setiap PBT supaya tiada pergerakan terlalu jauh membabitkan kontraktor.

“Langkah ini sedang dan akan terus diambil. Apa yang pasti kita perlukan kerjasama daripada kontraktor,” katanya.

Dalam operasi hari ini, dua buah lori dipercayai membawa sampah haram dirampas dan beberapa kawasan bermasalah dikenalpasti untuk tindakan susulan.

-NFN-
Sumber: Selangorkini