AZMIN ALI

LATEST

Invalid or Broken rss link.

Month: October 2015

Ucapan Penuh Belanjawan 2016 Negeri Selangor

BELANJAWAN 2016 NEGERI SELANGOR
Membangun Smart Selangor Yang Peduli

A. PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan saya peluang dan kekuatan bersama pasukan negeri untuk melaksanakan Belanjawan 2015 dan hari ini, menyambung peluang tersebut untuk membentang dan melaksanakan Belanjawan 2016. Kita bersidang dalam suasana negara berjerebu; jerebu cuaca, jerebu politik dan jerebu ekonomi. Meskipun negara berjerebu, Selangor kekal cerah.

2. Tatkala membentangkan Belanjawan 2015 pada 24 November tahun lalu, saya telah mencadangkan belanjawan defisit bertujuan untuk menjana aktiviti ekonomi dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Belanja pembangunan ditingkatkan sebanyak 10.1 peratus kepada 46.8 peratus untuk mencapai gagasan “Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli”.

3. Kerajaan Negeri mengambil langkah yang berani dan bertanggungjawab membentangkan belanjawan defisit. Meskipun dikritik segelintir yang mendabik dada sebagai jagoan ekonomi, namun, sekali lagi saya menegaskan keperluan belanjawan defisit sebagai langkah counter cyclical untuk melawan kelembapan ekonomi yang dijangka bermula tahun 2015.

4. Kerajaan Negeri mengamalkan disiplin fiskal dan pengurusan kewangan berhemah untuk berbelanja mengikut peruntukan yang disediakan dan mengelak mengulangi kebiasaan dan ketidakjujuran sebelum ini di mana dibentangkan belanjawan berimbang, tetapi kemudiannya diikuti dengan belanjawan tambahan untuk menampung ketidakcukupan peruntukan. Akhirnya, hakikat yang berlaku adalah belanjawan defisit.

5. Alhamdulillah, dengan sukacitanya saya ingin memaklumkan kepada Dewan ini, belanjawan defisit 2015 yang berjumlah RM 452.5 juta telah bertukar menjadi belanjawan surplus. Ini adalah kerana hasil negeri yang dianggarkan pada tahun 2015 berjumlah RM 1.97 bilion telah melonjak kepada RM 2.05 bilion berbanding perbelanjaan sebenar RM 1.50 bilion sehingga 30 September 2015. Kedudukan belanjawan kini adalah surplus sebanyak RM 552.58 juta.

6. Sehingga akhir tahun ini, hasil negeri dijangka meningkat kepada dua bilion dua ratus empat puluh empat juta ringgit (RM 2,244,000,000) dan akan mencatatkan lebihan hasil sebanyak RM 274 juta.

7. Dewan ini juga telah meluluskan corak perbelanjaan 2015 dengan mengurangkan belanja mengurus kepada 53 peratus dan meningkatkan belanja pembangunan kepada 47 peratus. Ini merupakan iltizam pengurusan kewangan berhemah yang tidak dapat dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

8. Tekad Kerajaan Negeri untuk tidak membentangkan belanjawan tambahan bagi tahun 2015 juga berjaya dicapai. Ini membuktikan Belanjawan 2015 yang dibentangkan adalah realistik berasaskan anggaran bertanggungjawab dan berdisiplin.

9. Pentadbiran Shah Alam hari ini mempertahankan disiplin fiskal dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemah dengan memelihara tiga cabang utama prinsip kebertanggungjawaban :Ex ante accountability, concurrent accountability dan ex post accountability.

10. Ex-ante accountability menuntut Kerajaan Negeri memadankan keutamaan dasar dengan keperluan peruntukan belanjawan. Keterbatasan sumber memerlukan kita menetapkan urutan keutamaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, belanjawan mesti dirancang dengan rapi mengikut keutamaan dasar dan unjuran yang bertanggungjawab. Kekerapan membuat belanjawan tambahan merupakan kegagalan ex-ante accountability.

11. Concurrent accountability pula menuntut pemantauan ke atas proses perlaksanaan belanjawan. Untuk mencapai matlamat ini, setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk melaporkan kemajuan perlaksanaan portfolio masing-masing secara berkala kepada Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri memandangkan Ketua Eksekutif bertanggungjawab untuk menjamin keberkesanan dasar dan program yang telah dipersetujui dalam belanjawan.

12. Cabang prinsip kebertanggungjawaban yang terpenting adalah ex post accountability di mana Dewan Negeri mempunyai keabsahan untuk memastikan eksekutif melaksanakan belanjawan dengan berhemah dan pencapaian yang produktif.

13. Saya telah menggariskan tiga cabang utama prinsip kebertanggungjawaban dalam perlaksanaan belanjawan. Prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban amat penting dalam pentadbiran sesebuah negeri. Seperti kata hikmah; “we must draw back the curtains and let the sunshine in because sunshine is the best disinfectant.”

14. Bagi mencapai pengurusan kewangan awam dan kebertanggungjawaban yang dinamik, peranan eksekutif dan legislatif perlu diseimbangkan. Pemantauan legislatif amat penting sebagai check and balance tetapi ‘legislative budget activism’ yang keterlaluan akan melumpuhkan proses membuat keputusan. ‘Executive flexibility’ yang efektif diperlukan terutama sekali pada peringkat awal pembentukan kitaran belanjawan. Autoriti eksekutif yang kuat dapat menjamin pengurusan ekonomi dan memastikan disiplin fiskal.

15. Sementara concurrent accountability meletakkan bidang tugas pengurusan perbelanjaan awam dipikul oleh eksekutif, prinsip tatakelola ekonomi yang berhemah memastikan peranan pemantauan belanjawan merupakan tanggungjawab Dewan Negeri. Ini menjadikan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) lebih efektif di dalam fasa ex-post accountability.

16. Cabaran penyampaian perkhidmatan yang efektif senantiasa menjadi hambatan kepada kerajaan. Untuk menilai pencapaian dan dampak langsung kepada rakyat, Kerajaan Negeri akan mengkaji kaedah untuk mewujudkan Unit Khas Penyampaian Perkhidmatan.

B. SENARIO EKONOMI

17. Sebagai ekonomi sederhana dan terbuka, Malaysia terdedah kepada perubahan dan ketidaktentuan ekonomi global. Justeru itu, 2015 merupakan tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia. Senario ekonomi dunia dibentuk oleh pertembungan tiga faktor. Pertama, transformasi ekonomi China yang beralih dari pertumbuhan yang didorong oleh eksport dan pelaburan serta pembuatan kepada ekonomi berteraskan penggunaan dan perkhidmatan. Kedua, kejatuhan harga komoditi. Ketiga, kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat yang mempunyai implikasi global.

18. Penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika yang ketara dan ditambah dengan kemerosotan dua komoditi utama negara, iaitu harga minyak mentah dan kelapa sawit, menyesakkan lagi ekonomi Malaysia. Kegawatan pasaran saham dan penurunan nilai Yuan baru-baru ini memberi kesan yang besar kepada negara lain di dunia. Senario ekonomi sebegini menunjukkan ekonomi China amat signifikan kepada prestasi ekonomi dunia. Seperti yang dilaporkan Patterson Institute, “Bila China bersin, seluruh dunia akan demam – When China sneezes, the world catches cold”. Justeru, kerana China adalah destinasi eksport pertama Malaysia dan juga sumber import utama, sebarang perkembangan ekonomi dan kewangan di China mempunyai kesan besar kepada Malaysia.

19. Pertumbuhan sektor swasta di Malaysia turut perlahan ekoran kesan daripada sektor petroleum dan gas. Ketidaktentuan persekitaran ekonomi global telah meletakkan ekonomi kita dalam keadaan yang berisiko tinggi. Kadar inflasi turut mencatatkan peningkatan kepada 2.2 peratus pada Suku Kedua 2015. Sehingga September 2015, Ringgit Malaysia telah melepasi RM 4.37 berbanding dolar Amerika buat pertama kalinya sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lalu.

20. Walaupun kita tidak boleh mengenepikan faktor luaran termasuk kejatuhan harga komoditi, kita juga tidak boleh menafikan bahawa penyusutan nilai ringgit berpunca daripada faktor dalaman. Hakikatnya, negara hari ini sedang bergelut dengan krisis politik dan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada skandal kewangan 1MDB dengan skala yang tidak pernah dialami oleh negara sebelum ini.

21. Prestasi nilai ringgit berada dalam keadaan paling parah di Asia. Malapetaka kewangan negara turut melibatkan pelbagai skandal termasuk agenda menyemai prasangka perkauman sempit dan faham agama yang ekstrim yang secara keseluruhannya menghakis keyakinan pelabur dengan parah terhadap pentadbiran Putrajaya dan kewibawaan pengurusan ekonomi negara.

22. Dunia hari ini sedang menyaksikan pencabulan terhadap proses demokrasi berparlimen dan pengabaian tanggungjawab sehingga Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan yang tegas berhubung keperluan sebuah kerajaan yang demokratik berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan urus tadbir yang baik.

23. Amat malang sekali, pentadbiran Putrajaya masih angkuh dan tidak bersedia untuk menerima teguran serta terus berkuasa dengan sikap denial syndrome. Putrajaya telah menyalahgunakan undang – undang rimba seperti SOSMA untuk menutup suara-suara clamour for change termasuk pegawai-pegawai Kerajaan yang turut diugut dan ditekan.

24. Ketegasan Bank Negara dalam mengemukakan syor-syor bagi memulihkan keyakinan seharusnya mendapat dukungan semua pihak. Namun, ianya telah dijadikan modal politik untuk menekan Gabenor Bank Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan.

25. Justeru itu, untuk memulihkan keyakinan pelabur, mengembalikan kemampanan ekonomi dan memperkukuh nilai ringgit serta menjamin urus tadbirKerajaan yang baik, kita memerlukan satu reformasi institusi yang menyeluruh.

26. Pada tahun ini, pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dijangka tumbuh di antara 4.5 hingga 5.5 peratus dan pada tahun 2016 diunjurkan tumbuh di antara 5.0 hingga 5.5 peratus. Pertumbuhan ini akan dipimpin oleh sektor perkhidmatan yang diunjurkan tumbuh 5.4 peratus dan dianggarkan menyumbang hampir 58 peratus kepada KDNK negeri pada tahun 2016. Sektor perindustrian dianggarkan menyumbang sebanyak 30 peratus kepada KDNK negeri dalam tahun 2016.

C. PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Kedudukan Kewangan

27. Jumlah wang awam Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan pada 31 Disember 2014 adalah berjumlah tiga bilion dua ratus juta sembilan ratus sebelas ribu sembilan ratus sebelas ringgit (RM 3,200,911,911) berbanding dua bilion sembilan ratus tujuh juta satu ratus tiga ribu tujuh ratus empat puluh empat ringgit (RM 2,907,103,744) pada 31 Disember 2013. Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2014 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus berbanding tahun 2013.

28. Kedudukan semasa kewangan Kerajaan Negeri pada 30 September 2015 menunjukkan prestasi yang baik dengan lebihan terkumpul Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM 1.87 bilion. Lebihan semasa Kerajaan Negeri sehingga 30 September 2015 berjumlah RM 552.58 juta.

29. Jumlah wang awam yang terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan pada 30 September 2015 berjumlah RM 3.6 bilion berbanding RM 3.2 bilion pada 31 Disember 2014.

D. BELANJAWAN 2016

Anggaran Hasil

30. Kutipan hasil sebenar bagi tahun 2014 adalah RM 2.23 bilion. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 545.7 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 1.44 bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 242 juta.

31. Sehingga 30 September 2015, Kerajaan Negeri mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM 2.048 bilion atau pencapaian sebanyak 103.98 peratus berbanding dengan anggaran hasil tahun 2015 sebanyak RM 1.97 bilion. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 556.9 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 1.31 bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 180.4 juta.

32. Kutipan hasil bagi tahun 2016 dianggarkan meningkat sebanyak 14.2 peratus kepada dua bilion dua ratus lima puluh juta ringgit (RM 2,250,000,000).

33. Penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Negeri adalah daripada premium tanah (48.1 peratus), hasil cukai tanah (20.9 peratus) dan urusniaga berkaitan tanah (9.1 peratus). Kutipan hasil tersebut menyumbang sebanyak 78.1 peratus daripada kutipan keseluruhan anggaran hasil negeri tahun 2016. Selain itu, hasil negeri turut disumbangkan oleh keuntungan daripada pelaburan simpanan tetap (3.5 peratus), cukai hiburan (2.5 peratus) dan cukai hasil hutan iaitu daripada pengeluaran kuari (1.8 peratus).

Anggaran Perbelanjaan

34. Berdasarkan kedudukan kewangan Negeri Selangor yang terus kukuh dan meyakinkan, maka Kerajaan Negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan tahun 2016 berjumlah dua bilion lapan ratus lapan puluh juta ringgit (RM 2,880,000,000) bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda kerajaan negeri. Daripada jumlah tersebut, satu bilion empat ratus empat puluh juta ringgit (RM 1,440,000,000) atau 50 peratus adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan satu bilion empat ratus empat puluh juta ringgit (RM 1,440,000,000) atau 50 peratus bagi perbelanjaan pembangunan. Berdasarkan anggaran hasil sejumlah dua bilion dua ratus lima puluh juta ringgit (RM 2,250,000,000) dan perbelanjaan yang dianggarkan berjumlah dua bilion lapan ratus lapan puluh juta ringgit (RM 2,880,000,000), maka, Belanjawan 2016 dijangka mengalami defisit sejumlah RM 630 juta.

Peruntukan Mengurus

35. Di bawah peruntukan mengurus, RM 396.3 juta adalah bagi perbelanjaan Emolumen, RM 503.9 juta disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan manakala, RM 25.7 juta diperuntukkan kepada pembelian Aset. Sejumlah RM 441.7 juta disediakan untuk Perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM 72.4 juta untuk Perbelanjaan lain.

36. Antara punca-punca pertambahan pada anggaran peruntukan mengurus kerajaan negeri tahun 2016 berbanding tahun 2015 adalah seperti berikut :

a. Di bawah Emolumen, peningkatan peruntukan adalah berikutan kenaikan 3 peratus gaji tahunan 10,673 kakitangan awam di Negeri Selangor yang melibatkan pertambahan kos sebanyak RM 8.8 juta;

b. Bagi Perkhidmatan dan Bekalan, sejumlah RM 20.12 juta disediakan bagi membiayai keperluan perkhidmatan di Jabatan Agama Islam Selangor terutama dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Di samping itu, dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir, tambahan peruntukan sebanyak RM 12 juta disediakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk operasi penyelenggaraan benteng pantai dan sungai/ logboom /kolam takungan.

c. Untuk pembelian Aset, sejumlah RM 1.6 juta diperuntukkan bagi perolehan 9 buah kaunter bergerak yang akan dibekalkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah. Penyediaan kaunter bergerak ini adalah bagi memberi keselesaan kepada rakyat untuk membuat pilihan kaedah bayaran yang bersesuaian dengan masa dan lokasi mereka, terutama bagi penduduk yang berada di luar bandar yang mengalami kesukaran untuk datang ke pejabat atau tidak mempunyai capaian internet bagi membuat bayaran secara atas talian.

d. Kenaikan bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap pula disebabkan oleh kenaikan kadar bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan jumlah kos sebanyak RM 14.7 juta, di mana ianya akan memberi manfaat kepada 1.8 juta orang penduduk Selangor yang berada di bawah paras garis kemiskinan. Di samping itu, sebanyak RM 5 juta akan disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam usaha memajukan sukan bolasepak. Kenaikan bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap juga adalah berikutan kenaikan jumlah bantuan program Pemberian Air Percuma 20 meter padu sebanyak RM 5 juta menjadikan jumlah keseluruhan program Air Percuma sebanyak RM 170 juta. Secara puratanya setiap bulan, sebanyak 1.1 juta akaun meter individu dan 65,000 unit pangsapuri kos rendah akan mendapat manfaat daripada program ini. Di samping itu, kenaikan juga disebabkan oleh bantuan kepada Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda bagi tujuan operasi sebanyak RM 1.0 juta.

Peruntukan Pembangunan

37. Kerajaan Negeri mencadangkan untuk maksud pembangunan, peruntukan berjumlah satu bilion empat ratus empat puluh juta ringgit (RM 1,440,000,000) mewakili 50 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan bagi tahun 2016 dan tertinggi jika dibandingkan dengan mana-mana negeri. Ini adalah peruntukan pembangunan terbesar yang pernah tercatat dalam Belanjawan Negeri Selangor.

38. Sejumlah RM 1.07 bilion atau 74 peratus diperuntukkan bagi pelaksanaan projek infrastruktur termasuk projek pembinaan baru serta menaiktaraf jalan, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air seperti pembangunan loji rawatan air baharu serta peruntukan bagi tujuan pengambilan balik tanah. Selain itu, peruntukan ini juga akan membiayai projek pembangunan berpaksikan rakyat (people-centric) seperti pembinaan Kompleks Letak Kereta Awam di Seksyen 5 Shah Alam dengan peruntukan RM 15 juta dan pembangunan tempat letak kereta Perpustakaan Awam Raja Tun Uda dengan peruntukan RM 20 juta.

39. Seterusnya, sejumlah RM 208.07 juta atau 14 peratus diperuntukkan bagi pembangunan sosial dengan meneruskan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Peruntukan sebanyak RM 170 juta juga disediakan untuk program pemberian air percuma bagi tahun 2016. Peruntukan ini juga bertujuan untuk meneruskan program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dengan berjumlah RM 26 juta dan RM 8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Hadiah Anak Masuk Universiti.

40. Program bantuan pendidikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM 16 juta akan diteruskan. Selain itu, program Hal Ehwal Selain Islam turut diberi perhatian dengan diperuntukkan RM 6 juta.

41. Bagi pembangunan ekonomi, sejumlah RM 150.9 juta atau 11 peratus diperuntukkan termasuk pelaksanaan projek pembangunan Rumah Selangorku dengan dana RM 100 juta bagi tempoh 5 tahun bermula 2016. Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek pemulihan perumahan terbengkalai melalui Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai atau TEPAT dengan peruntukan berjumlah RM 20 juta bagi menyelaras kerja-kerja pemulihan seterusnya memastikan nasib pembeli-pembeli ini dapat dipedulikan.

42. Peruntukan ini juga akan digunakan bagi pembangunan usahawan serta pembangunan luar bandar termasuk pembangunan pertanian, perhutanan dan veterinar.

43. Bagi pembangunan perbandaran, sejumlah RM 10 juta akan diperuntukkan bagi tujuan peningkatan perkhidmatan perbandaran khususnya dalam membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan agenda pembangunan negeri.

E. STRATEGI BELANJAWAN 2016

44. Negeri Selangor sudah bertaraf negeri maju. Maka, kita perlu membuat lonjakan menuju ke arah Smart State yang merupakan characteristic sebuah negeri maju, sebuah negeri di mana persekitaran teknologi maklumat mempengaruhi gaya hidup masyarakat. Pada masa sama, program berpaksikan rakyat tidak akan dikesampingkan. Justeru itu, Belanjawan Negeri Selangor pada tahun ini bertemakan “Membangun Smart Selangor Yang Peduli”. Untuk merealisasikan hasrat ini, Negeri Selangor harus melakukan anjakan paradigma untuk menggalakkan knowledge economy dengan smart infrastructure, membangun smart people dan mewujudkan smart government.

45. Belanjawan 2016 adalah perancangan awal menuju Smart State dalam tempoh 3 tahun yang akan memberi keutamaan untuk menjana pembangunan dinamik dan organik melalui lima strategi iaitu :

1. Menerajui Gagasan Smart Selangor.
2. Menjana Sumber Pendapatan Secara Strategik.
3. Mempertingkat Pembangunan Berkualiti dan Inisiatif Peduli.
4. Memperkukuh Kualiti Pendidikan dan Latihan.
5. Membangun Kapasiti Wanita, Generasi Y dan Ekonomi Kreatif.

STRATEGI PERTAMA : Menerajui Gagasan Smart Selangor

46. Dalam usaha untuk membangunkan Selangor sebagai Smart State bertaraf dunia, kita memerlukan Smart Cities untuk mengurus cabaran ‘urban growth’ yang boleh mencorakkan gaya hidup termasuk kediaman, kesihatan dan pendidikan. Kita juga memerlukan infrastruktur pengangkutan dan keselamatan untuk merealisasikan konsep Smart City. Sebagai contoh, kita memerlukan langkah yang lebih efektif dalam pemantauan jenayah dan tindakbalas kecemasan.

47. Kita wajar segera melakukan anjakan paradigma ke arah melihat dunia teknologi maklumat dalam kerangka Internet of Things. Konsep Internet of Things menuntut kita melakukan sinkronisasi (synchronize) fungsi tradisi organisasi dengan pengukuhan perkakasan dan perisian teknologi maklumat. Internet of Thingsakan merobah peranan teknologi maklumat dan pengurusan.

48. Sebagai contoh, Smart City tidak boleh diurus secara konvensional melalui komputer, jaringan, alatan mudah alih dan pusat maklumat sahaja tetapi mesti dibangunkan melalui perkakasan dan aplikasi untuk pemprosesan (processing), penyaluran (transmitting) dan pengesan (sensing). Smart Stateakan hanya tercapai matlamatnya apabila semua perkakasan boleh berinteraksi secara holistik dengan manusia untuk meningkatkan kualiti hidup sesebuah komuniti.

49. Untuk merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan membentuk Majlis Perundingan Smart Selangor bagi menyediakan roadmap atau blueprint Selangor sebagai Smart State. Inisiatif ini dimulakan dengan peruntukan sejumlah RM 10 juta bagi tempoh 3 tahun. Pada masa sama, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyemak, mengemaskini dan memperkenalkan garis panduan berhubung Internet of Things, membina infrastruktur perkakasan dan pelaksanaan aplikasi bagi menggarap visi Smart State.

WiFi Smart Selangor

50. Menjelang Disember 2015, pemasangan 2,500 hotspot WiFi Smart Selangor akan menyumbang ke arah merealisasikan gagasan tersebut. Usaha ini menelan kos sebanyak RM 13 juta setahun. Projek WiFi Smart Selangor dijangka memberi kesan positif kepada rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana; mengurangkan pemisahan digital bandar – luar bandar; meningkatkan connectivity di kalangan rakyat serta membina masyarakat bermaklumat; dan membolehkan peniaga IKS menjual produk mereka secara di atas talian (online shopping).

51. Kerajaan ini telah berjaya melaksanakan hasrat penduduk nun di Kampung Teluk Rhu, Sabak Bernam dan Kampung Ladang Batu, Tanjung Sepat untuk menikmati internet berkelajuan tinggi. Sehingga hari ini, seramai 200,000 pengguna aktif di kalangan Gen Y menggunakan khidmat WiFi Smart Selangor setiap bulan.
Kerajaan Digital Terbuka (Digital Open Government)

52. WiFi Smart Selangor akan memangkin ke arah pengukuhan Digital Open Government yang merangkumi 3 fungsi; untuk memastikan penyampaian perkhidmatan adalah responsif, hubungan secara langsung di antara rakyat dan kerajaan, dan untuk memastikan Kerajaan Negeri bersikap service-oriented. Ini adalah selaras dengan tuntutan masyarakat yang semakin sophisticated. Kita perlu memberdaya rakyat menerusi ‘crowdsourcing’, penggunaan media sosial dan teknologi geospatial. Prinsip ini adalah amalan terbaik global dan memenuhi prinsip keterbukaan dan ketelusan.

53. Digital Open Governmentakan dapat memastikan aduan awam (public complaints) seperti kutipan sampah, jalan berlopak, keselamatan awam dan sebagainya menerima perhatian dan tindakan segera oleh pihak berkuasa. Sebuah pusat pengurusan aduan (central call management centre) akan diwujudkan untuk menerima aduan rakyat.

54. Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan sejumlah RM 6.73 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf infrastruktur teknologi maklumat dan pelaksanaan program sains, teknologi dan inovasi.

Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC)

55. Selaras dengan gagasan Smart Selangor, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Selangor Information Technology and E-Commerce Centre (SITEC) dengan kos sebanyak RM 3.8 juta. Usaha ini akan mengangkat Selangor sebagai hub perdagangan serantau untuk e-dagang dan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi syarikat startup berkembang maju.

56. SITEC turut memainkan peranan sebagai perunding program pendidikan dan latihan usahawan muda dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di dalam membangunkan e-dagang.

57. Matlamat awal SITEC adalah membantu 100 syarikat SME dari Selangor untuk berkecimpung dalam e-dagang menerusi program Selangor E-Commerce Class 100; membantu mereka untuk menjual produk secara online (Selangor Online 100); dan menerusi aplikasi mudah alih (Selangor Apps 100).

58. SITEC juga mewujudkan Selangor Digital Creative Centre (SDCC), sebuah inkubator yang menyediakan ruang co-working dan menawarkan sinergi dari segi inovasi teknologi dan budaya keusahawanan untuk membangunkan komuniti startup terutamanya di kalangan SME.

59. Ini adalah aspek utama kepada maker movement yang merupakan revolusi pembelajaran kreatif dan teknologi yang sedang bergerak di dunia hari ini. Gerakan ini menghasilkan versi reka cipta yang percuma atau mampu dimiliki. Perkongsian peralatan dan idea secara di atas talian akan membentuk komuniti yang mampu menyelesaikan masalah sejagat yang dinamik. Kejayaan dan percambahan maker movement bergantung kepada Internet of Things di mana kita akan terjalin melalui apa yang disebut sebagai ‘titanic digital matrix’. Pada masa dahulu, penghasilan teknologi ini dikuasai sepenuhnya oleh gergasi korporat. Namun kini, rakyat biasa mampu bergiat dalam arena ini dan terus menyumbang secara positif kepada masyarakat.

STRATEGI KEDUA : Menjana Sumber Pendapatan Secara Strategik

Pemuliharaan Sungai Klang

60. Kita gagal melihat sungai sebagai sumber ekonomi dan pusat pertumbuhan. Malah, pengurusan sungai menjadi mahal ekoran aktiviti pembuangan sampah haram di dalam sungai yang semakin serius. 43 peratus daripada sampah yang dibuang di tebing dan di dalam sungai adalah jenis sampah pembinaan dan 39 peratus adalah jenis sampah domestik. Anggaran sampah yang dipungut setiap bulan di dalam sungai di Negeri Selangor adalah 1,614 tan dan menelan kos pungutan dan penyelenggaraan sebanyak RM 58 juta setahun.

61. Saya terkesan melihat kejayaan pemuliharaan 10 km Sungai Cheonggyecheon yang merentasi bandaraya Seoul. Setelah dipulihkan, Sungai Cheonggyecheon menjadi nadi pertumbuhan ekonomi kota metropolis Seoul. Dengan izin, “Indeed the river is a stream of life in as much as water is the lifeline of humanity”.

62. Kerajaan Negeri telah mengorak langkah supaya Sungai Klang yang selama ini mengalir lesu diberikan pembelaan. Program pembangunan Sungai Klang telah bermula pada tahun 2015 dengan peruntukan berjumlah RM 9 juta bagi melaksanakan kerja-kerja berikut :

i. Membersih dan mengutip sampah di dalam dan di tebing sungai;
ii. Membina logboom di muara Bandar Klang di samping membaiki yang sedia ada;
iii. Membeli trash skimmer yang berfungsi untuk mengutip sampah di permukaan sungai;
iv. Membina dan memasang waste trap di 48 kunci air di aliran masuk Sungai Klang untuk mencegah sampah perbandaran terus mengalir ke dalam sungai.

63. Kerajaan Negeri terus bertekad mempergiatkan usaha pemuliharaan Sungai Klang dalam tempoh 5 hingga 10 tahun. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri akan memulakan kajian komprehensif pembangunan Sungai Klang dengan peruntukan sebanyak RM 15 juta yang akan dibiayai secara bersama oleh 5 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkongsi Sungai Klang iaitu MBSA, MBPJ, MPSJ, MPK dan MPAJ.

64. Kerajaan Negeri menggesa pihak swasta untuk bersama melaksanakan perancangan bagi memajukan tebing-tebing sungai dan kawasan sekitar koridor sungai. Usaha ini mampu mengatasi masalah pembuangan sampah untuk memastikan aliran sungai tidak terganggu bagi mengurangkan masalah banjir, meningkatkan kualiti air sungai, memelihara kelestarian sumber air dan biodiversiti sungai serta alam sekitar.

65. Sungai Klang akan menjadi mercutanda untuk menjana pertumbuhan baru dan mencetus sebuah ekosistem ekonomi maritim yang menghubungkan bandar-bandar utama di Selangor dan Kuala Lumpur menerusi jalan air, sepertimana Sungai Rhine yang menghubungkan beberapa negara di Eropah.

Pembangunan Kwasa Damansara

66. Mewujudkan pusat pertumbuhan baru (new growth centre) adalah penting untuk Selangor terus menjana pertumbuhan ekonomi secara mampan. Ia juga mampu mencipta peluang pekerjaan.

67. Pembangunan bandar baru oleh Kwasa Land Sdn Bhd, dengan konsep pembangunan bercampur di tapak seluas 2,303 ekar mampu menyediakan lebih 10,000 unit rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Projek ini akan dibangunkan dalam tempoh 30 tahun dan akan menyumbang kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk premium tanah dengan anggaran sebanyak RM 1.02 bilion.

Regenerasi Bandar (Urban Renewal)

68. Pembangunan semula bandar boleh mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kualiti hidup, kemudahan, infrastruktur, pengurusan aset serta menjana pendapatan untuk negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

69. Transformasi daripada kawasan perindustrian lama kepada pembangunan bercampur seperti Rancangan Kawasan Khas Seksyen 13, Petaling Jaya berdasarkan konsep “Live, Work, Learn, Play” akan meningkatkan hasil.

70. Regenerasi bandar akan turut mendapat suntikan dari pelaksanaan konsep pembangunan Transit Oriented Development (TOD). Pembangunan di sekitar kawasan stesyen MRT, LRT, BRT dan Komuter akan membentuk masyarakat yang lebih mampan, connected dan vibran.

Galakan Pelaburan

71. Invest Selangor yang berfungsi sebagai pemudahcara kepada pelabur telah memberikan imej baru dalam mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan dan hub perdagangan global.

72. Kerajaan Negeri menyedari kepentingan pelaburan berteknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti, mencipta pertumbuhan baru yang menyokong aktiviti perkilangan dan pengembangan sektor perkhidmatan. Pelaburan juga mempunyai kesan gandaan (multiplier effect) untuk membantu industri lain.

73. Selangor adalah hub aero angkasa di Malaysia. Serendah akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian khusus untuk industri aero angkasa, automotif dan lain-lain industri berteknologi tinggi. Usaha ini akan merancakkan lagi pembangunan di daerah Hulu Selangor.

74. UMW Corporation dengan kerjasama Rolls Royce akan membangunkan sebuah kilang pengeluaran ‘Fan Case’ berteknologi tinggi di atas tanah berkeluasan 20 ekar di Serendah dengan nilai pelaburan sebanyak RM 830 juta. Produk ‘Fan Case’ merupakan komponen enjin pesawat Boeing dan Airbus. Projek ini dijangka menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 200 orang yang berkemahiran tinggi dan separuh mahir. Pengeluaran pertama produk ini dijangka bulan Oktober 2017.

75. Syarikat Nestlè (Malaysia) Berhad yang merupakan peneraju dalam bidang pemakanan telah bertapak di Negeri Selangor lebih 100 tahun yang lalu dan kini, Nestlè terus meletakkan keyakinan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dengan pelaburan tambahan sebanyak RM 378 juta bagi membangunkan kilang Sri Muda dan pembesaran kilang Batu Tiga. Kini, tapak pengeluaran produk makanan dan minuman di Shah Alam merupakan kilang Nestlè yang terbesar di dunia dengan jumlah pekerja tempatan lebih 2,000 orang.

76. Sehingga Jun 2015, Selangor mencatatkan sebanyak 130 projek pelaburan termasuk non-metallic mineral products yang mencatatkan pelaburan sebanyak RM 732.6 juta diikuti denganpaper, printing and publishing dengan nilai pelaburan sebanyak RM 617.2 juta serta pembuatan makanan bernilai RM 468 juta.

77. Negeri Selangor mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan dinamik di peringkat serantau. Dengan penduduk melebihi 5.8 juta orang, negeri ini mempunyai 2.9 juta tenaga kerja dengan purata 98.7 peratus daripada mereka telah melalui sistem pendidikan asas dan menguasai lebih satu bahasa.

78. Smart Selangor tidak boleh bergantung kepada tenaga buruh yang tidak mahir. Statistik menunjukkan bahawa 37 peratus daripada 14 juta pekerja di Malaysia adalah buruh asing. Daripada jumlah tersebut, 97 peratus adalah pekerja tidak mahir. Dalam usaha untuk menarik pelabur ke Negeri Selangor, Kerajaan Negeri bertekad untuk melahirkan 10 ribu knowledge workers setahun dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing yang tidak mahir. Usaha ini boleh dicapai kerana Selangor mempunyai lebih daripada 140 kolej dan universiti di samping 30 sekolah antarabangsa.

Industrial Park

79. Memandangkan Selangor memiliki 198 kawasan industri dengan keluasan 16,429 hektar, langkah seterusnya adalah menyediakan pelan perancangan strategik sektor perindustrian termasuk pembangunan dan pengurusan taman perindustrian seperti di Pulau Indah, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Raja.

80. Central Spectrum aktif mempromosi Industrial Park dengan konsep baru Managed Industrial Park dengan mengekalkan Green Sanctuary beserta ekosistemnya, Gated and Guarded dan membina asrama pekerja yang selesa. Kemudahan laluan berbasikal juga disediakan.

81. Central Spectrum telah membangunkan taman industri di Pulau Indah dengan keluasan 3,500 ekar yang telah menjana nilai pelaburan berjumlah RM 15 bilion dalam tempoh 20 tahun. Kini, ia sedang membangunkan Fasa 3 yang meliputi 800 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM 1.2 bilion dan nilai pelaburan dianggar RM 3 bilion.

Selangor Bio Bay

82. Berdasarkan kejayaan inilah, Kerajaan Negeri mengorak langkah kepada pelaburan berimpak tinggi dan niche marketing melalui penghasilan produk bioteknologi dan sains hayat. Bidang ini dianggap sebagai pusat pertumbuhan baru global yang akan datang. Selangor Bio Bay akan dibangunkan di Pulau Indah dengan keluasan 1,070 ekar serta memberi fokus untuk menarik pelaburan dalam industri perubatan dan sains hayat yang berteknologi tinggi. Dengan izin, “The unique selling proposition is that in this high-tech industry you can go back to nature and remain smart.”

Industri Halal

83. Nilai dagangan halal global diunjur melebihi USD 46 trilion. Ini membuka peluang keemasan bagi Hub Halal Selangor untuk mengembangkan skop perniagaan dan pelaburan. Pada masa sama, usaha perlu diambil untuk menjadikan Selangor sebagai peneraju dalam program persijilan Halal International Selangor menerusi pembangunan program Halal Technical Competent Person (HTCP). Collaboration Agreement HTCP telah ditandatangani dengan universiti-universiti tempatan dan rakan strategik dari China, Jepun, Korea dan United Kingdom.

Selangor International Expo

84. Invest Selangor buat julung kalinya akan mengadakan pameran Selangor International Expo (SIE) 2015 bermula 26 hingga 28 November 2015 di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) dengan penyertaan 700 ruang pameran melibatkan kos sebanyak RM 5 juta.

85. Ekspo ini bertujuan untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai hub perdagangan global dan juga menjadi platform bagi syarikat-syarikat tempatan dan asing (multinational) untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka serta memberi peluang kepada mereka untuk menarik pelabur yang berpotensi untuk bekerjasama.

86. Komponen peserta pameran adalah dari industri seperti Elektrik & Elektronik, Sains Hayat, Peralatan Pengangkutan, Jentera dan Peralatan. Ekspo ini dijangka menerima 10,000 pelawat dari kalangan ahli-ahli perniagaan dari dalam dan luar negara khususnya dari negara-negara ASEAN dan China.

Rasionalisasi Anak Syarikat Kerajaan Negeri

87. Kebergantungan kepada premium, cukai dan urusniaga tanah sebagai hasil utama negeri perlu dinilai semula. Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah strategik untuk menjana pertumbuhan yang dinamik dan organik bagi mempelbagaikan sumber pendapatan.

88. Menyedari cabaran ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) kini dalam proses rasionalisasi dan konsolidasi aset-aset yang dimiliki oleh kumpulan Anak Syarikat MBI. Matlamat dan halatuju DEIG adalah untuk menguruskan aset-aset milik MBI bagi mencapai penciptaan nilai yang kukuh dan mampan (sustainable value creation) bagi meningkatkan hasil negeri melalui pembayaran dividen. Usaha yang inovatif ini adalah bertujuan untuk mengelakkan pertindihan aktiviti ekonomi melalui pembentukan beberapa kluster perniagaan yang memberi dampak ekonomi yang strategik kepada Kerajaan Negeri.

89. DEIG hanya akan mula beroperasi setelah urusan memperkemas dan memperkukuhkan struktur urus tadbir diselesaikan dengan berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan aset-aset milik Kerajaan Negeri.

Pelancongan

90. Pelancongan adalah salah satu sumber untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Bagi tahun 2016, dijangkakan seramai 7.35 juta pelancong akan melawat Negeri Selangor dan memberi pulangan kepada negeri dalam bentuk “tourism dollars”.

91. Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) merupakan permatang kuarza terpanjang di dunia yang terletak di Daerah Gombak. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyenaraikan PKGS sebagai Tapak Warisan Negara dan seterusnya Tapak Warisan Dunia yang akan menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri.

92. Alam semula jadi mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM 1.35 juta bagi melaksanakan kerja menaiktaraf Pusat Pelancongan Kelip-Kelip, kemudahan infra di pantai-pantai Negeri Selangor dan pembelian trem di Bukit Melawati.

93. Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan peruntukan kepada RM 7.75 juta untuk mempromosikan pelbagai acara pelancongan, memajukan industri kraftangan dan menaiktaraf produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Pelancongan Kesihatan (Health Tourism)

94. Kerajaan Negeri bersetuju supaya Selgate Corporation menjadi peneroka dalam bidang perubatan dan kesihatan sekaligus mempromosikan ‘Health Tourism’. Ini termasuk penggabungan dan pengambilalihan hospital atau pusat perubatan yang sedia ada, pembangunan hospital baru, usahasama atau pembelian ekuiti saham serta lain-lain aktiviti yang berkaitan yang boleh menjana pendapatan. Pembangunan 3 buah hospital di Gombak, Shah Alam dan Setia Alam akan menelan belanja sejumlah RM 300 juta dan dijangka siap pada tahun 2020.

STRATEGI KETIGA : Mempertingkat Pembangunan Berkualiti dan Inisiatif Peduli

Industri Perkhidmatan Air Selangor

95. Kerajaan Negeri sangat mengambil berat kebimbangan pengguna domestik dan industri berkenaan isu bekalan air terawat. Langkah drastik Kerajaan Negeri untuk memastikan kecukupan bekalan air terawat kepada pengguna adalah:

i. Melaksanakan 8 pakej Projek Mitigasi 2 yang akan siap sepenuhnya pada Disember 2015. 4 pakej telahpun siap. Projek Mitigasi 2 akan memberikan tambahan air terawat sebanyak 300 JLH ke dalam sistem sedia ada dan berupaya menampung permintaan air sehingga tahun 2017. Projek ini juga menambah baik interconnectivity sistem agihan.

ii. Meluluskan 12 Kebenaran Merancang dan pengambilan balik 21 lot tanah bagi pembangunan Loji Langat 2.

iii. Membaik pulih Loji Rawatan Air Sungai Langat bagi meningkatkan kapasiti loji dari 386 JLH kepada 500 JLH. Projek ini akan menyediakan sistem standby dan menukar pam yang berkapasiti tinggi untuk mengelakkan berulangnya kejadian henti tugas.

iv. Menyalurkan air mentah Sungai Semantan ke Sungai Langat bermula pada 24 Ogos 2015. Projek ini bertujuan untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi di Sungai Langat.

v. Meneruskan kerja-kerja pengepaman kolam-kolam takungan di Bestari Jaya bagi mengawal pelepasan Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi ; dan

vi. Membuat kajian terperinci mengenai “Water Resources, Supply, Demand And Distribution Study For Selangor”.Kajian ini bertujuan untuk memastikan kelestarian bekalan air mentah dan air terawat sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun.

96. Kerajaan Negeri memandang serius apabila pelaksanaan Projek Langat 2 hanya dijangka siap pada pertengahan tahun 2019. Lantaran itu, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah pro-aktif untuk membangunkan sumber-sumber air baru bagi memitigasikan sebarang kemungkinan kekurangan bekalan air antara tempoh 2017-2019. Projek sumber air baru yang telah dikenalpasti untuk dibangunkan dengan kos bernilai RM 778 juta adalah :

i. Loji Rawatan Air Labohan Dagang, Kuala Langat yang dijangka boleh membekalkan air sebanyak 400 JLH; dan
ii. Loji Rawatan Air Semenyih 2, Jenderam Hilir dengan kapasiti 100 JLH.

Tadbir Urus Baharu Perkhidmatan Air

97. Pada 10 Julai 2015, Kerajaan Negeri telah berjaya merungkai satu kemelut panjang penswastaan industri perkhidmatan air. Kini, rakyat Negeri Selangor berjaya memiliki semula industri ini. Kejayaan ini telah membolehkan industri perkhidmatan air disusun semula ke arah perkhidmatan yang holistik berteraskan ketelusan, kebertanggungjawaban, efisyen dan kos efektif. Mulai 15 Oktober 2015, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri telah dengan rasminya mengambil alih pengurusan operasi SYABAS dan Puncak Niaga Sdn Bhd. Dengan kejayaan ini, Insya Allah, tidak akan berlaku lagi catuan bekalan air di Negeri Selangor.

Program Air Percuma

98. Kerajaan Negeri memberikan komitmen untuk meneruskan program air percuma pada tahun 2016. Program ini telah menelan belanja sebanyak RM 1.06 bilion sejak diperkenalkan pada Jun 2008.

99. Sementara program air percuma ini diteruskan, Kerajaan Negeri ingin menyeru supaya rakyat Negeri Selangor membudayakan amalan konservasi air dalam kehidupan seharian. Statistik mendapati kadar penggunaan domestik adalah sebanyak 236 liter per orang sehari. Kadar penggunaan ini adalah sangat tinggi berbanding kadar penggunaan di Singapura hanya sebanyak 170 liter per orang sehari.

Perumahan Untuk Rakyat

100. Kerajaan Negeri prihatin terhadap keperluan rakyat memiliki rumah pada harga yang mampu dimiliki dan selesa untuk diduduki. Hasrat Kerajaan Negeri untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 3 tahun melalui Skim Insentif Galakan Rumah Selangorku 2015 telah mendapat penyertaan yang aktif dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju swasta.

101. Sehingga kini, terdapat 15 pemaju yang bersedia untuk membina sejumlah 20,568 unit rumah mampu milik dan dijangka siap pada tahun 2018. Kerajaan Negeri turut bercadang untuk menaikkan kadar pendapatan isirumah sebagai kelayakan membeli Rumah Selangorku daripada RM 8,000 sebulan kepada RM 10,000 sebulan.

102. Namun, usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah mampu milik mengalami cabaran apabila pembeli-pembeli rumah ini menghadapi masalah pembiayaan dari bank tempatan berikutan tindakan Bank Negara mengetatkan kemudahan kredit memandangkan hutang isirumah melonjak naik dengan mendadak. Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil sikap pro-aktif dengan menyediakan Skim Khas pembiayaan rumah melalui usahasama dengan institusi perbankan dengan meletakkan cagaran berjumlah RM 20 juta bagi tahun 2016. Skim ini bertujuan untuk membantu golongan peneroka bandar yang mempunyai masalah mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan berikutan tiada pendapatan tetap, tiada dokumen sebagai bukti pendapatan serta usia lanjut. Projek Rumah Selangorku yang terlibat dalam skim ini ialah Rumah Kos Rendah (RKR) Lembah Subang 2, RKR Rimba Jaya, RKR Ukay Indah, RKR Berembang Indah dan Taman Selayang Mutiara.

103. Kerajaan Negeri juga mencadangkan untuk meneruskan Skim DanaSel dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 10 juta bagi tahun 2016 bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah melalui kaedah Sewa-dan-Milik (Rent and Own).

104. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 1.6 juta untuk membeli 40 unit rumah yang telah siap dibina bagi disewakan kepada golongan yang tidak berkemampuan membeli rumah. Bagi tahun 2016, inisiatif ini dicadang untuk diteruskan dengan tambahan peruntukan sebanyak RM 1.68 juta.

105. Kerajaan Negeri berusaha meringankan beban rakyat untuk memiliki rumah pertama dengan mewujudkan Skim ‘Selangor Smart Home Buyers’.Melalui skim ini, Kerajaan Negeri akan membuat pendahuluan bayaran deposit sebanyak 10 peratus bagi membiayai pembelian Rumah Selangorku jenis B dan C. Skim ini akan membolehkan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memegang sebahagian milikan rumah yang hanya boleh dilepaskan setelah bayaran balik kepada kerajaan. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM 10 juta yang bakal dinikmati oleh lebih 1,000 pembeli rumah mampu milik.

Pemberdayaan Kesejahteraan Bandar

106. Konsep pembangunan bestari yang dilaksanakan di Negeri Selangor perlulah mempunyai keseimbangan pembangunan insan dan pembangunan fizikal. Kesejahteraan rakyat bukan sahaja dinilai melalui kuantiti tetapi ia juga mengambil kira aspek kualiti kehidupan. Kerajaan Negeri menyelaras pelbagai program pemberdayaan komuniti. Program CERIA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2011 dengan kaedah “Co-Sharing” membaikpulih harta bersama telah menampakkan keberkesanannya. Untuk itu, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sebanyak RM 25 juta bagi kerja-kerja pembaikan harta bersama.

107. Kelangsungan kehidupan komuniti ini dipertingkatkan melalui pelaksanaan program komuniti dengan kerjasama Pesuruhjaya Bangunan Pihak Berkuasa Tempatan melalui program Keselamatan Kejiranan (SEROJA), Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata (FOKUS), Kelab Interaktif Komuniti (K-KLIK), Sistem Tadbir Urus Akaun (K-STAC) dan Skim Pengenalan Pengurusan Kehidupan Bandar (SKORA) dicadang untuk diperuntukan sebanyak RM 3 juta pada tahun 2016.

Pengangkutan Awam

108. Kepesatan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor telah menyumbang kepada kenaikan Kadar Purata Pertumbuhan Tahunan (KPPT) dan diunjurkan pada tahun 2020, jumlah penduduk di Negeri Selangor adalah 6.8 juta orang. Pertumbuhan penduduk dan kepesatan ekonomi merupakan faktor utama untuk Kerajaan Negeri menyediakan infrastruktur perhubungan dan pengangkutan awam yang efisyen kepada rakyat. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri sedang menyediakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam untuk meneliti dan merangka aspek sistem pengangkutan awam sedia ada, sistem jaringan jalanraya yang akan membantu sistem penyuraian trafik termasuk melaksanakan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian iaitu 60:40 berbanding nisbah yang ditetapkan oleh SPAD iaitu 40:60. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 990,000.00 untuk Pelan Induk Pengangkutan Awam dan dijangka siap pada Disember 2015.

109. Tekanan pembangunan yang pesat di Negeri Selangor telah melebihi kemampuan kapasiti sistem pengangkutan sedia ada. Justeru itu, Kerajaan Negeri perlu beranjak kepada sistem pengangkutan awam yang bersepadu, berkapasiti tinggi dan mampan serta mesti diselaraskan dengan penggunaan tanah yang optima. Pelan struktur sistem pengangkutan awam perlu mengambil kira pandangan ramai, keperluan pertumbuhan baru, kepadatan penduduk dan zon pembangunan TOD.

110. Untuk membuktikan komitmen dalam menjayakan usaha ini, Kerajaan Negeri sedang aktif berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad berhubung cadangan pembangunan Projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT 3) dari Bandar Utama ke Johan Setia sejauh 36 km yang dijangka mampu menampung kapasiti 70 ribu penumpang sehari menjelang tahun 2020.

Bas Smart Selangor

111. Kerajaan Negeri telahpun membelanjakan RM 3.5 juta untuk program bas percuma di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Perkhidmatan Bas ‘Smart Selangor’ ini bertujuan mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian sebagai langkah pengurangan karbon dan menuju ke arah “Negeri Hijau”.

112. Perkhidmatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelajar universiti, pekerja kilang dan penjawat awam. Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan Bas ‘Smart Selangor’ di MPAJ dan MPKj dengan tambahan peruntukan berjumlah RM 10 juta.

Infrastruktur dan Kemudahan Awam

113. Kerajaan Negeri menerima geran MARRIS(Malaysian Road Record Information System) sekitar RM 500 juta setahun. Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengoptimakan penggunaannya selaras dengan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri.

114. Walaubagaimanapun, peruntukan MARRIS ini mempunyai kekangan di mana ianya hanya boleh digunakan bagi tujuan penyelenggaraan sahaja tanpa melibatkan skop kerja-kerja binabaru mahupun kerja-kerja naiktaraf.

115. Maka, dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada bulan Jun 2015 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Kerajaan Negeri telah mengesyorkan agar Kementerian Kewangan menyemak semula Garis Panduan Tatacara Pengurusan Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri bagi memenuhi peningkatan kapasiti dan keperluan infrastruktur perbandaran semasa.

Pembinaan dan Naiktaraf Jalanraya

116. Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 320.1 juta pada tahun 2015 bagi membiayai pembangunan projek infrastruktur dan kemudahan awam untuk memenuhi keperluan pembangunan sosial dan ekonomi negeri terutamanya perhubungan jalanraya agar rakyat menikmati kemudahan aksesibiliti, mengurangkan kesesakan dan menyediakan jalan alternatif. Daripada jumlah ini, sebanyak RM 196.1 juta dibelanjakan bagi membina jalan baru dan menaiktaraf jalanraya.

117. Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan termasuklah:

i. Menaiktaraf Laluan dari Simpang 3 Ijok – Simpang Jaya Setia (Fasa 1) Daerah Kuala Selangor – RM 19.15 juta;
ii. Menaiktaraf Jalan Reko Daerah Hulu Langat – RM 15 juta dan;
iii. Menaiktaraf Jalan Rawang – Batang Berjuntai (Fasa 2) dari Persimpangan Bandar Country Homes ke Sempadan Daerah Kuala Selangor – RM 4.6 juta.

118. Bagi tahun 2016, sejumlah RM 373 juta diperuntukkan kepada JKR Negeri Selangor bagi membiayai pembangunan projek infrastruktur dan kemudahan awam. Ia adalah peningkatan sebanyak RM 53 juta berbanding peruntukan tahun 2015.

119. Daripada jumlah ini, sebanyak RM 199.2 juta disediakan bagi melaksanakan projek membina dan menaiktaraf jaringan jalanraya. Antara projek-projek yang akan dilaksanakan adalah :

i. Menaiktaraf Persiaran Mokhtar Dahari, Daerah Petaling dengan kos pembangunan sebanyak RM 150 juta. Projek ini diberikan keutamaan setelah mengambil maklum akan keluhan rakyat terhadap kesesakan lalulintas luarbiasa yang dialami setiap hari.

ii. Membina Jalan Sambungan Kota Warisan, Sepang (missing link) sejauh 3.9 km dengan kos pembangunan sebanyak RM 109 juta. Projek ini tertanggguh semenjak tahun 2006. Saya telah turun ke lokasi dan dapat merasai kegetiran pengguna jalanraya. Maka, saya bertanggungjawab untuk mengutamakan projek penyuraian trafik ini demi kemudahan rakyat.

Rancangan Tebatan Banjir

120. Laporan World Economic Forum 2014 menyebut bahawa peningkatan kejadian cuaca ekstrim seperti banjir dan ribut adalah di antara 10 risiko tertinggi global. Jumlah taburan hujan di Negeri Selangor dijangka meningkat dan beberapa daerah mengalami risiko tinggi hujan lebat dan berlaku banjir.

121. Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius tentang isu banjir kilat dan mendapati bahawa salah satu punca berlakunya banjir kilat adalah kegagalan untuk menyelenggarakan kolam-kolam takungan. Hal demikian berlaku kerana ketiadaan keempunyaan yang jelas ke atas penjagaan dan penyelenggaraan kolam takungan.

122. Kerenah birokrasi berakhir di sini. Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya JPS diberi keupayaan untuk menyelenggarakan 314 kolam takungan melalui Akaun Amanah Caruman Parit. Bagi tempoh tiga tahun mulai 2015, sejumlah RM 30.67 juta dikeluarkan dari akaun ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan kolam-kolam takungan.

123. Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk menambah peruntukan pembangunan JPS kepada RM 80 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 70.21 peratus. Di samping itu juga, Kerajaan Negeri mencadangkan pertambahan peruntukan mengurus bagi kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan sebanyak RM 12 juta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus penyelenggaraan kolam takungan kepada RM 24 juta.

124. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah untuk menangani masalah banjir di Johan Setia, Telok Gadong, Pandamaran dan Kapar. Selain itu, penambahbaikan sistem saliran di Kampung Melayu Sungai Buloh dan Kampung Tasik Permai, Hulu Langat.

Pembangunan Luar Bandar

125. Kerajaan Negeri komited untuk menyuntik dinamisme ekonomi, sosial dan infrastruktur di luar bandar. Fokus Kerajaan Negeri pada tahun 2016 adalah untuk merevolusikan pembangunan desa dan luar bandar. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 40.48 juta yang meliputi RM 10 juta untuk kerja-kerja naiktaraf dan baikpulih jalan-jalan kampung, RM 5 juta untuk kemudahan asas desa termasuk membaikpulih dan membina balairaya serta jambatan. Manakala, RM 5.65 juta diperuntukkan untuk program pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak serta RM 5 juta lagi untuk pembangunan kampung baru.

126. Dalam Belanjawan 2015, saya telah menarik perhatian Dewan berhubung jaminan bekalan makanan (food security) yang menuntut Negeri Selangor untuk menjadi pengeluar makanan utama dengan kemahiran teknologi dan menguasai global supply chain. Warga peladang, penternak dan nelayan perlu diberikan dorongan untuk meningkatkan kemahiran dan menggunakan teknologi yang berinovasi.

127. Di dalam merangka strategi memperkasa sektor ini, konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’akan menjadi asas kepada dasar pertanian Negeri Selangor. Kerajaan Negeri bersedia untuk menyediakan tapak ladang pertanian dengan penggunaan teknologi bagi menentukan jenis tanaman yang memberi pulangan tinggi kepada petani.

128. Atas kesedaran untuk memangkin pertumbuhan sektor pertanian, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 26 juta diperuntukkan bagi tahun 2016 yang merangkumi RM 18 juta untuk Jabatan Pertanian dan RM 8 juta untuk Jabatan Veterinar. Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan lagi kualiti dan tahap program pertanian yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian supaya mengarah kepada penggunaan teknologi moden dengan lebih agresif lagi. Tumpuan juga akan diberi kepada penglibatan generasi muda yang beriltizam dan berpengetahuan menerusi Program Agro Generasi Muda Selangor (Agrogems).

Penambahbaikan Pengurusan Sisa Pepejal

129. Semenjak saya terjah melihat sampah, kebersihan awam merupakan agenda utama Kerajaan Negeri. Komitmen untuk menjadikan Selangor bersih telah ditonjolkan menerusi inisiatif penyeragaman tong sampah pada setiap pintu rumah. Inisiatif ini dimulakan dengan pemberian 3,000 tong sampah.

130. Rakyat sering mengeluh mengenai masalah kutipan sampah yang tidak responsif dan konsisten. Lanjutan daripada kajian yang dilaksanakan, Kerajaan Negeri mendapati bahawa masalah ini disebabkan oleh ketiadaan economies of scale; ketidakupayaan kontraktor kecil membuat pelaburan dalam perbelanjaan modal (CAPEX); ketiadaan KPI yang jelas terhadap kontraktor; nilai kontrak yang relatifnya rendah; dan skop perkhidmatan yang tidak seragam di kalangan PBT.

131. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk merombak pengurusan sisa pepejal kerana mekanisme sedia ada tidak dapat menyelesaikan masalah sisa pepejal dengan cekap dan berkesan. Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa mekanisme pengurusan sisa pepejal yang baru akan menjamin pemilihan kontraktor menggunakan proses perolehan tender terbuka dan menolak amalan monopoli; memastikan kesaksamaan penyertaan kontraktor yang berkelayakan; dan mengekalkan perkhidmatan kontraktor kecil dengan syarat memenuhi KPI yang ditetapkan.

132. Penggunaan teknologi landfill secara berterusan bukanlah suatu penyelesaian yang lestari. Dampak negatif jangka panjang seperti lost opportunity hartanah, kos rehabilitasi yang tinggi, pencemaran air bawah tanah dan udara secara terbuka bakal merugikan negeri dan menjejaskan alam sekitar. Untuk tujuan ini, saya menggesa Dewan ini agar mencari suatu penyelesaian yang lebih mampan dengan mengambil kira kos pelaburan yang tidak membebankan rakyat dan menjamin keselamatan.

Taman Rakyat

133. Kehidupan bandar yang penuh dengan cabaran dan tekanan perlu disulami dengan gaya hidup yang sihat, harmoni dan sejahtera. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk melihat pembangunan bukan sahaja dalam konteks hutan konkrit tetapi juga pembangunan hijau. Pada 10 Jun 2015, Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan tapak seluas 40.8 ekar sebagai Taman Rakyat / Taman Awam di Seksyen 13, Shah Alam yang akan diselenggarakan oleh MBSA. Taman ini menawarkan kemudahan serta aktiviti interaktif termasuk taman tema hijau yang didedikasikan untuk kanak-kanak. Taman hijau ini akan melengkapi kehidupan bandar yang berkualiti. Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 40 juta sebagai kos keseluruhan pembangunan Taman Rakyat.

Program Bantuan Makanan Asas

134. Kerajaan Negeri tuntas untuk menjadikan prinsip keadilan sosial sebagai teras dalam amalan pentadbiran, menyelami kepayahan rakyat terbanyak dan mempertingkat usaha kebajikan.

135. Atas keprihatinan inilah, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan Program Bantuan Makanan Asas yang akan diperuntukkan sejumlah RM 3 juta sebagai salah satu strategi bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan meringankan kos sara hidup yang kian meningkat. Program ini akan memberi manfaat kepada 5,000 keluarga termiskin di Negeri Selangor.

Pengecualian Cukai

136. Kegawatan ekonomi hari ini menekan kehidupan seharian peniaga-peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah. Kerajaan ini adalah kerajaan peduli rakyat. Maka, saya ingin mencadangkan supaya cukai taksiran bagi rumah kos rendah, rumah kampung dan fi lesen perniagaan penjaja kecil, pasar malam dan pasar tani dikecualikan bagi tahun 2016. Langkah ini akan memberi implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM 41.7 juta.

137. Pengecualian cukai ini akan memberikan manfaat kepada 220,247 pegangan rumah kos rendah dan kediaman kampung dengan jumlah pengecualian sebanyak RM 34.5 juta. Manakala, seramai 67,804 pemegang lesen penjaja gerai dan pasar akan menikmati pengecualian ini yang bernilai RM 7.2 juta.

Program Hijrah

138. Belanjawan 2015 telah memperkenalkan program HIJRAH yang memberi manfaat kepada 11,148 orang peserta dengan jumlah pembiayaan sehingga 30 September 2015 berjumlah RM 58.4 juta. Alhamdulillah, peratusan kutipan bayar balik adalah tinggi iaitu 99.98 peratus. Jumlah penerima dijangka akan terus meningkat dan disasarkan sehingga 21,000 orang pada penghujung tahun 2015.

139. Program HIJRAH adalah berteraskan konsep “Pinjaman Asas Simpanan”. Hasil pulangan akan ditabungkan di dalam Tabung Hijrah Selangor sebagai simpanan peserta. Selain itu, Koperasi HIJRAH Selangor yang bakal dilancarkan pada akhir tahun ini bertujuan untuk membuka ruang dan peluang perniagaan yang lebih besar kepada peserta program manakala Bazaar Hijrah akan memberi ruang dan platform kepada para peserta program Hijrah untuk menjual produk-produk yang dihasilkan di satu ruang niaga yang bersepadu.

140. Yayasan Hijrah Selangor akan mengaudit kejayaan program Hijrah melalui jumlah peserta yang telah berhijrah daripada golongan berpendapatan rendah kepada golongan berpendapatan menengah.

141. Yayasan Hijrah akan diberi peruntukan tambahan sebanyak RM 31 juta bagi tahun 2016 untuk meluaskan program mikrokredit dengan mensasarkan golongan khusus seperti ibu tunggal, asnaf, pekerja ladang, belia dan golongan OKU.

Program Kebajikan Untuk Warga OKU

142. Kerajaan Negeri akan terus membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

143. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu responsif dalam memberikan keselesaan dan memenuhi keperluan dan kemudahan aksesibiliti OKU seperti penyediaan ramp, handrail dan tempat letak kereta khas golongan OKU. Langkah pro-aktif perlu dimulakan segera dengan mengenalpasti program pembangunan latihan dan pembelajaran termasuk menambah bahan bacaan braille dan audio yang diperlukan.

144. Sejumlah RM 270,000 dicadang diperuntukkan bagi tahun 2016 untuk program pembangunan dan pemberdayaan golongan OKU tidak termasuk peruntukan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

DIDIK Smart Selangor

145. Bagi yang pernah menonton filem “My Name is Khan” lakonan Shah Rukh Khan, kita akan menginsafi watak Khan yang sukar berkomunikasi dan hidup dalam dunianya sendiri kerana mengidap autisme.

146. Kini terdapat lebih 20 pusat pendidikan autisme, Cerebral Palsy dan Down Syndrome di Negeri Selangor. Kos rawatan dan latihan seorang anak autisme mencecah sehingga lebih RM 2,000 sebulan. Kos ini membebankan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Oleh itu, Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan projek perintis pusat sehenti bagi rawatan autisme yang dikenali sebagai “Pusat Didikan dan Terapi Smart Selangor” (atau “DIDIK Smart Selangor”) dengan kos RM 500,000 di mana ibu-bapa boleh menghantar dan mendapatkan rawatan untuk anak-anak mereka.

Pembangunan SRJK(T) Ladang Desa Coalfield, Daerah Kuala Selangor

147. SRJK(T) Ladang Desa Coalfield akan dibangunkan untuk kemudahan pendidikan anak-anak pekerja ladang. Pembangunan sekolah berasrama ini akan menempatkan sekurang-kurangnya 500 pelajar dan dibiayai melalui Tabung Amanah Anak Pekerja Ladang Coalfield.

148. Pembangunan ini bertujuan untuk membantu anak-anak pekerja ladang mendapat pendidikan yang sempurna dan cemerlang sekaligus mengurangkan kemiskinan di kalangan pekerja ladang. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor telah menerima skop kerja daripada Lembaga Sekolah pada 29 Jun 2015. Manakala Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor sedang mengambil langkah-langkah perlu bagi mendapat kelulusan daripada Jabatan Pemetaan dan Ukur (JUPEM) bagi isu persempadanan tanah. Peruntukan berjumlah RM 4 juta kepada JKR Selangor akan disalurkan dalam tempoh terdekat.

Program Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin

149. Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM 1.5 juta bagi tahun 2016 untuk pekerja dan bekas pekerja ladang bagi membantu mereka menyesuaikan kehidupan untuk mencorakkan masa depan.

150. Kerajaan Negeri juga mencadangkan peruntukan sejumlah RM 1 juta untuk meneruskan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak.

Pencegahan Denggi

151. Kerajaan Negeri menyedari bahawa masalah denggi masih serius dan perlu ditangani dengan berkesan dan komprehensif. Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sebanyak RM 1.5 juta untuk program pencegahan dan kawalan denggi melalui tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan yang lebih ketat termasuk rumah kediaman dan tapak projek pembinaan. Pada masa sama, Kerajaan Negeri menyarankan agar masyarakat bersama-sama membantu menjaga kebersihan di kawasan kediaman masing-masing untuk memastikan tempat pembiakan nyamuk aedes dapat dihapuskan sama sekali.

152. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk memperuntukkan RM 500,000 bagi program Sihat Selangor yang meliputi program Kayuhan Jantungku, Larian Jantungku, saringan kesihatan dan pameran kesihatan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang gaya hidup sihat dan cergas.

STRATEGI KEEMPAT : Memperkukuh Kualiti Pendidikan dan Latihan

153. Dalam menghadapi cabaran masa kini, kita memerlukan anjakan paradigma dalam sistem pendidikan. Usaha ini menuntut sistem pendidikan yang holistik untuk membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berakhlak tinggi.

154. Kita perlu membina jenama yang unggul bagi institusi pengajian tinggi negeri dan memposisi institusi tersebut di peta pendidikan serantau. Ini akan memperkukuhkan daya saing graduan dan mempertingkatkan kebolehpasaran mereka.

UNISEL

155. Saya melihat potensi besar UNISEL untuk memainkan peranan dalam mencorakkan pembangunan Negeri Selangor dengan mencetuskan perobahan dan anjakan dalam pendidikan bagi menggarap visi Smart Selangor.

156. Untuk menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap sektor pendidikan, sejumlah RM 60 juta pemberian telahpun disalurkan pada tahun 2014 untuk baikpulih sistem pembetungan dan baikpulih asrama. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan sebanyak RM 20.9 juta untuk membiayai pembayaran balik sukuk BaIDS.

157. Kerajaan Negeri bercadang meneruskan program Brain Bank dengan dana RM 5 juta dan program Biasiswa Selangorku berjumlah RM 10 juta melalui Tabung Amanah. Selain itu, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk meneruskan Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor dengan peruntukan berjumlah RM 2 juta sebagai bantuan awal kepada mahasiswa UNISEL dan KUIS. Bagi memastikan lebih ramai anak Selangor mendapat manfaat daripada program ini, Kerajaan Negeri bersetuju supaya syarat kelayakan pendapatan isirumah diubah daripada RM 3,000 ke RM 5,000 sebulan.

158. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan besar yang dimainkan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dalam pembangunan modal insan. Mulai tahun hadapan, UNISEL akan mengiktiraf Sijil Unified Examination Certificate (UEC) yang diperkenalkan oleh Gabungan Persatuan Ahli Lembaga-Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong). Usaha ini boleh mengelakkan masalah brain drain yang semakin ketara. Statistik menunjukkan seramai 3,000 pelajar menamatkan pelajaran dengan sijil UEC setiap tahun.

Maahad Tahfiz

159. Kerajaan Negeri menyedari minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke Maahad Tahfiz. Maka, kita perlu memastikan graduan Maahad Tahfiz mempunyai peluang melanjutkan pelajaran dan mempunyai kerjaya di masa hadapan. Kerajaan Negeri bukan sahaja mahu melahirkan para huffaz seperti kebiasaannya, namun integrasi antara bidang hafalan al-Quran dengan akademik yang memberi wajah baru kepada golongan agamawan dan umat Islam keseluruhannya pada masa hadapan.

160. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina 3 buah maahad tahfiz yang baru dengan kos pembangunan berjumlah RM 18 juta.

161. Kerajaan Negeri juga akan membina dua buah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang dengan kos pembangunan RM 52 juta mulai 2016. Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf kemudahan Maahad Tahfiz Integrasi Sains ‘Darul Turoth’ di Bagan Terap dengan peruntukan berjumlah RM 3 juta.

Program Kemahiran Teknikal

162. Kerajaan Negeri memandang serius peratusan pelajar-pelajar yang tercicir dan tidak mendapat tempat di institut pengajian tinggi tetapi mempunyai potensi dalam bidang kemahiran. Maka, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 4 juta untuk meluaskan penajaan program kemahiran teknikal bagi golongan ini di INPENS.

Boot Camp

163. Kerajaan Negeri berhasrat untuk membina sistem pendidikan-sehingga-pencapaian kerjaya. Dalam usaha untuk mencapai taraf Smart State, tahap dan kualiti tenaga kerja merupakan satu pertimbangan yang penting. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan salah satu program yang telah diuji dan terbukti keberkesanannya di negara-negara maju iaitu Boot Camp. Boot Camp dapat menyediakan graduan kita dengan soft skills dan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka mendapat pekerjaan. Objektif Boot Camp adalah untuk melatih dan meningkatkan kemahiran graduan.

164. Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan Graduate Employability Enhancement Program dengan kos sebanyak RM 1.5 juta di mana graduan dapat mengikuti pelbagai kursus pendek seperti menghadapi temuduga, pengucapan awam, pengurusan projek dan sebagainya. Ini akan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka menghadapi dunia pekerjaan.

STRATEGI KELIMA : Membangun Kapasiti Wanita, Generasi Y dan Ekonomi Kreatif

Membangun Kapasiti Wanita

165. Menjadi trend masa kini, wanita muda yang bekerjaya dan telah berkeluarga terpaksa meninggalkan alam pekerjaan demi keluarga. Kerajaan Negeri menghargai pengorbanan wanita dalam membina institusi keluarga.

166. Kerajaan Negeri amat prihatin dan tidak mahu bakat dan sumber daya wanita muda ini disia-siakan. Dengan mengoptimakan gunapakai sistem teknologi maklumat, Kerajaan Negeri akan memulakan program perintis Selangor Homemaker Program, di mana wanita profesional diberi peluang untuk memohon waktu bekerja secara anjal atau bekerja dari rumah.

Pusat Penjagaan Anak-Anak

167. Sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, kita mahu melihat lebih banyak pusat penjagaan anak-anak (Affordable Childcare Centre) didirikan di kawasan perumahan mampu milik dengan prasarana yang lengkap bagi membolehkan anak-anak kita diasuh dengan selamat dan sempurna. Justeru, Kerajaan Negeri mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan mengkaji garis panduan pembangunan sedia ada untuk memastikan pusat penjagaan anak-anak disediakan terutama di kawasan perumahan mampu milik dan kos rendah.

Pusat Wanita Berdaya

168. Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM 3 juta bagi tahun 2016 untuk membangun kapasiti wanita menerusi program pembangunan dan pemberdayaan wanita di Pusat Wanita Berdaya (PWB).

169. Selain itu, PWB juga akan berperanan membangun komuniti perniagaan kecil dan sederhana dari kalangan wanita luar bandar melalui ‘PWB Shoppe’, pusat pengumpulan dan jualan produk makanan dan kraftangan ‘home-based’ .

He for She Campaign

170. Kerajaan Negeri melihat isu keganasan domestik sebagai isu besar. Dalam tahun 2014, sebanyak 657 laporan polis telah dibuat berhubung keganasan domestik di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri menggesa semua pihak, pemimpin dan organisasi untuk bersama memastikan kes sebegini dihentikan dan ditangani serta-merta. Usaha PEKAWANIS sebagai penyelaras dan operator Rumah Kebajikan Puteri Arafiah di Shah Alam bagi melindungi remaja yang mempunyai masalah sosial perlu mendapat dukungan dari masyarakat.

171. Usaha Lembaga Swadaya Masyarakat seperti Womens’ Aid Organisation (WAO) untuk membantu mangsa keganasan domestik selama lebih 30 tahun adalah dihargai oleh Kerajaan Negeri. Maka, Kerajaan Negeri bercadang untuk menyediakan bantuan dana sejumlah RM 50,000 kepada NGO yang menyediakan khidmat crisis intervention serta program kesedaran awam untuk melindungi wanita dan kanak-kanak seperti program He for She Campaign yang telah dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sukarelawan dan Learning Centre

172. Gen Y adalah generasi yang bertenaga, resourceful dan memiliki keupayaan luar biasa untuk menyumbang kepada masyarakat. Manifestasi daripada kaya-tenaga dan idea ini adalah semangat kesukarelawan yang harus dibudayakan di kalangan generasi muda.

173. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek perintis untuk menyediakan pusat pembelajaran atau learning centre di kawasan perumahan kos rendah bagi menyediakan ruang santai yang sihat, pusat pembelajaran dan riadah selepas waktu sekolah dengan kemudahan komputer, WiFi Smart Selangor, ruang pembelajaran serta program tuisyen percuma bagi membolehkan sukarelawan muda menyumbang khidmat pendidikan kepada masyarakat.

174. Sementara itu, bagi menggalakkan program dan kegiatan generasi muda di peringkat PBT, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM 1.45 juta untuk Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

Pembangunan Generasi Muda dan Sukan

175. Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Dasar Belia Negeri Selangor yang merupakan teras kepada pembangunan generasi muda meliputi pelbagai aspek seperti pendidikan dan latihan kemahiran, keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan komunikasi serta kemasyarakatan, jaringan dan kesukarelawanan. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 25.08 juta bagi program pembangunan generasi muda dan sukan. Ini termasuklah cadangan perbelanjaan sebanyak RM 17.68 juta bagi tujuan pembangunan atlet dan baikpulih infrastruktur sukan.

Akademi Merah Kuning

176. Kegemilangan bolasepak Selangor harus dikembalikan dengan potensi besar yang dimiliki oleh pasukan Selangor pada hari ini.

177. Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri bertekad untuk melakar kecemerlangan dalam sukan bolasepak dengan agenda pembangunan bola sepak yang lebih holistik dan profesional. Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama anak-anak syarikat akan menyumbang RM 23 juta untuk Bolasepak Selangor termasuk membangunkan Akademi Merah Kuning demi menggilap bakat pemain-pemain muda Selangor seawal usia 16 tahun.

Sports Tourism

178. Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkenalkan Sports Tourism yang merangkumi aktiviti sukan seperti paragliding, badminton, berbasikal, extreme game, skateboard dan roller blade. Aktiviti ini memenuhi citarasa Gen Y yang akan menarik lebih banyak penglibatan dalam usaha untuk melahirkan generasi yang sihat dan cemerlang. Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan bercadang menaiktaraf kemudahan sukan paragliding di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu sebagai persiapan Sukan SEA 2017 serta menarik pelancong sukan tersebut.

Keselamatan di Stadium

179. Kerajaan Negeri memandang serius insiden membakar dan mencampakkan suar dan mercun roket serta bom asap ke dalam kawasan padang dan di atas trek balapan semasa perlawanan di antara Malaysia dengan Arab Saudi pada 8 September 2015 di Stadium Shah Alam. Kerajaan Negeri telah siap memasang 80 unit CCTV di Stadium Shah Alam pada awal Oktober 2015.

180. Langkah ini membantu meningkatkan kawalan keselamatan dan memberi keyakinan kepada penonton dan pengunjung serta penganjur sukan bahawa Stadium Shah Alam adalah zon yang selamat. Kerajaan Negeri bertegas mahu budaya samseng dan amalan hooligan dalam sukan dibanteras.

Ekonomi Kreatif

181. Pembangunan ekonomi perlu diimbangi dengan soft sector seperti fesyen, muzik, filem, konsert dan lain-lain kegiatan intelektual dan kebudayaan yang turut mencipta pekerjaan dan pulangan ekonomi. Hari ini, industri kreatif semakin rancak dengan pembangunan apps, animasi dan lain-lain. Kerajaan Negeri berusaha untuk menjadikan Smart Selangor sebagai “watering hole for arts aficionados”.

Usaha Penterjemahan dan Buku Audio

182. Usaha penterjemahan untuk memperkayakan khazanah ilmu akan diteruskan. Hari ini, gerakan pencerahan awam akan dilonjakkan oleh teknologi melalui perkembangan pesat buku audio. Selangor mahu menjadi pemimpin dalam kegiatan pencerahan ini melalui produksi buku audio karya Melayu klasik dan moden yang akan turut membantu golongan OKU penglihatan berkongsi pencerahan. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM 2 juta.

183. Institut Darul Ehsan (IDE) dibentuk sebagai think tank bagi menggembling tenaga fikir dan membantu merangka kebijakan untuk menghadapi cabaran masa depan. Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 5 juta untuk merancakkan wacana serta mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan penerbitan.

Warisan Kebudayaan Orang Asli

184. Kebudayaan masyarakat Orang Asli seperti Temuan dan Mah Meri adalah sebahagian daripada warisan Negeri Selangor. Sebagai usaha memartabatkan warisan ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Projek Peta Kebudayaan dengan kerjasama pusat kebudayaan, PUSAKA dan muzium terkenal Smithsonian Institution di Amerika Syarikat. Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 1 juta bagi menjayakan projek ini.

World Muslim Fashion City

185. Dunia Islam adalah tamadun yang sangat kosmopolitan. Dalam dramanya yang bertajuk Hamlet, Shakespeare mengungkapkan peri pentingnya fesyen dalam kehidupan manusia: “The apparel oft proclaims the man” – manusia adalah menurut fesyen pakaiannya. Selangor mahu merayakan fesyen yang menampilkan kepelbagaian identiti dan kosmopolitanisme dunia Islam dengan membangunkan Shah Alam sebagai World Muslim Fashion City.

186. Ledakan saiz golongan kelas menengah Islam dan keyakinan beragama telah mencetuskan gerakan trend fesyen kepribumian, hijabista dan pakaian sukan wanita yang sopan. Selangor perlu mengambil peluang dari gejala fashionista “the rise and rise of Muslim fashion industry.” Melalui inisiatif ini, kita yakin Shah Alam akan masyhur sebagai pusat fesyen umat Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.

Art Gallery, Muzium Tekstil, Muzium Setem dan Heritage Walk

187. Kerajaan Negeri telah memulakan inisiatif untuk membangunkan Art Gallery (galeri seni) dan Muzium Tekstil di Royal Klang Club untuk mempamerkan koleksi lukisan dan kain tenun serta menempatkan hasil-hasil karya seni bagi tujuan menarik pelancong dan pengunjung. Keseluruhan kos pembangunan ini dianggarkan berjumlah RM 30 juta termasuk membina Heritage Walk.

188. Kerajaan Negeri sedang merancang untuk membina Muzium Setem di Shah Alam bagi menyimpan dan mempamerkan koleksi setem yang mempunyai nilai sejarah dan warisan yang perlu dipelihara dan dijadikan destinasi pelancongan khususnya di kalangan generasi muda dan pelajar-pelajar sekolah. Pembinaan Muzium Setem ini dijangka bernilai RM 15 juta.

Open Studio

189. Lanjutan daripada pengumuman Petaling Jaya sebagai Kota Seni, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya MBPJ dapat mewujudkan Open Studio sebagai ruang untuk pengkarya muda yang meliputi seni catan, seni cetak dan seni arca. Semoga usaha ini akan membolehkan Selangor menganjurkan pameran bertaraf ‘biennale’ seperti yang dianjurkan di Gwangju, Korea Selatan dan Jogjakarta, Indonesia. Gagasan ini akan membuka lembaran baru serta memberi dampak besar bukan sahaja kepada arena seni visual, tetapi juga kepada industri kreatif secara keseluruhannya.

F. PENUTUP

190. Hari ini genap 1 tahun, 1 bulan dan 8 hari saya diberikan amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-15.

191. Saya bersyukur dapat menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan kerjasama cemerlang daripada YB Ahli-Ahli Dewan Negeri, YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor. Muafakat ini telah menyuntik semangat baru dan dinamika tenaga cergas untuk bekerja dan berkhidmat demi rakyat. Muafakat ini juga menjadi pra syarat untuk membangunkan Negeri Selangor sebagai ‘Smart State’, yang melibatkan semua rakyat, menjamin kemakmuran untuk semua, keharmonian untuk rakyat dan yang terbaik untuk anak-anak dan generasi akan datang.

192. Dalam tempoh yang berlalu terlalu cepat, saya telah melalui pelbagai pengalaman. Ada yang manis, ada juga yang pahit. Namun, semua pengalaman ini, mendidik saya untuk tawadhu’, selain mendorong saya dan pasukan negeri untuk bekerja dan terus bekerja. Persetankan suara-suara yang cemburu dan pengacau kedamaian. Yang pahit itu adalah ubat dan penawar supaya rakyat dan Negeri Selangor sihat dan bertenaga.

193. Tuanku Sultan Selangor tatkala bertitah di Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga pada 30 Mac 2015 telah mengingatkan Dewan yang mulia ini untuk menggubal dasar – dasar negeri mengikut keutamaan selaras dengan tuntutan Maqasid al-Syari’ah yang merupakan gagasan penting dalam Islam dan senantiasa relevan dengan perubahan zaman.

194. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menjaga harta dan hasil mahsul negeri, Hifz Al-Mal, serta membangunkannya berpaksikan falsafah distributive justice sepertimana yang dituntut Maqasid al-Syari’ah. Saya ingin menegaskan bahawa seluruh dasar Kerajaan Negeri dan Belanjawan 2016 adalah berpaksikan prinsip Ekonomi Maqasid.

Ekonomi Manusiawi

195. Ekonomi Selangor adalah berteraskan pasaran bebas, dimana pihak swasta bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk merancakkan ekonomi dan melonjakkan pertumbuhan.

196. Namun, Kerajaan Negeri berwaspada dengan kapitalisme berfalsafahkan “economic might is right” dan “greed is good”. Sebaliknya, kita percaya kepada konsep ekonomi manusiawi – ekonomi yang berwajah manusia yakni didasari oleh falsafah pembangunan yang holistik dipandu oleh prinsip akhlak dan kepedulian sosial – al ‘adl wal ihsan. Ia bermaksud kita menggalakkan perniagaan yang berorientasikan keuntungan dengan menjamin prinsip keadilan sosial.

197. Untuk mengurus sebuah ekonomi manusiawi, tidak dapat dinafikan bahawa pengagihan peruntukan sumber yang terhad untuk pembangunan fizikal dan material amat penting. Walau bagaimanapun, pengagihan sumber untuk memenuhi pembangunan rohani dan intelektual harus mengambil keutamaan setara.

198. Allah SWT melarang harta kekayaan berlegar di kalangan golongan elit sahaja seperti firmanNya di dalam Surah Al-Hasyr, Ayat 7 :

“… supaya harta itu tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

199. Sayugia diingatkan, Allah SWT telah menjanjikan azab sengsara sekiranya harta kekayaan berlegar di kalangan golongan elit pemerintah; apa pula azabnya jika wang derma dimasukkan ke dalam akaun peribadi ?

200. Tatkala pentadbiran Putrajaya sedang bergelut dengan krisis kepimpinan; kegawatan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan kecelaruan dasar yang menghakis keyakinan pelabur dan masyarakat perniagaan; Negeri Selangor terus maju dengan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab serta dasar ekonomi yang menjana pertumbuhan mampan dan keadilan pengagihan atau distributive justice demi menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

201. Ekonomi Malaysia terus malap dan tiada langkah tegas dan menyeluruh untuk bangkit semula dalam masa yang terdekat.

202. Buletin Suku Kedua Bank Negara Malaysia Tahun 2015 menunjukkan semua dua belas kategori dalam bakul Indeks Harga Pengguna (CPI) mencatatkan inflasi lebih tinggi dan ini mempunyai hubungan langsung dengan pelaksanaan GST yang menjadi punca inflasi.

203. Pentadbiran Putrajaya mendakwa GST berlandaskan penggunaan atau consumption dan akan menggalakkan penabungan. Ini adalah satu propaganda.

204. Rakyat dibebankan lagi dengan kenaikan kadar tol di 18 lebuhraya sementara penurunan harga petrol terlalu sedikit dan tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang terus meningkat. Pastinya, yang paling menderita adalah mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, golongan pekerja dan penjaja. GST adalah penghisap darah dan senjata penindasan massa. “GST is a blood sucker and a weapon of mass oppression.”

205. Negeri Selangor mempunyai tanggungjawab yang besar untuk terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara. Selangor tidak boleh demam dan rebah. Kita mesti bersatu menjadi pemangkin ekonomi negara dan menjana pertumbuhan yang mampan; mengurangkan kesenjangan pendapatan dan menjamin kebajikan untuk rakyat yang kini dibelenggu dengan kos sara hidup tinggi.

Guru KAFA

206. Kerajaan Negeri menghargai peranan besar guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di KAFA Integrasi Negeri Selangor, Sekolah Rendah Agama (SRA) serta Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) untuk mendidik akhlak, peribadi dan jati diri kepada anak-anak kita. Guru-guru KAFA mempunyai minat yang tinggi dalam profesion perguruan dan melakukan tugas-tugas hakiki dengan cemerlang walaupun elaun yang diterima tidak setanding dengan tugas mereka.

207. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk menaikkan elaun bagi 6,900 guru-guru KAFA daripada RM 1,300 kepada RM 1,500 mengikut tempoh perkhidmatan dengan implikasi kewangan berjumlah RM 18.71 juta setahun mulai tahun 2016. Di samping itu, 150 orang guru di KAFA Integrasi Negeri Selangor yang kini menerima elaun bulanan berjumlah RM 800 daripada JAKIM akan turut dinaikkan elaun bulanan kepada RM 1,500 mulai tahun 2016 yang melibatkan tambahan belanja mengurus sebanyak RM 1.41 juta setahun.

208. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menaikkan elaun Ketua Guru daripada RM 100 kepada RM 150 dan memberi elaun kepada Penolong Kanan Akademik dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sebanyak RM 80 mulai Januari 2016 dengan implikasi kewangan sebanyak RM 819,579.60 setahun.

209. Kerajaan Negeri yakin guru-guru dalam sistem pendidikan Islam di Negeri Selangor akan terus memberikan komitmen yang jitu dalam mendidik anak-anak di Negeri Selangor bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah KAFA Negeri Selangor.

Penjawat Awam

210. Kerajaan Negeri Selangor bersyukur dan bertuah kerana mempunyai pasukan penjawat awam yang kuat, profesional dan berintegriti. Pegawai-Pegawai Daerah bekerja saban hari untuk membangunkan daerah dan memungut hasil bagi pihak negeri.

211. Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah turun ke lapangan mendampingi rakyat untuk mencorakkan pembangunan yang berkualiti dan menjamin kesejahteraan rakyat. Ketua-Ketua Jabatan sering merayau-rayau untuk mencari idea baru bagi menjana pertumbuhan yang lestari. Hasilnya, kini Negeri Selangor bangun dengan tenaga baru, cerdas dan menjadi Smart State pertama di Malaysia.

212. Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada penjawat awam yang telah bertungkus lumus meningkatkan hasil untuk membiayai pembangunan demi kemakmuran rakyat Selangor.

213. Di atas sumbangan mereka melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri secara efektif dan berkualiti serta mengambil kira prinsip perbelanjaan berhemah, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan bonus satu bulan setengah gaji. Pembayaran bonus sebulan gaji telah dibuat pada bulan Mei tahun ini. Pembayaran bonus selebihnya akan dibuat pada 17 Disember 2015 untuk membantu penjawat awam membuat persediaan untuk persekolahan anak-anak. Pembayaran bonus ini akan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 44.1 juta.

Skim Insurans Perlindungan Kesihatan Ahli Dewan Negeri

214. Rakyat menuntut wakil rakyat bekerja. Untuk bekerja, Ahli-Ahli Yang Berhormat perlu sihat dan cerdas. Saya telah meneliti permohonan daripada Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) dan bersedia untuk menimbangkan permohonan yang people-centric. Namun, saya juga amat memahami keperluan Ahli-Ahli Dewan Negeri mendapat perlindungan kesihatan dan keselamatan. Maka, mulai tahun 2016, kesemua Ahli Dewan Negeri akan diberikan Skim Insurans Perlindungan Kesihatan dengan had perlindungan sebanyak RM 40,000 seorang setahun.

215. Satu perkara yang membahagiakan saya ialah apabila dapat menyelesaikan masalah rakyat, dapat menatap wajah mereka apabila tiap-tiap satu masalah itu selesai.

216. Saya berasa amat gembira apabila bersalaman dengan Wak Suparman Sadikin di Kampung Rhu, Sabak Bernam dan beliau terharu dengan program kerajaan yang membandarkan masyarakat desa melalui kemudahan WiFi Smart Selangor. Saya juga tersentuh apabila bertemu Puan Ponamah A/P Subramaniam yang tinggal di Ladang Coalfields, Kuala Selangor dan beliau menangis kegembiraan apabila Kerajaan Negeri akan membangunkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Desa Coalfield, Kuala Selangor termasuk pembangunan asrama untuk anak-anak pekerja ladang. Saya disambut dengan suasana yang mahabbah oleh Encik Boon Heng dari Petaling Jaya yang gembira kerana sijil UEC anaknya diiktiraf oleh Kerajaan Negeri. Pelajar dan pekerja kilang berasa gembira apabila mendapat perkhidmatan Bas Smart Selangor secara percuma.

217. Program turun ke daerah bersalaman dengan rakyat, menatap wajah mereka memberikan kesan kepada saya untuk mengangkat harapan orang kampung, nelayan, petani, penghuni rumah pangsa, penjaja untuk mendapat pembelaan yang adil bagi masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.

218. Inilah realiti Selangor. Rencam dan penuh harapan. Usah bimbang dan gundah gulana. Ekonomi kuat, rakyat selamat, negeri berkat. Rakyat telah memberikan mandat berdasarkan muafakat yang berpegang kepada prinsip keadilan dan kemakmuran untuk semua. Jangan khianati amanah ini. Saya, mempunyai tanggungjawab moral untuk mempertahankan muafakat ini. Insafilah, masih ramai rakyat di luar sana yang memerlukan perhatian dan pembelaan. Marilah kita bulatkan muafakat, laksana bulatnya air dalam pembentung. Saya menyeru kepada perpaduan. Demi rakyat, ayuh kita bekerja sebagai satu pasukan. Dengan perpaduan, kita akan beroleh kekuatan. Dengan kekuatan, kita gunakan untuk mentadbir negeri dan menambah khidmat kepada rakyat.

Kain songket tenunnya halus,
Sesuai dipakai segak terikat;
Pemimpin adil mentadbir telus,
Dihargai rakyat sepanjang hayat.

Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

[MEDIA STATEMENT] Budget 2016 : Reflection Of Putrajaya’s Failure

The budget’s theme about “Prospering the rakyat” sounds good on paper but as we have seen in the case of last year’s budget, the Najib administration will fail to deliver at the end of the day. For example, you give BRIM and a marginal increase for this year but at the same time, you increase the highway toll. How does that prosper the rakyat? This is because the underlying problem of inflation has not been addressed.

Secondly, Najib is talking nonsense about opposition parties using the GST in their own budget document. I would reiterate: GST is a major strain on the poor and average wage earner. It imposes greater tax burden on the ordinary folk in order to fund the financial mismanagement of the leaders.

There is no great achievement in bragging about the increased revenue from GST collection. Of course, the revenue will increase. You are taxing the rakyat through and through. The purpose of GST all over the world is to broaden the tax base and diversify the sources of revenue, and not to raise tax revenue. This is accomplished in most countries by reducing income and corporate taxes simultaneously along with GST introduction – which is not the case in Malaysia. It is a double whammy for Malaysians as they end up paying more taxes than before. In fact, the Najib government has failed in the overall generation of revenue when you consider that it is only because of GST that we managed to save the day.

There is also the failure to deal with the overall financial mismanagement of the nation :

  • The issue of increasing household debt is not addressed.
  • Housing affordability is not properly dealt with.
  • Environmental issues are glossed over. There is no mention of haze and what plans are in store. Enhancement of quality of life for the rural folk is not in the offing.
  • Where is the mention of our depleting foreign reserves?
  • Why is there complete silence on the plunging ringgit, Asia’s worst performing currency?
  • What measures are in place to reduce our dependency on oil revenue?

There is no cheer in the budget for the economy. The Malaysian economy is one of the worst performing economies in East Asia, growing sluggishly not only by the East Asian standards but also by its own. Budget 2016 is very disappointing in the sense that it fails to provide a ‘short in the arm’ that the economy badly needs. Instead of spurring economic growth, the Budget is likely to dampen it. The two main sources of growth for the Malaysian economy are investment and consumer expenditures. There is nothing much in the budget to stimulate investor confidence or raise consumer sentiments.

The Budget 2016 fails to address the crisis of confidence that has badly hurt investor confidence, dented severely by the ongoing financial scandals. Consumer sentiments, hurt by GST, are further eroded by increased income tax rates. As a result, economic growth will take a hit. The economy badly needs a fiscal stimulus in the form of greater private sector expenditures through increased investment expenditures and consumer spending. Alas, the Budget may do exactly the opposite.

A budget is not just about great sound bites and making a show of offering goodies. The three essential elements of public financial management must be addressed: accountability, transparency and governance. This budget has failed to show that the government is serious about these issues.

 

MOHAMED AZMIN ALI

24th October 2015

Ucapan Istiadat Konvokesyen Kali Ke 10 Dan Majlis Watikah Pelantikan Pro-Canselor Universiti Selangor

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmatNya kita dapat bersama-sama di Istiadat Konvokesyen Kali Ke 10 Universiti Selangor pada hari ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperolehi ijazah pada hari ini. Kejayaan hari ini adalah hasil dari perjuangan saudara-saudari sejak sekian lama. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya bersyukur kerana UNISEL dapat menambah kemunculan ilmuan muda dan golongan profesional yang akan memandu kemajuan Selangor sebagai Smart State.

3. Saya turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang berkorban, memberikan semangat dan dorongan kepada anak-anak untuk menjadi ilmuan yang berjaya dan anak watan yang cerdas.

4. Inilah sumbangan tidak ternilai ibu bapa kepada Selangor, iaitu mendorong anak-anak menjadi bank sumber daya manusia. Kejayaan Selangor bukan terletak pada statistik ekonomi semata-mata, tetapi terletak pada generasi mudanya yang berilmu, berkemahiran dan memiliki jati diri yang mulia.

5. Usaha mencari ilmu adalah jihad. Ia tidak akan diperolehi tanpa kegigihan. Namun, segulung ijazah bukanlah titik penghujung usaha mencari ilmu. Pencarian ilmu adalah kegiatan sepanjang hayat, dari buaian ke liang lahad. Pencarian tersebut perlu lebih gigih lagi kerana perkembangan ilmu hari adalah amat pesat. Sebagai sebuah universiti yang memberikan tumpuan kepada bidang teknikal dan industri, kita perlu mengikuti ledakan inovasi yang sedang berlaku yang bakal merobah gaya kehidupan seharian manusia.

6. Universiti Selangor kini telah berumur lebih 15 tahun dan telah mencapai sebuah universiti komprehensif dan menawarkan program-program daripada tahun asas, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD). Kini UNISEL menawarkan 89 program di lapan fakulti dan kesemua program telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan-badan profesional.

7. Pada akhir 2014, UNISEL tergolong sebagai sebuah universiti TIER 5 atau universiti cemerlang oleh SETARA, iaitu sistem penarafan institusi pengajian tinggi Malaysia oleh Kementerian Pendidikan.

8. Program pengantarabangsaan UNISEL sejak dahulu menunjukkan UNISEL duduk setaraf dengan universiti awam. Malah universiti-universiti terkemuka dunia seperti Imperial College, Cambridge University dan Manchester University di United Kingdom; University of Tokyo di Jepun; Ataturk University di Turki serta Institut Teknologi Bandung di Indonesia telah menjalin hubungan dengan UNISEL, khususnya dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar. Usaha ini merupakan usaha bersama semua pensyarah, pelajar dan juga warga UNISEL yang menggembeling tenaga untuk mengangkat martabat UNISEL sebagai sebuah universiti terulung di rantau Asia. Kerjasama UNISEL dengan universiti terkemuka dunia, secara tidak langsung telah meletakkan nama UNISEL di peta dunia pendidikan.

9. Pada Mac 2015, UNISEL telah menjadi tuan rumah kepada mesyuarat penyelidikan antarabangsa dengan beberapa universiti terkemuka Jepun, UPM dan UMT untuk menilai geran penyelidikan antarabangsa yang bernilai USD 5 juta.

10. Tahniah kepada Profesor Dr Kushairi Rajuddin, pakar marin ekologi UNISEL yang telah memimpin pertemuan yang bersejarah ini. Saya juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Profesor Madya Dr. Mohd Nazil, Dekan Fakulti Biomedik kerana terpilih mendapat anugerah tertinggi Chartered Scientist daripada Council Science United Kingdom tahun 2015. Beliau merupakan saintis pertama negara yang mendapat anugerah berprestij ini.

11. Bagi nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Dato’ Profesor Emeratus Dr. Latif Ibrahim, pengarah Bio IT UNISEL, dilantik sebagai ikon sains dan matematik negara untuk menggalakan lebih ramai anak muda Malaysia menerokai bidang sains. Beliau juga merupakan penerima pertama Tokoh Akademik Negara 2013.

12. Mahasiswa UNISEL juga cemerlang dalam pelbagai bidang. Dua pelajar tahun akhir Program Kejuruteraan telah dinobatkan sebagai antara pelajar terbaik dalam bidang kejuruteraan di Malaysia dan telah dianugerahkan gold medal IEM 2015.

13. Dalam bidang pengantarabangsaan, 12 pelajar UNISEL terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar dihantar ke Australia untuk menandatangani MoU dengan Majlis Perwakilan Pelajar Western University of Perth. Pelajar-pelajar juga dihantar ke seminar pelajar universiti antarabangsa yang berlangsung di Hong Kong. Ketajaman berfikir dan kelantangan menyuarakan pendapat telah berjaya menarik perhatian penganjur. Pelajar dari Turki dan Indonesia telah mengadakan program pertukaran pelajar. Pada tahun ini, 26 orang pelajar dari Turki , Brunei dan Palembang telah berada di UNISEL selama sebulan dalam program pertukaran pelajar.

14. Namun, beberapa kejayaan yang telah dicapai jangan sekali-kali menyebabkan kita bersifat leka kerana cabaran masa depan UNISEL adalah besar. UNISEL perlu bersaing dengan universiti swasta yang lain untuk menjadi universiti pilihan pertama kepada pelajar dan ibu bapa untuk meneruskan pendidikan ke institusi pengajian tinggi.

15. Untuk mencapai maksud ini, graduan UNISEL perlu memiliki ciri-ciri kebolehpasaran. Penilaian sektor swasta perlu dijadikan “benchmark” kerana akhirnya graduan UNISEL akan menjadi rebutan industri dan juga yang lebih membanggakan kita semua ialah apabila graduan UNISEL juga berupaya mencipta pekerjaan.

16. Kebolehpasaran graduan bukan sahaja ditentukan oleh kursus-kursus yang mereka ikuti. Para graduan juga perlu memiliki “soft skills” seperti memiliki keyakinan dalam berinteraksi, kepetahan dalam bertutur, “resourceful” atau berkemampuan menyelesaikan masalah dalam segala suasana, mempunyai daya fikiran kritis dan lain-lain. Justeru itu, UNISEL perlu menyediakan persekitaran dan kegiatan pelajar yang meransang keyakinan diri, sikap kritis dan kebolehan berinteraksi dalam masyarakat yang bersifat kosmopolitan.

17. Kerajaan Negeri Selangor mahu UNISEL bangkit dan tampil untuk mendepani cabaran pendidikan global dengan merancang agar terus berkembang menjadi sebuah universiti serantau dengan menubuhkan kampus-kampus di negara jiran dan mengadakan kerjasama konstruktif dengan universiti-universiti terkemuka dunia. Untuk mencapai hasrat membina talent bank yang hebat, Selangor telah mengorak langkah untuk menjadi Hub Pendidikan Serantau (Regional Education Hub).

18. Saya yakin UNISEL mempunyai potensi kecanggihan teknologi dan inovasi bagi memenuhi permintaan industri yang mula beralih dari labour intensive kepada high technology and capital intensive industry.

19. Kerajaan Negeri melalui UNISEL berhasrat untuk meneroka konsep start up dalam bidang–bidang baru yang socially productive seperti latihan dan kemahiran tinggi untuk membangunkan talent bank. Dalam konteks ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada UNISEL yang telah menjalin kerjasama dalam bidang teknologi hijau dan automation, bidang automotif, keusahawanan, kejuruteraan kapal terbang dan teknologi pengeluaran makanan ternakan.

20. Litar lumba ujian yang akan dibangunkan di kampus Bestari Jaya akan mengupayakan lagi peranan Fakulti Kejuruteraan yang telah menempa nama dalam bidang automotif dengan memenangi pelbagai anugerah seperti Eco Challenge sejak tahun 2012, Petronas Cubprix, Perodua Eco Challenge dan perlumbaan kereta intervarsiti.

21. Penubuhan ASEAN Economic Community menuntut Negeri Selangor untuk menyahut cabaran global supaya connectivity perdagangan dapat menjana pertumbuhan dan memakmurkan masyarakat ASEAN. UNISEL boleh memainkan peranannya menghubungkan Kerajaan, industri, universiti dan masyarakat. UNISEL perlu menjayakan perhubungan serantau dengan menjayakan rangkaian ilmu serantau.

22. UNISEL turut menjayakan agenda Kerajaan Negeri dengan mengambil bahagian dalam penyelidikan seperti membangunkan inisiatif-inisiatif sistem pengurusan sosial, sistem penentuan tanda aras kemiskinan, pengurusan air sungai yang bersih, big data, sistem pengawasan dan keselamatan sosial, sistem pemantauan produk seperti hasil perkilangan dan pertanian.

23. Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu prasarana untuk berinteraksi dengan rakyat secara real-time yang dipanggil Citizen Pulse, yang antara objektif utamanya adalah supaya menjamin sistem penyampaian yang efektif.

24. Amat kerap pelajar dan ibu bapa mengeluh tentang keadaan asrama, perpustakaan, makmal dan lain-lain kemudahan yang memerlukan perhatian segera untuk membina persekitaran pembelajaran yang produktif. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan beberapa projek pembangunan bagi mencipta persekitaran kampus yang kondusif dan produktif. Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 60 juta pada tahun lepas untuk baikpulih sistem pembetungan dan baikpulih asrama pelajar. Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah peruntukan pembangunan bagi UNISEL yang akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2016 Negeri Selangor pada 30 Oktober 2015.

25. Dengan rasa tawadhu’, saya mengakui bahawa kita tidak mempunyai semua jawapan kepada semua permasalahan. Akan tetapi, pentadbiran ini lebih responsif dan hands on. Kami turun ke lapangan, kami terjun dan kami terjah, kami dengar keluhan pelajar.

26. Namun begitu, pelaburan Kerajaan Negeri harus disertai dengan anjakan paradigma dalam pengurusan universiti. Meskipun UNISEL adalah milik kerajaan negeri tetapi ia perlu berjalan seperti sebuah universiti swasta, bergelut dengan persaingan yang sengit. Perancangan strategik perlu meliputi aspek pergerakan universiti ke arah financial autonomy.

27. UNISEL perlu mencipta waqaf atau “endowment”nya agar universiti memiliki kekuatan kewangan untuk pengembangan dan pembesaran universiti di masa hadapan. Kunci kepada pembinaan endowment ini adalah para graduan UNISEL sendiri. Graduan yang berjaya akan berterima kasih dengan alma maternya sendiri dan akan memberikan sumbangan untuk kejayaan masa depan universiti ini disamping penyertaan pihak swasta yang patut menyumbang bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

28. Akhir sekali, saya mengajak seluruh keluarga UNISEL dan para graduan untuk bersedia melakukan anjakan paradigma yang diperlukan untuk membina masa depan yang gemilang bagi universiti ini.

29. Kepada para graduan, saya mendoakan semoga saudara-saudari akan mendapat keberkatan Allah SWT dengan limpahan ganjaran duniawi dan ukhrawi serta bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang mencabar dengan tekad dan keazaman yang utuh.

Terima Kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

[Media Release] Dark Day for Parliamentary Democracy

The suspension of Member of Parliament for Gelang Patah Lim Kit Siang today for 6 months has set the Dewan Rakyat to a new low and shows how UMNO-BN representatives are incapable of separating politics from parliamentary democracy.

In voting in favour of the UMNO-sponsored motion to suspend Lim for refusing to apologise for remarks allegedly insulting the Speaker concerning the 1MDB scandal, the BN representatives have lost their sense of what is right and wrong and abandoned the doctrine of members’ duty to speak up for the truth. Instead, they have let partisan and vindictive politics prevail over fair play and justice.

The suspension makes a mockery of the parliamentary process and marks another dark day for parliamentary democracy.

Mohamed Azmin Ali
22nd October 2015

[Media Release] Turkish bombing – we condemn the ruthless killing

We deplore the recent deadly bomb attack in Turkey which killed 95 victims who were attending a rally promoting peace with Kurdish rebels. While no one has claimed responsibility, the perpetrators of this ruthless attack, whoever they may be, must be brought to justice.

Our prayers and sympathies go out to the family and loved ones of those who perished in the attack. Sadly, this attack has come hardly two months after a similar attack on peace activists in Konya in July which killed more than 30 people.

Indeed, these tragic incidents, being symptomatic of the breakdown in Kurdish-Turkish peace negotiations, may well be regarded as direct assaults on peace itself. We therefore urge all sides to do their utmost to reduce tensions and work towards resolving issues in a peaceful manner.

It should not be forgotten that for the past decades, Turkey has successfully shown herself as a progressive Muslim democracy and a shining example for other Muslim nations to follow. No effort should be spared in ensuring that these achievements will not be undone.

MOHAMED AZMIN ALI
Chief Minister of Selangor
12th October 2015

Piala Mokhtar Dahari : Keluarga Gembira Nama Mokhtar Terus Dikenang

Mok1 Mok2 Mok3

Sumber : Selangorku.com

KELANA JAYA, 11 OKT: Isteri Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim gembira dengan penggunaan nama lagenda sukan Selangor untuk penganjuran kejohanan bola sepak dalam usaha mencungkil bakat muda.

Katanya, pertandingan di peringkat sekolah menerusi kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari merupakan platform sesuai untuk terus mengenang lagenda negara itu.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama menyaksikan perlawanan akhir bola sepak di antara SMK Tinggi Kajang dan SMK Meru.

“Sebenarnya mengenai penggunaan nama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari saya rasa sangat gembira.

“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi sangat penting bagi Negeri Selangor dan negara.

“Saya rasa ini kejohanan terbaik untuk menggunakan nama Allahyarham,” katanya.

Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2015 merupakan penganjuran tahun kedua hasil cetusan ilham DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Allahyarham Mokhtar Dahari merupakan lagenda bola sepak kebanggaan negara meskipun meninggal dunia hampir 24 tahun.

Beliau bermain di posisi penyerang dengan jersi bernombor 10 pernah membantu The Red Giants memenangi Piala Malaysia sebanyak 10 kali.

Lebih manis, beliau pernah bermain bersama lagenda Argentina, Diego Maradona dalam satu perlawanan menentang kelab Boca Juniors selain menghasilkan jaringan penyamaan terbaik ketika bertemu pasukan England B pada tahun 1978.

Perasmian Pulau Indah Green Industrial Park – Tumpu Industri Berteknologi

Pulau1 Pulau2 Pulau3 Pulau4 Pulau5 Pulau6

Sumber : Selangorku.com

KLANG, 10 OKT: Kerajaan Negeri lebih selektif terhadap kemasukan pelaburan luar bagi memastikan pelaburan baru di negeri itu memberi impak tinggi terhadap ekonomi negeri dan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan projek pelaburan berteraskan industri teknologi tinggi bagi mencapai sasaran menjadikan Selangor sebagai ‘smart state’ dalam masa terdekat.

“Kita lebih selektif mengenai pelabur luar kita pada masa akan datang apabila kita tak mahu industri berteraskan buruh tetapi kita mesti berubah kepada industri berteknologi tinggi untuk mencapai sasaran sebagai negeri ‘smart state’.

“Kita menumpukan usaha mempromosi lima industri utama iaitu elektronik, elektrikal, barangan kenderaan, bioteknologi, makanan mesin dan peralatan,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jualan dan Perasmian Taman Perindustrian Hijau Pulau Indah Fasa 3C Dan Pulau Indah Food Station di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Katanya, Selangor merancang membina lebih banyak taman perindustrian moden dan lengkap di seluruh negeri itu berikutan permintaan semakin berkembang dalam projek seumpamanya sejak beberapa tahun ini.

Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga mempromosikan taman perindustrian bagi merancakkan kemasukkan pelabur dalam dan luar negara di negeri itu.

Masjid Zakaria, Gombak Utara Bakal Berwajah Baru

zak zak1 zak2 zak3

Sumber : Selangorkini.com

GOMBAK, 9 OKT: Masjid usang berusia 84 tahun, Masjid Zakaria Batu 8 1/2 Gombak bakal berwajah baru dengan kos peruntukan keseluruhan RM11 juta.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata peruntukan RM6 juta mula diluluskan pada 2010 untuk pembinaan di tapak baru berhampiran tapak lama.

Katanya, proses pengambilalihan tanah yang memakan masa bagaimanapun menyebabkan kos meningkat sebanyak RM5 juta.

MB Rasmi Masjid Zakaria Batu 8 Gombak (5)“Namun, sebagai kerajaan bertanggungjawab dan mementingkan pembangunan berkualiti, peruntukan tambahan diluluskan sepenuhnya termasuk kos cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Sesungguhnya pembinaan masjid penting dalam usaha menjamin kesejahteraan rakyat terutama dalam aspek kerohanian,” katanya di hadapan lebih 200 hadirin.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pecah Tanah Masjid Zakaria Batu 8 1/2 di sini tengah hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Datuk Hamizan Mohd Inzan dan Adun Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridhuan.

Masjid baru itu didirikan di atas bukit dengan keluasan tiga ekar dan dilengkapi kemudahan seperti tempat meletak kereta serta ruang solat berhawa dingin.

Dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2017, masjid itu juga boleh memuatkan sehingga 2,000 jemaah.

Selangor sokong penuh gesaan Raja-Raja Melayu

Sumber Selangorkini

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 OKT: Selangor menyambut baik dan menyokong penuh gesaan Raja-Raja Melayu terhadap Kerajaan untuk menyelesaikan siasatan isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat perlu mengalu-alukan dan mengambil serius pandangan yang dikemukakan dalam kenyataan itu.

Katanya, setiap butiran yang dibangkitkan juga ternyata berkait rapat dengan isu rakyat, menunjukkan betapa sekalian baginda mengambil berat hal berkenaan.

“Kami ingin tekankan peringatan diberikan untuk menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dalam mengangkat perlembagaan dan undang-undang itu bukan sahaja sesuai dengan isu semasa melanda negara.

“Malah, seharusnya menjadi panduan bagi mereka yang memegang tampuk kepimpinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Raja-raja Melayu dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Mesyuarat-Majlis-Raja-RajaBaginda sekalian mahu semua pihak bertanggungjawab memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Raja-raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia akan menjejaskan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

Sehubungan kenyataan itu, Mohamed Azmin berkata, semua pihak tidak boleh menolak kepentingan pandangan dan keprihatinan sekalian baginda.

“Mewakili rakyat Selangor, kami menjunjung tinggi dan sangat menghargai pandangan serta nasihat tidak ternilai dalam kenyataan berkenaan,” katanya.

[Media Release] Full support for Statement by the Keeper of the Rulers’ Seal

7th October 2015

 

We take serious note and welcome wholeheartedly the statement released by the Keeper of the Rulers’ Seal, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, after the pre-council meeting of the Conference of Rulers at Istana Negara yesterday evening.

We are of the view that not just the leaders but the entire nation should welcome and take seriously the concerns and views expressed in the statement. Without doubt, each and every matter expressed therein resonates with the people in as much as they share with the same degree of care and concern the issues raised by the Rulers.

We note in particular the reminder to all leaders “to always adhere to the Rukun Negara principles of upholding the constitution and the rule of law.” We believe that this reminder is not just timely for the current issues affecting the nation but should remain a guiding light at all times to all those who hold executive power.

We also agree in all conscience that the statement should not be politicized by anyone or quarter in order to gain advantage. In addition to the aforementioned matters, we would like to categorically commend the following matters raised by the Rulers:

  • That there must be transparency in the 1MDB investigations and
    no concealment of facts and the truth;
  • That failure to resolve the 1MDB matter would continue to
    negatively impact the country’s financial market and economic climate
    and at the same time, adversely affect the world’s view of Malaysia;
  • That if the issue was not wisely handled, and was allowed to
    drag on, it could jeopardise the country’s economy and the livelihood
    of the people;
  • That this could also threaten public order and national security;
  • That all leaders must constantly ensure that justice is meted
    out equitably and transparently based on the law;
  • That enforcement agencies and regulatory institutions
    including the judiciary should have transparency, credibility and
    integrity so as to be worthy of God’s trust and the people’s faith;
  • That leaders must always give priority to factors of security,
    tranquillity, peace and harmony and place national and the people’s
    concerns above their personal interests;
  • That leaders of political parties and non-governmental
    organisations must not sensationalise racial and religious issues to
    garner support from the people for their parties or for themselves;
    and;
  • That the harmony and solidarity of the people should be
    safeguarded at all times and never be sacrificed for shallow political
    aims.

We cannot overstate the profound importance of the aforementioned views and concerns of the Rulers as so clearly and firmly articulated in the statement. On behalf of the Rakyat of Selangor, we commend our highest regard for their Royal Highnesses and express our deep and sincere appreciation for the views expressed and the invaluable advice given.

Mohamed Azmin Ali

Dato’ Menteri Besar Selangor