AZMIN ALI

LATEST

Day: October 6, 2015

Pusat Kreatif Digital pemacu Selangor ke arah ‘Smart State’

Sumber : Selangorku.com

SHAH ALAM, 5 OKT: Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC) mampu membawa perubahan besar Selangor dalam mengorak langkah ke arah ‘Smart State’.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata sebagai negeri penyumbang Pelaburan Langsung Asing (FDI) terbesar Malaysia, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik.

“Ini merupakan kejayaan hasil inisiatif Invest Selangor menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’. Walaupun, ia mungkin langkah kecil sesetengah pihak, namun ia boleh merubah ke arah ‘Smart State’ bertaraf dunia.

MB Azmin“Dengan pelancaran SDCC ini, kita lihat perkara kreativiti, inovasi dan kebolehan merupakan perkara penting menjayakan hasrat Kerajaan Negeri,” katanya ketika perasmian SDCC di I-City, di sini.

Mohamed Azmin berkata SDCC membantu usahawan memulakan perniagaan dan syarikat dengan menggunakan kemudahan disediakan.

“Aspirasi ini tidak dapat dilihat secara berasingan tetapi perlu dilihat dalam konteks wawasan strategik untuk melonjakkan Selangor ke platform serantau.

“Dalam kaji selidik pasaran terkemuka dan laporan antarabangsa, E-dagang di Malaysia menduduki sebahagian besar daripada jumlah transaksi dagang pada tahun akan datang. Dengan pertumbuhan pesat ini, terdapat juga peningkatan seiring dalam jumlah rakyat membeli produk dalam talian.

“Malah, urus niaga dalam talian per kapitanya antara tertinggi di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Singapura menjana hampir separuh jumlah jualan runcit dalam talian,” katanya.

Beliau berkata SDCC itu menawarkan inovasi dan perusahaan bagi memupuk bakal usahawan khususnya usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS).

“Hampir 80 peratus ruang sudah diduduki. Saya percaya dengan adanya alat berteknologi tinggi dan ‘maker movement’ yang memainkan peranan penting, ia merangsang perkembangan dinamik menerusi pembelajaran teknologi dan kreatif,” katanya.

SDCC menyediakan perkongsian tempat kerja untuk usahawan baru bagi membantu mereka memulakan kerjaya dan memperluaskan rangkaian perniagaan.

Kerajaan Negeri menjangkakan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kelas bulanan dilaksanakan untuk usahawan berkaitan e-dagang di samping persidangan tahunan bagi mendapatkan pelabur dalam inovasi yang dilatih di SDCC.

SDCC dengan keluasan 11,000 kaki persegi itu menempatkan bilik seminar, bilik mesyuarat, pejabat pelbagai fungsi, ruang pencipta dan kafe.

Usahawan disediakan meja dan kemudahan wifi selain seminar dijalankan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) dalam usaha menyokong perdagangan elektronik (e-dagang) secara meluas.

SDCC ditubuhkan sebagai projek utama stanco pelaburan untuk menjadikan negeri itu sebagai hab perdagangan antarabangsa bagi menghimpunkan pakar teknologi, wakil peniaga dan ahli akademik merumuskan model perniagaan e-dagang sesuai.