AZMIN ALI

LATEST

Year: 2016

Kenyataan Media – FAS

KENYATAAN MEDIA

30 DISEMBER 2016
Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melalui Kongres Luar Biasa pada Disember 2014 telah bersetuju dan meluluskan sebulat suara untuk memilih saya sebagai Presiden FAS yang baru.

Saya menyambut baik perlantikan ini dengan harapan untuk melakukan perubahan dalam pengurusan FAS dan juga pembangunan sukan bolasepak Negeri Selangor.

YB Amirudin Shari atas kapasiti sebagai EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Negeri Selangor telah dilantik sebagai Pengurus Pasukan untuk memperkukuh mutu dan kualiti sukan bolasepak termasuk program pembangunan Akademi Merah Kuning. Akademi ini ditubuhkan untuk menggilap bakat pemain-pemain muda Selangor seawal usia 16 tahun. Kami juga berusaha gigih untuk menyediakan dana yang besar bagi menjayakan usaha ini termasuk menjaga kebajikan pemain-pemain bolasepak Selangor melalui pengurusan kewangan yang telus dan berhemah.

Kerjasama erat kepimpinan baru dengan para pemain telah berjaya membawa pasukan bolasepak Negeri Selangor menamatkan kemarau 10 tahun kejuaraan Piala Malaysia selain berjaya ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016.

Malangnya, setelah hampir 2 tahun kami bersama FAS, kami tidak melihat kesediaan EXCO FAS untuk mendukung perubahan. Barisan EXCO FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama – “excessive politics, old-fashioned way of doing things, over dependency on subsidy mentality”. Malah, sehingga kini, barisan EXCO FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bolasepak Negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang 2018. EXCO FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Negeri Selangor.

Sehubungan dengan itu, saya dan YB Amirudin Shari mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bolasepak Negeri Selangor.

Sukan bolasepak merupakan sukan rakyat yang dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Negeri Selangor. Justeru, Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan dan dukungan kepada kemajuan sukan bolasepak Negeri Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak. Kami memberi jaminan kepada penyokong bolasepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bolasepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti.

YAB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

YB AMIRUDIN BIN SHARI

Ucapan YAB MB Bersempena Bengkel Pelan Strategik & Hala Tuju Transformasi Universiti Selangor 2016

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita semua dapat bersama-sama berkumpul di Bengkel Pelan Strategik dan Hala Tuju Transformasi Universiti Selangor 2016.

Presiden UNISEL seringkali mengangkat nama saya dan memuji kekerapan saya berkunjung ke UNISEL. Namun bagi saya ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Sebaliknya, ianya adalah tanggungjawab saya untuk bersama mengangkat UNISEL menjadi sebuah university terulung di rantau ini.

Saya juga sempat mendengar pandangan yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang mahu UNISEL mengembalikan fungsi dan peranan sebuah universiti sebagai wahana kepada proses pencerahan dan pencerdasan umat, melawan gerakan pembodohan massa. Peranan inilah yang dikupas oleh Dr. Siddiq sebentar tadi yang turut memetik karya Harry Lewis, Excellence Without A Soul yang secara kebetulan akan saya kupas juga dalam perbincangan sebentar nanti. “Great mind thinks alike.”

Selain itu, saya juga bersetuju dengan pandangan bahawa peranan universiti ini tidak boleh dipisahkan daripada komuniti.

Rapat tiga hari ini adalah amat penting bagi UNISEL kerana menghimpunkan pemikiran yang akan menentukan halatuju universiti dan menggariskan langkah yang perlu diambil untuk merealisasikan misi dan visi universiti.

“Strategic planning must be sustainable.” Sebuah perancangan strategik harus mampan dan mengambil kira satu tempoh jangka masa panjang. Kalau perancangan dalam satu tempoh yang singkat, ianya adalah “operational planning” sebagaimana sesebuah kerajaan membuat perancangan belanjawan setiap tahun.

Justeru, untuk membantu usaha kita yang murni ini, maka saya telah menyediakan satu kertas dasar bertajuk: A Strategic Vision for a Paradigm Shift: A Directional Perspective dan diharapkan ianya dapat diteliti dan diwacanakan.

Tema bengkel ini sangat penting dan bertepatan dengan masa kerana dua istilah kunci – Perancangan Strategik – Strategic Plan dan Arah Transformasi – direction of transformation. Saya akan membawa beberapa soalan yang bertujuan untuk mencabar diri kita sendiri. Beberapa soalan bersifat retorika dan beberapa yang lain memerlukan jawapan.

Saya bercakap di sini sebagai sebahagian daripada warga UNISEL – bukan sebagai orang luar yang memberi nasihat atau seorang autokrat yang meleter arahan. Saya berasa amat dekat dengan UNISEL bukan kerana kita berupaya untuk menyuntik dana yang besar tetapi kerana hasrat ingin melihat UNISEL berperanan menjadikan Selangor sebagai hub pendidikan serantau.

Insya Allah dengan segala input intelektual yang diberi, kita akan keluar dari bengkel ini dengan kefahaman yang lebih jelas, tanggapan yang lebih mantap bahkan memiliki visi yang lebih strategik tentang apa yang kita mahukan dari universiti ini.

Apa yang perlu kita tanyakan pada diri kita sendiri adalah: Apakah visi strategik UNISEL? Dan apakan keputusan strategik yang akan dibuat oleh UNISEL?

Saya sengaja menanyakan soalan ini secara terbuka. Mereka yang biasa dengan pengurusan strategik akan serta merta tahu bahawa ada yang tidak kena pada dua soalan tersebut kerana apabila kita bercakap tentang strategi atau perancangan strategi kita perlu menetapkan garis waktu atau time line.

Maka soalan yang sebenar adalah: Apakah visi strategik UNISEL yang boleh dicapai dalam jangka waktu lima tahun, atau 10 tahun, bahkan dalam masa 20 tahun? Dengan mengambil kira garis waktu, apakah keputusan strategik yang mesti diambil untuk mencapai prestasi yang lebih baik dan memperolehi competitive advantage?

Untuk melakarkan perancangan strategik UNISEL bagi bergerak dalam perubahan transformasi, saya yakin tiga langkah perlu dilaksanakan:

Pertama, kita perlu memahami kedudukan strategik UNISEL. Di manakah kedudukan kita dikalangan institusi pendidikan tinggi?

Kedua, kita perlu melakukan pilihan strategik untuk masa hadapan. Dan ketiga, kita perlu menterjemahkan strategi kepada tindakan.

Sudahkah kita melakukan SWOT Analysis atau PESTEL atau related strategic tools?

Jika kita telah melakukan stress tests tersebut, maka soalan selanjutnya adalah apakah action plan yang telah diambil?

Berhubung action plans, kita perlu menentukan matlamat yang boleh diukur, quantifiable objectives dan langkah-langkah yang jelas dan khusus untuk mencapai matlamat tersebut.

Sudahkah kita mengukur persaingan, menilai cabaran dan menentukan sasaran dan strategi untuk mendepani cabaran tersebut?

Saya yakin keluarga besar UNISEL bergerak sebagai satu pasukan, berhubungan antara satu dengan lain, and do not work in silos.

Kita hidup dalam era globalisasi. Negeri Selangor terdedah kepada kesan globalisasi, justeru itu UNISEL tidak boleh melihat dirinya sebagai bebas dari impak globalisasi. Tetapi globalisasi tidak perlu dilihat dari kaca mata negatif.

Dalam dua belanjawan yang lalu, saya telah melontarkan gagasan Selangor sebagai negeri serantau. Keserantauan dan globalisasi melalui jalan yang sama, di mana kita perlu lebih kompetitif untuk berdepan dengan saingan di peringkat serantau. Dengan menggunakan Blue Ocean Strategy kita tidak melihat pasaran sebagai terbatas, sebaliknya kita boleh membesarkan, bahkan mencipta pasaran dan peluang baru.

Dengan Negeri Selangor menjadi sebuah negeri serantau begitu juga UNISEL perlu mengembangkan sayapnya ke negara-negara ASEAN. UNISEL boleh memperolehi pelajar dari negara-negara serantau yang dahagakan ilmu dan kepakaran. Langkah ini sudah pasti akan memperkukuhkan asas kewangan universiti. Thomas Friedman mengatakan “The world is getting flatter”. Gejala ini perlu mendorong UNISEL membina jaringan dan perkongsian di luar negara dan penyusunan aktiviti merentasi sempadan negara.

ICT membawa perubahan besar. Tiada lagi ketidakpastian tentang arah dan kelajuan perubahan. Its phenomenal impact is treated as a given. ICT perlu diambil kira dalam kedudukan strategik semasa dan masa hadapan dan dipertimbangkan dinamikanya terhadap business environment.

Apakah kita akan berterusan melihat pengukuhan prestasi berdasarkan business model tradisional atau terjun kepada e-commerce?

Pelbagai perkara sedang berlaku dalam knowledge economy yang pantas dalam wide spectrum of issues. Gelombang baru revolusi industri yang dikenali sebagai Industry 4.0 akan menyaksikan tahap tinggi connectivity dan automation dalam sektor pembuatan.

Seterusnya, permintaan kepada higher value knowledge skills untuk mengurus complex automatic manufacturing systems dijangka akan meningkat secara mendadak.

Soalannya adalah : apakah UNISEL bersedia untuk mendepani segala cabaran yang dibawa oleh revolusi tersebut? Are we in the loop? Apakah perlu kita memulakan jaringan dan kerjasama dengan sektor khusus perindustrian yang akan memandu perubahan besar ini?

Sementara bergerak ke arah menjadikan UNISEL sebuah universiti yang cemerlang, peranan yang lebih besar diperlukan untuk “strategic management for financial efficacy, productivity and enhancement of service quality”.

Adakah UNISEL berkelengkapan untuk menggunakan “greater market knowledge, acquire new competencies and master the latest tools in financial management”.

Tatkala Selangor bergerak menuju ke arah “knowledge economy” di samping mempertahankan pertumbuhan dan kedudukannya sebagai gedung kuasa ekonomi negara, pendidikan perlu bergerak selari.

Justeru itu, Selangor Graduate Business School perlu dilancarkan segera tanpa sebarang hambatan. Tanpa mengira sebarang disiplin, graduan UNISEL yang telah mempunyai pengalaman pekerjaan, seharusnya memiliki persediaan intelektual untuk mengikuti pengajian sarjana dalam bidang perniagaan (MBA) khususnya mereka yang mahu menaiki tangga dalam “management value chain”.

Selangor Business School akan melahirkan graduan yang memenuhi keperluan dan permintaan perniagaan, korporat, industri dan sektor awam.
Graduan Selangor Business School akan bersifat dinamik, berorientasi global dan memberi nilai tambah dalam pelbagai kebolehan. Sebagai penyumbang nilai dan pemimpin dalam pelbagai peringkat lapangan strategik, mereka akan menjadi pemandu dan pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi Selangor sebagai Smart State.

Sejajar dengan dorongan transformasi yang dilancarkan baru-baru ini dan rasionalisasi fakulti-fakulti, UNISEL kini bersedia untuk mendepani cabaran baru, menjadi lebih kompetitif dan akan memajukan agenda pendidikan negeri.

Strategi tidak bersifat eka-dimensi (uni-dimensional). Misalnya, UNISEL diasaskan sebagai sebuah universiti untuk industri, maka nama asalnya Universiti Industri Selangor. Di manakah kita sekarang berbanding dengan matlamat asal?

Apakah graduan dari Fakulti Kejuruteraan memiliki ketrampilan untuk menerajui pertumbuhan industri yang amat pesat di Selangor. Syarikat-syarikat besar seperti Toyota melabur di Selangor. Melalui pelaburan Rolls Royce, Selangor kini memasuki era industri aero-angkasa. Apakah kita mengeluarkan jurutera untuk memenuhi keperluan industri ini?

Satu langkah utama dalam arah transformasi strategik adalah kemampuan kita menggariskan “benchmark of performance”.

Cakupan benchmark ini amat luas, tetapi kita boleh bermula dengan melihat pada pengurusan modal insan dan pengurusan kewangan sebelum memasuki sektor R&D dan khususnya pengukur rekod pengeluaran paten.

Kita juga perlu melakukan benchmarking dalam pengantarabangsaan kurikulum dan kepelbagaian warga pelajar.

Selain dari kriteria MQA yang mesti dipenuhi, adalah wajar kita mempunyai penanda aras prestasi yang mencerminkan identiti dan piagam yang terbaik.

Demi bersaing dengan universiti-universiti yang lain, UNISEL harus membuktikan kecemerlangan serta dapat mengharumkan nama Negeri Selangor sebagai negeri yang unggul dan peneraju dalam pendidikan tinggi.

Universiti-universiti terkemuka di Amerika Syarikat seperti Harvard, Yale dan Stanford dilihat sebagai mercu tanda kecemerlangan oleh seluruh dunia. Namun, Harry Lewis dalam bukunya “Excellence Without A Soul” telah melancarkan serangan tajam dan menuduh Universiti Harvard sebagai melupai fungsi asas universiti iaitu untuk melahirkan anak muda sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

Justeru itu, kita tidak boleh melihat kecemerlangan sebagai kriteria mutlak tanpa mengambil kira aspek pendidikan moral dan nilai akhlak yang membangun sahsiah pelajar. Maka, perancangan strategik serta hala tuju transformasi yang gagal menerapkan nilai-nilai ini pasti akan menghadapi kebuntuan.

Pembangunan bakat dan talent pool serta pengwujudan brain bank adalah mendesak untuk kemajuan masa depan sebagai sebuah smart state. Inilah cabaran kepada UNISEL, iaitu melahirkan aset intelektual untuk negeri bagi memenuhi agenda membangun bangsa dan memakmur negeri.

Akhir sekali, saya mendoakan agar bengkel yang diadakan ini dapat mencapai matlamat yang digariskan. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Bengkel Pelan Strategik dan Hala Tuju Transformasi Universiti Selangor 2016.

Sekian, terima kasih.

[Press Statement] MB welcomes decision granting stay on SPR local inquiries

We are pleased with the decision of the High Court today granting leave to proceed with our judicial review application. We are hopeful that the final resolution will see the rights of the rakyat prevail.

The court has rightly ordered a stay on all local inquiries by SPR until the resolution of the legal challenge by the State of Selangor.

This challenge against the SPR’s redelineation recommendation is very important because of its wide impact and the serious questions raised on the independence of the EC, gerrymandering and malapportionment.

Our position is that the proposed redelineation will adversely affect the rights of voters and undermine the process of free and fair elections.

For example, the proposed transfer of N37 Bukit Lanjan to P106 Damansara, in effect doubling the size of the constituency (from 85,366 voters to 150,439 voters), represents the worst case of malapportionment for a parliamentary constituency in Selangor. This is clearly in breach of Section 2(c) of the Thirteenth Schedule to the Federal Constitution.

The Selangor government will do whatever it takes to safeguard the constitutional rights of the rakyat and to oppose all arbitrary measures or attempts at denying the legitimate expectations of the people to enjoy their electoral freedoms.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN

Ucapan Sembah Taat Setia Dato’ Menteri Besar Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke 71 DYMM Sultan Selangor

Ampun Tuanku,

Dengan segala kerendahan diri, setulus kalam pancaran hati, seikhlas denyutan nadi, patik mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung Duli. Dirgahayu Tuanku. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor kekal bersemayam di singgahsana dengan segala kemuliaan dan kebesarannya.

Patik berdoa ke hadrat Ilahi, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

Tujuh puluh satu tahun melambangkan kebesaran, kemuliaan dan kehebatan Tuanku. Sayugia, sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku pada tahun ini sangat istimewa dan gemilang buat rakyat Selangor. Betapa tidak, pada tahun ini, Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan lebih bermakna kerana didampingi permata hati idaman kalbu.

Setanjak solek balung raja,
Lambang daulat sultan kami;
Permaisuri molek di singgahsana,
Bahgia rakyat tidak terperi.

Patik bersama sekalian rakyat jelata mendoakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor kekal bahagia dalam sakinah firdausi. Kebahagiaan Raja adalah kebahagiaan rakyat. Raja dan rakyat berpisah tiada. Di bawah naungan Tuanku, Negeri Selangor bertambah maju, makmur dan gemilang seperti yang diungkapkan oleh Shakespeare dalam drama Richard II :

“ …This royal throne of kings,
This earth of majesty, this seat of Mars…
This blessed plot, this earth, this realm…”

Ampun Tuanku,

Kesultanan Selangor mempunyai sejarah yang gemilang. Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai leluhur yang tersohor sebagai negarawan dan pahlawan; ulama dan ilmuan. Darjah dan Bintang Kebesaran yang dikurniakan oleh Tuanku memiliki nilai dan martabat yang utuh lagi tinggi. Kemuliaan darjah dan bintang kebesaran ini perlu dilindungi agar diwarisi dan terus dipandang mulia.

Kerajaan Negeri bersungguh hati untuk mempertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai mata air kedaulatan dan tiang seri perpaduan.

Justeru, Kerajaan Negeri telah meluluskan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama bagi mencegah daripada salah guna seperti yang ditetapkan oleh enakmen tersebut. Patik mendapat perkhabaran enakmen ini telah mendorong beberapa buah negeri lain untuk mengambil langkah yang sama agar kemuliaan Raja-Raja Melayu terus terpelihara.

Ampun Tuanku,

Pemerintahan yang dipilih rakyat atau sistem demokrasi wajar menggalas amanah untuk membangun bangsa dan memakmur negeri. Kuasa tidak boleh disalahguna. Prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi paksi tadbir urus sesebuah kerajaan.

Pemerintah perlu menekuni nasihat Raja Ali Haji, pujangga Melayu termasyhur Kerajaan Riau yang antara lain menegaskan prinsip nilai melalui pantun.

Jika memerintah lemah dan lembut,
Kepada tempat barang yang patut;
Orang pun banyak suka mengikut,
Apa kehendak tidak tersangkut.

Jika memerintah dengan cemeti,
Dengan perkataan pasti pasti;
Sekalian orang bencilah hati,
Tiadalah suka berbuat bakti.

Dalam kitab Raja Ali Haji mengenai etika pentadbiran yang bertajuk “Thamarat al-Muhimmah Diyafat lil Umara wal Kubara, li Ahlil Mahkamah” pujangga itu memberi peringatan tentang bahana rasuah. Izinkan patik memetik langsung kata-kata hikmat pujangga tersebut :

“Tamak – Yakni loba kepada perolehan dunia dan loba kepada perolehan hawa nafsu yang melampau daripada had syarak, iaitu sangat di cela kepada segala manusia… Terkadang dengan sifat tamak itu membawa kepada zalim dan aniaya kepada orang, sampai membawa khianat kepada harta benda orang… Terkadang membawa pula cedera kepada nama serta membawa kepada yang diharamkan seperti menerima rasuah…”

Ampun Tuanku,

Patik dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan terus berpegang kepada pokok bicara falsafah pentadbiran yang dinukilkan oleh Raja Ali Haji supaya negeri ini tidak terjerumus dalam amalan kleptokrasi, nauzubillah min zalik, yang akan membawa aib besar kepada bangsa dan negara serta membuatkan rakyat sengsara.

Alhamdulillah, Laporan Ketua Audit Negara 2015 memberikan penarafan sangat baik kepada prestasi perbelanjaan pembangunan Negeri Selangor.

Kedudukan kewangan dan rizab negeri yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri meluluskan belanjawan terbesar bagi tahun 2017 berjumlah RM 3.45 bilion. Kerajaan Negeri meletakkan agenda pembangunan tertinggi iaitu 52.2 peratus manakala belanja mengurus dikurangkan kepada 47.8 peratus.

Kejayaan pembangunan Negeri Selangor bukan sahaja tertumpu kepada usaha pertumbuhan ekonomi sahaja tetapi disimpul dengan prinsip ketelusan dan integriti. Selangor kekal negeri termaju di Malaysia dan gedung kuasa ekonomi negara kerana keyakinan rakyat dan pelabur semakin utuh.

Saudagar dan perantau berlabuh di Selangor untuk berniaga dan mencari pekerjaan. Selangor bumi subur yang sarat dengan khazanah.

Dalam lawatan kerja patik ke Jepun minggu lalu, Toyota Motor Corporation mengesahkan pelaburan baru bernilai RM 2 bilion untuk membina sebuah kilang di Klang yang mempunyai kemudahan berteknologi tinggi untuk pengeluaran 50,000 unit kenderaan setahun bagi pasaran tempatan.

Kebajikan rakyat Tuanku senantiasa menjadi matlamat perjuangan patik. Belanjawan 2017 memberi tumpuan kepada pengupayaan golongan B40 yang merupakan kumpulan pekerja, pelajar, peniaga kecil dan penjaja, petani, nelayan, veteran Angkatan Tentera dan mereka yang berhak mendapat pembelaan. Sementara usaha membela dan mengupaya rakyat dirancakkan, pembangunan negeri dipacu untuk menjadi sebuah smart state.

Pembangunan smart state mesti menjamin perimbangan dalam ekosistem dan tidak mengorbankan kekayaan, keindahan dan kepelbagaian alam semulajadi.

Perihal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 60 :

“Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

Alhamdulillah, di bawah lembayung kebesaran Tuanku, rakyat terus bersatu padu. Kerajaan Negeri juga amat menitik beratkan perpaduan. Kerencaman penduduk yang pelbagai bahasa, bangsa dan agama perlu dibingkai dalam perpaduan dan keharmonian.

Kemajuan dan pembangunan tiadalah boleh diukur dari segi ekonomi sahaja, tetapi juga dimensi keadilan sosial dan amalan demokrasi matang. Demokrasi menjamin pemberdayaan rakyat. Rakyat bukan untuk dimusuhi, tidak boleh dizalimi atau haknya yang termaktub dalam perlembagaan dicabuli.

Ampun Tuanku,

Membangun bangsa dan memakmur negeri adalah satu amanah yang amat berat. Namun, pada hemat patik, pekerjaan yang berat akan menjadi ringan apabila ada kerjasama. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Alhamdulillah, dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab patik yang berat ini, patik dibantu oleh pasukan penjawat awam yang profesional dan rajin bekerja; belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah dibuat, belum ditanya sudah jawab.

Setiap tanggungjawab dilaksanakan secara cermat dan bersungguh, hingga selesai dan berjaya. Berjalan sampai ke batas, belayar hingga ke pulau. Bila menyeluk pekasam, pasti sampai ke pangkal lengan. Dengan iltizam ini, Insya Allah, Selangor akan terus berada di hadapan.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dianugerahkan kesihatan yang berkekalan dalam kemanisan iman, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan untuk terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan seterusnya kepada puteri – puteri dan adinda – adinda Tuanku, waris – waris serta kerabat DiRaja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Daulat Tuanku.

Muslim democrats and the dynamics of change

I would like to thank the organisers for inviting me to offer some closing remarks. I am honoured to be here today in the presence of so many distinguished personalities and guests.

As a matter of fact, I feel very priviledged to be back here again for the forum – after having had the opportunity to take part in the Jakarta proceedings last year.

Let me begin by addressing the theme of the forum “Strengthening Democracy in the Fight Against Extremism and Islamophobia.”

Socio-economic advancement

One of the biggest challenges, if not the biggest, for Muslims has been and remains to be socio-economic advancement. We have to be clear about dealing with the issue of extremism and Islamophobia and to remember that these are symptoms and not causes.

Indeed the causes are manifold such as political and cultural marginalization. Deprivation of sovereignty or what may be described as the politics of dispossession is well documented. The Palestinian issue, the Patani Muslims and the Moros are some clear examples.

But then there is a clear and pressing – I may say overarching – problem which is the socio-economic position of Muslim communities throughout the world but more so in the Middle East, the Indian subcontinent and Southeast Asia.

More than two thirds of the world’s Muslims live in countries located in Africa, the Middle East and Asia. From the estimated 1.6 billion Muslims in 2014, the numbers are expected to increase through natural increase to about 1.8 billion in 2025. On the whole, Muslim populations rank below the world’s average in terms of levels of socio-economic development.

We don’t need to wait for extremism to flare up before we react and do something positive to rectify the situation. But the time for talking and rhetoric is long over. Clear prescriptions followed by solid and tangible action is the only way.

Speaking from the perspective of the administration of the state of Selangor, Muslim democrats can and do play a practical and active role in this regard. Selangor is the most developed state in Malaysia and is often referred to as the nation’s economic powerhouse. It contributes nearly a quarter of Malaysia’s GDP and is typified by positive economic growth and dynamism as well as political stability where governance is firmly grounded in accountability and transparency.

We implement an agenda for socio-economic empowerment of the people which is essentially two-fold in a broad sense. First, the strategic thrust of the state economic blueprint is centred on developmental growth with special emphasis on infrastructure, education, primary health care and the advancement of a home owning democracy.

Secondly, there is a more micro-managed social justice agenda targeting the lower income group to provide for micro-financing, extra budgetary allocations for religious schools to encourage enhancement of learning for science and technology and a sustained program to uplift the living standards of those in the rural areas.

As issues of poverty and socio-economic marginalization among Muslims are of serious concern, I would say that these efforts that I have enumerated are crucial measures to help Muslims break free from the cycle of poverty.

While the Selangor population is multi-ethnic, multi-cultural and multi-religious, the majority remains to be Muslim and there is no question therefore this strategy has a direct and positive impact in terms of uplifting the socio-economic position of Muslims.

Moderation and justice

Subsumed under this strategic thrust is of course an explicit and clearly articulated state policy of moderation and justice. And this answers one of the fundamental questions asked: What does it take to create a Muslim democratic society?

To infuse the concept of moderation and justice in the governance of a state like Selangor, we must walk the talk. So, one of the earliest examples we set was to resolve the problem that arose concerning the Malay language Bible that was confiscated by the local authorities. In addition, inter-faith dialogues were held and I personally made courtesy calls to church leaders. Significantly too, during Ramadhan, church leaders and their congregation joined Imams and other Muslim leaders in iftar or breaking fast sessions.

These are not matters that should be brushed aside as being insignificant. On the contrary, when moderation and justice is left by the wayside, a culture of intolerance and bigotry will occupy the vacuum. I will not belabour the point that if unchecked, a one-dimensional and inward looking world view will logically morph into extreme bigotry and many other manifestations of extremism.

Geopolitical dynamics

In gauging the role of Muslim democrats and their strategic tasks ahead, the geopolitical dynamics and implications of a rising Muslim population in Southeast Asia is an important factor.

We know that after the war, Japan re-entered the international state system with concentrated focus on economic revival and since then, for more than half a century, Japan has proved to be the rock of Gibraltar for Asia’s geopolitical stability.

Particularly since the 1980’s, Japan has played an influential role in the democratization process of Southeast Asia. Apart from the pivotal economic role that Japan plays and will continue to play, the dynamics of engagement with Muslim democrats will be increasingly political.

Muslim democrats in turn will stand to benefit tremendously with greater engagement with Japan, being the most established democracy in Asia as well as the most developed in terms of its socio-economic framework.

Nevertheless, the geopolitical implications arising from the current rival claims in the South China Sea pose challenges to both peace and prosperity in the region. Whether or not it will pitch Japan and China on the path of direct confrontation is a matter that cannot be simply brushed aside. But when that happens, Muslim democrats from Southeast Asia will face formidable challenges as to which side they will be on. The doctrine of ZOPFAN – making Southeast Asia a zone of peace, freedom and neutrality – has been essentially in force and is said to have stood the test of time for the region, in terms of collective security and stability. These new developments will pose new challenges to this principle.

The Westphalian System and ASEAN’s Position

According to Dr Henry Kissinger, it is in Asia that “the maxims of the Westphalian model of international order find their contemporary expression”, where sovereignty “is treated as having an absolute character.” In the case of Southeast Asia and to be specific ASEAN, this principle has been translated into the doctrine of “non-intervention and consensus”. Because sovereignty is absolute, the domestic actions of member states cannot be interfered with – even if they are clearly excessive.

Faced with such a strong dictum against intervention, member states stand by the side-lines and turn a blind eye to the plight of Rohingya Muslims in Myanmar. In the name of national sovereignty, member states fold their arms while more than 1 million Rohingya Muslims – among the worst treated minorities of the world – are stripped of their citizenship while thousands are forced into concentration camps and thousands more are forced to flee abroad.

The question therefore is: Having now entered fully into the 21st century, can such a doctrine be considered relevant? The time is ripe therefore for Muslim democrats to seize the moral high ground to make that change. While it is true that many Muslim countries have not got their own house in order, that should not be the pretext for a policy of indifference for Muslim democrats. Can Muslim democrats stand idly by while their leaders rob and plunder the nation’s wealth and siphon tax payers’ money into their private bank accounts? What can we say about the state of democracy in Muslim countries when kleptocracy becomes an accepted culture and practice?

To my mind, the Forum for World Muslim Democrats is not just an enabler for Muslims to be the voice of reason to call for justice and toleration but also a firm and formidable platform to drive the establishment of proper governance, to fight the scourge of power abuse and corruption and to ensure accountability and transparency.

Enlightenment and voice of reason

Muslim democrats must have a voice that can hold its own without resorting to the easy tools of mere polemics, name-calling and political grandstanding. However, this approach requires courage of conviction, sincerity and forthrightness while observing the dictates of propriety. Nevertheless, it underscores the profound importance of articulating an inclusive paradigm in the discourse.

In any event, such a paradigm is not new. It is borne by the influence of democratic principles and ideas of the Enlightenment which, historically, have made their mark on the likes of the early Muslim democrats such as Rifa’a al-Tahtawi, Khayr al-Din al-Tunisi and eventually Muhammad Abduh. Khayr al-Din al-Tunisi, for example, was not obsessed with rhetoric but went on taking concrete measures including economic, educational and administrative reforms and to the support of parliamentary democracy. This may be history but as in the words of T.S. Eliot:

“History may be servitude, History may be freedom.”

It is up to us as Muslim democrats to make that choice. History has also shown that the subsequent backward slide to fundamentalist Islam also saw a rise in extremism even as progressive Islam was making its presence felt too. And this has much to do with personality cults or charismatic leaders – in the Weberian sense of leaders who gain the upper hand in moral authority.

Islam Nusantara

In this regard, we are reminded of leaders who bring transformational change. Speaking from the Southeast Asian perspective we have, without doubt, Anwar Ibrahim who, even as we speak, remains incarcerated as a victim of a foul political conspiracy. Nevertheless, Dr Anwar Ibrahim’s agenda for islah and tajdīd – reform and renewal – for the Muslim ummah can never be incarcerated.

In Indonesia, the reform agenda of the Nahdlatul Ulama movement which occupies a crucial place, not just in Indonesian politics but regionally as well, showcases yet another transformational Muslim leader namely the late Abdurrahman Wahid or Gus Dur as we know him. Notwithstanding his relatively short span as president of the largest Muslim nation in the world, Gus Dur brought real and tangible reforms to the cultural and political fabric of Indonesian society. His writings draw from both classic Islamic and Western philosophy into a synthesis that is “compatible with modernity” especially democracy, human rights, and religious tolerance.

In closing, may I say that even as Muslim nations are attempting to forge ahead on the path of democracy, the risks and temptation of backsliding into autocracy are real and pose a major challenge to all of us – as Muslim democrats – to stay true to the cause and to have the courage of conviction to stand up for what is right.

I sincerely believe that the future for us – even as the challenges are very trying and formidable – remains bright. This forum itself is living testimony to the unceasing efforts, fortitude and optimism of we Muslim democrats to do what ever it takes to strengthen democracy.

Thank you.

Ucapan Konvensyen Kepimpinan Wanita Negeri Selangor 2016

Konvensyen Kepimpinan Wanita Negeri Selangor 2016
1. Saya bersyukur dapat bersama-sama dalam Konvensyen Kepimpinan Wanita Negeri Selangor 2016 yang bertema “No One Left Behind”. Konvensyen ini adalah wacana untuk kita bersama mengiktiraf pentingnya peranan wanita untuk dirangkul sepenuhnya demi mencapai gagasan “Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri” sebagai gagasan pembangunan Negeri Selangor tahun 2017.
2. Saya gembira kerana YB Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang dan beberapa aktivis BERSIH telahpun dibebaskan. Walau bagaimanapun, saya mengutuk penahanan tanpa bicara ke atas Maria Chin di bawah SOSMA. Penggunaan undang-undang anti terorisme ke atas pejuang hak asasi dan demokrasi adalah tidak berasas, adalah satu kesalahan dan merupakan pencabulan terhadap perlembagaan. Oleh sebab itu, saya menuntut pembebasan Maria Chin dengan serta merta tanpa syarat.

3. September 2015 yang lalu, pemimpin dunia telah menandatangani sebuah dokumen penting, iaitu Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 yang menggariskan 17 matlamat untuk dicapai di peringkat global menjelang tahun 2030.

4. Antara lain, agenda ini menuntut usaha pemberdayaan wanita dan kesetaraan gender. Inisiatif PBB bersandarkan kesedaran bahawa golongan wanita merupakan gender yang paling terkesan dengan arus perubahan global. Maka semua pihak terutamanya kaum lelaki bertanggungjawab untuk menjayakan agenda ini.

5. Belanjawan 2017 Negeri Selangor telah menggariskan beberapa inisiatif dan usaha untuk mencapai matlamat ini.

6. Antara kejayaan memberdaya wanita dalam sektor ekonomi adalah Program Mikrokredit HIJRAH yang memberi manfaat kepada 16,209 peserta atau 63.6 peratus. Walaupun program ini adalah gender inklusif, namun usaha proaktif usahawan wanita Selangor membuktikan mereka mampu mencatat kejayaan sekiranya diberikan peluang.

7. Sektor pendidikan di Selangor juga telah memberi peluang kepada pelajar wanita di UNISEL dan KUIS untuk mendapat biasiswa di mana 65 peratus daripada penerima Biasiswa Selangorku adalah pelajar perempuan.

8. Untuk mendukung usaha pemberdayaan wanita dan mencapai matlamat kesetaraan gender, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 10 juta untuk memberdaya kaum hawa dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya termasuk menubuhkan Institut Wanita Berdaya (IWB) yang bertindak sebagai badan pemikir atau think tank khusus untuk merangka kebijakan dan strategi pemberdayaan wanita.

9. IWB perlu merangka strategi wanita bagi mendepani Revolusi Industri Keempat. Revolusi ini yang dikenali sebagai “Industry 4.0” di Jerman atau di beberapa negara lain disebut sebagai “Industrial Internet of Things (IIoT) akan mempunyai kesan kepada gaya hidup dan pekerjaan. Banyak pekerjaan akan hilang tetapi, juga akan mencipta pekerjaan yang baru.

10. World Economic Forum dalam laporan The Future of Jobs meramalkan antara 2015-2020 sebanyak 5.1 juta pekerjaan akan hilang dan sebanyak 2.45 juta kehilangan itu akan ditanggung oleh wanita. Revolusi Industri Keempat juga memberikan pentakrifan baru kepada pekerjaan termasuk ke arah mencapai work-life balance atau perseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

Ladies and gentlement,

11. Today’s convention is therefore, most fitting for setting the theme of women’s leadership because the idea of leadership also involves empowerment and this in turn is very much dependent on narrowing the gender gap.

12. OECD studies show that in many low-income countries, there are many more young women unemployed, than young men. They are also behind the men in opportunities for education or training. Because of this, women also have a greater risk of being poor while inequality in pay, continues.

13. Cultural barriers and the stereotyping of women’s roles in society, business and the public sector, pose major challenges to narrowing the gap. This means fewer female entrepreneurs, while enterprises owned by women are significantly smaller.

14. Gender inequality also entails a political dimension. Thus, women remain under-represented in the three branches of government – the Legislature, the Executive and the Judiciary. The social dimension of gender inequality also, very sadly, translates into the abuse of women and girls, be it, in the form of sexual assault, harassment or domestic violence.

15. If we accept that gender equality is not only a fundamental human right but the foundation for a sustainable world, then we need to treat gender inequality as an accursed civilizational disease. We must summon all our courage and our efforts to fight this disease. We need a new framework to confront the so-called customs, norms and practices responsible for perpetuating the gender gap. This requires a paradigm change from the old mind set into a new one.

16. I daresay, that the longer the gender gap persists, the lesser will be our chance of sustaining our economies, even our humanity. The empowerment of women and the elimination of gender inequality will itself generate expansion of economic growth and enable the promotion of social justice.

17. In the meantime, many things are happening in this fast paced knowledge economy which will have significant implications on gender equality as well. For example, it is believed that the next industrial revolution known as the Fourth industrial revolution will see high levels of connectivity and automation in factories. This will reduce the need for unskilled labour.

18. At the same time, demand for higher value knowledge skills in factories will increase in order to manage complex automatic systems. This will be a great boost to narrowing the gender gap, as such a development will open up vast opportunities for women in the manufacturing workforce.

19. Traditional roles such as housework will be automated, thereby allowing women to apply their skills into the industrial workforce. Companies therefore also need to re-engineer their human resource priorities. The old way of hiring must give way to a more holistic approach. In certain sectors, flexible working hours may well become the new normal. This will empower women who may want to continue to care actively for their family while also retaining their capacity to generate income by working according to their convenience, and not the other way round.

20. Saya yakin resolusi konvensyen hari ini yang bernas akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang praktikal dan mencapai matlamat pemberdayaan wanita dan kesetaraan gender.

21. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Perasmian Konvensyen Kepimpinan Wanita Negeri Selangor 2016.

Sekian, terima kasih.

Kenyataan Media – Mempertahan Kedaulatan Parlimen

Kita tidak mahu negara Malaysia dikenali sebagai kleptokrasi global. Namun sebaliknya, Perdana Menteri dengan rakus mahu meruntuhkan institusi demokrasi dengan mencabuli kedaulatan Parlimen demi mempertahankan kuasa dan kebejatan pengurusan kewangan.

Sekiranya kita mahu Parlimen Malaysia menjadi Parlimen kelas pertama di dunia, maka Ahli-Ahli Parlimen wajar diberikan kebebasan untuk berucap dan berbahas demi kepentingan rakyat dan negara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengecam tindakan mengasak dan menekan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan kepada pihak polis berhubung perbahasan beliau berkenaan skandal 1MDB di Parlimen. Tekanan politik yang sama telah dilakukan terhadap Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas perbahasan mereka di Parlimen.

Semua Ahli-Ahli Parlimen tanpa mengira parti harus bersatu untuk menentang tindakan zalim oleh regim Dato’ Sri Najib Tun Razak. Tindakan ini jelas merupakan langkah terdesak Perdana Menteri untuk membungkam suara Ahli Parlimen yang bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara. KEADILAN tegas mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat menolak segala bentuk salah guna kuasa dan percubaan terdesak untuk mengekalkan kuasa kleptokrasi.

Kita yakin Tan Sri Muhyiddin mempunyai kekuatan diri untuk menghadapi dugaan ini. Beliau telah berusaha dari dalam Kerajaan untuk membanteras jenayah dalam skandal 1MDB, skandal kleptokrasi yang terbesar di dunia demi menyelamatkan negara dan menjaga kepentingan rakyat. Justeru, KEADILAN tuntas bersama Tan Sri Muhyiddin dalam perjuangan untuk melakukan perubahan.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Ucapan di Majlis Makan Malam Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara 2016

Ampun Tuanku,

Patik merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas limpah perkenan Tuanku untuk berangkat ke Majlis Makan Malam Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2016 yang dihoskan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi meraikan tetamu dan perwakilan persidangan ini.

Keberangkatan Tuanku mencemar duli ke persidangan ini adalah cerminan komitmen Tuanku terhadap institusi kehakiman dan perundangan syariah yang berlandaskan prinsip keadilan.

Titah Tuanku pagi ini memberikan pencerahan terhadap cabaran semasa yang dihadapi oleh institusi kehakiman syariah dan keperluan kepada transformasi yang membolehkan masyarakat Nusantara mengiktiraf Mahkamah Syariah sebagai institusi perundangan yang dipandang mulia dan dihormati serta dinobatkan menjadi satu badan kehakiman yang terunggul kepada umat Islam.

Ampun Tuanku,

Patik memohon limpah keizinan dan perkenan Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu di majlis ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Arif Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut dan Jawatankuasa Penganjur kerana memilih dan memberi kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) untuk menjadi tuan rumah kepada persidangan yang cukup signifikan ini.

Tiga minggu lalu, Negeri Selangor turut menjadi tuan rumah kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke 109 yang melibatkan mufti-mufti dari seluruh negara. Dua persidangan ini memperkukuhkan wacana penghayatan Islam sebagai rahmatan lil alamin.

Dalam konteks menghadapi cabaran semasa yang kompleks, kita perlu menampilkan wajah Islam yang berteraskan prinsip keadilan dan kesederhanaan, dengan izin, justice and moderation.

Pendekatan ini amat relevan bagi sebuah negeri majmuk dan maju seperti Selangor. Prinsip ini terbingkai dalam ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Selangor mahupun di Nusantara.

Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara merupakan satu detik penting dalam usaha memartabatkan institusi kehakiman syariah serantau.

Sebagai rantau Islam yang terbesar dan paling berjaya mencapai kemajuan ekonomi dan kemasyarakatan, Nusantara perlu mendepani cabaran zaman dengan menampilkan kesungguhan untuk melaksanakan hukum syarak secara adil, cekap dan berkesan. Perjalanan Mahkamah Syariah yang adil dan berkesan adalah cerminan penghayatan Islam dan juga kedaulatan undang-undang.

Kerajaan Negeri yakin persidangan ini mampu memberdaya keunggulan sistem perundangan Islam yang menjamin keadilan dan kemaslahatan umum.

Di bawah kepimpinan Yang Amat Arif Dato’ Dr. Haji Mohd Naim Bin Haji Mokhtar sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor telah mengambil langkah progresif atas limpah perkenan DYMM Tuanku Sultan untuk melantik dua orang wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Inilah negeri pertama memberi peranan dan melantik wanita yang berwibawa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syarie. Pelantikan ini berasaskan kelayakan dan bukan gender.

Salah satu inovasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ialah mengadakan perbicaraan pada waktu malam atau ‘night court’ yang dibuat dua kali sebulan bagi menyelesaikan kes-kes tertunggak.

Selaras dengan titah DYMM Tuanku Sultan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memberikan dukungan agar Mahkamah Syariah dapat berfungsi dengan efektif dan efisyen.

Menyedari cabaran dan keperluan untuk terus memberdayakan institusi ini, Belanjawan 2017 Negeri Selangor minggu lalu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 37.1 juta kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Selain daripada peruntukan untuk Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM 128.5 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk menyediakan dan menyelenggara prasarana dan kemudahan pendidikan Islam seperti masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz dan kompleks Islam sebagai usaha untuk memartabatkan syiar Islam di Negeri Selangor.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Muhammad, ayat 7 :

1

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Melalui persidangan yang berskala Nusantara, saya berharap hubungan Pegawai-Pegawai Syariah di seluruh Malaysia dan Negara ASEAN yang lain akan bertambah erat, sekaligus menjadikan persidangan ini sebagai wahana kepada percambahan idea, ilmu dan wacana intelektual yang segar. Inilah titik permulaan yang akan menjadi pemangkin kepada suara umat Islam di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Ampun Tuanku.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ucapan Sempena Istiadat Konvokesyen Kali ke 11 Universiti Selangor

ISTIADAT KONVOKESYEN KALI KE-11 UNIVERSITI SELANGOR

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita berada dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-11 Universiti Selangor (UNISEL) pada pagi ini, suatu majlis gemilang yang merayakan keunggulan ilmu dan pendidikan.

2. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Dihormati Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Bin Raja Tun Uda Alhaj sempena perlantikan semula sebagai Canselor UNISEL.

3. Saya yakin pengalaman beliau yang luas dalam bidang profesional akan terus memberi kepimpinan dan menyuntik semangat untuk membawa idea baru kepada UNISEL dalam mengharungi detik-detik yang sungguh mencabar, khususnya dalam aspek pencapaian kecemerlangan akademik.

3. Kepada ibu bapa, saya dapat menyelami perasaan di lubuk hati ayah dan ibu. Saya ingin menyatakan: tuan-tuan dan puan-puan tidak akan berada dalam dewan ini, mengiringi putera-puteri yang berjaya, kalau tuan-tuan tidak melakukan pengorbanan, memberikan dorongan dan menadah tangan ke hadrat Ilahi, mendoakan agar Allah SWT membuka dada anak-anak untuk menerima ilmu. Maka, kita berikan tepukan gemuruh kepada sekalian ibu-bapa.

4. Kepada pelajar-pelajar yang bakal menerima ijazah, tahniah saya ucapkan. Perjuangan saudara-saudari telah berjaya, tetapi belum berakhir. Seperti kata filasuf John Dewey: “Education is not preparation for life; but education is life itself.”

5. Selagi ada hayat dikandung badan, tidak ada noktah dalam perjalanan menuntut ilmu dalam usaha kita untuk membesarkan brain bank atau modal akliah Negeri Selangor.

6. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor menyediakan dana berjumlah RM 5 juta sebagai biasiswa bagi pengajian bidang-bidang strategik dan kritikal di peringkat Doktor Falsafah.

7. Pasaran pekerjaan adalah sengit. Untuk berjaya dalam persaingan, selain dari segulung ijazah, saudara-saudari juga perlu memperkasa diri dengan soft skills.

8. Kerajaan Negeri telah melaksanakan program akademik boot camp (PROGRESS) untuk meningkatkan daya kebolehpasaran graduan melalui perolehan soft skills seperti komunikasi, interaksi, keyakinan diri, pengurusan waktu dan perancangan strategik dalam pekerjaan yang meningkatkan daya saing graduan di pasaran pekerjaan.

9. Memandangkan program ini telah berjaya pada tahun ini, maka peruntukan bagi tahun 2017 telah ditingkatkan kepada RM 5 juta.

10. Kita melihat pendidikan dari perspektif pembinaan keupayaan atau capabilities building seperti yang diungkapkan oleh Almarhum Mahbubul Haq, ahli ekonomi Pakistan yang mengasaskan Human Development Report.

11. Beliau telah mencetuskan revolusi dalam pemikiran pembangunan dan berjaya merubah dasar institusi antarabangsa dengan menukar ukuran pembangunan berdasarkan KDNK kepada perolehan keupayaan.

12. Kerajaan mahu UNISEL memainkan peranan strategik dalam transformasi Selangor sebagai smart state dengan melonjakkan capabilities dengan pelbagai ketrampilan.

13. Antara mega trends dalam senario universiti di peringkat global adalah pergerakan ke arah otonomi yang lebih besar. Namun, otonomi yang lebih besar membawa tanggungjawab yang lebih berat termasuk keperluan sumber yang lebih tinggi dan berdaya saing.

14. Sudah pasti, kecemerlangan akademik menjadi matlamat unggul universiti untuk bersaing mendapatkan pelajar terbaik, pembiayaan substantif untuk menjayakan program endowment dan modal insan yang berkaliber.

15. Beberapa universiti terkemuka di dunia telah mencapai status tersebut. Namanya sering menjadi sebutan dan jenama intelektualnya yang unggul telah difrancaiskan.

16. Kita perlu meletakkan sasaran kecemerlangan akademik dalam tempoh lima, sepuluh bahkan dua puluh tahun akan datang. Visi ini mesti diterjemahkan dalam bentuk perancangan strategik jangka panjang.

17. Anjakan paradigma adalah satu kemestian. Kita tidak punya pilihan lain. Dengan pergerakan masyarakat yang begitu pantas, kita dihambat oleh pelbagai cabaran. Keberadaan universiti tidak sekadar untuk menjalankan fungsi pengajaran.

18. Universiti perlu terlibat dalam penyelidikan dan membina hubungan strategik dengan industri dan masyarakat perniagaan.

19. Istilah “akademik” perlu difahami dengan pelbagai nuansa. Kita mahu melihat tenaga akademik mampu menggalas pelbagai peranan, wearing different hats in terms of capabilities.

20. Universiti harus menggalakkan mereka yang berkebolehan dalam bidang akademik turut menyumbangkan perkhidmatan mereka dalam masyarakat sebagai pakar runding, consultants.

21. Permintaan perkhidmatan mereka sebagai pakar runding akan mengangkat nama universiti sebagai jenama kecemerlangan akademik.

22. Tenaga pengajar dalam bidang sains fizikal and sains hayat perlu bangun untuk mendepani tantangan semasa dan menjadi sumber daya industri atau talent pools for industry.

23. Mereka yang dari sains sosial perlu aktif melaksanakan temu tembung, engagement dalam masyarakat, berperanan sebagai pendidik, membawa pencerahan dan memupuk muafakat dan perpaduan.

24. UNISEL digagaskan sebagai sebuah universiti industri. Selain dari menyegarkan peranan ini, UNISEL juga boleh menjadi sebuah universiti keusahawanan. Ini tidak akan tercapai hanya dengan meletakkan slogan. Ia akan menjadi kenyataan dengan menjalin hubungan strategik dengan sektor perniagaan.

25. Saya ingin menggarisbawahi kepentingan penubuhan Selangor Business School yang akan menerajui perubahan dan anjakan paradigma dengan membina pertalian pelbagai peringkat dengan masyarakat perniagaan, swasta dan syarikat-syarikat kerajaan (GLC).

26. Selangor Business School akan menyumbang kepada pengeluaran intelektual dan kepakaran, menyediakan pasukan bakat yang tersedia bagi memenuhi tuntutan perniagaan, korporat, pengurusan sektor awam dan perkhidmatan sokongan.

27. Graduan Selangor Business School akan mempunyai nilai tambah dalam pelbagai kebolehan, dinamik dan berorientasi global. Mereka akan berperanan sebagai penyumbang nilai dan pemimpin di pelbagai peringkat dan bidang strategik.

28. UNISEL perlu pro-aktif dan berada dalam bingkai gagasan dan hala tuju Selangor sebagai sebuah negeri industri. Dalam bidang industri, Kerajaan Negeri telah memberikan keutamaan kepada lima kluster untuk dipacu pertumbuhannya iaitu sains hayat, makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan dan juga mesin dan peralatan.

29. Industri pula akan dirangsang membina kluster mereka berhampiran universiti, khususnya taman sains, science park, dengan beroperasi secara simbiotik.

30. Dalam usaha melahirkan masyarakat berpengetahuan, UNISEL berupaya merancakkan wacana dan forum bagi perkongsian ilmu dan memastikan masyarakat sentiasa peka kepada pelbagai perkembangan semasa.

31. UNISEL juga membawa masuk pemikir-pemikir terkemuka, dengan melantik Profesor Adjunct dalam usaha mempertingkat keintelektualan universiti. Kumpulan pemikir seperti ini akan dapat memberi idea-idea bernas kepada Kerajaan Negeri supaya pembangunan komuniti dan masyarakat dapat diberi perhatian sewajarnya.

32. Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam agenda pendidikan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk sokongan termasuk menyediakan peruntukan kewangan.

33. Harapan saya, UNISEL bukan hanya menjadi hab pendidikan di Malaysia tetapi juga di rantau ini. Sebagai komitmen saya terhadap pembangunan UNISEL, saya sendiri telah turun ke UNISEL sebanyak dua kali dalam tempoh lima bulan tahun ini.

34. Selaras dengan visi transformasi dan rasionalisasi fakulti, UNISEL kini bersiap siaga untuk menggarap cabaran baru supaya lebih berdaya saing dan seterusnya menyumbang kepada agenda pendidikan negeri.

35. Untuk mencapai hasrat ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri telah turun ke UNISEL pada 5 Ogos 2016 untuk menyampaikan sumbangan geran pembangunan berjumlah RM 20 juta.

36. Belanjawan 2017 minggu ini telah meluluskan sejumlah RM 44 juta lagi disediakan untuk pembangunan UNISEL. Dengan peruntukan ini, UNISEL dapat mengorak langkah, merubah wajah dan diyakini akan memberikan imej yang lebih baik kepada universiti.

37. Akhirul kalam, saya mengajak keluarga besar UNISEL dan para graduan untuk bersedia melakukan anjakan paradigma yang diperlukan untuk membina masa depan yang gemilang bagi universiti ini dalam usaha pembentukan masyarakat yang adil.

38. Kepada para graduan, ini adalah langkah pertama dalam membuka lembaran baru. Masa depan cerah untuk saudara-saudari, sarat dengan cabaran dan melimpah dengan harapan.

39. Garaplah kejayaan yang terbuka luas untuk saudara-saudari. Jadilah kebanggaan keluarga dan negara. Marilah kita bersama, membangun bangsa dan memakmur negeri.

Sekian, terima kasih.

Ucapan Belanjawan 2017 Negeri Selangor Membangun Bangsa, Memakmur Negeri

BELANJAWAN 2017 NEGERI SELANGOR MEMBANGUN BANGSA, MEMAKMUR NEGERI

A. PENDAHULUAN

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

1. Kita menutup tirai 2016 dengan pelbagai kegembiraan untuk rakyat dan negeri. Pada 31 Ogos 2016, tatkala negara menyambut Hari Kemerdekaan, rakyat Selangor bergembira mendapat berita bahawa DYMM Sultan Selangor selamat diijabkabulkan dengan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Marilah kita mendoakan semoga Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan kekal bahagia dan terus bersemayam di atas takhta Negeri Selangor.

2. Dua minggu yang lalu, rakyat Negeri Selangor sekali lagi meraikan Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai Raja Muda Selangor ke 7 yang mewarisi Takhta Kesultanan Selangor. Majlis yang penuh dengan istiadat dan warisan ini menjadi tumpuan generasi muda tentang kelangsungan institusi kesultanan Melayu Negeri Selangor.

3. Kerajaan Negeri berikrar mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan. Selagi ada bulan dan matahari, begitulah kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara kekal abadi.

4. Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai. Raja dan rakyat berpisah tiada. Institusi Raja Berperlembagaan adalah payung kestabilan dan kemakmuran Negeri Selangor untuk kekal sebagai sebuah negeri maju yang peduli rakyat.

5. Di bawah naungan ini, kita bertemu sekali lagi untuk membuat persiapan menghadapi tahun hadapan. Pertemuan pagi ini turut dihadiri oleh Imam-Imam dari semua daerah, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung, Ahli-Ahli Majlis, wakil-wakil NGO yang mewakili budayawan dan penggiat seni, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan aktivis masyarakat. Muafakat membawa berkat.

6. Kita akan membentangkan belanjawan dalam serba keyakinan. Kita telah mencipta kejayaan demi kejayaan. Pada 30 Oktober 2015 yang lalu, saya membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM 630 juta untuk menjana pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Kita bersyukur sehingga 14 Oktober 2016 kedudukan kewangan negeri berada pada tahap lebihan sebanyak RM 351.38 juta.

7. Kutipan hasil negeri sudah mencecah 96.9 peratus, sementara belanja pembangunan sudah mencapai tahap 60.0 peratus manakala belanja mengurus pula pada tahap 77.1 peratus. Sehingga 14 Oktober 2016, rizab negeri berada pada tahap RM 3.62 bilion.

8. Kejayaan hari ini bukan helah untuk mengambil sikap selesa. Berkat kewangan yang kukuh, kita merangka Belanjawan 2017 untuk membangun bangsa dan memakmur negeri. Dasar mesra pasaran telah meningkatkan pelaburan domestik dan luar negara.

9. Pelabur mahukan kepimpinan yang mempunyai visi yang jelas, dasar yang tuntas dan berpegang kepada prinsip integriti dan kebertanggungjawaban dalam urus tadbir negeri.

10. Sementara Kerajaan Negeri bersikap mesra pasaran, kita tidak percaya tangan ghaib pasaran boleh membawa kemakmuran yang merata. Bahkan pasaran bebas yang tidak terkawal akan menyebabkan kesenjangan pendapatan dan peminggiran golongan berpendapatan rendah. Fenomena ini akan menyemai benih konflik sosial. Maka, kerajaan mempunyai peranan strategik untuk mencapai keadilan sosial sebagai asas pembangunan bangsa dan kemakmuran negeri.

11. Pelaksanaan GST telah menguncupkan pendapatan isi rumah dan menyumbang kepada ketidakupayaan melebarkan domestic consumption.

12. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli rakyat, Belanjawan 2017 akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya di kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

B. SENARIO EKONOMI

13. Malaysia mengakhiri tahun 2015 dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus didorong oleh prestasi positif dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Keadaan ekonomi negara pada suku tahun pertama pula telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus namun mengalami penurunan kepada 4.0 peratus pada suku tahun kedua kesan dari kemerosotan permintaan dalam pengeluaran eksport bersih dan pengeluaran stok yang besar.

14. Pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan tahun 2016 pula dijangka mengalami penurunan dengan kadar pertumbuhan yang diunjurkan pada 4.0 – 4.5 peratus, bukan sahaja ekoran ekonomi dunia yang berkembang pada paras lebih sederhana kesan daripada ketidaktentuan pasaran kewangan di peringkat global tetapi kegagalan Putrajaya menangani masalah struktural seperti hutang awam, keyakinan pelabur dan daya saing ekonomi negara.

15. Walaupun Putrajaya gagal menangani isu fundamental, prestasi ekonomi Negeri Selangor bagi 2017 dijangka kekal pada landasan pertumbuhan antara 5.0 – 5.5 peratus iaitu pada kadar yang sama sebagaimana tahun 2016.

16. Keyakinan ini didorong oleh jangkaan pertumbuhan sederhana di peringkat global, asas ekonomi negeri yang kukuh melalui permintaan domestik yang berdaya tahan dan berterusan, sumber pertumbuhan yang pelbagai dan kadar pengangguran yang rendah, dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta. Sektor perkhidmatan dan pembuatan dijangka akan terus kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di Negeri Selangor.

17. Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk mengekalkan pelaburan sedia ada dan tuntas meningkatkan jumlah pelaburan asing dan domestik di Negeri Selangor. Berdasarkan statistik terbaharu daripada Malaysia Investment Development Authority (MIDA), Negeri Selangor sehingga Jun 2016 mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 3.04 bilion daripada 130 projek yang telah diluluskan.

18. Antara daya tarikan untuk mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan adalah tadbir urus yang baik, kecekapan pentadbiran dan dasar ekonomi proaktif yang mesra pasaran.

19. Jabatan Perangkaan Negara dalam laporan bertarikh 30 September 2016 mengesahkan bahawa Negeri Selangor bukan sahaja kekal sebagai penyumbang utama kepada KDNK negara, namun bagi tahun 2015, sumbangan Negeri Selangor telah meningkat kepada 22.6 peratus. Inilah Selangor, kekal sebagai gedung kuasa ekonomi negara.

C. PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Kedudukan Kewangan

20. Jumlah wang awam Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan pada 31 Disember 2015 adalah berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Bilion Dua Ratus Lima Puluh Lapan Juta Enam Ratus Sepuluh Ribu Dan Empat (RM 3,258,610,004) berbanding Ringgit Malaysia Tiga Bilion Dua Ratus Juta Sembilan Ratus Sebelas Ribu Sembilan Ratus Sebelas (RM 3,200,911,911) pada 31 Disember 2014.

21. Kumpulan Wang Disatukan atau rizab negeri pada tahun 2015 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus atau RM 57.7 juta berbanding tahun 2014. Prestasi kewangan semasa Kerajaan Negeri pada 14 Oktober 2016 kekal kukuh dengan lebihan semasa berjumlah RM 351.38 juta.

22. Alhamdulillah, kita bersyukur, rizab negeri sehingga 14 Oktober 2016 telah melonjak kepada RM 3.62 bilion berbanding RM 3.26 bilion pada 31 Disember 2015.

D. BELANJAWAN 2017

Anggaran Hasil

23. Kutipan sebenar hasil negeri bagi tahun 2015 adalah Ringgit Malaysia Dua Bilion Lima Ratus Dua Puluh Tujuh Juta Enam Ratus Sembilan Puluh Ribu Lapan Ratus Tiga Puluh Sembilan (RM2,527,690,839). Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 607.16 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 1.70 bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 218.43 juta.

24. Sehingga 28 Oktober 2016, Kerajaan Negeri mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM 2.27 bilion atau pencapaian sebanyak 101.2 peratus berbanding dengan anggaran hasil bagi tahun 2016 sebanyak RM 2.25 bilion.

25. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 556.64 juta (92.8 peratus), Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 1.54 bilion (109.3 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 182.18 juta (74.6 peratus). Ini membuktikan pentadbiran Kerajaan Negeri berjaya menutup segenap lubang ketirisan dan memperteguh integriti.

26. Kutipan hasil bagi tahun 2017 dianggarkan meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM 2.55 bilion berbanding RM 2.25 bilion bagi tahun 2016. Penyumbang utama kepada Hasil Kerajaan Negeri adalah daripada premium tanah (54.2 peratus), hasil cukai tanah (19.5 peratus) dan urusniaga berkaitan tanah (8.0 peratus). Kutipan hasil tersebut menyumbang sebanyak 81.7 peratus daripada keseluruhan anggaran hasil negeri bagi Tahun 2017.

27. Selain itu, hasil negeri turut disumbangkan oleh keuntungan daripada pelaburan simpanan tetap (3.2 peratus), cukai hiburan (2.2 peratus) dan cukai hasil hutan iaitu daripada pengeluaran kuari (1.9 peratus).

28. Usaha Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negeri bagi membiayai pembangunan akan terlaksana apabila pelaksanaan kutipan cukai petak untuk hakmilik strata mula dilaksanakan pada tahun 2018.

29. Pada tahun 2017 iaitu tempoh peralihan pelaksanaan cukai petak ini, Kerajaan Negeri akan menyelesaikan masalah kutipan cukai tanah tertunggak yang melibatkan pembangunan berstrata yang dijangka berjumlah RM 8 juta yang mana tuan punya petak boleh membayar cukai bahagian mereka sahaja. Ini akan menyumbang kepada peningkatan urusniaga dan bukan urusniaga strata yang dijangka meningkat kepada 30 peratus daripada jumlah kutipan semasa.

30. Pengenalan cukai petak bagi pembangunan hakmilik berstrata akan memberi kemudahan kepada pemilik untuk melaksanakan sebarang urusniaga ke atas hartanah mereka tanpa perlu terikat dengan syarat-syarat yang tertakluk pada ‘master title’ selari dengan Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2016.

31. Usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri adalah sebahagian daripada peranan DEIG bagi memperkukuhkan agenda keadilan sosial khususnya program berpaksikan rakyat seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan. Untuk menjayakannya, adalah penting syarikat-syarikat anak kerajaan negeri (GLC) melakukan kajian strategik terhadap semua kegiatan korporat dan memaksimumkan pulangan pelaburan dan meningkatkan paras keuntungan. Kegagalan melaksanakan ini bukanlah satu pilihan.

Anggaran Perbelanjaan

32. Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan, maka Kerajaan Negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan Tahun 2017 berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Bilion Empat Ratus Lima Puluh Juta (RM 3,450,000,000) bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda Kerajaan Negeri.

33. Daripada jumlah tersebut, Ringgit Malaysia Satu Bilion Enam Ratus Lima Puluh Juta (RM 1,650,000,000) atau 47.8 peratus adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan Ringgit Malaysia Satu Bilion Lapan Ratus Juta (RM 1,800,000,000) atau 52.2 peratus bagi perbelanjaan pembangunan. Belanjawan 2017 dijangka akan mengalami defisit berjumlah Ringgit Malaysia Sembilan Ratus Juta (RM 900,000,000) berpunca dari peningkatan substantif dalam perbelanjaan pembangunan untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan yang berkualiti untuk rakyat.

34. Pembentangan belanjawan defisit ini mencerminkan sikap jujur dan disiplin fiskal Kerajaan Negeri dalam membuat perancangan. Pengalaman dua belanjawan yang lalu membuktikan usaha dan dedikasi penjawat awam dalam mengamalkan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dalam memungut hasil dan membasmi pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengubah belanjawan defisit kepada sebuah belanjawan yang berimbang.

Setiap yang hilang kita cari,
Setiap yang cicir kita pungut.

35. Sebagai catatan, Belanjawan 2015 dibentangkan dengan defisit RM 452.5 juta. Namun, prestasi sebenar Kerajaan Negeri pada 31 Disember 2015 berakhir dengan lebihan sebanyak RM 232.79 juta. Sementara Belanjawan 2016 dirancang defisit sebanyak RM 630 juta, namun sehingga 14 Oktober 2016, prestasi kewangan sebenar berakhir dengan lebihan sebanyak RM 351.38 juta.

Peruntukan Mengurus

36. Di bawah peruntukan mengurus, RM 427.90 juta adalah bagi emolumen dan RM 543.16 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan. Manakala, RM 18.34 juta diperuntukkan kepada pembelian aset. Sejumlah RM 608.11 juta disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM 52.49 juta untuk perbelanjaan lain.

37. Pertambahan pada anggaran peruntukan mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2017 adalah untuk membiayai:

a. Kenaikan gaji tahunan kakitangan awam berikutan langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 20.3 juta;
b. Penggantian skim pinjaman buku teks berwarna bagi pelajar Tahun 1 hingga 3 di Sekolah Agama Negeri Selangor yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 7 juta.
c.RM 10 juta bagi operasi penyelenggaraan benteng pantai, sungai dan kolam takungan.
d. Kenaikan jumlah bantuan program Pemberian Air Percuma 20 Meter Padu Yang Pertama sebanyak RM 13.2 juta.
e. Kenaikan siling Kumpulan Wang Pinjaman sebanyak RM 150 juta bagi menampung Program Hijrah, Projek Penggantian Paip Air Lama, Program Pengurusan Sisa Pepejal dan Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai-Sungai di Selangor.

38. Perbelanjaan ini akan memberi manfaat langsung untuk kesejahteraan rakyat dan mewujudkan kesan gandaan kepada aktiviti ekonomi.

Peruntukan Pembangunan

39. Prinsip utama mendasari falsafah perbelanjaan pembangunan adalah semua usaha dan inisiatif mestilah dibuat secara holistik dan sistematik termasuk menyediakan infrastruktur yang lengkap di bandar dan di desa. Kerajaan Negeri senantiasa mendengar keluhan rakyat.

40. Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan pembangunan berjumlah Ringgit Malaysia Satu Bilion Lapan Ratus Juta (RM 1,800,000,000) atau 52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2017.

41. Negeri Selangor sekali lagi menjadi peneraju dalam menyediakan peruntukan pembangunan melebihi peruntukan mengurus. Bajet Persekutuan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri memperlihatkan ketidak bertanggungjawaban kerana memperuntukkan hanya 18 peratus sahaja untuk pembangunan.

42. Bagi memacu pembangunan, peruntukan pembangunan ditingkatkan sebanyak RM 360 juta iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tahun 2016. Ini adalah peruntukan pembangunan terbesar yang pernah tercatat dalam Belanjawan Negeri Selangor.

43. Sejumlah Ringgit Malaysia Satu Bilion Sembilan Puluh Tiga Juta Tiga Ratus Dua Puluh Lima Ribu Dan Sepuluh (RM 1,093,325,010) atau 60.7 peratus diperuntukkan di bawah infrastruktur termasuk projek pembinaan baru serta menaiktaraf jalan, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air.

44. Seterusnya, sejumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Juta Dua Ratus Lima Puluh Lapan Ribu Satu Ratus Sembilan Puluh (RM 250,258,190) atau 13.9 peratus diperuntukkan bagi meningkatkan sektor ekonomi negeri melalui program pembangunan perumahan termasuk perumahan berstrata kos rendah, pengangkutan, perindustrian dan pelaburan, perbandaran, perhutanan, veterinar serta perancangan bandar dan desa.

45. Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk menilai keberkesanan program-program sosio ekonomi dan kebajikan rakyat untuk tujuan memperkukuhkan agenda peduli rakyat. Untuk tujuan itu, sejumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus Empat Puluh Tujuh Juta Satu Ratus Lima Puluh Enam Ribu Lapan Ratus (RM 247,156,800) atau 13.7 peratus diperuntukkan bagi melaksanakan program perkhidmatan masyarakat, pendidikan, pemberdayaan modal insan dan usahawan, pembangunan belia dan sukan serta pembangunan wanita dan keluarga.

46. Peruntukan sebanyak RM 183.2 juta disediakan untuk program air percuma bagi tahun 2017. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri menyarankan air percuma dimanfaatkan secara berhemah. Air adalah sumber yang sangat bernilai dan pengguna perlu membudayakan amalan konservasi air.

47. Manakala bagi sektor kesihatan dan luar bandar, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus Sembilan Juta Dua Ratus Enam Puluh Ribu (RM 209,260,000) atau 11.6 peratus diperuntukkan bagi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan asas (primary health care), program menangani wabak denggi dan zika, pembangunan ekonomi luar bandar serta membangun prasarana asas bagi tujuan kemudahan di desa serta menaiktaraf jalan kampung.

E. STRATEGI BELANJAWAN 2017

48. Untuk menterjemah gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri maka, strategi Belanjawan 2017 Negeri Selangor adalah :

a. Smart Selangor Teras Kemajuan;
b. Menjamin Perlindungan Dan Mensejahtera Rakyat;
c. Pengupayaan Pendidikan & Latihan;
d. Membingkai Muafakat;
e. Memacu Industri Sukan & Pelancongan, Menyemarak Budaya & Intelektual

STRATEGI PERTAMA : Smart Selangor Teras Kemajuan

49. Gagasan Smart Selangor yang dicetuskan pada tahun lalu kini telah menjadi teras utama untuk memacu pembangunan negeri mencapai status Smart State. Gagasan ini bukan hanya tertumpu kepada inisiatif pembangunan infrastruktur Smart semata-mata. Ianya juga menggarap nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan, amalan tatakelola yang baik dan menjamin keadilan sosial untuk segenap lapisan masyarakat.

50. Antara aspek terpenting urus tadbir adalah konsep “Open Government”. Dalam hal ini, inisiatif Smart Selangor bertujuan merealisasikan objektif ini selain daripada pembangunan ekonomi yang lebih mampan, sistem penyampaian yang lebih berkesan bagi menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

51. Ini telah dimulakan pada tahun 2016 dengan pembangunan Blueprint Smart Selangor dan membangunkan Smart Solutions untuk empat domain utama iaitu Smart Governance, Smart Waste Management, Smart Transport and Mobility dan Smart Digital Infrastructure.

52. Blueprint dan Smart Solutions ini adalah hasil pendapat dan maklum balas agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan stakeholders termasuk rakyat berdasarkan prinsip mass collaboration di antara rakyat dan kerajaan menerusi beberapa siri temu-tembung dan makmal yang dianjurkan oleh pihak Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yang telah melibatkan hampir 10,000 orang peserta.

Membangun Infrastruktur Digital

53. Kejayaan Selangor sebagai Smart State yang bergantung kepada pelaksanaan dasar-dasar serta inisiatif peduli rakyat harus bergerak seiring dengan pembangunan inkrimental ekosistem digital. Dunia terus menyaksikan kepantasan kemaraan digital; mana-mana bangsa yang dulu, kini dan selama-lamanya kaku, hanya bergerak ke belakang.

54. Dalam ekosistem ini, bentuk-bentuk baharu pemprosesan (processing) sedang dicipta bagi memberdaya pembuatan keputusan yang lebih mantap, meneroka ‘insight’ dan mengoptimakan proses. Dari segi ini, Big Data Analytics memainkan peranan yang semakin kritikal. Ianya merangkumi prinsip 3V yakni ‘high volume’, ‘high velocity’ dan ‘high variety’ yang bernilai tinggi.

55. Dalam konteks ekosistem digital Selangor yang berkembang maju, kita membayangkan Big Data Analytics dapat mempermudah Kerajaan Negeri dan agensi-agensinya untuk membuat keputusan yang pantas dan mengambil tindakan yang berkesan. ‘Real-time monitoring’ contohnya, dapat dikembang-luaskan skop dan penggunaannya yang bakal membantu memenuhi sasaran pencapaian perkhidmatan.

56. Big Data Analytics tidak boleh dipandang secara terpisah malahan ianya berkembar dengan Internet of Things (IoT), e-dagang dan penggunaan aplikasi dan penyelesaian pintar di bawah payung konsep jangka panjang Smart State yang bersepadu.

57. Kerajaan Negeri akan menerokai bidang-bidang kerjasama bersama gergasi-gergasi teknologi maklumat global menerusi penggunaan teknologi terkini bagi menghasilkan dasar-dasar yang lebih tepat dan berkesan kepada rakyat.

58. Peruntukan sebanyak RM 14 juta akan disediakan untuk membangunkan Smart Digital Eco-system yang merangkumi Big Data Command & Control Centre dan Smart Apps Development Platform, manakala RM 8 juta untuk Internet of Things (IoT) enabler dan pemerkasaan WiFi Smart Selangor yang merupakan komponen penting dalam pembangunan Smart Digital Eco-system.

Penyelenggaraan Pintar Jalan Raya

59. Kerjasama di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan Google Asia Pacific menerusi Waze Connected Citizens Programme telah dimeterai pada 23 September 2016. Para pengguna jalanraya kini boleh melaporkan lokasi jalan berlubang (potholes) menerusi aplikasi Waze yang kemudiannya akan disalurkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk diperbaiki dalam tempoh maksima 5 hari.

60. Sebuah sistem middleware akan dibangunkan untuk mengumpulkan aduan jalan berlubang dan memantau tempoh pembaikan. Dengan adanya sistem ini, kerajaan negeri akan berupaya untuk memetakan hayat jalan raya (heat map of road age) untuk tujuan perancangan program preventative maintenance yang lebih berkesan tanpa mengganggu keselesaan pengguna jalan raya.

61. Selain aduan jalan berlubang, pihak berkuasa bertanggungjawab memuatnaik maklumat jalan yang ditutup bagi sesuatu tujuan supaya pengguna jalan raya mendapat maklumat sebelum merancang perjalanan. Setakat ini, MBPJ, MPSJ, MPAJ dan MPKj telah bersama dalam program ini.

Kutipan Sisa Pepejal Yang Efisyen

62. Sebagai langkah penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kecekapan operasi, Kerajaan Negeri telah melantik KDEB Waste Management Sdn. Bhd. untuk melaksanakan sebuah projek perintis di Majlis Perbandaran Klang bermula 1 Julai 2016.

63. Keberkesanan operasi ini adalah hasil daripada penggunaan teknologi pengesan operasi dan pergerakan lori kutipan, para penyelia kawasan dan penggunaan sistem aduan berasaskan aplikasi iClean Selangor yang dipantau terus melalui kaedah real time monitoring oleh sebuah Command Centre. Sistem ini juga mampu mengesan lokasi aduan untuk memudahkan pemantauan dan mempercepatkan tindakan pematuhan.

64. Prihatin dengan keluhan rakyat yang mahukan operasi kutipan sisa pepejal yang lebih efektif dan pantas, Kerajaan Negeri akan mengembangkan penggunaan sistem iClean Selangor kepada empat PBT dalam tahun 2017 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 45 juta.

Pembersihan, Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang

65. Sungai Klang yang sekian lama tercemar dengan sampah sarap terapung kini telah semakin bersih. Sebanyak RM 5 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2016 untuk membersihkan Sungai Klang. Hebat Abadi Sdn. Bhd. telah berjaya mengeluarkan 4,869 tan metrik sampah terapung sehingga akhir September 2016 dan 48 perangkap sampah telah dibina di kunci-kunci air utama di sepanjang Sungai Klang. 5 tapak pelupusan haram dikesan hasil daripada operasi pembersihan sungai ini.

66. Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk mewujudkan sebuah agensi pengurusan sungai bagi menyelaras kerja-kerja pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang. Agensi ini dipertanggungjawabkan untuk memulihara kawasan rizab sungai dan menyediakan pelan pembangunan tebing sungai sebagai sumber pendapatan baru bagi Kerajaan Negeri.

67. Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan sebanyak RM 15 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang. Untuk mempromosikan Sungai Klang kepada dunia, Kerajaan Negeri merancang untuk menganjur Klang River Marathon dalam tahun 2017.

Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

68. Kerajaan Negeri sedang giat berusaha untuk meneroka dan menarik pelaburan yang strategik dan berimpak tinggi seperti industri aero-angkasa, automotif, bioteknologi dan industri halal.

69. Negeri Selangor akan meneraju industri halal yang lebih inovatif dan bersifat ‘game changer’ melalui pembentukan Majlis Halal International Selangor dengan geran pelancaran sebanyak RM 5 juta.

70. Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pertumbuhan Ekonomi (OECD), penggunaan bioteknologi akan menjana pertumbuhan ‘Bioekonomi’ yang merangkumi sektor pertanian, industri dan kesihatan.

71. Kerajaan Negeri menyokong usaha ke arah pemerkasaan ‘Bioekonomi’ di Selangor. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk menyediakan dana awal (seed capital) berjumlah RM 10 juta bagi membiayai R&D bioteknologi di Bio Bay, Pulau Indah.

Penciptaan Pekerjaan Baru

72. Negeri Selangor telah membuat satu anjakan strategik ke arah industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi serta mempergiat sektor ekonomi menerusi Industri Kecil dan Sederhana (SME).

73. Kerajaan Negeri memberi fokus lima teras utama yang mampu mengembangkan peluang SME seperti industri aeroangkasa, bioteknologi, sains hayat, e-dagang dan industri halal.

74. Industri strategik seperti aeroangkasa dan otomotif yang melabuh di Negeri Selangor dengan jumlah pelaburan hampir RM 3 bilion oleh syarikat gergasi UMW Aerospace Sdn. Bhd. di Serendah dan UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di Bukit Raja, Klang akan mencipta lebih 1,200 pekerjaan dalam perkhidmatan sokongan termasuk pekerja mahir (skilled workers).

75. Bagi tempoh dari tahun 2008 sehingga suku ketiga 2016, sejumlah 183,889 pekerjaan telah dicipta melalui 2,258 projek perkilangan. Daripada jumlah penduduk Negeri Selangor seramai 6.14 juta, negeri ini mempunyai tenaga kerja seramai 3.2 juta.

STRATEGI KEDUA : Menjamin Perlindungan Dan Mensejahtera Rakyat

76. Penyair Latin, Juvenal, dalam sebuah satira berkata, “Mens sana in corpore sano” – akal yang cerdas datangnya dari badan yang sihat. Putrajaya gagal memberikan perhatian kepada penjagaan kesihatan asas (primary health care) yang merupakan hak asasi rakyat seperti yang termaktub dalam Artikel 12 International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights 1966.

77. Rakyat umumnya merasa tertekan dan terhimpit dengan ketidaktentuan ekonomi dan kecelaruan kepimpinan. Rakyat terdedah kepada kos sara hidup yang tinggi, ketidakupayaan untuk mendapatkan akses kepada rawatan yang berkualiti, tidak berpeluang memiliki kediaman yang selesa dan affordable, dikesampingkan kebajikan dan hak asasi mereka dalam kehidupan.

78. Maka sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang peduli rakyat, Belanjawan 2017 ingin memperkenalkan beberapa inisiatif baru yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Skim Peduli Sihat

79. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan sebanyak 5 peratus daripada KDNK. Namun begitu, pada tahun 2014, WHO melaporkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus dari KDNK berbanding negara-negara lain seperti Cuba 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus, Vietnam 7.1 peratus dan Thailand 6.5 peratus.

80. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap tahap kesihatan rakyat yang boleh menjejaskan produktiviti. Biarpun Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber pendapatan sebesar Putrajaya, namun kita memiliki rasa kepedulian yang raksasa.

81. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan skim perlindungan perubatan dan kesihatan (medical and healthcare coverage) atau Skim Peduli Sihat bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu kelompok yang paling tertekan berikutan daripada kenaikan kos sara hidup.

82. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM 125 juta setahun bagi pelaksanaan Skim Peduli Sihat yang akan menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250 ribu keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah.

83. Skim Peduli Sihat yang diuruskan oleh Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator akan membiayai rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM 500 setahun. Penerima skim ini boleh mendapat rawatan di 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

84. Mereka yang dilahirkan atau telah menetap lebih 10 tahun di Selangor layak untuk menyertai skim ini. Pendaftaran boleh dilakukan di Pejabat Ahli Dewan Negeri, PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah, klinik-klinik berdaftar termasuk pendaftaran atas talian dengan menyertakan bukti atau pengesahan pendapatan.

85. Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat. Pemegang akaun utama Peduli Sihat beserta tanggungannya – isteri serta anak-anak di bawah umur 21 tahun boleh menerima rawatan doktor (general practicioner) di klinik-klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan yang telah ditetapkan.

86. Klinik-klinik yang berdaftar dengan Peduli Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak membebankan rakyat selaras dengan yuran yang ditetapkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Menangani Denggi & Zika

87. Kerajaan Negeri bercadang meningkatkan peruntukan kawalan dan pencegahan denggi dan zika secara holistik bagi tahun 2017 kepada RM 5 juta berbanding hanya RM 1.5 juta bagi tahun 2016. Peruntukan ini akan digunakan untuk menambah aktiviti kawalan dengan menambah penggunaan Pest Controller Operator (PCO) di PBT. Penguatkuasaan undang-undang akan dipertingkatkan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyumbang kepada wabak ini.

88. Tanggungjawab ini juga harus dipikul bersama oleh semua pihak termasuk pimpinan masyarakat seperti Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, JKKK dan penduduk setempat bagi memastikan tiada lagi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Program Dialisis Rakyat

89. Kerajaan Negeri sedar bahawa kos rawatan dialisis amat membebankan pesakit – kos rawatan yang tinggi manakala pesakit juga tidak dapat bekerja untuk menampung kos sara hidup keluarga. National Renal Transplant Registry 2014 melaporkan terdapat 6,890 orang pesakit dialisis di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan untuk membiayai kos rawatan dialisis. Kelazimannya, setiap pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak 13 kali sebulan melibatkan kos hampir RM 3,000 sebulan.

90. Sehingga 24 Oktober 2016, seramai 504 orang pesakit telah menerima manfaat daripada program ini dengan kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 1.45 juta. Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan peruntukan bagi program rawatan dialisis daripada RM 1.7 juta setahun kepada RM 5 juta bagi Tahun 2017.

Early Intervention Programme (EIP)

91. Untuk mewujudkan masyarakat penyayang, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah untuk menjayakan Program Intervensi Awal (Early Intervention Programme) khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Program ini akan menyediakan pendidikan dan pelbagai jenis terapi seperti physiotherapy, occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy.

92. Program ini membantu ibu bapa mengambil langkah awal untuk mengelakkan berlakunya masalah sampingan pada keadaan fizikal anak-anak mereka di masa akan datang. Pada masa yang sama, Program Intervensi Awal akan membantu kanak-kanak berkeperluan khas beradaptasi dalam masyarakat tanpa merasa terpisah kerana mereka juga mempunyai kebolehan dan potensi yang tersendiri. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri akan menyalurkan sejumlah RM 3 juta untuk membantu institusi dan badan kebajikan yang menjalankan Early Intervention Programme (EIP) di Negeri Selangor.

Merancak Program HIJRAH

93. Skim Mikrokredit (micro financing scheme) adalah aspek penting untuk mengupaya usahawan-usahawan kecil yang memerlukan modal perniagaan awal bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan. Program ini seiring dengan visi Kerajaan Negeri untuk melebarkan golongan kelas menengah.

94. Pada tahun 2016, Yayasan Hijrah Selangor telah menerima pembiayaan sebanyak RM 125 juta termasuk RM 5 juta sebagai dana khas untuk kumpulan sasar OKU dan Ibu Tunggal. Sehingga suku ketiga tahun 2016, seramai 28,231 orang telah menerima manfaat dengan pengeluaran pembiayaan berjumlah RM 144.8 juta.

95. Alhamdulillah, peratusan kutipan bayar balik adalah tinggi dan menggalakkan. Program HIJRAH yang terbukti mampu mengupayakan peniaga-peniaga kecil dijangka akan terus mendapat sambutan dan disasarkan meningkat kepada 56,000 orang pada tahun 2018.

96. Kejayaan program HIJRAH mendorong Kerajaan Negeri untuk mencadangkan peruntukan tambahan sejumlah RM 50 juta dalam bentuk pinjaman bagi tahun 2017 kepada Yayasan Hijrah. Program HIJRAH akan menyediakan dana pusingan berjumlah RM 185 juta bermula awal tahun 2017 hasil daripada bayaran semula yang kini berada pada paras RM 59.7 juta. Dua kumpulan sasar baru akan menikmati pembiayaan HIJRAH iaitu veteran angkatan tentera dan wanita ladang.

Perumahan Untuk Rakyat

97. Pendemokrasian milikan rumah adalah dasar Kerajaan Negeri hari ini. Dasar ini adalah cerminan kepada sebuah kerajaan yang berusaha ke arah mengurangkan kesenjangan pendapatan di kalangan rakyat. Sebagai sebuah ekonomi manusiawi dan negeri yang mengamalkan demokrasi yang matang, Kerajaan Negeri terus memperhebatkan usaha agar rakyat Negeri Selangor memiliki kediaman yang affordable dan selesa untuk keluarga.

Program Ceria

98. Kerajaan Negeri sering mendengar keluhan para pemilik dan penghuni rumah pangsa kos rendah yang tidak mampu untuk menyelenggara lif dan menceriakan blok masing-masing. Kos penyelenggaraan lif adalah tinggi dan di luar kemampuan pemilik, penghuni dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

99. Kerajaan Negeri senantiasa peduli dengan masalah komuniti rumah pangsa kos rendah. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan peruntukan bagi penyelenggaraan lif dan pengindahan rumah pangsa kos rendah dinaikkan daripada RM 25 juta kepada RM 55 juta.

100. Pertimbangan ini adalah atas kesedaran Kerajaan Negeri untuk pembinaan komuniti bandar yang dinamik dan ceria sebagai dimensi pembangunan bangsa. Langkah ini akan memastikan lif di kawasan pemajuan tersebut sentiasa diselenggara untuk menjamin keselamatan dan keselesaan penghuni rumah pangsa serta menceriakan blok perumahan berkenaan.

Memperluas Akses Pemilikan – Rumah Selangorku

101. Usaha Kerajaan Negeri untuk membina rumah mampu milik secara aktif mulai tahun 2014 mendapat sambutan yang menggalakkan. Sehingga hari ini, saya telah melancarkan 18 projek pembangunan rumah mampu milik yang melibatkan 22,494 unit kediaman melebihi sasaran awal berjumlah 15,000 unit kediaman.

102. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah dipertanggungjawabkan untuk memantau kemajuan projek-projek ini setiap dua minggu bagi memastikan projek ini dapat diserahkan pemilikannya kepada pembeli dalam tempoh yang ditetapkan.

103. Walau bagaimanapun, pembeli rumah berdepan dengan masalah ‘end-financing’ atau pembayaran akhir di mana kadar penolakan pinjaman oleh bank-bank tempatan telah meningkat kepada lebih 50 peratus. Berdasarkan laporan LPHS, daripada 17,546 tawaran yang dibuat, 8,770 tidak berjaya mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan.

104. Oleh kerana itu, Bank Negara Malaysia (BNM) digesa untuk menyemak semula garis panduan bagi membantu pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman bank untuk pembiayaan rumah yang bernilai RM 250,000 ke bawah.

Skim Smart-Sewa

105. Atas keprihatinan kepayahan pembeli rumah untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi perbankan, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Skim Smart-Sewa bagi membantu orang awam yang berpendapatan sederhana menyewa dan akhirnya berupaya untuk memiliki rumah di Negeri Selangor.

106. Kerajaan Negeri telah membeli 134 unit kediaman yang bersesuaian di lokasi yang strategik pada tahun 2016 untuk dijadikan rumah sewa kepada mereka yang berkelayakan. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sejumlah RM 100 juta melalui Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera & Pengecualian Sumbangan Pembinaan Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana bagi mengembangkan lagi Skim Smart Sewa.

107. Tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama dua tahun dan maksima selama lima tahun. Menerusi program ini, penyewa akan mendapat balik 30 peratus daripada jumlah sewaan yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit yang berkenaan. Pengembalian 30 peratus wang sewaan boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku.

Perkhidmatan Air Yang Holistik

108. Sementara proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor sedang dimuktamadkan, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif bagi menyediakan perkhidmatan air yang efisyen termasuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) dan mengganti paip-paip lama.

Projek Penggantian Paip Air & Mengurangkan NRW

109. Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar NRW daripada 35 peratus kepada 29 peratus pada 2019. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 324 juta diperuntukkan untuk mengatasi masalah paip pecah dan program penggantian paip-paip lama di 84 kawasan hotspot yang meliputi 422.5 kilometer untuk tempoh tiga tahun mulai tahun 2016.

110. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM 100.6 juta kepada Air Selangor bagi kerja-kerja penggantian paip.

Pembangunan Loji Rawatan Air

111. Bagi menjamin kemampanan bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kerajaan Negeri bersedia menggunakan sebahagian rizab negeri untuk pembangunan termasuk membina Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang menelan kos RM 800 juta. Pembangunan 2 buah loji rawatan air yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri adalah untuk mewujudkan ekosistem perkhidmatan air yang holistik dan efisyen serta melengkapkan sistem agihan bekalan air di Negeri Selangor.

112. Kerajaan Negeri yakin pembangunan loji-loji rawatan air ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor ekonomi dan industri sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih pesat di kawasan tengah dan selatan Negeri Selangor. Sebagai penyumbang utama kepada KDNK negara, Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk mengekalkan momentum persekitaran pelaburan yang kondusif untuk memastikan jumlah pelaburan dan aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi di Negeri Selangor.

113. Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan menggunakan kaedah storm water hiliran sungai sebagai sumber air terawat. Konsep pembangunan Off River Storage (ORS) mampu mengekalkan bekalan air mentah sekalipun berlaku pencemaran sungai, dapat mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air dari empangan dan berfungsi sebagai kolam takungan bagi mengelakkan risiko banjir di penempatan hiliran sungai.

114. Kerajaan Negeri ingin mencadangkan peruntukan sejumlah RM 192.7 juta bagi tahun 2017 untuk pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang. Kedua-dua loji rawatan air ini akan menambah bekalan air terawat sebanyak 400 JLH. Kerja-kerja pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dijangka siap pada Disember 2017 manakala Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2018.

115. Projek Mitigasi 2 telah siap sepenuhnya pada 20 April 2016 dan telah dioperasikan oleh Air Selangor. Dengan siapnya projek Mitigasi 2, tambahan sebanyak 220 JLH air terawat dapat dibekalkan melalui sistem agihan yang dinaiktaraf. Bekalan tambahan ini dapat menampung permintaan pengguna yang semakin meningkat terutamanya di kawasan Lembah Klang dan Klang sehingga ke Pulau Indah.

116. Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Langat dan Projek Menaiktaraf Rumah Pam di 11 lokasi yang menelan kos RM 98 juta. Kedua-dua projek ini bertujuan untuk memastikan bekalan air terawat dapat diagihkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan. Bagi tahun 2017, sejumlah RM 44 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek ini.

117. Setelah pengambilalihan pengurusan bekalan air, audit telah dilaksanakan ke atas semua aset-aset bekalan air dan mendapati terdapat sejumlah 50 kolam dan 40 rumah pam tidak pernah digunapakai disebabkan pelbagai masalah seperti kebocoran pada kolam, kerosakan pada peralatan dan perkakasan, pencerobohan, kecurian dan vandalisme. Jumlah kapasiti simpanan air daripada sejumlah 50 kolam ini adalah sebanyak 239 JLH.

118. Dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada tahun hadapan, perancangan telah dibuat untuk melaksanakan kerja pembaikan dan menggunapakai kolam dan rumah pam ini. Penggunaan semula aset-aset ini dapat meningkatkan jumlah simpanan air dalam kolam dan seterusnya mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna. Selain itu, ia juga mempercepatkan pemulihan bekalan air sekiranya berlaku gangguan berjadual mahupun tidak berjadual. Ini secara langsung akan meningkatkan reliabiliti sistem bekalan air.

119. Air Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM 27 juta untuk membaiki dan menggunapakai semula kolam-kolam ini. Pada tahun 2016, sejumlah 11 kolam dan rumah pam sedang dibaiki dan dirancang untuk digunapakai semula setelah kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan.

120. Walaupun ada pihak secara sinis mempertikaikan usaha dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk mengurus air, hari ini kita membuktikan bahawa perancangan untuk meningkatkan kemudahan dan kecekapan dalam pengurusan air telahpun dilaksanakan mengikut jadual pelaksanaan projek.

Pengurusan Sumber Bekalan Air

121. Fenomena pemanasan global dan perubahan iklim dunia yang mengakibatkan cuaca panas yang ekstrim dan kering, ancaman water stress serta banjir kilat dan air laut pasang besar perlu ditangani dengan kepakaran kejuruteraan dan pengurusan yang bersepadu. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 17 juta untuk tahun 2017 bagi menjamin kesinambungan bekalan air dan sumber air melalui usaha berikut :

a. Operasi pembenihan awan (cloud seeding) yang membolehkan hujan turun di kawasan tadahan dan lembangan sungai;
b. Meneruskan dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa menjejaskan kualiti sumber air tersebut.

122. Kerajaan Negeri turut mencadangkan peruntukan berjumlah RM 2.0 juta untuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air termasuk pembangunan stesen pemantauan kualiti dan kuantiti secara online dan pemantauan “aerial surveillance” menggunakan “drone” untuk memantapkan pemantauan in situ bagi mengenaplasti punca pencemaran.

123. Kerajaan Negeri memandang serius aktiviti pencemaran sungai oleh pihak tertentu yang membuang bahan-bahan toksik secara terancang yang menyebabkan Air Selangor terpaksa menutup loji rawatan air untuk menjamin keselamatan dan kesihatan penggunaan. Kelakuan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan bersifat jenayah. Justeru itu, Kerajaan Negeri terus bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menangani masalah ini kerana pelakuan sabotaj ini tidak berlaku di dalam sungai di Negeri Selangor tetapi berpunca di kawasan-kawasan di luar Selangor.

124. Kerajaan Negeri menghargai usaha gigih dan komitmen pegawai-pegawai LUAS, JPS dan Air Selangor yang menjalankan kerja-kerja pemantauan sungai secara berterusan.

125. Pihak industri digalakkan untuk melabur dalam penggunaan teknologi hijau termasuk teknologi kitar semula air selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Pembinaan Jalan Baru

126. Jaringan jalan raya merupakan aspek utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan mobiliti sosial. Kerajaan Negeri berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan raya yang lebih meluas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 390 juta diperuntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tahun 2017.

127. Antara langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah penyuraian trafik, JKR diberikan tanggungjawab untuk menaiktaraf 26 jajaran jalan negeri dengan peruntukan sebanyak RM 197.4 juta.

128. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan membina jalan baru dengan peruntukan sebanyak RM 51.3 juta :

a. Membina Jalan Alternatif Shah Alam ke Banting;
b. Membina Jalan Sambungan Kota Warisan (B20).

129. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 102.8 juta untuk pembinaan jambatan dan jejantas termasuk RM 80 juta untuk menyiapkan pembinaan Jambatan Ketiga Klang; RM 10.5 juta bagi penggantian jambatan lama di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor; RM 5 juta untuk penggantian jambatan di Jalan Kundang, Daerah Gombak dan RM 1.8 juta untuk menggantikan jambatan Kampung Pasir, Sungai Lalang, Semenyih.

130. Aspek keselamatan juga diberi perhatian dengan memperuntukkan sejumlah RM 33.5 juta termasuk pemasangan lampu isyarat dan tanda amaran serta pembaikan cerun.

Penyelenggaraan Jalan Raya

131. Infrastruktur asas seperti jalan merupakan aspek penting kepada pembangunan negeri serta mewujudkan jaringan penghubung yang memberi akses kepada pelbagai aktiviti yang memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor.

132. Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM 600 juta sebagai siling peruntukan MARRIS Tahun 2017 kepada agensi pelaksana dengan pecahan berikut:

a. Sejumlah RM 196 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelenggara Jalan Raya Negeri;
b. Sejumlah RM 372 juta diperuntukkan kepada 12 PBT Negeri Selangor untuk menyelenggara Jalan Raya Perbandaran termasuk lorong-lorong belakang dan jalan-jalan industri;
c. Sejumlah RM 30 juta diperuntukkan kepada 9 Pejabat-Pejabat Daerah / Tanah (PDT) untuk menyelenggara Jalan-Jalan Kampung; dan
d. Sejumlah RM 2 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelenggara Jalan Pertanian.

133. Kerajaan Negeri berharap usaha ini akan meningkatkan mutu penyelenggaraan jalan setaraf dengan status negeri maju.

Mempertingkat Perkhidmatan Percuma Bas Smart Selangor

134. Kerajaan Negeri gembira dapat menyediakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor yang terbaik kepada rakyat. Sejak dilancarkan pada tahun 2015, perkhidmatan ini telah beroperasi di 11 PBT dengan pencapaian bilangan pengguna sehingga 31 Ogos 2016 sebanyak 2.8 juta penumpang.

135. Inisiatif yang dimulakan dengan peruntukan sebanyak RM 3.5 juta pada tahun 2015 telah ditingkatkan kepada RM 10 juta pada tahun 2016.

136. Perkhidmatan ini bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat dan mampu mengurangkan pelepasan karbon. Program ini memberi manfaat untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta pelajar dan pekerja.

137. Bagi memenuhi permintaan pengguna pengangkutan awam, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor ditambah daripada RM 10 juta kepada RM 20 juta bagi tahun 2017 untuk menambah laluan baru di semua PBT termasuk kawasan desa.

Pemuliharaan Tapak Pelupusan

138. Selangor perlu melangkah ke hadapan dalam mengurus sisa pepejal dengan penggunaan teknologi baru. Pada ketika ini, sebanyak 6,000 tan sisa pepejal dihasilkan sehari oleh rakyat Negeri Selangor. Kerajaan Negeri mengajak rakyat untuk bersedia menerima teknologi baru yang selamat dan terbukti dapat menghasilkan produk sampingan seperti penjanaan tenaga.

139. Penyediaan tapak pelupusan sampah yang sempurna dari aspek pembinaan serta pengurusan yang bersepadu dan sistematik amat penting bagi memastikan ianya dapat mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan menyediakan sejumlah RM 7.3 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan, menaiktaraf, penutupan selamat dan penyelenggaraan tapak pelupusan di Selangor.

Penyelenggaraan Saliran & Tebatan Banjir

140. Perubahan suhu dan iklim dunia adalah fenomena baru yang menuntut kita untuk mengambil langkah proaktif. Bencana seperti cuaca panas yang ekstrim dan kering, banjir kilat serta penyakit berjangkit perlu diurus dan ditangani supaya tidak memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi.

141. Kerajaan Negeri senantiasa peka dan prihatin terhadap kepentingan pembangunan sistem pengairan dan saliran untuk menampung air larian permukaan.

142. Justeru itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menyediakan perkhidmatan kepakaran kejuruteraan dan pengurusan sumber air yang merangkumi pengurusan lembangan sungai, zon pantai serta pengurusan banjir dan kemarau secara bersepadu. Kerajaan Negeri tidak akan mengabaikan sama sekali sebarang usaha dan sokongan yang diperlukan oleh JPS untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

143. Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan pembangunan untuk JPS dinaikkan sebanyak 68.7 peratus kepada RM 135 juta berbanding RM 80 juta untuk tahun 2016 bagi menampung pelaksanaan 85 projek yang telah dikenalpasti. Peruntukan yang disediakan ini merangkumi antara lain Projek Tebatan Banjir di Sungai Kandis, Klang berjumlah RM 7.5 juta, Projek Tebatan Banjir Kampung Melayu Subang yang bernilai RM 6 juta dan Projek Tebatan Banjir di Sungai Labu, Sepang bernilai RM 3 juta.

144. Peruntukan ini juga bagi melaksanakan Projek Pembangunan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Langat serta menaiktaraf saliran, menaiktaraf kolam takungan dan pembangunan pantai.

Menggilap Kemakmuran Desa

145. Kerajaan Negeri bertekad memberdaya masyarakat desa agar berada dalam arus perdana pembangunan dengan menikmati kemudahan dan mutu kehidupan yang setara dengan kehidupan moden masyarakat bandar. Namun, pembangunan desa yang akan dilaksanakan akan tetap mengekalkan watak dan jati diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong-royong, bekerjasama, harmoni dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi.

146. Demi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk menyediakan sejumlah RM 72.16 juta untuk pembangunan luar bandar.

147. Daripada jumlah ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 18 juta untuk sektor pertanian dengan tumpuan pembangunan kemudahan R&D dan latihan untuk warga tani yang dijangka menelan kos RM 5.3 juta.

148. Kerajaan Negeri komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian bukan sekadar sumber ekonomi sampingan tetapi sebagai sebuah sektor yang akan menjadi peneraju ke arah menjadikan Negeri Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.

149. Konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ akan terus menjadi asas kepada dasar pertanian Negeri Selangor. Untuk merealisasikan hasrat ini, pembukaan tanah-tanah baharu akan dilaksanakan di bawah Program Ladang Smart Selangor dan Kebun Rakyat bagi tujuan projek pertanian berasaskan penggunaan teknologi moden serta pemilihan jenis tanaman yang boleh memberikan pulangan hasil yang tinggi. Program Belia Tani, pembangunan industri padi dan Taman Agroteknologi juga diberikan perhatian untuk perkembangan sektor pertanian dengan jumlah peruntukan RM 7.3 juta.

150. Selain itu, antara keutamaan bagi tahun 2017 adalah untuk menaiktaraf kemudahan awam termasuk menaiktaraf balai raya yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan pembangunan kampung baru dengan peruntukan berjumlah RM 15 juta.

151. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sejumlah RM 15 juta untuk kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih jalan-jalan kampung. Ini tidak termasuk peruntukan MARRIS yang berjumlah RM 30 juta untuk tujuan penyelenggaraan jalan-jalan kampung.

152. Dalam tahun 2016, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif melaksanakan pencerapan jalan-jalan kampung yang masih belum berdaftar di bawah sistem MARRIS. Usaha ini telah menghasilkan kejayaan mendaftarkan 1,400 km jalan kampung yang akan meningkatkan peruntukan MARRIS kepada RM 30 juta bagi tahun 2017. Ini bermakna, peruntukan keseluruhan bagi tujuan menaiktaraf dan penyelenggaraan jalan kampung bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM 45 juta.

Penambahbaikan Pengurusan Sisa Pepejal

153. Kerajaan Negeri mengambil serius aduan ketua-ketua kampung tentang masalah pengurusan sisa pepejal, pembersihan dan pengutipan sampah pukal di kampung. Kerajaan Negeri tidak pernah meremehkan isu kebersihan awam kerana ianya boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Untuk maksud itu, bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan sejumlah RM 20 juta disalurkan kepada PBT berpendapatan rendah bagi kerja-kerja kutipan sampah di kampung dan kawasan pembangunan strata. Manakala, bagi PBT berpendapatan tinggi, Kerajaan Negeri akan mencadangkan supaya PBT berkenaan dapat menyediakan peruntukan bagi maksud yang sama supaya agenda kebersihan awam menjadi antara agenda utama bagi semua PBT pada tahun 2017.

Menjamin Keselamatan Rakyat

154. Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) pernah diwujudkan pada tahun 2013 dengan peruntukan sebanyak RM 2.4 juta bagi semua kampung. Kerajaan Negeri melihat keperluan pasukan ini dihidupkan semula dengan sokongan kuat daripada Kerajaan Negeri memandangkan keselamatan rakyat termasuk di kampung dan desa semakin tercabar ekoran kegawatan ekonomi semasa.

155. Sehubungan dengan itu, untuk tahun 2017, Kerajaan Negeri ingin mewujudkan pasukan keselamatan yang dinamakan ‘Ikatan Desa’ dengan peruntukan berjumlah RM 3.68 juta setahun merangkumi bantuan kewangan untuk latihan keselamatan dan peralatan yang memberi manfaat kepada 368 kampung. Pasukan Ikatan Desa akan terus bekerjasama dengan PDRM, JKKK dan Pejabat Daerah.

Karnival Kampungku Kesayanganku

156. Kerajaan Negeri akan meneruskan program Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) yang telah diperkenalkan pada tahun 2015 dengan objektif utama untuk melahirkan masyarakat desa yang mengimarah institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, membangun kampung dari sudut fizikal, spiritual dan ekonomi serta dapat menyuburkan adat dan warisan kampung. Sejumlah RM 630,000 dicadangkan untuk melaksanakan program ini bagi tahun 2017.

Kesejahteraan Komuniti Bandar

157. Kesejahteraan komuniti bandar menuntut penyediaan kemudahan komuniti yang selesa dan mesra komuniti termasuk kemudahan untuk golongan OKU seperti Dewan Orang Ramai dan pasar. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM 19.5 juta untuk pembangunan komuniti bandar.

158. Peruntukan ini merangkumi RM 5 juta untuk pembangunan kemudahan asas PBT termasuk penyelenggaraan medan selera dan RM 10 juta untuk menaiktaraf serta membaikpulih dewan orang ramai. Kemudahan infrastuktur PBT termasuk kemudahan OKU dan penyediaan tong sampah akan diperuntukkan sebanyak RM 4.5 juta.

159. Berdasarkan penyata kewangan PBT yang telah diaudit bagi tahun 2015, 12 PBT di Selangor mempunyai rizab sebanyak RM 1.93 bilion. Kerajaan Negeri mendapati MBSA, MBPJ, MPSp, MPKj, MPAJ, MPSJ dan MPK mempunyai rizab yang tinggi. Maka, untuk mendukung usaha Kerajaan Negeri membangunkan kawasan perbandaran dengan perkhidmatan yang cekap dan program pengupayaan komuniti, PBT yang berkenaan digesa untuk menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada rizab PBT berkenaan untuk maksud ini.

Pembangunan Dewan Banquet

160. Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan tiga buah Dewan Banquet yang dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi moden di Taman Melawati, Hulu Klang; Taman Bukit Mahkota, Kajang; dan Bukit Beruntung, Hulu Selangor. Pelaksanaan pembangunan ini akan dilaksanakan oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) secara pembangunan usahasama antara PBT dan pihak swasta.

Pembangunan Pasar Rakyat

161. Pasar merupakan nadi ekonomi masyarakat. Konsep pasar sedia ada perlu ditambah baik dan dijenamakan sejajar dengan tuntutan zaman dan keperluan rakyat. Adalah menjadi harapan kerajaan untuk menjadikan pasar-pasar di Negeri Selangor sebagai salah satu “vital point” perkembangan ekonomi rakyat.

162. Lantaran itu, Kerajaan Negeri mencadangkan pembangunan ‘Pasar Rakyat’ untuk menemukan pengeluar produk yang terdiri dari para petani dan peniaga-peniaga dengan pengguna tanpa khidmat orang tengah. Selain daripada kemudahan, prasarana dan reka bentuk moden, pasar ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan harian rakyat seperti kemudahan perbankan dan khidmat pos.

163. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan lima PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk mengkaji lokasi yang bersesuaian, strategik dan mudah dikunjungi. Pembangunan Pasar Rakyat mesti dimulakan seawal tahun 2017 dengan menggunakan peruntukan pembangunan PBT masing-masing.

STRATEGI KETIGA : Pengupayaan Pendidikan & Latihan

Selangor Business School

164. Perkembangan rancak Graduate Business School yang menawarkan program seperti Master in Business Administration (MBA) dan Master in Management (MIM) merupakan satu petunjuk kemajuan ekonomi dan mencerminkan kemajuan agenda bangsa untuk memperkukuhkan pendidikan tinggi.

165. Tatkala Negeri Selangor maju ke arah knowledge economy, adalah penting untuk kita menubuhkan sekolah sarjana perniagaan yang akan menghasilkan graduan bagi memenuhi keperluan dan tuntutan perniagaan, korporat, industri dan sektor awam.

166. Graduan Selangor Business School akan mempunyai nilai tambah dalam pelbagai kebolehan, dinamik dan berorientasi global. Mereka berperanan sebagai penyumbang nilai dan pemimpin di pelbagai peringkat dan bidang strategik. Kumpulan ini akan menyumbang sebagai pemangkin pembangunan sosio ekonomi bagi negeri pintar.

167. Justeru itu, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM 5 juta bagi penubuhan Selangor Business School yang akan menawarkan pengajian MBA. Selangor Business School merupakan sebahagian daripada program pengembangan Universiti Selangor (UNISEL).

168. Selaras dengan visi transformasi dan rasionalisasi fakulti, UNISEL kini bersiap siaga untuk menggarap cabaran baru supaya lebih berdaya saing dan seterusnya menyumbang kepada agenda pendidikan negeri. Untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telahpun menyalurkan sejumlah RM 21.5 juta dalam tahun 2016 dan mencadangkan sejumlah RM 44 juta lagi disediakan bagi tahun 2017.

169. Program Tajaan Yuran Percuma bagi tahun asas di UNISEL telah menghasilkan kejayaan di mana seramai 211 pelajar dapat menikmati kemudahan ini dan dijangka jumlah pelajar akan meningkat kepada 1,000 orang pelajar pada tahun 2017.

170. Tambahan kepada usaha ini, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM 8 juta untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

171. Untuk memperkasa pendidikan vokasional yang akan membekalkan tenaga mahir kepada industri, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 5 juta untuk program latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Kolej Antarabangsa INPENS.

Program Peduli Siswa

172. Bajet Persekutuan 2017 telah memotong peruntukan sektor pendidikan tinggi daripada RM 13.38 bilion pada tahun 2016 kepada RM 12.13 bilion. Ini bermakna, peruntukan bagi sektor pengajian tinggi telah mengalami penurunan sebanyak 9 peratus sekaligus menyebabkan hampir kesemua universiti mengalami pengurangan peruntukan. Semua IPTA di Selangor mengalami pemotongan antara 17 hingga 23 peratus bagi tahun 2017. Penguncupan belanjawan dalam sektor pendidikan akan menggasir kesungguhan pengurusan universiti untuk meningkatkan kecemerlangan akademik.

173. Sebagai sebuah negeri maju yang berteknologi tinggi, inovatif dan kreatif, Selangor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berilmu. Gagasan ini perlu didukung dengan sokongan dan bantuan pendidikan untuk pelajar-pelajar.

174. Sebagai usaha awal, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 10 juta bagi membiayai pengajian anak-anak Selangor di UIA, UKM, UPM dan UiTM menerusi Program Peduli Siswa. Program ini menawarkan pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan akademik.

Pembinaan & Menaiktaraf Sekolah Rendah Agama (SRA)

Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 42.9 juta untuk membina, menaiktaraf dan membaikpulih Sekolah Rendah Agama (SRA) di seluruh Negeri Selangor.

Memartabat Golongan Huffaz

175. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan positif Maahad Tahfiz dalam melahirkan para huffaz yang menyuntik nilai-nilai kerohanian dalam masyarakat dan sebuah negeri yang maju dan rencam. Justeru itu, pendekatan mengintegrasikan pendidikan Al-Quran dengan sains dan teknologi amat penting selari dengan tuntutan dan cabaran semasa.

176. Maka, Kerajaan Negeri mencadangkan peningkatan peruntukan untuk Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat kepada RM 5 juta. Peruntukan ini adalah untuk meneruskan Program Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Peringkat Diploma dan Ijazah di KUIS yang memberi manfaat kepada 352 pelajar. Peruntukan ini juga akan dikembangkan untuk Program Dermasiswa Huffaz yang melibatkan lebih kurang 1,000 orang pelajar di Maahad Tahfiz Swasta di Negeri Selangor dan juga Program Ithbat Hafazan Selangor yang melibatkan 200 peserta.

Pengupayaan SAR, SJK(C) & SJK(T)

177. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 16 juta semenjak tahun 2013 bagi tujuan infrastruktur pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T). Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan bagi SAR dinaikkan kepada RM 9 juta, manakala SJK(C) dinaikkan kepada RM 7 juta dan SJK(T) dilonjakkan peruntukan kepada RM 5 juta. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Deepavali Naal Valthukal kepada mereka yang menyambutnya atas kesedaran mesej Deepavali iaitu, “light overcomes darkness, good overcomes evil, hope overcomes despair”.

Mission School & SMJK

178. Kerajaan Negeri telah mengenalpasti 25 buah Mission School dan 5 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) iaitu SMJK Chung Hwa dan SMJK Kwang Hua di Klang, SMJK Yu Hua di Kajang, SMJK Yoke Kuan di Sekinchan dan SMJK Katholik, Petaling Jaya yang belum pernah mendapat sebarang bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri. Maka, bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 1 juta bagi membantu pembangunan infrastruktur di sekolah-sekolah berkenaan.

Inisiatif Pendidikan Berteknologi

179. Kerajaan Negeri sedar akses kepada pendidikan adalah hak yang perlu diberikan kepada semua rakyat. Kegagalan dalam pendidikan boleh membawa kepada natijah putaran ganas kemiskinan. Lantaran itu, kalangan ibu bapa yang berkemampuan sanggup berbelanja besar untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen bagi memastikan anak-anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

180. Maka, Kerajaan Negeri mencadangkan inisiatif Tuisyen Atas Talian dan beberapa inisiatif pendidikan yang menggunakan internet dilaksanakan pada tahun 2017 dengan cadangan peruntukan sejumlah RM 5 juta.

Program PROGRESS

181. Program Boot Camp Akademik atau lebih dikenali sebagai Programme On Graduate Employability Enhancement For Smart Selangor (PROGRESS) dilaksanakan bagi memastikan graduan di Selangor memiliki kebolehpasaran dalam aspek soft skills seperti komunikasi, interaksi, keyakinan diri, pengurusan waktu dan perancangan strategik dalam pekerjaan.

182. PROGRESS telah mencatatkan kemajuan dengan melatih 100 orang kumpulan perintis mulai April 2016. Daripada kumpulan ini, 73 orang telah mendapat pekerjaan manakala 19 peserta sedang menjalani on-the-job training.

183. Memandangkan suasana ekonomi negara hari ini menyumbang kepada pengangguran di kalangan graduan, Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk membesarkan dukungan terhadap program PROGRESS bagi tahun 2017 dengan menaikkan peruntukan daripada RM 1.5 juta kepada RM 5 juta dengan sasaran 300 peserta. Kerajaan Negeri yakin PROGRESS akan membantu mengurangkan pengangguran di kalangan graduan.

STRATEGI KEEMPAT : Membingkai Muafakat

Dialog Antara Agama

184. Selangor sebagai sebuah negeri yang rencam dan kosmopolitan perlu dibingkai dengan muafakat sebagai teras perpaduan dan saling hormat menghormati satu sama lain. Prinsip Keadilan dan Kesederhanaan senantiasa diutamakan.

185. Bertolak dari kejayaan menangani isu Al-Kitab, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil langkah untuk menjalin persefahaman seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 :

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan…”

186. Pada 14 Jun 2016 yang lalu, JAIS bersama para imam dan ketua agama Kristian seramai 100 orang telah mengadakan pertemuan dalam Program Iftar Muslim-Christian Unity.

187. Ini disusuli dengan Unity Interfaith Program pada 26 Jun 2016 yang melibatkan pertemuan imam-imam dengan 120 pemimpin agama Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan Tao.

Pembangunan & Pengimarahan Masjid

188. Menginsafi perintah Allah SWT dalam Surah Muhammad, ayat 7, Kerajaan Negeri meneruskan usaha untuk membangunkan masjid sebagai pusat ibadat, kerohanian, pendidikan dan kemasyarakatan.

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

189. Justeru itu, institusi masjid dan kegiatan mengimarahkan masjid perlu disuburkan. JAIS dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal ehwal Islam secara hikmah, amanah dan berkesan. Bagi menjana Islam syumul di kalangan ummah, JAIS juga berperanan untuk memberikan pendidikan agama yang kukuh kepada umat Islam di Negeri Selangor.

190. Prasarana dan kemudahan pendidikan seperti masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz dan kompleks Islam harus diselenggara dengan baik untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 128.5 juta bagi tujuan ini disediakan untuk JAIS bagi tahun 2017.

191. Daripada jumlah tersebut, RM 67.4 juta diperuntukkan untuk pembangunan 11 buah masjid baharu termasuk Masjid Seksyen 24, Shah Alam; Masjid Kampung Klang Gate, Gombak dan Masjid Putra Heights, Petaling serta membaikpulih masjid di daerah-daerah.

192. Kerajaan Negeri juga mengambil perhatian tentang keperluan untuk membaikpulih dan menaiktaraf surau-surau dengan peruntukan berjumlah RM 6.7 juta.

Yayasan Restu

193. Kejayaan Yayasan Restu menampilkan risalah keindahan Islam telah meletakkan Negeri Selangor, khususnya Shah Alam, dalam peta estetik dunia Islam dan memberikan nuansa serta warna khas kepada penghayatan Islam di Nusantara yang berteraskan keadilan, kasih sayang dan toleransi.

194. Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan peranan Yayasan Restu. Malah, usaha Yayasan Restu juga telah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor yang telah mengisytiharkan Kompleks Taman Seni Islam Selangor dinaiktaraf sebagai Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor. Selaras dengan pengisytiharan tersebut, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 800,000 bagi tahun 2017 untuk menampung kos penyelenggaraan bangunan Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor. Peruntukan ini akan disalurkan terus melalui peruntukan mengurus JAIS.

Komuniti Sikh

195. Kepelbagaian agama dan kaum adalah keunikan yang dimiliki oleh Negeri Selangor. Semua kaum diberi perhatian yang seadilnya dalam aspek kerohanian dan sosio-budaya oleh Kerajaan Negeri termasuk komuniti Sikh.

196. Justeru, buat julung kalinya Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM 500,000 kepada komuniti Sikh di Selangor mulai tahun 2017 di bawah peruntukan Hal Ehwal Selain Islam bagi tujuan menambahbaik kemudahan tempat beribadat dan melaksanakan pelbagai program keagamaan.

Asrama Anak Pekerja Ladang

197. Kerajaan Negeri mahu generasi muda masyarakat ladang berada dalam arus perdana pembangunan. Anak-anak pekerja ladang perlu diupayakan supaya mereka mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan suasana pembelajaran dan pengajaran yang lebih kondusif. Justeru itu, Kerajaan Negeri berhasrat menempatkan anak-anak pekerja ladang ini di sebuah asrama yang mempunyai kemudahan yang baik dan selesa.

198. Selain daripada pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Desa Coalfield di Kuala Selangor yang sedang dalam proses pelaksanaan oleh JKR Negeri Selangor, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk membangunkan sebuah asrama di atas tanah Kerajaan bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Midlands di Seksyen 7, Shah Alam dengan peruntukan sejumlah RM 4 juta.

Pengupayaan Usahawan Muda

199. Pembangunan bangsa bersatu padu yang kita idamkan perlu melibatkan penyertaan aktif semua golongan dalam sektor ekonomi yang dinamik. Generasi muda India mempunyai potensi besar untuk maju sebagai usahawan dengan merebut pelbagai peluang perniagaan yang terbuka dalam ekonomi Selangor yang rancak.

200. Penglibatan mereka dalam bidang perniagaan akan menjana mobiliti golongan B40, mengurangkan kebergantungan, melebarkan kemakmuran di kalangan golongan yang selama ini terpinggir dengan memperkasakan mereka. Mereka perlu diberikan latihan dan pengupayaan untuk membina kepakaran, memahami persekitaran perniagaan, pemasaran, penyediaan cadangan projek, pendaftaran syarikat, e-pemasaran, pengurusan kewangan dan lain-lain.

201. Untuk maksud ini, sebanyak RM 1 juta akan diperuntukkan untuk Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor atau Selangor Indian Entrepreneurship and Capacity Building Programme: Towards Economic Resilience, Empowerment and Upward Mobility.

Wanita & Keluarga

202. Pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri adalah bersifat inklusif gender. Saya mengucapkan tahniah kepada wanita Selangor yang bersifat proaktif, senantiasa pantas merebut segala peluang untuk memberdayakan kedudukan sosio-ekonomi hawa.

203. Menerusi program HIJRAH, 63.6 peratus atau 16,209 peserta daripada 25,466 peserta adalah wanita. Penyertaan wanita dalam program pembangunan usahawan turut diperkukuhkan melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB). Sementara itu, di sektor pendidikan pula, 65 peratus daripada jumlah penerima Biasiswa Selangorku terdiri daripada pelajar perempuan. Ini membuktikan Kerajaan Negeri sering memberikan perhatian kepada golongan hawa.

204. Wanita turut menjawat peranan penting dan strategik dalam pentadbiran dan syarikat negeri. Selangor mempunyai seorang wanita yang dilantik sebagai Pegawai Daerah dan dua orang Yang Dipertua PBT. Sementara itu, lima buah agensi negeri adalah dipimpin oleh wanita. Terbaru, Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS juga dilantik dikalangan wanita profesional yang berpengalaman dan berwibawa dalam industri hartanah.

Institut Wanita Berdaya

205. Kerajaan Negeri percaya menerusi dasar yang peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, kaum hawa di Negeri Selangor akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran yang berubah dan semakin mencabar. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan Institut Wanita Berdaya sebagai badan pemikir atau think tank khusus untuk merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabatkan wanita di Selangor. Penubuhan badan ini dicadangkan dengan peruntukan awal sebanyak RM 1 juta.

206. Kerajaan Negeri juga berhasrat memberdaya kaum hawa dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya dengan cadangan peruntukan sejumlah RM 9 juta.

Program Mammogram

207. Pelaksanaan Skim Kesihatan Wanita menerusi Program Mammogram Selangor telah berjaya memberikan perkhidmatan kepada 22,505 wanita mulai tahun 2008. Sementara Putrajaya menghapuskan peruntukan untuk program mammogram, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk meneruskan program ini dengan peruntukan RM 1 juta bagi tahun 2017 dan mensasarkan seramai 5,000 wanita akan mendapat perkhidmatan ini.

STRATEGI KELIMA : Memacu Industri Sukan & Pelancongan, Menyemarak Budaya & Intelektual.

208. Kerajaan Negeri melihat potensi industri pelancongan di Negeri Selangor yang mampu menjana pendapatan baru dan memperkenalkan Negeri Selangor ke khalayak dunia. Beberapa lokasi di pantai barat Selangor mempunyai potensi untuk menarik pelancong termasuk Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Hutan Paya Bakau di Sungai Sepang Besar dan sawah bendang di Sekinchan.

209. Untuk menggarap sepenuhnya potensi industri pelancongan, Sky Mirror merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat berpotensi. Baru-baru ini, gambar Sky Mirror berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor, menjadi viral dalam media sosial.

210. Kawasan sepanjang lima kilometer dan lebarnya tiga kilometer hanya boleh dilawati dua kali sebulan selama enam (6) hari setiap kali munculnya anak bulan dan bulan penuh.

211. Ketika kemunculan anak bulan dan bulan penuh ini, pengunjung berpeluang melihat apa sahaja yang dilihat di atas bumi dan angkasa raya akan tercermin di atas permukaan air yang bersih dan jernih. Maka, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) harus segera meningkatkan kemudahan akses ke lokasi Sky Mirror bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Negeri Selangor.

212. Pelbagai produk pelancongan di Sekincan telah menarik perhatian ribuan pengunjung pada setiap minggu. Memandangkan kawasan itu merupakan salah satu daerah tumpuan pelancong, maka Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan sebuah Pusat Maklumat Pelancongan.

213. Kegiatan pelancongan yang semakin rancak di Selangor turut mencipta peluang pekerjaan sebagai pemandu pelancong yang terlatih. Untuk maksud itu, Tourism Selangor perlu memberdaya perkhidmatan pemandu pelancong yang benar-benar memahami produk dan lokasi pelancongan di Selangor.

214. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 7.75 juta untuk industri pelancongan Selangor.

Sports Tourism

215. Pada 8 Mac 2015, saya berjaya menyertai marathon, International Malaysia Women’s Marathon, salah satu daripada 5 marathon kaum hawa di dunia. Acara seperti ini dan lain-lain acara sukan seperti Paragliding Championship Accuracy di Bukit Jugra, Viper Challenge dan Raja Muda Selangor International Regatta merupakan antara acara yang boleh menarik pelancong.

216. Kerajaan Negeri akan memberikan perhatian terhadap pelancongan sukan melalui penciptaan dan penganjuran acara yang menarik penyertaan masyarakat dunia.

217. Bagi tahun hadapan, Kerajaan Negeri bercadang untuk meluaskan skala program pelancongan sukan dengan penganjuran Selangor International Eco-Challenge dengan memasukkan acara sukan lain seperti Marathon Sungai Klang.

Persediaan SUKMA 2018

218. Industri sukan merupakan antara sektor ekonomi yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi kepada negeri. Sebagai sebuah negeri maju, Selangor harus segera menjadi peneraju pembangunan industri sukan yang profesional dan mampu bersaing di arena sukan dunia.

219. Negeri Selangor telah melakar kejayaan dalam Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-18 di Sarawak pada bulan Ogos yang lalu. Selangor meraih 59 pingat emas, 73 perak, 63 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 195 pingat.

220. Pasukan renang Selangor telah memonopoli acara renang di SUKMA dan merupakan penyumbang pingat terbanyak buat kontinjen Selangor dengan meraih 20 pingat emas, 15 perak dan 9 gangsa.

221. Kejuaraan tersebut adalah hasil daripada perancangan yang strategik, latihan yang bersepadu, tenaga jurulatih yang mahir, kerjasama yang baik dengan persatuan-persatuan sukan serta para pegawai yang mempunyai visi untuk memartabatkan industri sukan Negeri Selangor.

222. Kesinambungan daripada kejuaraan SUKMA yang lalu, Majlis Sukan Negeri telah merangka fasa-fasa latihan sebagai persediaan awal menuju SUKMA ke-19 di Negeri Perak pada tahun 2018. Untuk program latihan yang akan bermula seawal tahun 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 3.35 juta.

Insentif Atlet Paralimpik

223. Negara melonjak gembira dengan pencapaian cemerlang anak Selangor dari Gombak, Muhammad Ziyad Bin Zolkefli, yang telah merangkul pingat emas dalam acara lontar peluru di Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016. Negara juga berbangga kerana Ziyad telah memecah rekod dunia dalam acara tersebut. Sebagai mengiktiraf kejayaan Ziyad, Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor menyambutnya dengan insentif tunai sebanyak RM 150,000 dan sebuah rumah bernilai RM 400,000.

224. Sesungguhnya, kejayaan yang dicatatkan ini membuktikan bahawa atlet Selangor berpotensi untuk bersaing dan berjaya di arena antarabangsa. Maka sebagai rangsangan kepada cita-cita ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 14 juta bagi 2017 khusus untuk menaiktaraf infrastruktur sukan sedia ada serta program pembangunan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

Kejohanan Le Tour de Selangor

225. Negeri Selangor berhasrat untuk menganjurkan Kejohanan Le Tour de Selangor pada tahun 2017 dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Selangor.

226. Kejohanan yang akan melibatkan peserta dari negara-negara jiran dan antarabangsa ini akan merentasi semua daerah di Negeri Selangor. Ini sekaligus dapat mempromosikan produk-produk pelancongan setiap daerah dan memupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 2 juta untuk tujuan penganjuran kejohanan Le Tour de Selangor.

Taman Tasik Shah Alam

227. Taman Tasik Shah Alam merupakan mercu tanda Bandaraya Shah Alam sebagai Ibu Negeri Selangor. Taman ini telah mula dibina pada tahun 1981 dan siap sepenuhnya pada tahun 1985. Taman ini adalah hasil cetusan idea Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sempena 25 tahun pemerintahan Baginda.

228. Taman Tasik yang dibangunkan oleh PKNS dan direkabentuk oleh Mr. Fumiaki Takano dengan mengambil konsep dan rekabentuk Tasik Hakone, Jepun ini terdiri daripada 3 rangkaian tasik buatan: Tasik Barat (62.6 ekar), Tasik Tengah (29.2 ekar) dan Tasik Timur (36 ekar) yang meliputi kawasan seluas 127.8 ekar.

229. Kewujudan Taman Tasik ini memberi kemudahan rekreasi bukan sahaja kepada masyarakat Shah Alam tetapi juga pengunjung dari luar. Namun begitu, Kerajaan Negeri memandang serius usaha penyelenggaraan dan pembaikpulihan Taman Tasik Shah Alam. Untuk maksud itu, MBSA dipertanggungjawabkan untuk menyegerakan kerja-kerja menaiktaraf dan pengindahan estetika di Taman Tasik Shah Alam.

230. MBSA juga disarankan untuk memulakan Hari Tanpa Kenderaan sebagai salah satu usaha awal mengurangkan pelepasan karbon di Bandaraya Shah Alam selari dengan Inisiatif Hijau Shah Alam.

Taman Persahabatan Selangor-Jepun

231. Hubungan simbiotik dengan para pelabur asing selama lebih dari tiga dekad telah menjadikan Negeri Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara. Komuniti dan pelabur-pelabur Jepun telah sekian lama setia kekal menjadikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelaburan dan rumah kedua mereka.

232. Untuk menghargai sumbangan besar masyarakat Jepun kepada pertumbuhan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan pembinaan sebuah taman di Shah Alam yang akan memperkenalkan ciri-ciri estetika Jepun yang akan dinamakan sebagai Taman Persahabatan Selangor-Jepun. Taman tersebut merupakan simbol kepada kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan kebudayaan.

Kebudayaan & Projek Pencerahan Selangor

233. Kebudayaan bukan sahaja sendi negeri ini yang sedang giat membangunkan ekonomi, namun ianya juga adalah ruh dan paras rupa bangsa. Di saat Selangor bergerak pantas untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri serantau terutama dalam sektor ekonomi, iltizam tersebut juga harus disertakan dengan pemantapan sektor kebudayaan.

234. Selangor hari ini sudah bersiap siaga untuk memainkan peranan lebih besar. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri akan menganjurkan sebuah Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau pada tahun 2017 dengan penglibatan semua genre sastera dan persuratan Melayu.

235. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Projek Pencerahan Selangor dengan menterjemah karya agung ke dalam Bahasa Melayu yang akan meningkatkan korpus buku-buku bernilai tinggi ke dalam Bahasa Melayu.

236. Untuk maksud kebudayaan dan Projek Pencerahan Selangor, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 5 juta.

F. PENUTUP

Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya

237. Sebagai sebuah negara demokratik, kita harus menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah pada 15 September 2016 khususnya berkaitan dengan Negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan di bawah para 2 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

238. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa penyisihan pengundi dari kawasan mereka tanpa alasan yang sah adalah satu penafian hak ke atas rakyat kepada wakil-wakil dan perwakilan pilihan mereka.

239. Justeru itu, Kerajaan Negeri tidak akan berganjak dengan pendirian untuk menggunakan ruang perlembagaan melalui proses perundangan bagi membantah cadangan SPR ini. Kita tidak mahu SPR menjadi alat untuk mempertahankan kepentingan penguasa.

Pengupayaan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

240. Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan pengorbanan anggota keselamatan khususnya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa daripada sejumlah 378,274 orang bekas tentera di seluruh negara, seramai 263,494 orang merupakan veteran angkatan tentera yang tidak berpencen.

241. Untuk maksud melindungi dan memelihara kebajikan lebih 28,000 veteran angkatan tentera yang bermastautin di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 1 juta diperuntukkan bagi tujuan program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera termasuk membantu keperluan perubatan dan kebajikan 89 orang veteran cedera perang di Negeri Selangor. Sebanyak RM 500,000 akan diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.

242. Nilai pasaran hartanah yang terus melambung tinggi menyebabkan ramai di kalangan warga veteran tentera tidak mampu memiliki sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga. Maka, LPHS telah menetapkan kuota 10 peratus pemilikan Rumah Selangorku dengan harga jualan tidak lebih daripada RM 250,000 untuk ditawarkan kepada pesara tentera, polis dan pasukan beruniform berkuatkuasa 1 September 2016.

Pengecualian Cukai Taksiran

243. Salah satu inisiatif peduli Kerajaan Negeri untuk menyantuni pemilik rumah kos rendah serta penduduk kampung tradisi, kampung baru dan kampung bagan pada tahun 2016 adalah dengan mengecualikan cukai taksiran. Peniaga-peniaga kecil juga senantiasa mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri dengan menikmati pengecualian fi lesen perniagaan pada tahun 2016. Kedua-dua inisiatif ini memberi impak kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 62 juta.

244. Memandangkan rakyat masih dihisap darah mereka melalui pelaksanaan cukai GST dan Bajet 2017 Putrajaya yang mengikat perut rakyat, maka pada tahun 2017, Kerajaan Negeri terpanggil untuk meneruskan program pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan bagi kumpulan sasar yang sama. Kerajaan Negeri meminta semua PBT mengambil tindakan awal bagi memastikan pengecualian ini dilaksanakan serta merta mulai 1 Januari 2017.

Imam Pemangkin Pembangunan Ummah

245. Sejajar dengan arus perkembangan zaman, peranan imam bukan hanya memimpin ibadat di masjid dan surau tetapi merangkumi aspek pembangunan ummah seperti pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan. Menyedari tanggungjawab imam yang semakin mencabar, elaun imam telah dinaikkan kepada RM 900 mulai tahun 2015 sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap imam-imam di seluruh Negeri Selangor.

246. Menyedari iltizam imam-imam untuk terus mengimarah institusi masjid sebagai wahana memberdaya ummah, maka mulai Januari 2017, Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan elaun tambahan sebanyak RM 300 sebulan menjadikan jumlah elaun bulanan imam sebanyak RM 1,300. Seramai 734 orang imam akan menerima manfaat ini dengan peruntukan sejumlah RM 3.96 juta.

Ketua Kampung Agen Perubahan

247. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh 368 orang Ketua Kampung Tradisi dan 78 orang Ketua Kampung Baru dan Kampung Bagan. Ketua Kampung merupakan pemimpin akar umbi yang dekat dengan denyut nadi rakyat dalam membantu memperjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri, memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat desa. Justeru, sebagai menghargai khidmat bakti Ketua-Ketua Kampung Tradisi, Kampung Baru dan Kampung Bagan, Kerajaan Negeri mencadangkan kenaikan elaun Ketua Kampung sebanyak RM 300 kepada RM 1,200 sebulan melibatkan peruntukan sebanyak RM 6.4 juta. Kerajaan Negeri juga mencadangkan kenaikan elaun Ketua Komuniti India sebanyak RM 200.

Pemerkasaan Perkhidmatan Ahli Dewan Negeri

248. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, kita berada di dewan ini kerana demokrasi.

Kalau tidak kerana hayat,
Tidak usia memanjat dini;
Kalau tidak kerana rakyat,
Tidak kita berada di sini.

249. Peruntukan Ahli Dewan Negeri telah disemak beberapa kali untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Pada tahun 2016, Ahli Dewan Negeri Kerajaan diperuntukkan sejumlah RM 700,000 setahun untuk menjalankan projek-projek kecil bagi meningkatkan infrastruktur awam serta menjalankan aktiviti mesra rakyat di kawasan masing-masing. Manakala, Ahli Dewan Negeri Pembangkang menikmati peruntukan sebanyak RM 200,000 setahun.

250. Untuk Belanjawan 2017, saya ingin mencadangkan peruntukan Ahli Dewan Negeri Kerajaan dinaikkan kepada RM 800,000 setahun.

251. Kerajaan Negeri akan meneruskan peruntukan untuk Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Negeri Selangor sejumlah RM 300,000 setahun.

Penjawat Awam Tulang Belakang Pentadbiran

252. Setiap manusia mempunyai tulang belakang. Tulang belakang yang kuat membolehkan kita berdiri tegak dan gagah serta berlari pantas. Penjawat awam merupakan tulang belakang pentadbiran negeri.

253. Kerajaan Negeri Selangor bersyukur dan bertuah kerana mempunyai pasukan penjawat awam yang kuat, profesional dan berintegriti. Di bawah pimpinan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai pantas bekerja, belum dipanggil sudah datang, belum suruh sudah dibuat. YB Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, asyik membelek buku kira-kira, memerah otak untuk menambah hasil negeri dan memerangi ketirisan.

254. Dato’ Bandar dan Yang Di-Pertua Majlis Daerah turun ke lapangan, bergeser bahu dengan rakyat, merayau-rayau di sepanjang jalan, kalau-kalau ada jalan berlubang; mengintai-intai lorong, kalau-kalau ada sampah yang tidak dipungut. Pegawai Daerah memerah keringat dan membanting tulang memungut hasil negeri dan menyantuni rakyat dengan kasih sayang. Kerajaan Negeri tidak pernah lupa sumbangan dan kerjasama jabatan dan agensi Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dalam membangun Negeri Selangor. Inilah tulang belakang pentadbiran negeri. Walhasil, tahap kepuasan rakyat terhadap prestasi Kerajaan Negeri melonjak kepada 73 peratus.

255. Sebagai menghargai kejayaan ini, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan gaji. Pembayaran sebanyak satu setengah bulan telah pun dilakukan pada 1 Julai 2016 yang lalu. Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, setengah bulan lagi akan dibayar pada 20 Disember 2016 untuk membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak-anak.

256. Pembayaran bantuan khas kewangan dua bulan gaji memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 57.25 juta. Barang diingat, pembayaran ini menggunakan peruntukan tahun ini, dan dibayar tahun ini.

Tuan Speaker,

257. Tahun 2017 kita mengemukakan perbelanjaan yang berhemah. Kita tidak mengikat perut rakyat. Kita berbelanja tetapi dalam berbelanja, kita mengutamakan pembangunan. Jika kita tidak mengutamakan pembangunan, tanah air dan bangsa ini tidak akan punya masa hadapan.

258. Tatkala saya mengambilalih pentadbiran negeri pada bulan September 2014, peruntukan pembangunan berada pada tahap 36.7 peratus. Peruntukan pembangunan 2015 ditambah kepada 48 peratus dan ditingkatkan lagi kepada 50 peratus untuk tahun 2016. Kita perlu mengambil keputusan yang berani untuk Selangor terus maju, mengekalkan diri sebagai negeri peneraju di Malaysia dan menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dengan wilayah-wilayah di rantau ini.

259. Mengungkap kata-kata Brutus dalam drama Julius Caesar karangan William Shakespeare:

There is a tide in the affairs of man.
Which, taken at the flood, leads on to fortune;
Omitted, all the voyage of their life
Is bound in shallows and in miseries.
On such a full sea are we now afloat,
And we must take the current when it serves,
Or lose our ventures.

260. Rizab negeri yang kini mencecah RM 3.6 bilion adalah ibarat air pasang yang dibayangkan oleh Shakespeare. Maka, kita jangan teragak-agak dan lengah untuk mengangkat sauh dan mengembangkan layar, meluncur kapal negeri sebagai sebuah smart state dan negeri serantau.

261. Para pelabur suka melabuh di Selangor kerana pentadbiran negeri ini ibarat air jernih, bila dilihat nampak terus ke dasarnya. Tidak ada kekeruhan yang menutup onak dan duri rasuah dan korupsi. Bukan sahaja syarikat gergasi yakin melabur di Selangor, peniaga kecil terus diupaya dan dipimpin.

262. 987 orang peneroka Rancangan Revolusi Hijau Peringkat II dan III di Ijok bergembira mendapat kediaman baru yang selesa ekoran kejayaan Kerajaan Negeri memulihkan dan menyiapkan projek tersebut bersama syarikat swasta.

263. Model kejayaan Selangor dalam memacu pertumbuhan bersekali menjamin integriti dalam pentadbiran telah menggamit pelabur-pelabur asing dan pemimpin dunia datang ke Selangor dan menjalin kerjasama ekonomi. Pemimpin Singapura minat bicara soal keselamatan rantau di Laut China Selatan. Saudagar Jepun petah bicara peluang pelaburan. Pemimpin Britain tertarik dengan kecekapan pentadbiran. Pemimpin dunia melihat Selangor sebagai model kejayaan dan terus menjadi tumpuan. Alhamdulillah.

264. Kejayaan kita mula dicemburui oleh gerombolan perasuah dan anti kesejahteraan rakyat. Mereka menabur fitnah, merekayasa tohmahan dan memesong fakta. Kita akan lawan segala petualang, kelapa komeng dan pencemburu yang sakit hati.

265. Kita akan lawan dengan pencerahan, demokrasi dan suara rakyat. Kita akan lawan sebarang dakyah yang berniat untuk melunturkan kuasa rakyat dan menodai demokrasi. Kita mendampingi BERSIH kerana BERSIH adalah sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Kita akan terus menjamin hak demokrasi rakyat.

266. Kita menyeru kepada perpaduan, kita bekerja untuk kesentosaan dan kita berazam untuk keadilan.

Kain tekat sultan perkasa,
Maharani cantik di dalam taman;
Negeri molek rakyat sentosa,
Pemimpin adil dikenang zaman.

Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.