AZMIN ALI

LATEST

Day: January 22, 2016

Generasi kedua Felda Sungai Tengi bakal miliki kediaman

Sumber : selangorku.com

HULU SELANGOR, 22 JAN: Generasi kedua Felda Sungai Tengi berpeluang memiliki kediaman sendiri melalui pembinaan 136 unit rumah berkembar setingkat oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bagi membolehkan mereka terus menetap di situ, sekaligus merapatkan keharmonian dan ukhwah keluarga.

Katanya, penduduk hanya perlu membayar RM97,000 untuk mendiami rumah berkeluasan 850 kaki persegi berbanding harga asal RM160,000 dengan kos pembinaan infrastruktur RM7.65 juta ditanggung Kerajaan Selangor.

Penyerahan Borang hak Milik Tanah Felda Sungai Tengi Selatan MB (ASRI) (3)“Pada 9 September 2015 dalam mesyuarat Exco lalu, kita panggil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya mulakan pembinaan rumah terbabit di atas tanah seluas 17 ekar.

“PKNS sudah memulakan proses dan kontrak akan dikeluarkan tahun ini, manakala kerja pembinaan bermula pada Jun 2016,” katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah kepada 139 peneroka Felda Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Pengumuman Mohamed Azmin itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai yang memenuhi Dewan Serbaguna di kawasan itu.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen membantu peneroka felda di Selangor termasuk golongan usahawan.

“Kalau hendak buat pinjaman bank RM5,000 pun cukup susah untuk dapat, tetapi Kerajaan Selangor menawarkan pinjaman mikrokredit di bawah skim Pinjaman HIJRAH.

“Rakyat boleh pinjam RM5,000 hingga RM50,000 tanpa faedah untuk mereka yang beminat memulakan perniagaan,” katanya.

139 peneroka Felda bangga dapat MB prihatin

Sumber : selangorku.com

HULU SELANGOR, 22 JAN: Keringat 139 peneroka Felda Sungai Tengi Selatan mengusahakan tanah dengan hasil pertanian dan membangunkan kediaman untuk keluarga selama 27 tahun dianggap berbaloi.

Ia susulan peneroka felda itu menerima hak milik tanah masing-masing daripada Kerajaan Negeri yang diserahkan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beberapa peneroka yang ditemui Selangor Kini menganggap pemberian itu sebagai hari bersejarah yang tidak dapat dilupakan.

noraini bera a“Saya sangat bersyukur kerana ini sahajalah tanah yang kami ada untuk meneruskan kehidupan selepas suami meninggal dunia beberapa tahun lalu,” kata ibu tunggal, Noraini Bera @ Arshad, 51, dengan nada sebak.

Abdul Ahmad Aziz, 64, pula mengalirkan air mata kegembiraan dan merasa bertuah kerana rakyat Selangor memiliki Menteri Besar prihatin terhadap masalah rakyat.

“Saya menunggu begitu lama, hari ini hari yang sangat menggembirakan saya. Saya sangat berbangga kerana Selangor ada Menteri Besar prihatin,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Mohsin Kassim, 56, pula bersyukur atas kesungguhan Kerajaan Negeri menyelesaikan isu tanah di kawasan itu yang berlarutan sejak sekian lama.

mohsin kassim a“Lama dahulu ada yang berjanji tetapi janji tidak ditepati, tetapi hari ini di bawah Menteri Besar sekarang, barulah dapat hak milik tanah kami.

“Tanah ini kami sudah lama usahakan, sudah 27 tahun kami teroka. Bila hari ini dapat hak milik tentulah terharu sukar nak bayangkan betapa gembiranya.

“Saya seru kepada semua penerima hari ini supaya jagalah tanah ini baik-baik, jangan sampai tergadai kerana inilah tanah yang kita ada dan tidak boleh dapat lagi,” katanya.