AZMIN ALI

LATEST

Day: January 24, 2016

Perutusan Thaipusam YAB Dato’ Menteri Besar Selangor

PERUTUSAN THAIPUSAM
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Thaipusam merupakan perayaan istimewa masyarakat Hindu sedunia. Perayaan ini juga sangat istimewa untuk Negeri Selangor kerana setiap tahun masyarakat Hindu akan memenuhi Batu Caves untuk merayakan “bulan Tamil” dan Dewa Murugan.

Patung Dewa Murugan yang berdiri di Batu Caves tersebut menjadi simbol kemenangan kebaikan melawan kejahatan. Peringatan kebaikan mengalahkan kejahatan itu adalah penting dalam kehidupan kita seharian. Tekad untuk berbuat baik seperti menegakkan keadilan dan kebebasan harus tersemat dalam nurani setiap rakyat khususnya di negara ini.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada masyarakat Hindu, khususnya di negeri Selangor yang gigih untuk bersama-sama dengan kaum lain untuk membangun dan memajukan negeri ini. Bahkan, peranan besar masyarakat Hindu untuk menegakkan keadilan dan reformasi juga tidak dapat disangkal lagi.

Era di mana dasar perkauman sempit menjadi dasar Kerajaan Negeri Selangor sudah berlalu. Kerajaan Negeri hari ini adalah kerajaan untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Hari ini, masyarakat Hindu di Negeri Selangor dapat menilai sendiri bagaimana Kerajaan Negeri telah berusaha gigih untuk melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat langsung kepada mereka. Pesepsi negatif bahawa masyarakat Hindu adalah kelompok yang tersudut dan terabai di estet-estet mulai terhakis. Kita sedar bahawa pembangunan mampan tidak akan dapat dicapai selagi wujud kelompok masyarakat yang tersisih daripada arus pembangunan perdana.

Justeru, menjadi harapan kita agar Negeri Selangor diterajui dengan prinsip untuk menegakkan kebaikan, melaksanakan keadilan dan mempertahankan kebebasan sejajar dengan makna Thaipusam. Selamat Hari Thaipusam buat seluruh masyarakat Hindu di Malaysia.

YAB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
24 JANUARI 2016