AZMIN ALI

LATEST

Day: March 8, 2016

[BERITA] Imam Selangor Terharu Terima Watikah Kali Pertama Dalam Sejarah

Sumber : Selangorku.com

KLANG, 8 MAC: Imam masjid seluruh Selangor terharu apabila kali pertama dalam sejarah dikurniakan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya, berkata pengurniaan itu menyebabkan beliau lebih bersemangat mengurus hal ehwal masjid termasuk menyediakan pelbagai aktiviti masyarakat.

“Bila kita diberikan amanah atau watikah, kita perlu melihat ke hadapan untuk meneruskan program masjid lebih sistematik dan terancang terutamanya dalam sistem pengurusan masjid sudut aktiviti dan kewangan serta perkhidmatan.

CP2A4514“Adanya watikah sebegini menjadikan imam kita lebih berkualiti dan di sudut pengiktirafan dan semangat imam mengimarahkan masjid pula, tentunya bertambah,” kata Muhammad Farhan kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Imam Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful berkata, watikah pelantikan itu memberi suntikan motivasi kepada beliau sendiri.

“Ini pengiktirafan paling bermakna dan kami menyahut titah Tuanku Sultan Selangor untuk memberi penerangan dan memimpin masyarakat melalui program agama, ceramah, motivasi dan lain-lain untuk memberi kebaikan kepada masyarakat,” kata Mohd Rasid.

Imam Masjid Al-Huda, Paya Jaras, Othman Ab Kadir pula berkata, pihak pengurusan Masjid Al-Huda giat memperkemaskan pelbagai program pengimarahan masjid.

“Program pengajian untuk menyediakan generasi muda khususnya sebagai golongan pelapis dipertingkatkan.

“Antara program diatur, kursus imam dan bilal, kursus mengurus jenazah dan banyak lagi kursus lain yang dah dirancang dan kita kembangkan lagi,” kata Othman.

Selain fokus terhadap aktiviti dalam masjid, pengurusan masjid juga bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang terdapat dalam masyarkat.

“Kami juga buat pendedahan dan tanggungjawab mencegah kemungkaran di kalangan anak kariah khususnya. Perkara ini perlu dilaksanakan bagi melahirkan masyarakat bermoral, kuat pegangan agamanya,” kata Othman.

[BERITA] Sultan : Semarakkan Program Imarah Masjid

Sumber : Selangorku.com

KLANG, 8 MAC: Penceramah agama luar negara tidak dibenarkan menyampaikan ceramah mereka di masjid seluruh Selangor kecuali di Masjid Negeri (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam), Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

DYMM Sultan Selangor, Sultah Sharafuddin Idris Shah, bertitah pengurusan masjid diingatkan tidak memanggil penceramah, pendakwah dan khatib tidak mempunyai tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sultan Imam“Ini bagi mengelakkan penularan dan penyebaran serta doktrin salah yang mudah masuk dan diterima masyarakat Islam di sini. Masjid adalah tempat beribadat, belajar, berbincang mengenai ilmu agama bagi meningkatkan lagi tahap keimanan dan kualiti dalam ibadat.

“Masjid bukan tempat menyebarkan fitnah dan berita tidak tepat serta hasutan untuk membenci seseorang atau memboikot sesuatu,” titah Baginda Sultan pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya masjid sentiasa diimarahkan setiap umat Islam dengan aktiviti berunsurkan ibadah dan majlis ilmu.

Titahnya lagi, imam harus memainkan peranan menghidupkan suasana masjid supaya berjalan lancar dan konsisten dengan membuat perancangan program sepanjang tahun secara strategik serta mendapat kerjasama semua ahli jawatankuasa masjid.

“Beta menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan seminar dua tahun sekali kepada imam untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada imam untuk penambahbaikan dan menyelesaikan segala permasalahan timbul dalam institusi masjid,” titah Baginda Sultan lagi.

Pada istiadat sama, seramai 393 imam masjid dikurniakan watikah pelantikan masing-masing hari ini daripada Sultan Sharafuddin.

Istiadat penerimaan watikah itu diketuai Imam Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya dan diikuti imam Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, serta imam di enam Masjid Diraja serta masjid lain.