AZMIN ALI

LATEST

Month: March 2016

[BERITA] MB Turun Padang Sokong Penjawat Awam Terima Ugutan

Sumber : selangorku.com

BANGI, 20 MAC: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menziarahi kediaman Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat bagi memberikan sokongan moral selepas beliau sekeluarga menerima ugutan dengan lontaran tiga ‘Molotov Cocktail’ daripada pihak tidak bertanggungjawab pada 18 Mac lalu.

Mohamed Azmin bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Dr Mohd Shafie Ngah serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji meluangkan masa hampir satu jam di rumah mangsa.

bommolotov 1Mohamed Azmin yang ditemui sejurus kemudian memberitahu kejadian ini tidak melemahkan semangat penjawat awam bahkan Kerajaan Negeri tidak gentar dengan sebarang ugutan dan ancaman.

“Dia (mangsa) menegaskan kepada saya kejadian ini tidak melemahkan semangat beliau malah memastikan terus komited bagi menegakkan undang-undang. Kita (Kerajaan Negeri) akan bersama-sama menangani masalah ini.

“Saya berterima kasih kepada Polis kerana memberikan kerjasama baik kepada Kerajaan Negeri dan peringkat daerah bagi memastikan sebarang usaha menangani masalah khususnya kecurian pasir dan jenayah lain dapat ditangani secara bersepadu.

“Dengan usaha sedang dan dijalankan ini, kita dapat memberikan mesej jelas Kerajaan Negeri dan pimpinan tidak tunduk dengan sebarang ugutan serta ancaman daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

bommolotov 2Katanya, jaminan keselamatan dan jalinan kerjasama diberikan Polis diperkukuh kerjasama kedua-dua pihak supaya semua tugas dapat dilaksanakan dengan baik.

“Di peringkat penjawat awam mereka bertindak secara profesional untuk memastikan peraturan dan undang-undang dapat dipertahankan serta menguruskan khazanah negeri dengan baik,” katanya.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa sedar sekitar jam 6.30 pagi ketika beliau sedang bersiap untuk ke tempat kerja selain menemui tujuh butir peluru 9mm yang diletakkan dalam satu sampul surat.

Letupan itu mengakibatkan sebuah motosikal yang diletakkan di halaman rumah rosak selain kesan terbakar di lantai.

Ketika kejadian seluruh ahli keluarga mangsa di dalam rumah yang sudah didiami sejak dua tahun lalu dan difahamkan polis kini sudah memberkas beberapa suspek bagi membantu siasatan.

[BERITA] Rancangan Struktur Selangor 2035 ke Arah Lestari Alam

Sumber : selangorku.com

PETALING JAYA, 20 MAC: Rancangan Struktur Selangor 2035 dirangka Kerajaan Negeri mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan dengan capaian penggunaan karbon rendah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelan rancangan terbabit mengambil kira penggunaan tanah secara lestari demi mewujudkan pembangunan mesra alam.

earth hour 4“Ia adalah dasar dan strategi dirangka meliputi penggunaan tanah secara lestari di Selangor dan menangani masalah perubahan iklim.

“Kita perlu memastikan pembangunan alam sekitar yang mesra dan hijau serta mencapai status karbon rendah dalam jangka panjang,” katanya dalam majlis Earth Hour Night Walk 2016 di Dataran Petaling Jaya di sini, malam tadi.

Majlis anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan WWF-Malaysia itu turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain; Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Mohamed Azmin bersama tetamu kehormat lain turut menyertai lebih 1,000 peserta dalam acara berjalan kaki sejauh 3.8 kilometer dalam program berkenaan.

Katanya, pemanasan global dialami kini di Malaysia dan negara lain perlu ditangani secara holistik dengan semua pihak termasuk kerajaan dan awam memainkan peranan masing-masing.

Ia ekoran juga membabitkan Selangor sendiri yang menghadapi pelbagai cabaran termasuk banjir kilat dan pelepasan karbon serta gangguan bekalan air dan sebagainya.

“Pelbagai insiatif dijalankan Kerajaan Negeri demi memastikan Selangor menerajui insiatif konsep bandar karbon rendah selain kemajuan keseluruhan di negeri itu.

“Antara langkah diambil adalah pemilihan lima pihak berkuasa tempatan untuk menerima pakai Kerangka Kerja Bandar Berkarbon Rendah (LCCF) membabitkan MBPJ, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) sejak Oktober tahun lalu.

“Tahniah kepada kelima-lima PBT itu dalam segala usaha dijalankan dan kini mereka mencapai tahap yang baik dan lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri turut berusaha mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian bagi mengelak kesesakan di sesuatu kawasan dengan menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.

Penyediaan perkhidmatan bas percuma, katanya, antara kaedah diguna pakai untuk faedah masyarakat diperkenalkan di Petaling Jaya, Shah Alam, Sunbang Jaya, Klang, Hulu Langat dan Ampang selain lorong laluan basikal dalam pelan pembangunan.

[BERITA] Pendidikan Pelaburan Pemberdayaan Rakyat Berilmu

Sumber : Selangorku.com

BESTARI JAYA, 18 MAC: Pendidikan perlu dilihat bukan hanya dalam konteks pelaburan ekonomi sahaja malahan pelaburan pemberdayaan rakyat mendapatkan ilmu dan pendidikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata definisi pendidikan perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas.

“Pendidikan ini selain daripada pelaburan infrastruktur dan kemudahan tetapi ia adalah pelaburan pemberdayaan untuk rakyat mendapat ilmu pendidikan.

MB UNISEL“Untuk itu Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab moral membantu UNISEL mencapai matlamat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu lawatan ke UNISEL Bestari Jaya, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil inisiatif untuk turun padang ke UNISEL supaya beliau bersama pimpinan negeri dapat memahami masalah sebenar dihadapi pelajar dan warga pendidik di kampus itu.

Dalam lawatan bermula kira-kira jam 1 petang , Mohamed Azmin turut solat berjemaah di Masjid UNISEL sebelum makan tengah hari bersama pensyarah, mahasiswa serta pimpinan pelajar di universiti itu.

Program itu juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara Menteri Besar bersama warga universiti.

[BERITA] Sedia Peruntukan Mencukupi Naik Taraf UNISEL

Sumber : Selangorku.com

BESTARI JAYA, 18 MAC: Kerajaan Negeri sedia memperuntukkan dana mencukupi bagi menaik taraf dan membaik pulih prasarana Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya mengenalpasti masalah yang berlarutan sekian lama dan perlu ditangani segera dengan peruntukan besar.

UNISEL“Menjadi tanggungjawab moral Kerajaan Negeri membangunkan UNISEL sebagai pusat kecemerlangan ilmu kerana kita mahu menjadikan Selangor sebagai hak pendidikan serantau.

“Saya akan mengumumkan dalam masa terdekat jumlah peruntukan dana dipersetujui bagi membiayai kos prasarana diperlukan,” katanya selepas lawatan ke Kampus UNISEL Bestari Jaya, di sini.

Katanya, beliau juga melihat beberapa bangunan fakulti yang perlu pembaikan dan naik taraf seperti keperluan mendesak ICT (Teknologi Maklumat) .

“Saya melihat sendiri keperluan UNISEL dan akan mengumumkan dana dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dalam tempoh dua minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke kampus di Bestari Jaya.

Selain itu, kita juga menerima memorandum daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk mempertimbangkan beberapa perkara.

Antara perkara dibangkitkan MPP UNISEL dalam memorandum adalah menyemak semula yuran asrama yang perlu dibayar pelajar sebanyak RM200 serta cadangan untuk Kerajaan Negeri memberikan subsidi nasi dan sayur.

[KENYATAAN MEDIA] Federalisme – Pengagihan Adil & Saksama

14 Mac 2016

Cabaran ekonomi hari ini menuntut Putrajaya memahami konsep federalisme dari perspektif yang lebih komprehensif.

Federalisme bermaksud pengagihan tanggungjawab, kuasa dan hasil berdasarkan keutamaan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Konsep distributive justice menuntut Putrajaya untuk melaksanakan pengagihan pendapatan negara secara adil dan saksama. Ini termasuklah pengagihan hasil cukai pendapatan korporat dan individu yang merupakan sebahagian daripada hasil pendapatan negara.

Kita perlu mengkaji dari pengalaman Jerman, negara maju yang amat ampuh ekonomi dan industrinya, tetapi pada masa yang sama amat peduli dalam menjayakan keadilan pengagihan khususnya dalam memperkasakan federalisme melalui perkongsian pendapatan cukai antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

Melalui pengagihan yang adil dan saksama, kita berharap agar hubungan Persekutuan dan Negeri terus kekal sejahtera dan maju demi kemaslahatan rakyat dan negara.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

[BERITA] Piala Sultan Selangor Kembali Tahun Inin

Sumber : Selangorku.com

KLANG, 9 MAC: Pertandingan Piala Sultan Selangor kembali menemui penonton tahun ini selepas tertangguh tahun lalu angkara jerebu.

Ia perlawanan antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura akan diadakan di Stadium Shah Alam, di sini, pada 7 Mei depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata pertandingan kali ini dijangka berlangsung meriah dengan kehadiran ramai penonton.

“Ramai pihak termasuk peminat menunggu pertandingan ini setelah ia dibatalkan tahun lalu manakala Singapura juga telah dikeluarkan daripada pertandingan bolasepak negara termasuk Piala Malaysia.

“Pertandingan ini juga memberi peluang kepada aksi barisan pemain veteran Selangor dan Singapura yang mendapat sambutan amat baik,” katanya kepada media di selepas majlis penyerahan cek sumbangan pertandingan itu di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

PIALA SULTAN SELANGOR - 1DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan hadir menerima cek sumbangan berjumlah RM900,000.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Daripada jumlah itu, RM500,000 disumbangkan anak syarikat Kerajaan Negeri membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhah masing-masing menyumbang RM100,000 manakala Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Perbendaharaan Negeri Selangor, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) masing-masing RM50,000.

PIALA SULTAN SELANGORSektor swasta yang turut serta menaja ialah Puncak Niaga Holdings Berhad (RM100,000) selain MCT Consortium Berhad, Splash Sdn Bhd, EcoWorld Developmenet Group Bhd, Nirvana Memorial Park Sdn Bhd, Ecofirst Consolidated Berhad dan LBS Bina Group Berhad masing-masing RM50,000.

Abd Karim yang juga Pengurus pilihan Selangor berkata, ekoran pertandingan tahun lalu ditangguhkan maka tajaan diterima dibawa untuk ke pertandingan pada tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri diketuai Menteri Besar yang bekerjasama menghulurkan sumbangan terbesar ke arah menjayakan pertandingan berkenaan.

“Selangor kini membuat persiapan rapi dan menjalani latihan dikendalikan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

“Kita mempunyai rekod pencapaian baik dalam pertandingan ini dan saya jangkakan kedua-dua pasukan akan bersaing hebat nanti,” katanya.

PIALA SULTAN SELANGORPertandingan merebut Piala Sultan Selangor membabitkan pertemuan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura mendapat sambutan membanggakan saban tahun berikutan kedua-dua pasukan mempunyai peminat yang ramai dan popular di Malaysia.

Sebelum perlawanan utama dijalankan, turut diadakan perlawanan Veteran Selangor dan Veteran Singapura bagi mengimbas kembali kenangan lama peminat bersama mantan pemain.

Satu sesi bertemu pemain Pilihan Selangor akan diadakan di SACC Mall, Shah Alam pada 2 April ini.

[BERITA] Arab Saudi Setuju Pembangunan Universiti Antarabangsa Al Madinah di Selangor

Sumber : Selangorku.com

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Arab Saudi komited menjalin pelaburan dalam sektor pendidikan dengan membangunkan Universiti Antarabangsa Al Madinah di Selangor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat terbabit dan ia sejajar dengan hasrat Belanjawan 2016 untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Pendidikan Serantau.

“Kerajaan Negeri sudah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) untuk mengambil tindakan segera membantu keperluan Arab Saudi khususnya penyediaan tapak sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas menerima kunjungan hormat Yang Amat Mulia Putera Dr Bandar Bin Salman Bin Muhammad Al Saud di pejabat rasminya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yakin kerjasama itu bukan sahaja memenuhi keperluan domestik, malah mewujudkan pusat kecemerlangan ilmu bagi rakyat Selangor dan rantau asean.

“Ini adalah pertemuan yang amat bersejarah bagi Selangor kerana buat pertama kali pemimpin tertinggi dari Kerajaan Arab Saudi berkunjung dan mengadakan perbincangan dua hala diantara delegasi Universiti Antarabangsa Al Madinah dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, perjanjian terbabit akan dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi merealisasikan hasrat Selangor sebagai Hub Pendidikan Serantau.

Dalam kunjungan hormat itu, turut mengiringi YAM Putera Bandar ialah Imam Besar Masjid Nabawi, Madinah, Dr Abdul Bari Awwaadh Al Thobaiti.

ARAB SELANGOR 1Satu siri perjumpaan tertutup berlangsung turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahya dan Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar.

Sesi perbincangan dua hala diantara delegasi bersama Kerajaan Negeri itu berlangsung selama 45 minit.

 

 

[BERITA] Imam Selangor Terharu Terima Watikah Kali Pertama Dalam Sejarah

Sumber : Selangorku.com

KLANG, 8 MAC: Imam masjid seluruh Selangor terharu apabila kali pertama dalam sejarah dikurniakan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya, berkata pengurniaan itu menyebabkan beliau lebih bersemangat mengurus hal ehwal masjid termasuk menyediakan pelbagai aktiviti masyarakat.

“Bila kita diberikan amanah atau watikah, kita perlu melihat ke hadapan untuk meneruskan program masjid lebih sistematik dan terancang terutamanya dalam sistem pengurusan masjid sudut aktiviti dan kewangan serta perkhidmatan.

CP2A4514“Adanya watikah sebegini menjadikan imam kita lebih berkualiti dan di sudut pengiktirafan dan semangat imam mengimarahkan masjid pula, tentunya bertambah,” kata Muhammad Farhan kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Imam Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful berkata, watikah pelantikan itu memberi suntikan motivasi kepada beliau sendiri.

“Ini pengiktirafan paling bermakna dan kami menyahut titah Tuanku Sultan Selangor untuk memberi penerangan dan memimpin masyarakat melalui program agama, ceramah, motivasi dan lain-lain untuk memberi kebaikan kepada masyarakat,” kata Mohd Rasid.

Imam Masjid Al-Huda, Paya Jaras, Othman Ab Kadir pula berkata, pihak pengurusan Masjid Al-Huda giat memperkemaskan pelbagai program pengimarahan masjid.

“Program pengajian untuk menyediakan generasi muda khususnya sebagai golongan pelapis dipertingkatkan.

“Antara program diatur, kursus imam dan bilal, kursus mengurus jenazah dan banyak lagi kursus lain yang dah dirancang dan kita kembangkan lagi,” kata Othman.

Selain fokus terhadap aktiviti dalam masjid, pengurusan masjid juga bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang terdapat dalam masyarkat.

“Kami juga buat pendedahan dan tanggungjawab mencegah kemungkaran di kalangan anak kariah khususnya. Perkara ini perlu dilaksanakan bagi melahirkan masyarakat bermoral, kuat pegangan agamanya,” kata Othman.