AZMIN ALI

LATEST

Day: April 28, 2016

[ UCAPAN ] PELANCARAN PERSIMPANGAN BERTINGKAT SEKSYEN 7, SHAH ALAM

J2  J3  J1

Hari ini kita dapat melihat satu lagi mercu tanda yang akan meningkatkan connectivity dan mobility bagi pengguna jalan raya khususnya warga Shah Alam.

Pembangunan yang pesat berkembang di Shah Alam dan Daerah Petaling telah melebihi kemampuan kapasiti sistem pengangkutan sedia ada. Keadaan ini menuntut pembangunan infrastruktur seperti persimpangan bertingkat ini bagi membantu penyuraian aliran trafik yang kian meningkat.

Projek infrastruktur  yang bernilai hampir RM50 juta dan diterajui oleh MBI ini pastinya akan memberi nilai tambah kepada pertumbuhan dan pembangunan sosio ekonomi yang sedang rancak berlangsung di Shah Alam sebagai Ibu Negeri Selangor.

Kajian awal Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor mendapati peningkatan jumlah pemilikan kenderaan yang tinggi di kalangan rakyat menyebabkan peningkatan trafik yang pesat dan jajaran jalan raya yang tidak mampan. Sebahagian besar daripada masyarakat masih memilih pengangkutan persendirian untuk bergerak.

Kerajaan Negeri menyedari kepentingan mewujudkan jaringan jalan raya yang mencukupi bagi memenuhi keperluan waktu puncak dengan peningkatan trafik.

Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor juga komited untuk melaksanakan penambahbaikan interconnectivity pengangkutan awam ke semua kawasan lingkaran Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri telah menyediakan ‘feeder bus’ melalui perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri cukup yakin, penambahbaikan ke atas sistem pengangkutan awam dan sistem jaringan jalan raya yang mampan akan membantu sistem penyuraian trafik termasuk merealisasikan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan persendirian iaitu 60:40.

Bagi memenuhi keperluan pembangunan sosial dan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM373 juta bagi tahun 2016 kepada JKR Negeri Selangor bagi membiayai pembangunan projek infrastruktur dan kemudahan awam. Ia adalah peningkatan sebanyak RM53 juta berbanding tahun 2015.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM199.2 juta disediakan bagi melaksanakan projek membina dan menaiktaraf jaringan jalan raya dengan melaksanakan kerja – kerja menaiktaraf Persiaran Mokhtar Dahari di Daerah Petaling Jaya dengan kos pembangunan sebanyak RM150 juta dan membina Jalan Sambungan Kota Warisan, Sepang dengan kos pembangunan sebanyak RM109 juta.

Berdepan pelbagai cabaran pembangunan semasa, Kerajaan Negeri lebih proaktif untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat. Kita akan memastikan setiap pembangunan atau aktiviti pemajuan yang akan dilaksanakan di Negeri Selangor bersifat peduli rakyat dan bermanfaat kepada rakyat.

Oleh yang sedemikian, Kerajaan Negeri senantiasa bersedia untuk berbincang dengan rakyat dalam sesi dialog dan pendengaran awam. Kerajaan Negeri juga mengingatkan Kerajaan Pusat untuk berunding dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang projek dan aktiviti pemajuan selaras dengan peruntukan Seksyen 20 (a) Akta Perancangan Bandar & Desa 1976.

Pembukaan persimpangan bertingkat pada hari ini diyakini mampu memberi peningkatan kepada nilai hartanah di kawasan sekitar. Apatah lagi, pembangunan perumahan yang rancak serta pelbagai prasarana yang tersedia akan menjadikan Shah Alam sebagai sebuah kota yang kosmopolitan.

Kelebihan ini pastinya menarik minat para pelabur asing dan tempatan untuk mengembangkan perniagaan di Negeri Selangor. Selari dengan gagasan Smart Selangor, pembangunan Shah Alam yang lestari dan berpaksikan rakyat akhirnya akan menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang rencam di Negeri Selangor.

Maka dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat, Seksyen 7, Shah Alam.

[ UCAPAN ] Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

A1 A2 A3 DSC_0318

 

Petang ini kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat berhimpun dalam satu rapat golongan profesional yang sudah pasti iltizamnya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada negeri dan rakyat.

Rapat ini secara khusus adalah untuk memberikan penghormatan, sekaligus meraikan 131 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015.

Pengiktirafan ini mencerminkan tekad Kerajaan Negeri Selangor untuk mendukung perkhidmatan awam yang terbaik di negara, pasukan penjawat awam berintegriti dan setia kepada piagam perkhidmatan.

Institusi Perkhidmatan Awam adalah tunggak kepada pentadbiran sesebuah Kerajaan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat dan negara. Perkhidmatan ini telah menjangkau usia lebih 80 tahun sejak penubuhannya.

Bermula dengan nama Malayan Establishment Office yang bertanggungjawab menerajui pentadbiran Kerajaan sejak 1934 sehinggalah ditukar namanya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1968, perkhidmatan awam negara telah melalui evolusi dengan menempa begitu banyak kejayaan dan kecemerlangan.

Dari segi sejarahnya, negara kita mewarisi satu sistem perkhidmatan awam yang cekap dan profesional. Namun, anak – anak watan yang mengambil alih pentadbiran daripada pentadbir Inggeris telah melakukan inovasi dan penyesuaian dengan ikatan jati diri tempatan tanpa mengorbankan prinsip – prinsip integriti dan efficiency.

Anggota perkhidmatan awam di peringkat awal kemerdekaan mempunyai visi untuk mengisi dan memaknai kemerdekaan negara melalui inovasi dan pembaharuan dalam perkhidmatan awam untuk memenuhi tuntutan baru dan cabaran zaman.

Cabaran dan karenah zaman menuntut anggota perkhidmatan awam lebih berilmu, proaktif dan berdaya saing dalam menterjemahkan dasar dan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat. Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab para penjawat awam di Selangor untuk menerajui inovasi dan usaha untuk mempertahankan kegemilangan badan perkhidmatan awam.

Kita bersyukur kerana kita memiliki penjawat awam yang komited, berintegriti dan efektif untuk bersama merealisasikan gagasan Smart Selangor yang peduli rakyat.

Penjawat awam perlu peka dengan ‘benchmark’ atau petunjuk aras profesyen. Salah satu penunjuk aras terpenting bagi pentadbiran awam adalah Laporan Ketua Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara terkini bagi Negeri Selangor menyatakan bahawa akauntabiliti dan integriti pengurusan kewangan Kerajaan Negeri telah diterjemahkan melalui pengurusan kewangan yang telus dan seterusnya mendapat ‘value for money’ bagi setiap ringgit yang telah dibelanjakan.

Laporan tersebut mendapati beberapa jabatan telah mencapai tahap cemerlang dengan penarafan 5 bintang.

Secara keseluruhannya, kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dengan negeri – negeri lain di Semenanjung adalah terbaik di mana Jumlah Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2014 adalah sebanyak RM3.2 bilion, diikuti oleh Johor sebanyak RM2.31 bilion, Pulau Pinang RM1.46 bilion.

Berdasarkan penemuan dan teguran audit, adalah menjadi tanggungjawab semua penjawat awam memandang serius perkara ini sejajar dengan dasar dan amalan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan pentadbiran berteraskan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Kerajaan Negeri senantiasa memandang serius teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara dan mengesyorkan supaya teguran ini diteliti dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kira – Kira Wang Awam Negeri (PAC) untuk memastikan kepatuhan yang tegas kepada prosedur kewangan.

Langkah ini juga adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap ketelusan, kebertanggungjawaban dan mewujudkan sebuah urus tadbir yang lebih efektif.

Kerajaan Negeri tuntas untuk memberdaya para penjawat awam melalui peningkatan skim latihan di Negeri Selangor demi melakar kecemerlangan di masa hadapan.

Penjawat awam di Negeri Selangor perlu diberdayakan dengan intellectual capability dan kekuatan menggarap perkembangan terbaharu dalam semua bidang yang mempunyai kaitan dengan fungsi pentadbiran awam. Budaya ilmu dan perkongsian pengalaman melalui penulisan dan memoir perlu diterokai.

Melalui usaha pemberdayaan ini, penjawat awam di Negeri Selangor akan lebih produktif bukan sahaja pada hari ini, akan tetapi berupaya menyumbang ke arah produktiviti pasca persaraan.

Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Sekian, terima kasih.