AZMIN ALI

LATEST

Day: May 5, 2016

[BERITA] Sultan dan Menteri Besar ziarah MB Kelantan

Sumber : Selangorku.com

Kota Bharu, 3 MEI: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli menziarahi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di kediaman rasminya.

Menerusi laman Twitternya, Mohamed Azmin turut berkongsi gambar beliau dan Baginda Sultan beramah mesra dengan Ahmad Yaakob.

Azmin Kelantan Sultan“Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob kelihatan ceria menerima kunjungan Sultan Selangor. Alhamdulillah beliau sihat,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengiringi baginda Sultan mencemar duli hadir ke Majlis Perasmian dan Pengurnian Kunci Rumah dan Perasmian Program Selangor Prihatin di Desa Alam Shah, Daerah Bukit Awang, Jajahan Pasir Puteh.

Pada 14 April lalu, Ahmad Yaakob selamat menjalani pembedahan kecil di bahagian kiri kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Beliau dimasukkan ke HUSM kira-kira jam 11.30 pagi sehari sebelum itu, selepas mengalami pendarahan di kepala.

[BERITA] Desa Alam Shah buka peluang asnaf jana pendapatan

Buka peluang asnaf jana pendapatan

Sultan Muhammad V menandatangani plak perasmian Desa Alam Shah sambil disaksikan Sultan Selangor.

Sumber : Sinar Harian Online

PASIR PUTEH – Seramai 29 asnaf menerima rumah serta diberi peluang menjana pendapatan dengan mengusahakan tanaman cili menerusi Program Penempatan Agroekonomi Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenarah, Bukit Awang, dekat sini.

Program kerjasama strategik di antara Lembaga Zakat Selangor dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu membabitkan kos RM8.3 juta dalam kawasan seluas lebih 15 hektar.

Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail berkata, golongan asnaf menerima rumah yang lengkap dengan perabot dan kemudahan asas.

Katanya, kawasan pertanian seluas 0.46 hektar kepada setiap peserta disediakan bagi membolehkan penghuni Desa Alam Shah itu mengusahakan tanaman cili kulai di bawah bimbingan Kelab Cili Nestle dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang.

“Hasil cili dibeli secara kontrak oleh Nestle (M) Berhad, setiap dari mereka dijangka menjana pendapatan RM1,200 sebulan selain diberi bimbingan dalam tempoh lima tahun bagi mengubah kehidupan dan membebaskan diri dari kelompok kemiskinan.

“Program di bawah projek ‘Selangor Prihatin’ ini berjaya mewujudkan kawasan penempatan baharu berasaskan agroekonomi bagi membela nasib kumpulan sasaran yang dihimpit kemiskinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah Kepada Penghuni Desa Alam Shah di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz; Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi.

Majlis juga dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Syed Anwar berkata, projek itu adalah inisiatif dan keprihatinan Sultan Selangor agar manfaat zakat Selangor dapat disalurkan ke negeri Kelantan sebagaimana berjayanya projek yang sama yang telah dilaksanakan di Taman Desa Asnaf, Perlis pada tahun 2013.

Tambahnya, kawasan itu turut dilengkapi kemudahan asas seperti surau, dewan serbaguna, pusat sumber, kedai runcit, jalan berturap dan padang permainan bagi memberi keselesaan kepada peserta terlibat.

“Aspek pendidikan, agama, akademik, sosial serta ekonomi kumpulan sasaran diberi fokus yang mana ia dibangunkan dengan kerangka pelaksanaan yang tersusun di bawah pemantauan Lembaga Zakat Selangor selama dua tahun.

Salah seorang penghuni Desa Alam Shah yang ditemui, Azwan Mat Jais, 36, berkata, program itu memberi semangat kepada keluarganya untuk keluar dari kedaifan hidup dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Saya bersyukur kerana memiliki rumah secara percuma. Selama ini saya menumpang rumah ibu saya. Ini merupakan peluang keemasan untuk kami berusaha pendapatan lebih baik,” katanya.

[BERITA] Hubungan Selangor – Kelantan terus erat dan mesra

Sumber : Selangorku.com

SHAH ALAM, 3 MEI: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Kota Bharu, Kelantan pagi ini.

Baginda Sultan mencemar duli hadir ke Majlis Perasmian dan Pengurnian Kunci Rumah dan Perasmian Program Selangor Prihatin di Desa Alam Shah, Daerah Bukit Awang, Jajahan Pasir Puteh.

MB AzminMajlis penyerahan kunci rumah sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu disempurnakan DYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Rakyat Selangor dan Kelantan terus mesra dan erat menerusi bantuan LZS yang membina rumah untuk orang miskin dan asnaf di Kelantan,” kata Mohamed Azmin menerusi status di laman Facebook.

Pada 26 Januari lalu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra turut berkenan menyampaikan kunci rumah di Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah sumbangan LZS di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong, Kuala Krai.

Dengan peruntukan berjumlah RM10.2 juta, seramai 60 keluarga dipilih menduduki Laman Seri Ehsan menerusi sesi bancian yang dilaksanakan pada Oktober hingga November 2015.

Ia bagi memastikan kelayakan mereka memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) dan Majlis Daerah Kuala Krai.

Rumah dengan keluasan 869 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas serta dilengkapi perabot dengan anggaran nilai keseluruhan RM62,000 sebuah.

Laman Seri Ehsan turut dilengkapi dengan infrastruktur yang kondusif seperti surau, dewan serba guna dan enam lot kedai serta kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

[BERITA] Hari Pekerja 2016 – Bersatu dan Berkemajuan

Sumber : Selangorku.com

SUBANG, 1 MEI : Kesatuan sekerja perlu mengambil iktibar daripada peristiwa Chicago 1888 supaya hak pekerja di negara ini tidak dieksploitasikan majikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peristiwa itu menjadi permulaan kepada gerakan buruh sedunia dalam memastikan kebajikan pekerja terus dipelihara.

“Sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini amat besar maknanya kepada perjuangan pemimpin sekerja seluruh dunia. Mengimbau peristiwa Chicago 1888 apabila demostrasi dibuat bagi menuntut waktu kerja lapan jam sehari dan layanan adil majikan.

MB Azmin MTUC“Mereka peka berjuang, tidak tunduk kepada kezaliman demi hak pekerja untuk membataskan perkara-perkara eksploitasi daripada menjadi hamba kepada manusia.

“Dalam ruang demokrasi yang matang, kita tidak boleh membenarkan mana-mana manusia mengeksploitasikan manusia yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Pekerja di perkarangan Wisma MTUC, di sini pagi ini.

Hadir sama, Pemangku Presiden MTUC; Abdullah Sani Abdul Hamid, Setiusaha Agung MTUC; Gopal Krishnam, bekas Setiausaha Agung MTUC Halim Mansor dan Presiden NUFAM; Ismail Nasarudin.

IMG_20160501_083541Beberapa persatuan sekerja daripada syarikat-syarikat swasta turut hadir menyertai himpunan pagi ini antaranya NUFAM, Malayan Nurses Union, Perodua dan Jeldwen Sdn. Bhd.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya komitmen MTUC memperjuangkan hak kebajikan dan kepentingan pekerja.

Antaranya, galakan pelaksanaan gaji minima RM1,500 dilaksanakan di Selangor berbanding pentadbiran Barisan Nasional di Putrajaya sekadar RM1,200.

“Walaupun wawasan 2020 semakin hampir, tetapi kita semakin jauh mencapai status negara membangun kerana gaji pekerja rakyat Malaysia masih lagi jauh berbanding upah pekerja di negara maju.

“Pekerja kita pula terus memberi sumbangan besar membantu ekonomi negara tetapi Putrajaya gagal memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pekerja di dalam negara ini,” katanya.