AZMIN ALI

LATEST

Month: May 2016

[BERITA] Rekod Cemerlang Sandaran Penilaian Rakyat

Sumber : Selangorku.com

BATU CAVES, 14 MEI: Trek rekod kerja cemerlang Kerajaan Negeri adalah penilaian rakyat dalam menentu kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang bakal diadakan pada 18 Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata rekod yang baik itu membuatkan pengundi menilai seterusnya membuat keputusan penting dalam PRK itu nanti.

IMG_20160513_141841“Persediaan kita sebenarnya sudah lama bukan hanya untuk PRK Sungai Besar sahaja. Kita sentiasa bersedia walaupun ia diadakan dalam bulan Ramadan.

“Dari segi persiapan memang sudah lama kita bersedia tapi kita percaya, rekod kerja yang baik membuat pengundi dapat menilai dalam PRK itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan program Kayuhan Santai penduduk Kampung Nakhoda, di sini.

Mohamed Azmin berkata sejak 2008, Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan berjaya membangunkan negeri dan menggalas tanggungjawab itu dengan amanah dan telus.

Azmin“Ia bagi memastikan pembangunan ini bukan sahaja tertumpu pada kawasan bandar tetapi juga desa termasuk Sabak Bernam dan Sungai Besar.

“Ini terbukti bila kita lancarkan program HIJRAH, daerah Sabak Bernam merupakan daerah tertinggi dalam segi jumlah penerima pembiayaan ini,” katanya.

Beliau berkata program pembangunan dibawa Kerajaan Negeri membuktikan penduduk luar bandar juga mendapat manfaat sewajarnya.

“Ini membuktikan program pembangunan Kerajaan Negeri bukan sahaja tertumpu kawasan bandar tapi juga kawasan luar bandar yang memberikan manfaat pada peniaga kecil dan berpendapatan rendah.

“Begitu juga dengan perkhidmatan Bas Smart Selangor. Ini bukti untuk meletakkan keyakinan kepada rakyat Sungai Besar bahawa kerajaan negeri hari ini adalah kerajaan peduli rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan memerlukan mandat lebih kukuh untuk menterjemahkan mandat terbabit dalam bentuk program atau tindakan bagi mengangkat martabat penduduk khususnya di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi dua kerusi Parlimen P0.67 Kuala Kangsar dan P.093 Sungai Besar berlangsung serentak pada 18 Jun 2016.

Kedua-dua kerusi Parlimen kosong selepas penyandang, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Khairil Anuar meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak.