AZMIN ALI

LATEST

Day: August 22, 2016

Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan & Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan 2016

1. Pagi ini, kita berhimpun dengan muafakat yang segar dan dinamik sejurus wacana dan perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2017 Negeri Selangor pada minggu lalu. Kita menghimpunkan penjawat awam, tokoh-tokoh profesional, wakil industri dan pembuat dasar untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas bagi menggubal sebuah belanjawan berdasarkan gagasan Smart Selangor yang berpaksikan rakyat.

2. Kita memilih untuk bersedia mendengar pandangan yang mungkin radikal dan perspektif pemikiran baru yang perlu digarap untuk melakukan anjakan paradigma bagi menjayakan aspirasi dan harapan rakyat.

3. Kerajaan Negeri dan PBT perlu melakukan anjakan paradigma untuk meletakkan posisi Negeri Selangor sebagai pemain utama di rantau ini dengan mencipta nilai yang boleh menjana kekayaan untuk Negeri Selangor termasuk menjayakan gagasan Smart State yang berpaksikan rakyat di peringkat kerajaan tempatan. Kita perlu mengoptimakan segala potensi yang ada untuk merangsang pertumbuhan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

4. Dalam suasana ekonomi dunia hari ini, Kerajaan Negeri bertanggungjawab memenuhi aspirasi rakyat yang menuntut supaya mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan di Negeri Selangor terus ditingkatkan.

5. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri tuntas meneruskan prinsip perbelanjaan secara berhemah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.

6. Kita mahu melaksanakan yang terbaik buat negeri dan anak watan kerana rasa kasih dan kesetiaan yang utuh terhadap tanah air. Ini sekaligus mengulangi tekad dan ikrar kita sebagai rakyat yang bermaruah untuk memperbaharui semangat patriotisme terhadap negara dan Negeri Selangor.

7. Setiap tahun, kita meraikan Hari Kemerdekaan. Namun begitu, masih ramai antara kita yang gagal memahami semangat dan menghayati prinsip kemerdekaan seperti yang termaktub dalam Pemasyhuran Kemerdekaan.

8. Sambutan bulan kemerdekaan bukan hanya mengibarkan jalur gemilang. Namun, kita bertanggungjawab untuk memaknai sambutan ini dan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar khususnya di kalangan generasi muda.

9. Izinkan saya menyorot kembali Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafazkan Almarhum Tunku Abdul Rahman. Sebagai bapa kemerdekaan, beliau telah meletakkan asas kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dengan menjunjung prinsip demokrasi, kebebasan dan keadilan.

10. Beliau menegaskan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan bahawa “Persekutuan Tanah Melayu akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

11. Demi memartabatkan negara yang merdeka dan berdaulat, kita harus berpegang kepada asas demokrasi berparlimen yang dizahirkan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan dan bukannya kleptokrasi. Benar, semangat patriotisme menuntut kita melaksanakan yang terbaik untuk watan. Patriotisme bukan bermakna mengiyakan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

12. Sejarah membuktikan seorang diktator dan kleptokrat seringkali mencipta momokan campur tangan asing sebagai punca terbungkamnya kedaulatan negara. Walhal, diktator itu sendiri adalah punca kepada krisis kepada sesebuah negara.

Studio_2015 (1 of 2)

13. Marilah kita menyemarakkan semangat patriotisme dengan kembali kepada semangat “Jiwa Merdeka” yang ditegaskan oleh Almarhum Dato’ Onn Jaafar.

14. Patriotisme tidak membenarkan “exploitation de l’homme par l’homme” – penindasan manusia ke atas manusia iaitu satu bentuk penjajahan baru. Hal ini turut ditegaskan oleh Saidina Umar Al Khattab kepada Gabenor Mesir setelah seorang pemuda Mesir dizalimi oleh anak Gabenor Mesir tersebut. Saidina Umar berkata, “…Sejak bilakah engkau memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka dalam keadaan merdeka.”

15. Patriotisme adalah semangat kecintaan kepada negara yang menuntut tanggungjawab, kesetiaan dan pengorbanan.

16. Patriotisme bukanlah sekadar satu slogan atau simbol semata-mata. Akan tetapi, ianya adalah semangat yang mencetuskan pengaruh yang kuat terhadap tingkah laku manusia untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat.

17. Pemikir Algeria, Malik Bennabi menegaskan bahawa penjajahan hanya berlaku setelah berlakunya “colonosibilite” atau jiwa terjajah terlebih dahulu. Fikiran terjajah atau fikiran terbelenggu adalah benih kepada penjajahan.

18. Inilah masalah yang paling mendasar; jiwa hamba dan pemikiran anak jajahan. Kerana itu, dalam menghargai kemerdekaan tanah air, harus diingatkan kemerdekaan yang lebih asasi ialah kemerdekaan jiwa. Kemerdekaan harus dimanfaatkan sebagai wahana memartabatkan umat kerana ianya akan turut menghindarkan masyarakat daripada penyakit jiwa malas atau miskin jiwa.

19. Hari ini, walaupun penjajah telah lama meninggalkan bumi Malaysia, tetapi penjajah hadir dalam pelbagai bentuk lain termasuk dari sudut ekonomi dan kewangan. Kemerdekaan hari ini bermakna kita memiliki kebebasan untuk membuat dasar-dasar demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

20. Setelah 59 tahun negara merdeka, kita mahu menjamin keadilan pengagihan (distribution of justice), kepimpinan yang berpaksi politik nilai dan menjamin keharmonian masyarakat. Kita tidak boleh membenarkan institusi demokrasi dirobohkan dan kedaulatan negara diinjak oleh segelintir yang curang terhadap Pemasyhuran Kemerdekaan.

21. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kita berpegang kepada prinsip rukun negara yang menggariskan; Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja & Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Inilah ideologi nasional yang menyatupadukan rakyat dan bangsa Malaysia.

22. Justeru itu, pada tahun ini kita memilih tema : Selangorku Sehati Sejiwa. Kita harus mengorak langkah dengan lebih pantas untuk memartabatkan rakyat dan negeri ini sebagai model kepada pembangunan bangsa Malaysia yang bermaruah dan berdaulat. Ayuh kita gembeleng seluruh tenaga dan kekuatan, para penjawat awam dan eksekutif, untuk kita sama-sama melakar kecemerlangan demi Negeri Selangor yang tercinta.

23. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan 2016.