AZMIN ALI

LATEST

Day: September 6, 2016

Kenyataan Media – Pertemuan Bersejarah

KENYATAAN MEDIA

6 SEPTEMBER 2016

Saya dan rakyat Malaysia gembira menyaksikan Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir Mohamad bertemu kembali setelah 18 tahun terpisah.

Pada 5 September 2016, kedua tokoh besar ini bersalaman tepat pada jam 3.09 petang dalam Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa – Kuasa Khas, Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Apa yang disaksikan oleh dunia pada saat itu adalah bukan sekadar dua insan bersalaman tetapi dua negarawan yang sanggup mengenepikan perbedaan dan kegetiran masa lampau demi masa depan negara dan rakyat Malaysia yang lebih terjamin.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke mahkamah bagi menfailkan injunksi bagi menghalang Perdana Menteri meneruskan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016. Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Pertemuan ini membuktikan kedua tokoh memiliki jiwa besar tatkala negara berdepan dengan krisis kepimpinan dan memerlukan satu hala tuju untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.

Seperti yang disebut oleh Dato’ Seri Anwar di mahkamah, kehadiran Dr. Mahathir membuktikan bahawa beliau bersedia menerima agenda reformasi.

Saya yakin ini satu permulaan ke arah perpaduan umat dan pengukuhan parti – parti politik yang progresif sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke 14.

Dr. Mahathir berpeluang bertemu dengan Anwar selama lebih 30 minit secara tertutup untuk membincangkan proses perundangan termasuk beberapa isu – isu lain. YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah dan saya turut hadir dalam perbincangan tersebut.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pertemuan Bersejarah

WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.36 (1)WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.39WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.38WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.36WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.40WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.34WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.34 (1)WhatsApp Image 2016-09-05 at 23.46.34 (2)

5 SEPTEMBER 2016 – Terlakar satu sejarah, pertemuan semula dua tokoh negara setelah 18 tahun 3 hari tidak bersemuka; pertemuan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pertemuan kedua – dua tokoh ini berlangsung di Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa – Kuasa Khas, Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Tepat jam 3.09 petang, Dato’ Seri Anwar dan Tun Dr. Mahathir telah bersalaman erat sebaik Dato’ Seri Anwar dibawa masuk ke ruang pengadilan.

Ternyata, pertemuan dua tokoh ini memperlihatkan kebesaran jiwa keduanya untuk mencipta muafakat baru demi menyelamatkan negara.

Dato’ Seri Anwar hadir ke mahkamah petang ini bagi menfailkan injunksi sementara bagi menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016. Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN bertentangan dengan Perlembagaan.

Dato’ Seri Anwar mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Tun Dr. Mahathir menyifatkan kehadirannya ke mahkamah adalah untuk menyokong tindakan Dato’ Seri Anwar dan beliau senada menentang akta tersebut.

Turut hadir di mahkamah menyaksikan pertemuan bersejarah ini adalah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Timbaland Presiden KEADILAN yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Kamarudin Jaffar, dan bekas pimpinan UMNO Batu Kawan, Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan.