AZMIN ALI

LATEST

Day: September 23, 2016

Ucapan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali Majlis Makan Malam Memperkukuh Iltizam, Memaju Negeri

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Daripada hamba Allah, Amirul Mukminin, kepada Fartunah, hamba berkulit hitam si fulan: Saya telah menerima surat kamu yang mengadu tentang kerendahan tembok yang telah dicerobohi dan ayam-ayam kamu telah dicuri. Berikutan itu saya telah menulis surat kepada Ayub bin Sharhabil (menteri pertahanan di Mesir ketika itu) mengarahkan beliau untuk membina semula dan memperkukuhkan tembok agar kamu tidak lagi bimbang, insya Allah.”

Apa yang saya bacakan tadi adalah satu fragmen, cebisan daripada bab pertama, buku saya yang bertajuk Membangun Bangsa: Catatan Permulaan Tentang Etika, Urus Tadbir & Kenegaraan.

Buku ini bukanlah tentang saya. Tetapi buku ini adalah tentang saudara saudari sekalian. Lebih bermakna lagi adalah peranan dan sumbangan saudara saudari sekalian sebagai penjawat awam kepada kemajuan dan kemakmuran Negeri Selangor.

Begitu juga dengan program pada malam ini. Majlis ini juga bukanlah sambutan 2 Tahun Pentadbiran saya sebagai Menteri Besar, tetapi ianya adalah demi merai dan merayakan sumbangan yang tidak terhingga para penjawat awam di seluruh pelusuk Negeri Selangor untuk bersama saya dalam tempoh yang singkat.

Ini bukanlah pujian yang tidak berasas. Kajian pungutan suara yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre mendapati 73% rakyat Negeri Selangor berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Negeri. Sementara itu, 67% rakyat juga bersetuju bahawa Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang mesra rakyat. Tanpa ragu, sokongan yang begitu besar ini adalah undi keyakinan rakyat terhadap seluruh penjawat awam Negeri Selangor di atas kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan saudara saudari sekalian.

Dukungan yang begitu kuat ini tidak mungkin tercapai tanpa sumbangan dan kerja keras, kerja berpasukan dan kerja smart teman-teman seperjuangan saya YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri dan seluruh anggota penjawat awam. Pengalaman singkat ini telah saya kumpulkan dan olah kembali menjadi sebuah karya sulung saya yang diluncurkan malam ini.

Di atas kejayaan yang telah dilakar, maka buku ini saya dedikasikan buat YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Para Pegawai Daerah, Datuk Bandar dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah, pegawai hatta kerani dan pemandu dalam pentadbiran Negeri Selangor.

Bagaimana kita boleh membangun dengan pesat? Tidak lain tidak bukan adalah kerana Negeri Selangor aman damai, selamat dan stabil. Ini tidak boleh dicapai tanpa sumbangan dan dedikasi anggota tentera, polis, pasukan keselamatan dan juga pasukan pertahanan awam. Buat mereka, saya bicara begini:

“Pengisian kepada Pemasyhuran Kemerdekaan yang diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman bermaksud menegakkan prinsip keadilan dan kebebasan yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat. Memahami dan menghayati prinsip ini penting kerana sebuah negara yang merdeka akan menghadapi cabaran dari masa ke masa. Ketika menyambut kemerdekaan dan pada tahun-tahun awal sebagai sebuah negara merdeka yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kita menghadapi ancaman komunis yang tidak mengiktiraf kemerdekaan dan mahu menggulingkan kerajaan secara ganas, militan dan tidak mengikut perlembagaan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat. Malaysia adalah satu-satunya negara membangun yang berjaya menumpaskan ancaman komunis. Justeru itu, generasi hari ini perlu berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang berjaya menumpaskan ancaman komunis, menjaga keselamatan negara yang membolehkan rakyat menjalani kehidupan seharian, ekonomi dan politik demokrasi secara aman.”

Sekarang, seluruh Negeri Selangor dijuruskan untuk menjadi sebuah Smart State.

“Sebagai negeri termaju di Malaysia, tidak lagi mencabar untuk Selangor sekadar bersaing dengan negeri-negeri lain. Mulai dari sekarang, Selangor perlu tampil sebagai negeri global atau sekurang-kurangnya sebagai negeri serantau, a regional state. Harus ada imaginasi Selangor laksana sebuah negara. Aset negeri Selangor yang unggul adalah jumlah rakyat terbesar yang diupayakan dengan kemahiran serta digilap bakat mereka demi peningkatan produktiviti negeri. Dalam konteks Asia Tenggara, banyak pemain baru yang muncul melalui penggabungan pasaran dan perniagaan menjalankan urusan mereka merentasi sempadan dalam sekelip mata. Antara perkara lain, ASEAN Economic Community menuntut negeri Selangor untuk menyahut cabaran global supaya “connectivity” perdagangan dapat menjana pertumbuhan dan memakmurkan masyarakat ASEAN termasuk Selangor.”

Saya sangat optimis dengan masa depan Selangor. Kita akan mencipta kejayaan lebih besar di tahun-tahun akan datang khususnya untuk merealisasikan gagasan Smart Selangor yang peduli.

Selangor hari ini telah mendapat perhatian dunia. Bukan sahaja pelabur-pelabur asing terus datang melabur di Selangor bahkan pemimpin-pemimpin dunia memberikan perhatian kepada Selangor. Saya kini kerap menerima kunjungan daripada duta-duta negara asing dan pemimpin-pemimpin dunia. Antaranya Jepun, Korea Selatan, Australia, Perancis, Jerman, Amerika Syarikat, Singapura dan yang terbaharu pada hari semalam, saya dikunjungi oleh Setiausaha Perbendaharaan United Kingdom. Saya yakin, dalam bulan-bulan yang akan datang, lebih ramai pemimpin dunia yang akan datang ke Negeri Selangor untuk menjalin hubungan diplomasi ekonomi dan kebudayaan yang lebih erat.

Seperti yang saya tegaskan, karya saya ini adalah catatan permulaan. Saya berharap, idea dan gagasan yang terkandung dalam buku ini akan melalui proses public contestation of ideas, dikritik, dibahas dan diwacanakan demi membangun bangsa dan masa depan negara.

Bukan kunci sebarang kunci,
Kunci dibuat dari suasa;
Bukan puji sebarang puji,
Penjawat awam banyak berjasa.

Sekian, terima kasih.