AZMIN ALI

LATEST

Day: November 11, 2016

Ucapan di Majlis Makan Malam Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara 2016

Ampun Tuanku,

Patik merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas limpah perkenan Tuanku untuk berangkat ke Majlis Makan Malam Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2016 yang dihoskan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi meraikan tetamu dan perwakilan persidangan ini.

Keberangkatan Tuanku mencemar duli ke persidangan ini adalah cerminan komitmen Tuanku terhadap institusi kehakiman dan perundangan syariah yang berlandaskan prinsip keadilan.

Titah Tuanku pagi ini memberikan pencerahan terhadap cabaran semasa yang dihadapi oleh institusi kehakiman syariah dan keperluan kepada transformasi yang membolehkan masyarakat Nusantara mengiktiraf Mahkamah Syariah sebagai institusi perundangan yang dipandang mulia dan dihormati serta dinobatkan menjadi satu badan kehakiman yang terunggul kepada umat Islam.

Ampun Tuanku,

Patik memohon limpah keizinan dan perkenan Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu di majlis ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Arif Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut dan Jawatankuasa Penganjur kerana memilih dan memberi kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) untuk menjadi tuan rumah kepada persidangan yang cukup signifikan ini.

Tiga minggu lalu, Negeri Selangor turut menjadi tuan rumah kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke 109 yang melibatkan mufti-mufti dari seluruh negara. Dua persidangan ini memperkukuhkan wacana penghayatan Islam sebagai rahmatan lil alamin.

Dalam konteks menghadapi cabaran semasa yang kompleks, kita perlu menampilkan wajah Islam yang berteraskan prinsip keadilan dan kesederhanaan, dengan izin, justice and moderation.

Pendekatan ini amat relevan bagi sebuah negeri majmuk dan maju seperti Selangor. Prinsip ini terbingkai dalam ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Selangor mahupun di Nusantara.

Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara merupakan satu detik penting dalam usaha memartabatkan institusi kehakiman syariah serantau.

Sebagai rantau Islam yang terbesar dan paling berjaya mencapai kemajuan ekonomi dan kemasyarakatan, Nusantara perlu mendepani cabaran zaman dengan menampilkan kesungguhan untuk melaksanakan hukum syarak secara adil, cekap dan berkesan. Perjalanan Mahkamah Syariah yang adil dan berkesan adalah cerminan penghayatan Islam dan juga kedaulatan undang-undang.

Kerajaan Negeri yakin persidangan ini mampu memberdaya keunggulan sistem perundangan Islam yang menjamin keadilan dan kemaslahatan umum.

Di bawah kepimpinan Yang Amat Arif Dato’ Dr. Haji Mohd Naim Bin Haji Mokhtar sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor telah mengambil langkah progresif atas limpah perkenan DYMM Tuanku Sultan untuk melantik dua orang wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Inilah negeri pertama memberi peranan dan melantik wanita yang berwibawa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syarie. Pelantikan ini berasaskan kelayakan dan bukan gender.

Salah satu inovasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ialah mengadakan perbicaraan pada waktu malam atau ‘night court’ yang dibuat dua kali sebulan bagi menyelesaikan kes-kes tertunggak.

Selaras dengan titah DYMM Tuanku Sultan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memberikan dukungan agar Mahkamah Syariah dapat berfungsi dengan efektif dan efisyen.

Menyedari cabaran dan keperluan untuk terus memberdayakan institusi ini, Belanjawan 2017 Negeri Selangor minggu lalu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 37.1 juta kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Selain daripada peruntukan untuk Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM 128.5 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk menyediakan dan menyelenggara prasarana dan kemudahan pendidikan Islam seperti masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz dan kompleks Islam sebagai usaha untuk memartabatkan syiar Islam di Negeri Selangor.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Muhammad, ayat 7 :

1

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Melalui persidangan yang berskala Nusantara, saya berharap hubungan Pegawai-Pegawai Syariah di seluruh Malaysia dan Negara ASEAN yang lain akan bertambah erat, sekaligus menjadikan persidangan ini sebagai wahana kepada percambahan idea, ilmu dan wacana intelektual yang segar. Inilah titik permulaan yang akan menjadi pemangkin kepada suara umat Islam di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Ampun Tuanku.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh