AZMIN ALI

LATEST

Day: December 11, 2016

Ucapan Sembah Taat Setia Dato’ Menteri Besar Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke 71 DYMM Sultan Selangor

Ampun Tuanku,

Dengan segala kerendahan diri, setulus kalam pancaran hati, seikhlas denyutan nadi, patik mewakili sekalian rakyat negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung Duli. Dirgahayu Tuanku. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor kekal bersemayam di singgahsana dengan segala kemuliaan dan kebesarannya.

Patik berdoa ke hadrat Ilahi, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT.

Tujuh puluh satu tahun melambangkan kebesaran, kemuliaan dan kehebatan Tuanku. Sayugia, sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku pada tahun ini sangat istimewa dan gemilang buat rakyat Selangor. Betapa tidak, pada tahun ini, Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan lebih bermakna kerana didampingi permata hati idaman kalbu.

Setanjak solek balung raja,
Lambang daulat sultan kami;
Permaisuri molek di singgahsana,
Bahgia rakyat tidak terperi.

Patik bersama sekalian rakyat jelata mendoakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor kekal bahagia dalam sakinah firdausi. Kebahagiaan Raja adalah kebahagiaan rakyat. Raja dan rakyat berpisah tiada. Di bawah naungan Tuanku, Negeri Selangor bertambah maju, makmur dan gemilang seperti yang diungkapkan oleh Shakespeare dalam drama Richard II :

“ …This royal throne of kings,
This earth of majesty, this seat of Mars…
This blessed plot, this earth, this realm…”

Ampun Tuanku,

Kesultanan Selangor mempunyai sejarah yang gemilang. Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai leluhur yang tersohor sebagai negarawan dan pahlawan; ulama dan ilmuan. Darjah dan Bintang Kebesaran yang dikurniakan oleh Tuanku memiliki nilai dan martabat yang utuh lagi tinggi. Kemuliaan darjah dan bintang kebesaran ini perlu dilindungi agar diwarisi dan terus dipandang mulia.

Kerajaan Negeri bersungguh hati untuk mempertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai mata air kedaulatan dan tiang seri perpaduan.

Justeru, Kerajaan Negeri telah meluluskan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama bagi mencegah daripada salah guna seperti yang ditetapkan oleh enakmen tersebut. Patik mendapat perkhabaran enakmen ini telah mendorong beberapa buah negeri lain untuk mengambil langkah yang sama agar kemuliaan Raja-Raja Melayu terus terpelihara.

Ampun Tuanku,

Pemerintahan yang dipilih rakyat atau sistem demokrasi wajar menggalas amanah untuk membangun bangsa dan memakmur negeri. Kuasa tidak boleh disalahguna. Prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi paksi tadbir urus sesebuah kerajaan.

Pemerintah perlu menekuni nasihat Raja Ali Haji, pujangga Melayu termasyhur Kerajaan Riau yang antara lain menegaskan prinsip nilai melalui pantun.

Jika memerintah lemah dan lembut,
Kepada tempat barang yang patut;
Orang pun banyak suka mengikut,
Apa kehendak tidak tersangkut.

Jika memerintah dengan cemeti,
Dengan perkataan pasti pasti;
Sekalian orang bencilah hati,
Tiadalah suka berbuat bakti.

Dalam kitab Raja Ali Haji mengenai etika pentadbiran yang bertajuk “Thamarat al-Muhimmah Diyafat lil Umara wal Kubara, li Ahlil Mahkamah” pujangga itu memberi peringatan tentang bahana rasuah. Izinkan patik memetik langsung kata-kata hikmat pujangga tersebut :

“Tamak – Yakni loba kepada perolehan dunia dan loba kepada perolehan hawa nafsu yang melampau daripada had syarak, iaitu sangat di cela kepada segala manusia… Terkadang dengan sifat tamak itu membawa kepada zalim dan aniaya kepada orang, sampai membawa khianat kepada harta benda orang… Terkadang membawa pula cedera kepada nama serta membawa kepada yang diharamkan seperti menerima rasuah…”

Ampun Tuanku,

Patik dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan terus berpegang kepada pokok bicara falsafah pentadbiran yang dinukilkan oleh Raja Ali Haji supaya negeri ini tidak terjerumus dalam amalan kleptokrasi, nauzubillah min zalik, yang akan membawa aib besar kepada bangsa dan negara serta membuatkan rakyat sengsara.

Alhamdulillah, Laporan Ketua Audit Negara 2015 memberikan penarafan sangat baik kepada prestasi perbelanjaan pembangunan Negeri Selangor.

Kedudukan kewangan dan rizab negeri yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri meluluskan belanjawan terbesar bagi tahun 2017 berjumlah RM 3.45 bilion. Kerajaan Negeri meletakkan agenda pembangunan tertinggi iaitu 52.2 peratus manakala belanja mengurus dikurangkan kepada 47.8 peratus.

Kejayaan pembangunan Negeri Selangor bukan sahaja tertumpu kepada usaha pertumbuhan ekonomi sahaja tetapi disimpul dengan prinsip ketelusan dan integriti. Selangor kekal negeri termaju di Malaysia dan gedung kuasa ekonomi negara kerana keyakinan rakyat dan pelabur semakin utuh.

Saudagar dan perantau berlabuh di Selangor untuk berniaga dan mencari pekerjaan. Selangor bumi subur yang sarat dengan khazanah.

Dalam lawatan kerja patik ke Jepun minggu lalu, Toyota Motor Corporation mengesahkan pelaburan baru bernilai RM 2 bilion untuk membina sebuah kilang di Klang yang mempunyai kemudahan berteknologi tinggi untuk pengeluaran 50,000 unit kenderaan setahun bagi pasaran tempatan.

Kebajikan rakyat Tuanku senantiasa menjadi matlamat perjuangan patik. Belanjawan 2017 memberi tumpuan kepada pengupayaan golongan B40 yang merupakan kumpulan pekerja, pelajar, peniaga kecil dan penjaja, petani, nelayan, veteran Angkatan Tentera dan mereka yang berhak mendapat pembelaan. Sementara usaha membela dan mengupaya rakyat dirancakkan, pembangunan negeri dipacu untuk menjadi sebuah smart state.

Pembangunan smart state mesti menjamin perimbangan dalam ekosistem dan tidak mengorbankan kekayaan, keindahan dan kepelbagaian alam semulajadi.

Perihal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 60 :

“Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

Alhamdulillah, di bawah lembayung kebesaran Tuanku, rakyat terus bersatu padu. Kerajaan Negeri juga amat menitik beratkan perpaduan. Kerencaman penduduk yang pelbagai bahasa, bangsa dan agama perlu dibingkai dalam perpaduan dan keharmonian.

Kemajuan dan pembangunan tiadalah boleh diukur dari segi ekonomi sahaja, tetapi juga dimensi keadilan sosial dan amalan demokrasi matang. Demokrasi menjamin pemberdayaan rakyat. Rakyat bukan untuk dimusuhi, tidak boleh dizalimi atau haknya yang termaktub dalam perlembagaan dicabuli.

Ampun Tuanku,

Membangun bangsa dan memakmur negeri adalah satu amanah yang amat berat. Namun, pada hemat patik, pekerjaan yang berat akan menjadi ringan apabila ada kerjasama. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Alhamdulillah, dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab patik yang berat ini, patik dibantu oleh pasukan penjawat awam yang profesional dan rajin bekerja; belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah dibuat, belum ditanya sudah jawab.

Setiap tanggungjawab dilaksanakan secara cermat dan bersungguh, hingga selesai dan berjaya. Berjalan sampai ke batas, belayar hingga ke pulau. Bila menyeluk pekasam, pasti sampai ke pangkal lengan. Dengan iltizam ini, Insya Allah, Selangor akan terus berada di hadapan.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dianugerahkan kesihatan yang berkekalan dalam kemanisan iman, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan untuk terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan seterusnya kepada puteri – puteri dan adinda – adinda Tuanku, waris – waris serta kerabat DiRaja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Daulat Tuanku.